editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengenai pelarasan kadar pencen berdasarkan gaji akhir melalui Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) disambut gembira oleh golongan pesara.
Pengumuman terbabit yang telah lama dinanti-nantikan lebih daripada 900,000 pesara di seluruh negara itu, memberikan harapan baru kepada mereka yang selama ini menantikan perhatian Kerajaan MADANI dalam mengatasi masalah kos sara hidup.
Keputusan ini turut memberi kelegaan kepada pesara yang selama ini berhadapan dengan kesukaran hidup.
Seorang pesara yang enggan dikenali meluahkan rasa syukur dan berterima kasih kepada kerajaan atas pelarasan yang dilaksanakan selaras dengan pelaksanaan SSPA yang berkuat kuasa pada 1 Disember lalu.
“Saya dan rakan-rakan pesara amat menghargai keputusan Perdana Menteri yang prihatin terhadap isu kos sara hidup. Kenaikan pencen ini memberi manfaat yang nyata dan dapat dirasai oleh kami setiap bulan,” katanya.
Beliau menambah, walaupun kos hidup semakin meningkat, pelarasan pencen yang diterima memberi sedikit kelegaan bagi mengurangkan beban.
Difahamkan, pelarasan pencen berkenaan membabitkan kenaikan antara 4 hingga 8 peratus bagi setiap pesara, dan mereka akan menerima manfaat ini secara bulanan.
Sebagaimana diumumkan oleh kerajaan, bagi kumpulan pelaksana dan pengurusan, kenaikan pencen adalah sebanyak 8 peratus, manakala bagi pengurusan tertinggi, kenaikan sebanyak 4 peratus akan dilaksanakan pada tahun 2025.
Dengan pelarasan ini, pesara yang bersara pada tahun 2012, misalnya, akan menikmati kenaikan pencen sehingga RM200 sebulan.
Ini bermakna, jika pencen mereka sebelum ini RM2,000, ia akan meningkat kepada RM2,200.
Selain itu, Perdana Menteri turut mengumumkan bahawa pemberian Penghargaan Khas Kepada Pesara (PKKP) dan penerima pencen terbitan akan diteruskan, sebagai satu lagi usaha kerajaan dalam menjaga kebajikan golongan ini.
Keputusan terbabit dicapai dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang diadakan pada hari Jumaat lalu, di bawah SSPA yang berkuat kuasa pada 1 Disember 2024, dengan pelaksanaan penuh dijangka pada Januari 2026.
Ini adalah berdasarkan semakan gaji perkhidmatan awam yang selaras dengan Seksyen 3, Akta Penyelarasan Pencen 1980 (Akta 238).

