29 C
Kuala Lumpur
Tuesday, June 16, 2026
Home Blog Page 145

Prihatin bahan lucah yang kian tular di media sosial, PKMM seru tindakan segera pihak berkuasa

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Penyebaran bahan lucah yang semakin tular melalui iklan di media sosial, terutamanya di platform-platform seperti Facebook dan TikTok dilihat semakin membimbangkan.

Timbalan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Masyarakat Malaysia (PKMM) Shandrsegar a/l Periasamy Gnana Sambathar berkata, isu ini semakin mendapat perhatian pelbagai pihak selepas beberapa video dan iklan yang memaparkan kandungan tidak senonoh dan promosi produk tidak bermoral, seperti ubat kuat dan iklan seksual, mula tersebar tanpa sekatan yang jelas.

Beliau berkata, masalah ini semakin membimbangkan kerana ia membabitkan golongan muda yang lebih terdedah kepada media sosial.

Tegasnya, bahan lucah dan iklan yang memaparkan aktiviti seksual kini bukan sahaja sukar disekat, tetapi juga kerap kali muncul tanpa amaran, mengakibatkan pengguna media sosial tidak tahu kepada siapa mereka harus melaporkan perkara terbabit.

“Media sosial kini digunakan oleh pelbagai lapisan masyarakat, termasuk kanak-kanak.

“Dengan kemunculan iklan dan video yang tidak senonoh ini, kita bimbang kesan buruk yang akan ditanggung oleh generasi muda,” katanya.

Shandrsegar berkata, pihaknya turut memberi peringatan kepada ibu bapa agar lebih berhati-hati dan sentiasa memantau aktiviti anak-anak mereka ketika menggunakan media sosial.

Menurutnya, platform-platform seperti TikTok dan Facebook seringkali digunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk menyebarkan iklan yang tidak sesuai, dan ini boleh menjejaskan kesihatan mental serta moral kanak-kanak yang terdedah kepada kandungan terbabit.

“Bahan lucah dan iklan yang tidak sesuai sangat merbahaya untuk perkembangan mental kanak-kanak. Kita tidak boleh membiarkan hal ini berlarutan tanpa tindakan yang jelas,” katanya.

PKMM turut memohon pihak berkuasa dan platform media sosial untuk mengambil tindakan lebih serius dalam menangani isu ini.

“Kami berharap pihak berkuasa dapat memperketatkan undang-undang dan menyediakan saluran mudah untuk orang ramai melaporkan perkara-perkara seperti ini.

“Pengguna, terutamanya ibu bapa, perlu diberi panduan tentang langkah-langkah yang boleh diambil untuk melindungi anak-anak mereka daripada terdedah kepada kandungan tidak sihat,” tambahnya.

Bagi menangani isu ini dengan lebih berkesan, PKMM mencadangkan agar lebih banyak kempen pendidikan dilaksanakan untuk meningkatkan kesedaran tentang bahaya kandungan negatif di media sosial.

Selain itu, mereka juga menyeru agar platform-platform digital melakukan lebih banyak usaha untuk memantau iklan yang disiarkan serta memastikan iklan-iklan yang tular tidak melanggar etika serta norma sosial yang diterima masyarakat.

Pihak berkuasa dan pengendali media sosial juga perlu bekerjasama untuk memastikan media sosial kekal menjadi ruang yang selamat dan memberi manfaat kepada masyarakat, tanpa mengorbankan nilai-nilai moral dan keselamatan pengguna, khususnya generasi muda yang lebih mudah terpengaruh.

Terdahulu, media sebelum ini melaporkan polis dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melakukan tangkapan ke atas individu yang disyaki memiliki dan mengedar Bahan Penderaan Seksual Kanak-Kanak (CSAM).

Menerusi ‘Op Pedo Bersepadu PDRM-MCMC’ yang diketuai oleh Bahagian Siasatan Seksual, Wanita, dan Kanak-Kanak Bukit Aman (D11) ia membabitkan siri serbuan secara terselaras di enam negeri, iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Terengganu, Pulau Pinang dan Perak.

