29.6 C
Kuala Lumpur
Tuesday, June 9, 2026
Home Blog

BN wajar terus terajui Johor demi kestabilan politik dan kemajuan negeri

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) wajar diberikan peluang untuk meneruskan pemerintahan di Johor bagi memastikan kestabilan politik, kesinambungan pembangunan serta kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

Mantan Exco Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin berkata, Johor memerlukan sebuah kerajaan negeri yang stabil, berpengalaman dan berkeupayaan melaksanakan agenda pembangunan yang telah dirancang demi menjamin kemajuan negeri serta kesejahteraan rakyat secara berterusan.

Katanya, kestabilan politik yang dinikmati Johor ketika ini antara faktor utama yang membolehkan pelbagai dasar dan projek pembangunan dilaksanakan dengan lancar tanpa gangguan politik yang boleh menjejaskan keyakinan pelabur dan pertumbuhan ekonomi negeri.

“Johor memerlukan kesinambungan kepimpinan yang mampu memastikan segala perancangan pembangunan dapat diteruskan secara konsisten dan berkesan.

“Kestabilan politik yang kukuh merupakan asas penting dalam menjayakan agenda pembangunan negeri,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, kekuatan identiti Bangsa Johor yang telah lama menjadi teras perpaduan rakyat turut memainkan peranan penting dalam menyatukan masyarakat pelbagai kaum dan latar belakang demi mencapai matlamat pembangunan bersama.

Menurutnya, semangat kebersamaan yang wujud dalam kalangan rakyat Johor menjadikan negeri itu unik dan berbeza berbanding negeri-negeri lain, sekali gus menyumbang kepada kestabilan sosial serta keharmonian masyarakat.

Dalam pada itu, Datuk Muhamad Muqharabbin berkata, rakyat Johor sentiasa menzahirkan penghormatan yang tinggi terhadap Institusi Kesultanan Johor yang menjadi tonggak penting kepada kestabilan dan kemajuan negeri.

Beliau menyifatkan kepimpinan serta peranan Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor dan Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor (TMJ) sebagai antara faktor yang meletakkan Johor pada kedudukan yang dihormati bukan sahaja di peringkat nasional, malah turut mendapat perhatian di peringkat antarabangsa.

Mengulas aspek pembangunan ekonomi, beliau berkata kerajaan negeri telah membuktikan keupayaannya dalam mengurus dan merancakkan ekonomi Johor melalui pelbagai inisiatif yang berjaya menarik pelaburan baharu, mewujudkan peluang pekerjaan serta meningkatkan daya saing negeri.

Menurutnya, perkembangan ekonomi yang positif memberi manfaat langsung kepada rakyat dan menjadi asas kepada usaha menjadikan Johor sebagai negeri paling maju di Malaysia.

Beliau berkata, pelbagai bantuan dan inisiatif kebajikan yang diperkenalkan kerajaan negeri telah membantu meringankan beban rakyat, khususnya dalam menghadapi cabaran peningkatan kos sara hidup.

Dalam masa yang sama, Muhamad Muqharabbin memuji kepimpinan Menteri Besar Johor, Dato’ Onn Hafiz Ghazi bersama barisan Exco Kerajaan Negeri yang disifatkannya sebagai komited, profesional dan sentiasa bekerja keras dalam menyelesaikan isu-isu yang dihadapi rakyat.

Katanya, prestasi yang ditunjukkan oleh kepimpinan negeri ketika ini membuktikan kesungguhan mereka dalam memperkasa pembangunan Johor serta memastikan kebajikan rakyat terus diberi perhatian.

Beliau bagaimanapun berpandangan bahawa sebarang kerjasama politik yang mungkin diperlukan pada masa hadapan perlu dilakukan secara terpilih dan berlandaskan kepentingan rakyat serta kestabilan negeri.

“Keutamaan perlu diberikan kepada usaha memperkukuhkan pembangunan Johor dan menjaga kepentingan rakyat. Sebarang bentuk kerjasama politik hendaklah berasaskan matlamat terbabit,” katanya.

Pada masa sama, beliau menggesa kerajaan negeri agar terus memainkan peranan aktif dalam memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat Johor dengan menyuarakan secara tegas kepada Kerajaan Persekutuan mengenai pelbagai isu yang memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat.

