32.4 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 15, 2026

Langkawi pamer keunikan dengan kisah lagenda dan sejarah tempatan – Anwar

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengungkapkan kekagumannya terhadap inisiatif kreatif yang dipamerkan oleh Dream Forest Langkawi dalam menonjolkan keunikan Pulau Langkawi.

Beliau berharap lebih banyak usaha sebegini dapat diperluas untuk menarik minat pelancong dan menghidupkan semula kisah serta legenda tempatan yang merupakan sebahagian daripada warisan negara.

Anwar berkata, inisiatif ini tidak hanya memperkenalkan legenda dan mitos tempatan, tetapi juga menjadi produk pelancongan yang mencerminkan identiti Malaysia, yang selari dengan status negara sebagai Pengerusi ASEAN mulai 1 Januari ini.

Beliau berkongsi pandangannya melalui status di Facebook hari ini, di samping gambar lawatannya ke Dream Forest Langkawi di Pulau Langkawi, Kedah.

“Langkawi bukan hanya sebuah pulau yang indah, tetapi ia penuh dengan kisah dan warisan yang harus ditelaah dan dikaji oleh generasi kini dan akan datang.

“Saya berharap lebih banyak inisiatif seperti ini diwujudkan untuk memantapkan sektor pelancongan negara,” katanya.

Anwar turut menyatakan bahawa beliau telah menghubungi pemilik Dream Forest Langkawi, Puan Sri Tiara Jacquelina Eu Abdullah dan suaminya, Tan Sri Mohd Effendi Norwawi, untuk menyampaikan penghargaan atas usaha mereka dalam merealisasikan inisiatif terbabit.

Dalam perbualan itu, beliau turut mencadangkan agar pameran terbabit turut diperkaya dengan pengenalan hala tuju Langkawi dan penggunaan teknologi baharu.

Sementara itu, Anwar kini sedang berada di Pulau Langkawi bersama keluarga, dan dijadualkan untuk bertemu dengan bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra, serta menyertai beberapa program bersama masyarakat setempat.

Untuk makluman, Langkawi adalah salah satu destinasi pelancongan utama negara selain Pulau Pinang, Kota Kinabalu, Kuching, dan Desaru, Johor.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular