editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Semua penyedia platform dalam talian digesa agar lebih proaktif dalam mengekang sebarang aktiviti tidak bermoral serta melanggar undang-undang, terutamanya yang membabitkan keselamatan kanak-kanak.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, berkata ibu bapa juga perlu memainkan peranan penting dalam mengawal penggunaan media sosial anak-anak, terutama yang di bawah umur, bagi memastikan keselamatan mereka terjamin.
“Marilah kita bersama-sama melindungi generasi muda daripada ancaman serta eksploitasi dalam talian yang semakin berleluasa,” katanya dalam satu kenyataan.
Fahmi berkata, penahanan 13 individu dalam operasi bersepadu Op Pedo baru-baru ini menunjukkan komitmen pihak berkuasa dalam membanteras jenayah seksual terhadap kanak-kanak, termasuk yang berlaku dalam talian.
“Kerajaan akan terus menyokong sepenuhnya usaha untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak.
“Kami tidak akan berkompromi dengan sebarang jenayah yang mengancam masa depan mereka,” tegasnya.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, menegaskan bahawa kerajaan perlu mempunyai kapasiti digital yang lebih maju untuk menangani peningkatan bahan pornografi dewasa dan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM).
Beliau berkata, agensi yang berkaitan perlu dikemas kini dan dinaik taraf untuk menangani isu ini dengan lebih berkesan.
“Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, beberapa pindaan akta berkaitan komunikasi telah dibawa dan dibentangkan, termasuk Rang Undang-undang Keselamatan Dalam Talian (ONSA) yang diharap dapat membantu pihak berkuasa mengekang jenayah ini,” katanya melalui platform X.
Dalam operasi baru-baru ini, polis telah menahan suspek warga tempatan berusia antara 20 hingga 74 tahun di enam negeri, dan menemui kira-kira 40,000 bahan pornografi dewasa serta penderaan seksual kanak-kanak (CSAM) dalam peranti yang diperiksa.
Kesemua suspek disiasat di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 kerana memiliki bahan CSAM, yang boleh membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun serta sebatan tidak kurang daripada tiga kali jika sabit kesalahan.
Selain itu, siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan kerana memiliki bahan lucah.