Antara perkara yang perlu diberi perhatian termasuk isu hasil minyak, struktur percukaian serta peningkatan kos sara hidup yang semakin membebankan masyarakat.

Menurut beliau, Johor memiliki potensi besar untuk muncul sebagai negeri paling maju dan berdaya saing di negara ini.

Oleh itu, kesinambungan kepimpinan yang stabil, berwibawa dan berorientasikan rakyat perlu dikekalkan bagi memastikan agenda pembangunan negeri dapat diteruskan demi manfaat generasi masa depan.

“Johor mempunyai semua elemen untuk menjadi negeri paling maju di Malaysia. Apa yang diperlukan ialah kesinambungan kepimpinan yang stabil dan fokus kepada rakyat agar segala perancangan pembangunan dapat direalisasikan dengan lebih berkesan,” katanya.

SPOTLIGHT KLCC Series tampil Aizat Amdan, Iman Troye dan Noryn Aziz dalam pengalaman muzik premium

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Landskap hiburan langsung Malaysia bakal menerima nafas baharu menerusi penganjuran SPOTLIGHT KLCC Series, sebuah siri persembahan eksklusif yang dikurasi oleh HiFive Entertainment dengan kerjasama Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), yang menawarkan pengalaman muzik premium dan lebih dekat dengan peminat.

Siri persembahan baharu itu bakal membuka tirainya di Plenary Theatre, Kuala Lumpur Convention Centre pada Ogos ini dengan menampilkan barisan artis terkenal tanah air merangkumi pelbagai genre muzik.

Inisiatif itu dilihat sebagai langkah memperkukuh kedudukan Kuala Lumpur sebagai hab hiburan dan budaya serantau, selain memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap pengalaman hiburan langsung yang lebih eksklusif dan berkualiti.

Direka khas untuk pencinta muzik dan hiburan, SPOTLIGHT KLCC Series menjanjikan pengalaman persembahan yang lebih intim menerusi gabungan produksi berkualiti tinggi, suasana premium serta interaksi lebih dekat antara artis dan peminat.

Kerjasama strategik antara HiFive Entertainment dan Kuala Lumpur Convention Centre turut mencerminkan usaha berterusan untuk menjadikan Plenary Theatre sebagai destinasi utama bagi persembahan langsung berskala kecil yang menawarkan pengalaman hiburan yang lebih eksklusif di tengah-tengah ibu negara.

Bab pertama SPOTLIGHT KLCC Series akan berlangsung dalam enam siri persembahan yang dijadualkan pada 22 Ogos dan 12 September 2026.

Barisan artis yang bakal menghiburkan penonton terdiri daripada nama-nama besar industri muzik tempatan serta bakat generasi baharu termasuk Aizat Amdan, SOG (Sekumpulan Orang Gila), Orked Farhan, Iman Troye, Imran Ajmain dan Noryn Aziz.

Pengarah Projek SPOTLIGHT KLCC, Mike Manicka berkata, matlamat utama penganjuran siri berkenaan adalah untuk membuktikan bahawa pengalaman budaya dan hiburan berkualiti tinggi tidak semestinya memerlukan venue berskala besar atau harga tiket yang mahal.

Menurut beliau, pihak penganjur komited untuk memperjuangkan konsep persembahan berskala kecil yang mampu menawarkan suasana lebih premium, sofistikated dan eksklusif kepada penonton, tanpa mengetepikan aspek kemampuan dari segi harga tiket.

“Dengan SPOTLIGHT KLCC Series, misi kami sentiasa untuk membuktikan bahawa pengalaman budaya yang luar biasa tidak memerlukan venue yang besar atau harga tiket yang terlalu tinggi.

“Kami amat komited untuk memperjuangkan persembahan berskala kecil dan intim yang menawarkan suasana premium dan sofistikated kepada penonton.

“Dalam masa yang sama, menawarkan harga tiket yang mampu milik dan boleh diakses oleh semua,” katanya.

Mike berkata, sambutan awal yang diterima amat memberangsangkan dan menjadi pemangkin kepada perancangan siri seterusnya yang bakal diumumkan dalam masa terdekat.

“Sambutan luar biasa yang kami terima setakat ini menyemarakkan lagi semangat kami, dan kami teruja untuk mengumumkan bahawa kami akan memperkenalkan Bab 2 perjalanan ini secara rasmi pada Julai hadapan.