Kenderaan berat perlu jalani pemeriksaan berkala ketat PUSPAKOM – NIOSH

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Semua kenderaan berat diwajibkan menjalani pemeriksaan berkala di bawah pengawasan ketat Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) untuk memastikan kenderaan yang tidak selamat tidak dibenarkan berada di jalan raya.

Naib Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Manivanan Gowin berkata, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) harus memperhebatkan usaha penguatkuasaan dengan mengenakan denda yang lebih berat serta tindakan tegas terhadap kenderaan berat yang gagal mematuhi piawaian keselamatan.

Menurutnya, pemantauan secara berkala dan menyeluruh amat penting bagi mencegah kenderaan yang tidak selamat daripada terus beroperasi di jalan raya.

“Kesedaran dan disiplin yang tinggi di kalangan pengendali dan pemandu adalah kunci utama untuk mengurangkan risiko kemalangan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas tragedi kemalangan maut yang berlaku di Kilometer 204 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) yang meragut tujuh nyawa pada Isnin lalu.

Nahas ngeri itu membabitkan lima kenderaan, termasuk bas persiaran yang membawa 27 penumpang, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima, lori, treler, dan Perodua Bezza, berpunca daripada tayar lori yang tercabut dan berada di lorong tengah laluan terbabit.

Manivanan turut menekankan bahawa operator pengangkutan berat harus melaksanakan program latihan keselamatan secara berterusan dan lebih menyeluruh, khususnya untuk pemandu lori dan bas.

Latihan ini harus merangkumi pengetahuan mendalam mengenai pemanduan berhemah, pemahaman terhadap undang-undang jalan raya, serta penerapan prinsip keselamatan yang ketat.

Selain itu, beliau mencadangkan supaya penggunaan teknologi terkini seperti Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS) dan telematik diwajibkan untuk semua kenderaan berat.

Teknologi ini dapat memberikan amaran awal mengenai kerosakan yang berpotensi membahayakan, seterusnya memastikan keselamatan yang lebih tinggi di jalan raya.

Manivanan turut menyeru agensi kerajaan, operator pengangkutan, pihak berkuasa tempatan, serta organisasi bukan kerajaan untuk bekerjasama dalam merangka pelan strategik jangka panjang bagi meningkatkan keselamatan jalan raya.

“Kerjasama ini membabitkan penyelidikan berterusan dan pelaksanaan dasar keselamatan yang lebih ketat dan efektif.

“NIOSH juga memiliki pasukan pakar untuk membantu pihak berkuasa dalam mengenal pasti punca kemalangan dan mencari penyelesaian yang lebih baik,” katanya.

Sebagai langkah proaktif, NIOSH juga menawarkan kursus pemanduan berhemah dan latihan berkaitan ISO Pengurusan Trafik yang bertujuan meningkatkan kesedaran di kalangan pemandu dan membantu organisasi mematuhi piawaian keselamatan antarabangsa.

Program-program ini adalah usaha untuk mengurangkan kemalangan membabitkan kenderaan berat, sekaligus meningkatkan keselamatan jalan raya negara.

Langkawi pamer keunikan dengan kisah lagenda dan sejarah tempatan – Anwar

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengungkapkan kekagumannya terhadap inisiatif kreatif yang dipamerkan oleh Dream Forest Langkawi dalam menonjolkan keunikan Pulau Langkawi.

Beliau berharap lebih banyak usaha sebegini dapat diperluas untuk menarik minat pelancong dan menghidupkan semula kisah serta legenda tempatan yang merupakan sebahagian daripada warisan negara.

Anwar berkata, inisiatif ini tidak hanya memperkenalkan legenda dan mitos tempatan, tetapi juga menjadi produk pelancongan yang mencerminkan identiti Malaysia, yang selari dengan status negara sebagai Pengerusi ASEAN mulai 1 Januari ini.

