editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Bank Islam Malaysia Bhd (Bank Islam) berjaya melangkaui sasaran pembiayaan hijau awal RM4 bilion, mencatatkan jumlah sebanyak RM4.8 bilion, mengatasi sasaran yang ditetapkan untuk 2025.
Kejayaan ini menonjolkan komitmen bank dalam memacu ekonomi hijau negara dan memperkukuh peranannya sebagai peneraju pembiayaan mampan patuh Syariah.
Seiring dengan pencapaian ini, Bank Islam kini menetapkan sasaran lebih tinggi iaitu untuk meningkatkan portfolio pembiayaan mampannya kepada RM28 bilion menjelang penghujung 2025.
Langkah ini memperlihatkan azam bank untuk mempercepatkan pertumbuhan ekonomi hijau di Malaysia serta memberi impak berpanjangan kepada masyarakat, perniagaan, dan alam sekitar.
Antara elemen penting dalam strategi kemampanan Bank Islam adalah pelancaran Akaun Pelaburan Mampan Ihsan (ISIA) pada 2023.
Ini adalah pendekatan transformasi dalam portfolio pelaburan bukan runcit yang menyokong Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, serta selaras dengan Perubahan Iklim dan Taksonomi Berasaskan Prinsip Bank Negara Malaysia.
Bank Islam turut memainkan peranan penting dalam menyokong peralihan Malaysia ke penggunaan tenaga bersih dengan memberi pembiayaan untuk projek tenaga boleh baharu (TBB) seperti solar dan hidro. Inisiatif ini sejajar dengan matlamat Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional untuk mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050.
Komitmen Bank Islam terhadap kewangan hijau turut memacu pertumbuhan ekonomi inklusif, dengan sokongan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), perniagaan tani, serta komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Datuk Mohd Muazzam Mohamed, berkata komitmen bank terhadap kewangan hijau bukan sekadar memenuhi keperluan kawal selia, tetapi juga untuk mencipta perubahan positif yang akan memberi manfaat kepada ekonomi Malaysia di masa hadapan.
“Melalui penyelesaian pembiayaan mampan, kami bukan sahaja menyokong industri-industri penting seperti TBB dan pembuatan, tetapi juga memastikan kelestarian alam sekitar untuk generasi akan datang,” katanya.
Bagi memperkukuh komitmen terhadap kemampanan, Bank Islam baru-baru ini mencatatkan sejarah sebagai bank pertama di Malaysia yang melahirkan 86 Penasihat Kewangan Hijau Bertauliah (CGFA) melalui program latihan yang dijalankan dengan kerjasama Asian Banking School.

