editormaxinfo@gmail.com
CYBERJAYA – Dua beradik dari Kajang, Selangor, telah mencipta kejayaan luar biasa di arena robotik antarabangsa.
Muhammad Adam Mikhael Azziddin, 11, dan Putri Qayreen Sofea Azziddin, 9, meraih tempat ke-15 dan ke-18 dalam Pertandingan Robotik MakeX Peringkat Akhir Global yang berlangsung di Shenzhen, China, pada 6 hingga 8 Disember 2024.
Mereka bersaing dalam Sesi 2 Kategori Inspire Smart Logistics bersama 264 peserta dari pelbagai negara.
Pencapaian mereka yang membanggakan ini diterjemahkan dengan anugerah Skill Master Award, yang disampaikan oleh Jawatankuasa Pertandingan Robotik MakeX, sebagai penghormatan atas kemahiran dan kecekapan mereka dalam cabaran robotik terbabit.
Dalam Kategori Inspire, kedua-dua peserta perlu menyelesaikan tiga misi yang memerlukan penggunaan robot untuk mengangkut kiub ke lokasi tertentu menggunakan pengawal Bluetooth.

Dengan tugasan yang hanya diberitahu semasa pertandingan, kemahiran mengawal robot dan kelajuan menyelesaikan misi menjadi faktor utama dalam penilaian.
Muhammad Adam dan Putri Qayreen yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Kajang, mula menyertai kelas robotik di Akademi Robotik JAZRO pada Mei tahun lalu.
Pencapaian mereka ini adalah lonjakan besar daripada kedudukan ke-28 yang dicapai oleh peserta Malaysia pada tahun 2023, sekaligus menunjukkan peningkatan yang ketara dalam penguasaan kemahiran robotik.
Ibu mereka, Siti Paspa Mohamad Sofa berkata, beliau rasa bangga terhadap pencapaian anak-anaknya.
“Kami amat berbangga dengan pencapaian anak-anak, yang di luar jangkaan kami.
“Kami melihat penyertaan mereka dalam kelas JAZRO sebagai peluang untuk belajar, namun kini kami melihat ia sebagai laluan ke masa depan yang cerah dalam teknologi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif JAZRO Ir. Dzulfarqeish Zainuddin berkata, pencapaian ini bukan hanya kejayaan peribadi, ia mencerminkan potensi hebat anak muda Malaysia apabila diberi peluang pendidikan yang betul.
“Kami di JAZRO berkomitmen untuk memupuk minda muda dan mendorong inovasi melalui pendidikan robotik,” katanya.
Sebelum ke Shenzhen, kedua-dua beradik ini telah mencipta nama dalam pertandingan MakeX peringkat Malaysia, di mana Muhammad Adam muncul juara dalam Kategori Inspire, manakala Putri Qayreen Sofea meraih tempat kedua.
Kejayaan ini membolehkan mereka berdua melangkah ke peringkat akhir global.
Pertandingan Robotik MakeX menawarkan lebih daripada sekadar kemahiran teknikal; ia membangunkan pemikiran kritis, penyelesaian masalah, kerja berpasukan, dan daya inovasi.
Peserta dari pelbagai negara termasuk China, Emiriah Arab Bersatu, Filipina, India, Peru, Brazil, dan Thailand turut menyertai pertandingan ini.
Dzulfarqeish berkata, pengiktirafan yang diterima di Shenzhen ini juga mencerminkan kemajuan pendidikan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik) di Malaysia, yang semakin berkembang pesat.
“Kami di JAZRO bertekad untuk terus menjadi pemangkin bagi pendidikan STEM dan memastikan anak muda kita bersedia menghadapi cabaran Revolusi Industri 4.0,” katanya.