Janji kami adalah untuk membawa lebih banyak persembahan berkualiti tinggi yang dikurasi khas,” katanya lagi.

Selain mempersembahkan konsert dan persembahan muzik secara langsung, SPOTLIGHT KLCC Series turut berperanan sebagai platform budaya yang membuka ruang kerjasama antara artis, jenama tempatan dan komuniti kreatif.

Siri tersebut juga dijangka diperluaskan pada masa hadapan dengan pelbagai bentuk hiburan lain termasuk persembahan komedi berdiri (stand-up comedy) dan acara seni persembahan yang bersesuaian.

Bagi memastikan pengalaman pembelian tiket yang mudah dan lancar, semua tiket akan dijual secara eksklusif menerusi platform Ticket2U.

Pada 22 Ogos 2026, siri pertama akan menampilkan Aizat Amdan pada jam 1.30 petang, diikuti persembahan SOG pada jam 4.30 petang dan Orked Farhan pada jam 8.30 malam. Tiket bagi ketiga-tiga persembahan ditawarkan pada harga RM150 bagi kategori standard dan RM200 bagi kategori premium yang merangkumi sesi Meet & Greet bersama artis.

Sementara itu, siri kedua yang berlangsung pada 12 September 2026 akan menyaksikan persembahan Iman Troye pada jam 1.30 petang, Imran Ajmain pada jam 4.30 petang dan Noryn Aziz pada jam 8.30 malam.

Tiket standard bagi persembahan Iman Troye dan Imran Ajmain ditawarkan pada harga RM150 manakala tiket premium berharga RM200.

Bagi persembahan Noryn Aziz, tiket standard dijual pada harga RM180 manakala tiket premium bersama sesi Meet & Greet ditawarkan pada harga RM260.

Penganjuran SPOTLIGHT KLCC Series turut mendapat sokongan rakan media strategik apabila ERA dan SINAR tampil sebagai Rakan Radio Rasmi, manakala Astro Gempak berperanan sebagai Rakan Media Digital Rasmi.

Orang ramai yang ingin mendapatkan tiket atau mengikuti perkembangan terkini mengenai siri persembahan ini boleh melayari platform Ticket2U serta mengikuti akaun media sosial rasmi HiFive Entertainment dan Kuala Lumpur Convention Centre.

MBPJ sambut 20 tahun status bandar raya dengan festival komuniti dan kelestarian

editormaxinfo@gmail.com

PETALING JAYA – Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bakal meraikan ulang tahun ke-20 pengisytiharan Petaling Jaya sebagai bandar raya menerusi penganjuran Festival Ulang Tahun Bandar Raya Petaling Jaya Ke-20 yang akan berlangsung selama enam hari bermula 16 hingga 21 Jun 2026.

Sambutan bersempena dua dekad status bandar raya itu bakal menghimpunkan pelbagai program berteraskan pembelajaran sepanjang hayat, pendigitalan, kelestarian alam sekitar, pembangunan komuniti dan kebudayaan yang melibatkan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohamad Zahri Samingon berkata, sambutan berkenaan bukan sekadar mengimbau sejarah dan pencapaian bandar raya itu sejak diisytiharkan pada 20 Jun 2006, malah menjadi platform untuk memperkukuhkan semangat kebersamaan dalam kalangan warga kota serta memperbaharui komitmen ke arah pembangunan bandar raya yang lebih mampan, pintar, berdaya tahan dan sejahtera.

Menurut beliau, transformasi Petaling Jaya sepanjang dua dekad lalu adalah hasil kerjasama erat antara pihak berkuasa tempatan, komuniti, sektor swasta serta pelbagai pihak berkepentingan yang bersama-sama menyumbang kepada pembangunan bandar raya berkenaan.

“Sambutan ini adalah penghargaan kepada semua pihak yang telah memainkan peranan penting dalam membangunkan Petaling Jaya sehingga menjadi antara bandar raya terkemuka di negara ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Prapelancaran Sambutan Ulang Tahun Bandar Raya Petaling Jaya ke-20 dan Perhimpunan Warga Kerja MBPJ di Dewan Sivik MBPJ.

Beliau berkata, MBPJ akan terus memperkukuhkan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat, memperkasakan komuniti setempat serta memanfaatkan teknologi dan inovasi bagi memastikan Petaling Jaya kekal sebagai bandar raya pilihan untuk didiami, bekerja, belajar dan beriadah.