Beliau berkongsi pandangannya melalui status di Facebook hari ini, di samping gambar lawatannya ke Dream Forest Langkawi di Pulau Langkawi, Kedah.

“Langkawi bukan hanya sebuah pulau yang indah, tetapi ia penuh dengan kisah dan warisan yang harus ditelaah dan dikaji oleh generasi kini dan akan datang.

“Saya berharap lebih banyak inisiatif seperti ini diwujudkan untuk memantapkan sektor pelancongan negara,” katanya.

Anwar turut menyatakan bahawa beliau telah menghubungi pemilik Dream Forest Langkawi, Puan Sri Tiara Jacquelina Eu Abdullah dan suaminya, Tan Sri Mohd Effendi Norwawi, untuk menyampaikan penghargaan atas usaha mereka dalam merealisasikan inisiatif terbabit.

Dalam perbualan itu, beliau turut mencadangkan agar pameran terbabit turut diperkaya dengan pengenalan hala tuju Langkawi dan penggunaan teknologi baharu.

Sementara itu, Anwar kini sedang berada di Pulau Langkawi bersama keluarga, dan dijadualkan untuk bertemu dengan bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra, serta menyertai beberapa program bersama masyarakat setempat.

Untuk makluman, Langkawi adalah salah satu destinasi pelancongan utama negara selain Pulau Pinang, Kota Kinabalu, Kuching, dan Desaru, Johor.

Mayat ditemui di ruang roda pesawat United Airlines di lapangan terbang Hawaii

editormaxinfo@gmail.com

LOS ANGELES – Sebuah tragedi menggemparkan berlaku apabila mayat seorang individu ditemui di ruang roda pesawat United Airlines setelah pesawat itu selamat mendarat di Lapangan Terbang Kahului, Maui, Hawaii pada malam Krismas.

Menurut kenyataan syarikat penerbangan terbabit dan laporan media tempatan, penemuan mayat itu dilakukan pada Selasa lalu.

United Airlines mengesahkan dalam satu kenyataan bahawa mayat itu dijumpai di ruang roda utama pesawat Boeing 787-10 yang berlepas dari Lapangan Terbang O’Hare, Chicago.

Syarikat berkenaan menyatakan bahawa pihaknya sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa penguatkuasaan undang-undang untuk menyiasat insiden terbabit.

Namun, masih belum diketahui bagaimana atau bila individu tersebut berjaya mengakses ruang roda pesawat yang hanya boleh diakses dari luar pesawat.

Tiada gangguan terhadap operasi lapangan terbang dilaporkan. Dalam pada itu, siasatan lanjut oleh Jabatan Polis Maui sedang dijalankan bagi mengenal pasti identiti mangsa dan bagaimana insiden tersebut berlaku.

Tragedi ini turut mengejutkan ramai kerana ruang roda pesawat adalah kawasan yang sangat berbahaya untuk diakses, dengan suhu yang sangat rendah dan kekurangan oksigen pada ketinggian yang tinggi. -Agensi

Dua beradik dari Selangor raih penghargaan antarabangsa di pertandingan robotik di China

editormaxinfo@gmail.com

CYBERJAYA – Dua beradik dari Kajang, Selangor, telah mencipta kejayaan luar biasa di arena robotik antarabangsa.

Muhammad Adam Mikhael Azziddin, 11, dan Putri Qayreen Sofea Azziddin, 9, meraih tempat ke-15 dan ke-18 dalam Pertandingan Robotik MakeX Peringkat Akhir Global yang berlangsung di Shenzhen, China, pada 6 hingga 8 Disember 2024.

Mereka bersaing dalam Sesi 2 Kategori Inspire Smart Logistics bersama 264 peserta dari pelbagai negara.

Pencapaian mereka yang membanggakan ini diterjemahkan dengan anugerah Skill Master Award, yang disampaikan oleh Jawatankuasa Pertandingan Robotik MakeX, sebagai penghormatan atas kemahiran dan kecekapan mereka dalam cabaran robotik terbabit.

Dalam Kategori Inspire, kedua-dua peserta perlu menyelesaikan tiga misi yang memerlukan penggunaan robot untuk mengangkut kiub ke lokasi tertentu menggunakan pengawal Bluetooth.

Dengan tugasan yang hanya diberitahu semasa pertandingan, kemahiran mengawal robot dan kelajuan menyelesaikan misi menjadi faktor utama dalam penilaian.

Muhammad Adam dan Putri Qayreen yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Kajang, mula menyertai kelas robotik di Akademi Robotik JAZRO pada Mei tahun lalu.

Pencapaian mereka ini adalah lonjakan besar daripada kedudukan ke-28 yang dicapai oleh peserta Malaysia pada tahun 2023, sekaligus menunjukkan peningkatan yang ketara dalam penguasaan kemahiran robotik.

Ibu mereka, Siti Paspa Mohamad Sofa berkata, beliau rasa bangga terhadap pencapaian anak-anaknya.

“Kami amat berbangga dengan pencapaian anak-anak, yang di luar jangkaan kami.

“Kami melihat penyertaan mereka dalam kelas JAZRO sebagai peluang untuk belajar, namun kini kami melihat ia sebagai laluan ke masa depan yang cerah dalam teknologi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif JAZRO  Ir. Dzulfarqeish Zainuddin berkata, pencapaian ini bukan hanya kejayaan peribadi, ia mencerminkan potensi hebat anak muda Malaysia apabila diberi peluang pendidikan yang betul.

“Kami di JAZRO berkomitmen untuk memupuk minda muda dan mendorong inovasi melalui pendidikan robotik,” katanya.

Sebelum ke Shenzhen, kedua-dua beradik ini telah mencipta nama dalam pertandingan MakeX peringkat Malaysia, di mana Muhammad Adam muncul juara dalam Kategori Inspire, manakala Putri Qayreen Sofea meraih tempat kedua.

Kejayaan ini membolehkan mereka berdua melangkah ke peringkat akhir global.

Pertandingan Robotik MakeX menawarkan lebih daripada sekadar kemahiran teknikal; ia membangunkan pemikiran kritis, penyelesaian masalah, kerja berpasukan, dan daya inovasi.

Peserta dari pelbagai negara termasuk China, Emiriah Arab Bersatu, Filipina, India, Peru, Brazil, dan Thailand turut menyertai pertandingan ini.

Dzulfarqeish berkata, pengiktirafan yang diterima di Shenzhen ini juga mencerminkan kemajuan pendidikan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik) di Malaysia, yang semakin berkembang pesat.

“Kami di JAZRO bertekad untuk terus menjadi pemangkin bagi pendidikan STEM dan memastikan anak muda kita bersedia menghadapi cabaran Revolusi Industri 4.0,” katanya.

Bank Islam lepasi sasaran pembiayaan hijau awal dengan RM4.8 Bilion

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Bank Islam Malaysia Bhd (Bank Islam) berjaya melangkaui sasaran pembiayaan hijau awal RM4 bilion, mencatatkan jumlah sebanyak RM4.8 bilion, mengatasi sasaran yang ditetapkan untuk 2025.

Kejayaan ini menonjolkan komitmen bank dalam memacu ekonomi hijau negara dan memperkukuh peranannya sebagai peneraju pembiayaan mampan patuh Syariah.

Seiring dengan pencapaian ini, Bank Islam kini menetapkan sasaran lebih tinggi iaitu untuk meningkatkan portfolio pembiayaan mampannya kepada RM28 bilion menjelang penghujung 2025.

Langkah ini memperlihatkan azam bank untuk mempercepatkan pertumbuhan ekonomi hijau di Malaysia serta memberi impak berpanjangan kepada masyarakat, perniagaan, dan alam sekitar.

