editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Universiti Teknologi Mara (UiTM) mencatatkan sejarah gemilang apabila menjadi institusi pengajian tinggi pertama di Malaysia yang menerima Anugerah Pencipta Perak (Silver Creator Award) daripada YouTube.
Pengiktirafan itu diterima selepas saluran rasmi universiti, UiTM Channel, berjaya mencapai lebih 100,000 langganan pada pertengahan September lalu.
Dalam satu kenyataan, UiTM mengumumkan bahawa UiTM Channel, yang dilancarkan pada 1 April 2013, kini telah mencapai lebih 21 juta tontonan dan lebih 1,900 video yang diterbitkan.
Saluran ini bukan sahaja berfungsi sebagai sumber maklumat bagi komuniti universiti dan masyarakat umum, tetapi turut menjadi platform penstriman langsung yang mendapat perhatian tinggi, terutama ketika Istiadat Konvokesyen UiTM.
“Saluran ini diuruskan oleh pasukan dari Bahagian Pengurusan Jenama dan Media Kreatif, Pejabat Komunikasi Strategik UiTM, dan ia adalah bukti komitmen universiti dalam memanfaatkan media digital untuk memperkukuh visibiliti dan interaksi dengan masyarakat,” kata UiTM dalam kenyataan itu.
Selain daripada meningkatkan keterlihatan universiti, UiTM Channel juga mula menjana pendapatan sejak awal tahun 2020, yang membuka peluang bagi universiti untuk terus mengembangkan kandungan kreatif dan inovatif.
Saluran ini turut mencatatkan kejayaan di platform TikTok dengan lebih 100,000 pengikut, dan kedua-dua saluran rasmi UiTM di YouTube dan TikTok telah menerima pengesahan rasmi, mengukuhkan kredibiliti universiti di dunia digital.
UiTM juga menjadi universiti pertama yang memperkenalkan platform e-dagang melalui TikTok, yang bertujuan untuk mempromosikan dan menjual produk universiti, termasuk produk ikonik seperti Beg Kuning UiTM.
Inisiatif ini mencerminkan inovasi UiTM dalam meneroka peluang ekonomi digital.
“UiTM berbangga dengan pencapaian ini, yang bukan sahaja menunjukkan kejayaan di dunia digital, tetapi juga menggambarkan visi kami untuk terus berada di barisan hadapan dalam inovasi dan transformasi digital,” katanya.
Dengan sokongan daripada pelbagai pihak, UiTM Channel dijangka akan terus berkembang sebagai platform utama untuk menyampaikan kandungan kreatif dan berimpak tinggi, sekali gus memperkasa komuniti universiti dan masyarakat melalui teknologi dan media digital.