Sepanjang 20 tahun lalu, Petaling Jaya berkembang pesat sebagai antara pusat ekonomi, pendidikan, kesihatan, inovasi dan perkhidmatan utama negara.

Dengan keluasan 97.2 kilometer persegi dan populasi seramai 807,879 penduduk setakat Januari 2024, bandar raya ini terus memainkan peranan penting sebagai pemacu pembangunan di Selangor dan Lembah Klang.

Selaras dengan perkembangan itu, MBPJ melaksanakan pelbagai inisiatif yang memberi fokus kepada kesejahteraan rakyat, pembangunan mampan, transformasi digital, pengurusan alam sekitar, mobiliti bandar serta pengukuhan daya tahan komuniti.

Komitmen berterusan itu turut membuahkan pelbagai pengiktirafan di peringkat nasional dan antarabangsa.

Antaranya, Petaling Jaya menjadi bandar raya pertama di Malaysia yang diterima sebagai ahli UNESCO Global Network of Learning Cities (GNLC), selain diiktiraf sebagai Bandar Mesra Kanak-Kanak oleh Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).

Pengiktirafan itu mencerminkan usaha berterusan MBPJ dalam memperkukuh budaya pembelajaran sepanjang hayat, pembangunan modal insan yang inklusif dan mampan serta memastikan kebajikan, hak dan suara kanak-kanak sentiasa diberikan keutamaan dalam pembangunan bandar raya.

Sepanjang sambutan berlangsung, sebanyak 11 program utama dan enam perkhidmatan percuma akan ditawarkan kepada orang ramai.

Antara acara utama yang dijadualkan ialah PJ Learning City Festival 2026 yang menampilkan pelbagai program pendidikan dan pembangunan kemahiran termasuk forum pendidikan, literasi digital, keselamatan siber, kecerdasan buatan (AI) serta sesi perkongsian ilmu.

Selain itu, PJ Digital 2026 akan mengetengahkan pameran teknologi dan inovasi ICT, pengalaman realiti maya (VR), aktiviti interaktif serta pertandingan e-sukan dalam usaha memperkukuh literasi digital masyarakat.

Elemen kelestarian alam sekitar turut diberi perhatian menerusi pelbagai program seperti Hari Terbuka PJ Eco Recycling Plaza, program Trash to Cash, pengumpulan sisa elektrik dan elektronik (e-Waste), kutipan minyak masak terpakai, bengkel kitar semula serta pelbagai inisiatif ekonomi kitaran.

Festival berkenaan juga akan dimeriahkan dengan pelbagai program komuniti dan kebudayaan termasuk festival makanan, persembahan seni budaya, persembahan buskers, aktiviti kekeluargaan, program kesihatan, zon kanak-kanak, pertandingan LEGO Robotics serta pelbagai aktiviti khas untuk warga emas.

Kemuncak sambutan dijadual berlangsung pada 20 Jun 2026 di Laman MBPJ, Jalan Yong Shook Lin menerusi Majlis Perasmian Sambutan Ulang Tahun Bandar Raya Petaling Jaya Ke-20 yang bakal menghimpunkan masyarakat pelbagai latar belakang melalui perarakan komuniti melibatkan sekolah, institusi pengajian tinggi, sektor kesihatan, industri perhotelan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi strategik.

Majlis berkenaan turut diserikan dengan persembahan kebudayaan, persembahan artis jemputan serta pertunjukan bunga api sebagai simbolik kepada dua dekad kecemerlangan Petaling Jaya sebagai sebuah bandar raya maju dan sejahtera.

Antara artis yang bakal memeriahkan malam kemuncak ialah Ernie Zakri, Shidi Data, Salma Asis, Zubir Khan, Victoria, Thalita dan Zaki Yamani. Selain itu, Cherpen dijadual membuat persembahan pada 19 Jun, manakala Lan Solo, KOI dan Floor 88 akan menghiburkan pengunjung pada 21 Jun.

Sebagai penghargaan kepada warga kota, MBPJ turut menawarkan beberapa inisiatif khas sepanjang tempoh sambutan termasuk kemudahan tempat letak kereta percuma, keahlian percuma Perpustakaan Komuniti Petaling Jaya serta pengagihan anak pokok, baja kompos organik dan abate kepada orang ramai.