Antara elemen penting dalam strategi kemampanan Bank Islam adalah pelancaran Akaun Pelaburan Mampan Ihsan (ISIA) pada 2023.

Ini adalah pendekatan transformasi dalam portfolio pelaburan bukan runcit yang menyokong Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, serta selaras dengan Perubahan Iklim dan Taksonomi Berasaskan Prinsip Bank Negara Malaysia.

Bank Islam turut memainkan peranan penting dalam menyokong peralihan Malaysia ke penggunaan tenaga bersih dengan memberi pembiayaan untuk projek tenaga boleh baharu (TBB) seperti solar dan hidro. Inisiatif ini sejajar dengan matlamat Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional untuk mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050.

Komitmen Bank Islam terhadap kewangan hijau turut memacu pertumbuhan ekonomi inklusif, dengan sokongan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), perniagaan tani, serta komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Datuk Mohd Muazzam Mohamed, berkata komitmen bank terhadap kewangan hijau bukan sekadar memenuhi keperluan kawal selia, tetapi juga untuk mencipta perubahan positif yang akan memberi manfaat kepada ekonomi Malaysia di masa hadapan.

“Melalui penyelesaian pembiayaan mampan, kami bukan sahaja menyokong industri-industri penting seperti TBB dan pembuatan, tetapi juga memastikan kelestarian alam sekitar untuk generasi akan datang,” katanya.

Bagi memperkukuh komitmen terhadap kemampanan, Bank Islam baru-baru ini mencatatkan sejarah sebagai bank pertama di Malaysia yang melahirkan 86 Penasihat Kewangan Hijau Bertauliah (CGFA) melalui program latihan yang dijalankan dengan kerjasama Asian Banking School.

Amani Travel raih pengiktirafan cemerlang dalam pengendalian haji

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Amani Travel Sdn Bhd (Amani Travel) terus melakar kejayaan cemerlang dalam pengendalian jemaah haji dengan meraih penarafan tinggi daripada Lembaga Tabung Haji (TH) bagi musim haji 1446H pada 2025.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Amani Travel, Wan Muhammad Mior Ismail berkata, syarikat mereka mendapat nilai purata penarafan sebanyak 97.4 peratus daripada TH, membuktikan komitmen tinggi mereka dalam memberikan perkhidmatan terbaik untuk jemaah haji.

Katanya, Amani Travel menekankan tiga nilai utama dalam perkhidmatan mereka, iaitu mesra, profesional, dan patuh syariah.

Mereka memastikan setiap jemaah mendapat bimbingan yang lengkap, bagi menjamin ibadah haji dilaksanakan dengan sempurna dan selesa.

Penginapan Selesa di Aziziyah

Amani Travel menawarkan penginapan berkualiti tinggi dengan hotel yang terletak berhampiran kompleks Jamrah di Aziziyah, yang memberi keselesaan dan privasi kepada jemaah.

Penginapan ini dilengkapi dengan kemudahan yang lebih selesa berbanding khemah di Mina yang lebih sesak.

“Salah satu aspek penting dalam perkhidmatan kami adalah keselesaan penginapan. Hotel di Aziziyah ini mampu memuatkan empat hingga lima orang sebilik dan memberikan jemaah privasi yang lebih baik,” katanya.

Perkhidmatan Mutawif Berpengalaman

Selain itu, Amani Travel juga menyediakan perkhidmatan mutawif berpengalaman yang akan membimbing jemaah dengan teliti, termasuk memberikan panduan tentang hukum-hakam haji.

Bimbingan ini menekankan kepada sunnah Rasulullah SAW semasa menunaikan ibadah haji, bermula dari Hari Tarwiyah di Mina hingga pelontaran di Jamrah.

Amani Travel turut membawa tokoh hadis, Profesor Madya Dr. Ahmad Sanusi, bagi mengupas hadis-hadis berkaitan sejarah dan ibadah haji serta umrah untuk memberikan pemahaman lebih mendalam kepada jemaah.

Perkhidmatan Masya’ir Naik Taraf

Untuk musim haji 2025, Amani Travel turut menawarkan perkhidmatan Masya’ir Naik Taraf (PMN) yang membolehkan jemaah menikmati jarak khemah yang lebih dekat ke Jamrah dan menyediakan bas khas untuk perjalanan antara Arafah, Muzdalifah, dan Mina.

Selain itu, mereka turut menyediakan hidangan bufet masakan Asia tiga kali sehari – sarapan, makan tengah hari dan makan malam – untuk memastikan keperluan makan jemaah dipenuhi dengan baik.

Setelah selesai menunaikan haji, jemaah akan ditempatkan di hotel bertaraf lima bintang yang terletak hanya 50 hingga 70 meter dari Masjidil Haram, Makkah, bagi memastikan keselesaan mereka berterusan.

Pengalaman dan Kepercayaan Tinggi

Sejak penubuhannya pada 2013, Amani Travel telah mengendalikan lebih 15,000 jemaah umrah dengan rekod yang sangat baik. Pengalaman luas ini telah memberi kepercayaan kepada pihak berkuasa untuk melantik mereka sebagai pengelola jemaah haji bermula tahun 2024.

Kejayaan mereka dalam mengendalikan jemaah haji pada musim pertama telah menerima pengiktirafan tinggi daripada TH, yang seterusnya melantik Amani Travel untuk mengendalikan jemaah haji pada tahun 2025.

Rancangan Pengembangan Operasi

Wan Muhammad menyatakan bahawa Amani Travel berhasrat untuk mengembangkan operasi syarikat mereka dengan membuka lebih banyak cawangan di seluruh negara.

Setakat ini, mereka mempunyai empat cawangan di Johor, Kelantan, Pahang dan Perak, dan sasaran mereka adalah membuka cawangan di setiap negeri.

Amani Travel juga bersedia untuk menerima maklum balas daripada jemaah yang boleh dilihat di Google Review, sebagai langkah penambahbaikan.

Mereka menargetkan untuk mengendalikan 300 jemaah pada musim haji yang akan datang dan berharap angka ini akan terus meningkat setiap tahun.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut tentang perkhidmatan Amani Travel melalui laman web rasmi mereka di https://www.amanitravel.com.my atau di media sosial seperti Facebook dan Instagram.

Sebarang pertanyaan juga boleh diajukan melalui talian 06-790 7752 atau mengunjungi cawangan-cawangan Amani Travel di seluruh negara.

Dengan pengiktirafan yang diterima dan perkhidmatan cemerlang yang ditawarkan, Amani Travel terus komited untuk memberi pengalaman haji yang penuh berkat dan berkesan kepada jemaah.

UiTM cipta sejarah, raih Anugerah Pencipta Perak daripada YouTube

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Universiti Teknologi Mara (UiTM) mencatatkan sejarah gemilang apabila menjadi institusi pengajian tinggi pertama di Malaysia yang menerima Anugerah Pencipta Perak (Silver Creator Award) daripada YouTube.

Pengiktirafan itu diterima selepas saluran rasmi universiti, UiTM Channel, berjaya mencapai lebih 100,000 langganan pada pertengahan September lalu.

Dalam satu kenyataan, UiTM mengumumkan bahawa UiTM Channel, yang dilancarkan pada 1 April 2013, kini telah mencapai lebih 21 juta tontonan dan lebih 1,900 video yang diterbitkan.

Saluran ini bukan sahaja berfungsi sebagai sumber maklumat bagi komuniti universiti dan masyarakat umum, tetapi turut menjadi platform penstriman langsung yang mendapat perhatian tinggi, terutama ketika Istiadat Konvokesyen UiTM.