Pada majlis prapelancaran yang sama, MBPJ turut melancarkan Anugerah Komuniti Mampan Petaling Jaya 2026 sebagai platform pengiktirafan kepada komuniti yang aktif melaksanakan amalan kelestarian dan pembangunan mampan di kawasan masing-masing.

Turut berlangsung ialah penyampaian penghargaan Anugerah Persada Inovasi MBPJ 2026 kepada Kumpulan Kreatif dan Inovatif Majlis serta penyampaian hadiah kepada pemenang Pertandingan Mereka Cipta Logo Sambutan Ulang Tahun Bandar Raya Petaling Jaya Ke-20.

Sebagai sebahagian daripada usaha memperluaskan promosi dan hebahan program, bahan promosi Sambutan Ulang Tahun Bandar Raya Petaling Jaya Ke-20 dan Anugerah Komuniti Mampan Petaling Jaya 2026 turut diserahkan kepada wakil jabatan, agensi serta rakan strategik yang hadir.

Orang ramai dijemput hadir memeriahkan festival berkenaan yang berlangsung dari 16 hingga 21 Jun 2026 serta menyertai pelbagai aktiviti menarik yang disediakan.

Maklumat lanjut boleh diperoleh menerusi laman sesawang dan platform media sosial rasmi MBPJ.

Kejohanan Ping Pong jemaah haji Maktab 66 eratkan silaturahim di Mekah

editormaxinfo@gmail.com

MEKAH Suasana kebersamaan dan ukhuwah dalam kalangan Jemaah Haji Malaysia terus diperkukuhkan apabila Maktab 66 di Hotel Abraj Al-Janadyriah, Mekah, menganjurkan Kejohanan Ping Pong Beregu Piala Haji Abraj Mantan Pengerusi Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Rahim 2026 sebagai platform rekreasi sihat dan wadah mempererat hubungan silaturahim sesama jemaah.

Penganjuran kejohanan yang julung kali diadakan atas inisiatif jemaah sendiri itu mendapat sambutan menggalakkan daripada penghuni Maktab 66, sekali gus membuktikan aktiviti riadah ringan mampu menjadi medium yang berkesan untuk mengeratkan hubungan dalam kalangan jemaah selepas selesai menunaikan ibadah haji.

Mantan Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim, yang hadir merasmikan kejohanan itu, menyifatkan program seumpama itu sebagai satu inisiatif positif yang mampu mengisi masa lapang jemaah di luar waktu ibadah selain membantu mengurangkan tekanan dan keletihan mental sepanjang berada di Tanah Suci.

Menurut beliau, aktiviti sukan dan rekreasi ringan seperti ping pong bukan sahaja memberi ruang kepada jemaah untuk berinteraksi dengan lebih mesra, malah dapat membantu menghilangkan kebosanan selepas lebih sebulan berada di Mekah bagi menunaikan rukun Islam kelima itu.

Beliau turut menyatakan sokongan terhadap penganjuran kejohanan berkenaan dengan menghulurkan sumbangan sebagai hadiah kepada pemenang, selain memuji usaha jemaah yang mengambil inisiatif sendiri untuk menganjurkan program yang bermanfaat kepada komuniti haji Malaysia.

“Jemaah haji datang ke Tanah Suci untuk beribadah, namun aktiviti sampingan yang sihat dan sesuai seperti ini juga penting bagi memastikan kesejahteraan mental serta memperkukuhkan hubungan persaudaraan sesama jemaah,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian kejohanan di Hotel Abraj Al-Janadyriah, Mekah.

Dalam masa sama, Datuk Seri Abdul Azeez turut mencadangkan agar inisiatif itu diperluaskan ke maktab-maktab lain yang menempatkan Jemaah Haji Malaysia pada masa hadapan.

Menurut beliau, pertandingan antara maktab berpotensi diwujudkan sekiranya mendapat sokongan daripada pihak berkaitan.

Beliau berpandangan bahawa penyediaan kemudahan riadah seperti meja ping pong di setiap maktab boleh dipertimbangkan bagi memberi lebih banyak pilihan kepada jemaah untuk beriadah secara sihat.

Selain ping pong, pelbagai aktiviti dalaman atau permainan rekreasi lain juga boleh diperkenalkan bagi meningkatkan kesejahteraan dan pengalaman jemaah sepanjang berada di Tanah Suci.