“Saluran ini diuruskan oleh pasukan dari Bahagian Pengurusan Jenama dan Media Kreatif, Pejabat Komunikasi Strategik UiTM, dan ia adalah bukti komitmen universiti dalam memanfaatkan media digital untuk memperkukuh visibiliti dan interaksi dengan masyarakat,” kata UiTM dalam kenyataan itu.

Selain daripada meningkatkan keterlihatan universiti, UiTM Channel juga mula menjana pendapatan sejak awal tahun 2020, yang membuka peluang bagi universiti untuk terus mengembangkan kandungan kreatif dan inovatif.

Saluran ini turut mencatatkan kejayaan di platform TikTok dengan lebih 100,000 pengikut, dan kedua-dua saluran rasmi UiTM di YouTube dan TikTok telah menerima pengesahan rasmi, mengukuhkan kredibiliti universiti di dunia digital.

UiTM juga menjadi universiti pertama yang memperkenalkan platform e-dagang melalui TikTok, yang bertujuan untuk mempromosikan dan menjual produk universiti, termasuk produk ikonik seperti Beg Kuning UiTM.

Inisiatif ini mencerminkan inovasi UiTM dalam meneroka peluang ekonomi digital.

“UiTM berbangga dengan pencapaian ini, yang bukan sahaja menunjukkan kejayaan di dunia digital, tetapi juga menggambarkan visi kami untuk terus berada di barisan hadapan dalam inovasi dan transformasi digital,” katanya.

Dengan sokongan daripada pelbagai pihak, UiTM Channel dijangka akan terus berkembang sebagai platform utama untuk menyampaikan kandungan kreatif dan berimpak tinggi, sekali gus memperkasa komuniti universiti dan masyarakat melalui teknologi dan media digital.

Penyedia platform dalam talian digesa lebih proaktif tangani aktiviti tidak bermoral

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Semua penyedia platform dalam talian digesa agar lebih proaktif dalam mengekang sebarang aktiviti tidak bermoral serta melanggar undang-undang, terutamanya yang membabitkan keselamatan kanak-kanak.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, berkata ibu bapa juga perlu memainkan peranan penting dalam mengawal penggunaan media sosial anak-anak, terutama yang di bawah umur, bagi memastikan keselamatan mereka terjamin.

“Marilah kita bersama-sama melindungi generasi muda daripada ancaman serta eksploitasi dalam talian yang semakin berleluasa,” katanya dalam satu kenyataan.

Fahmi berkata, penahanan 13 individu dalam operasi bersepadu Op Pedo baru-baru ini menunjukkan komitmen pihak berkuasa dalam membanteras jenayah seksual terhadap kanak-kanak, termasuk yang berlaku dalam talian.

“Kerajaan akan terus menyokong sepenuhnya usaha untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak.

“Kami tidak akan berkompromi dengan sebarang jenayah yang mengancam masa depan mereka,” tegasnya.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, menegaskan bahawa kerajaan perlu mempunyai kapasiti digital yang lebih maju untuk menangani peningkatan bahan pornografi dewasa dan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM).

Beliau berkata, agensi yang berkaitan perlu dikemas kini dan dinaik taraf untuk menangani isu ini dengan lebih berkesan.

“Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, beberapa pindaan akta berkaitan komunikasi telah dibawa dan dibentangkan, termasuk Rang Undang-undang Keselamatan Dalam Talian (ONSA) yang diharap dapat membantu pihak berkuasa mengekang jenayah ini,” katanya melalui platform X.

Dalam operasi baru-baru ini, polis telah menahan suspek warga tempatan berusia antara 20 hingga 74 tahun di enam negeri, dan menemui kira-kira 40,000 bahan pornografi dewasa serta penderaan seksual kanak-kanak (CSAM) dalam peranti yang diperiksa.

Kesemua suspek disiasat di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 kerana memiliki bahan CSAM, yang boleh membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun serta sebatan tidak kurang daripada tiga kali jika sabit kesalahan.

Selain itu, siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan kerana memiliki bahan lucah.