Sementara itu, Pengarah Kejohanan, Kamaruzzaman Kedah, berkata kejohanan berkenaan berjaya menghimpunkan sebanyak 12 pasangan beregu lelaki yang terdiri daripada jemaah Maktab 66.

Menurut beliau, idea penganjuran pertandingan berkenaan tercetus secara spontan selepas melihat ramai jemaah yang mempunyai kemahiran bermain ping pong dan sering berkumpul untuk bermain pada waktu lapang.

Katanya, aktiviti yang pada awalnya sekadar permainan santai akhirnya berkembang menjadi sebuah kejohanan hasil persetujuan dan sokongan bersama dalam kalangan jemaah yang melihat potensi besar aktiviti terbabit untuk mengeratkan hubungan persaudaraan.

“Alhamdulillah, kejohanan ini berjaya direalisasikan hasil semangat kerjasama dan kesepakatan jemaah.

“Pada mulanya ia hanya aktiviti santai, namun apabila melihat sambutan yang begitu baik, timbul cadangan untuk menjadikannya sebagai satu pertandingan rasmi,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Datuk Seri Abdul Azeez Rahim atas kesudian menyumbang hadiah kepada pemenang serta merasmikan kejohanan berkenaan.

Dalam pada itu, Kamaruzzaman menyambut baik cadangan untuk memperluaskan kejohanan berkenaan ke peringkat antara maktab pada masa hadapan dan berharap usaha yang dimulakan di Maktab 66 dapat diteruskan oleh kumpulan Jemaah Haji Malaysia pada musim-musim haji akan datang.

Beliau juga berharap pihak pengurusan Tabung Haji dapat meneliti dan mempertimbangkan cadangan menyediakan lebih banyak kemudahan riadah di pusat-pusat penginapan jemaah sebagai salah satu usaha meningkatkan kesejahteraan dan keselesaan mereka sepanjang berada di Tanah Suci.

Penganjuran Kejohanan Ping Pong Beregu Piala Haji Abraj Mantan Pengerusi Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Rahim 2026 dilihat bukan sekadar sebuah acara sukan rekreasi, malah menjadi simbol perpaduan, semangat kebersamaan dan ukhuwah yang kukuh dalam kalangan Jemaah Haji Malaysia, selaras dengan nilai-nilai murni yang diterapkan sepanjang menunaikan ibadah haji.

Program pengajian IPT diiktiraf global, MQA tegaskan kualiti pendidikan tinggi Malaysia

editormaxinfo@gmail.com

SEPANG – Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) menegaskan semua program pengajian yang ditawarkan oleh institusi pendidikan tinggi (IPT) awam dan swasta di negara ini melalui proses penilaian serta jaminan kualiti yang ketat bagi memastikan ia memenuhi standard pendidikan yang diiktiraf di peringkat nasional dan antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, agensi yang beroperasi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi itu ditubuhkan khusus untuk memastikan kualiti pendidikan tinggi negara sentiasa berada pada tahap terbaik dan memenuhi keperluan semasa.

Menurut beliau, MQA adalah sebuah agensi bukan berasaskan keuntungan yang berperanan memastikan setiap program atau kursus yang ditawarkan oleh universiti memenuhi tahap minimum kualiti yang telah ditetapkan berdasarkan amalan terbaik serta penanda aras antarabangsa.

Beliau berkata, program-program yang berjaya memperoleh akreditasi MQA telah melalui pelbagai proses penilaian yang komprehensif dan terbukti diterima di peringkat global sama ada untuk tujuan melanjutkan pengajian mahupun mendapatkan pekerjaan.

“Program-program yang telah mendapat akreditasi MQA terbukti diterima di seluruh dunia sama ada untuk tujuan melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi mahupun mendapatkan pekerjaan.

“Ini menunjukkan sistem pendidikan tinggi negara telah mencapai tahap kualiti yang diiktiraf di peringkat global dan mampu bersaing dengan negara-negara lain,” katanya ketika mengulas dakwaan yang mempertikaikan tahap kualiti program pengajian yang ditawarkan oleh universiti di Malaysia.

Mengulas lanjut, beliau berkata MQA hanya memberikan akreditasi kepada program yang memenuhi syarat dan kriteria yang ditetapkan, termasuk aspek reka bentuk kurikulum, kaedah penyampaian pembelajaran, sistem pentaksiran, kelayakan tenaga pengajar serta kemudahan pembelajaran yang disediakan oleh institusi berkenaan.

Menurutnya, proses akreditasi yang dilaksanakan bukan sekadar menilai kandungan akademik, malah turut memberi perhatian terhadap kesesuaian program dengan perkembangan industri dan pasaran pekerjaan semasa.

Katanya, antara komponen penting dalam proses akreditasi ialah penglibatan pihak industri dan majikan dalam pembangunan serta penambahbaikan kurikulum bagi memastikan setiap program yang ditawarkan kekal relevan dan memenuhi keperluan sektor pekerjaan.

“Setiap program yang ingin mendapatkan akreditasi MQA perlu mendapatkan input serta pandangan daripada pihak industri dan majikan.

“Penglibatan industri dalam pembangunan kurikulum membantu memastikan graduan yang dilahirkan mempunyai kompetensi dan kemahiran yang diperlukan oleh sektor pekerjaan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menolak dakwaan bahawa program-program yang ditawarkan oleh universiti di Malaysia tidak mengambil kira kehendak majikan, sambil menegaskan bahawa elemen itu adalah salah satu syarat wajib dalam proses akreditasi yang dilaksanakan oleh MQA.

Beliau turut memberi jaminan bahawa ibu bapa dan pelajar tidak perlu berasa bimbang terhadap kualiti pendidikan tinggi negara kerana sistem jaminan kualiti yang dilaksanakan sentiasa dipantau dan ditambah baik mengikut perkembangan semasa serta keperluan global.

Menurutnya, pelajar yang mengikuti program yang telah diakreditasi oleh MQA tidak perlu ragu-ragu terhadap pengiktirafan kelayakan yang diperoleh kerana ia diterima di pelbagai negara dan diiktiraf oleh banyak institusi pendidikan serta majikan antarabangsa.

Beliau berkata, rekod semasa menunjukkan graduan Malaysia tidak berdepan masalah untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi atau membina kerjaya di luar negara kerana kualiti pendidikan tinggi negara telah terbukti dan mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

“MQA akan terus memainkan peranan sebagai badan jaminan kualiti pendidikan tinggi negara bagi memastikan setiap program yang ditawarkan oleh IPT sentiasa memenuhi standard yang ditetapkan demi kepentingan pelajar, industri dan negara,” katanya.

Penegasan itu sekali gus mencerminkan komitmen berterusan MQA dalam memastikan sistem pendidikan tinggi Malaysia kekal berdaya saing, relevan dengan keperluan industri serta mampu melahirkan graduan berkualiti yang memenuhi tuntutan pasaran kerja global.

Eco-Shop lancar koleksi QUBY edisi terhad, harga bermula RM2.60

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR Eco-Shop terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peruncit barangan rumah ultra koleksi edisi terhad terbaharu, “QUBY Dah Tiba!”, yang menampilkan lebih daripada 45 produk eksklusif dan keperluan harian pada harga serendah RM2.60.

Koleksi istimewa yang menggabungkan elemen comel, ceria dan praktikal itu dijangka menjadi tarikan utama dalam kalangan pengguna daripada pelbagai lapisan usia, termasuk pelajar, keluarga, pengumpul serta peminat karakter unik yang ingin menambahkan sentuhan personaliti dalam kehidupan seharian.

Pelancaran koleksi itu hadir ketika semakin ramai pengguna Malaysia mengutamakan perbelanjaan bijak tanpa mengorbankan elemen gaya hidup dan ekspresi diri.

Menyedari perubahan trend pengguna yang mahukan produk mampu milik tetapi menarik, Eco-Shop menjalin kerjasama bersama karakter popular QUBY bagi menghasilkan koleksi yang bukan sahaja berfungsi untuk kegunaan harian, malah mampu menceriakan rutin harian pengguna.

Melalui kempen “QUBY Dah Tiba!”, pelanggan kini berpeluang mendapatkan pelbagai produk eksklusif yang menampilkan karakter QUBY dalam rekaan yang menarik dan berwarna-warni.

Antara produk yang ditawarkan termasuk rantai kunci, beg guna semula, bekas minuman, kotak makanan, alat tulis serta pelbagai aksesori rumah yang sesuai digunakan setiap hari.

Setiap produk direka dengan gabungan elemen praktikal dan estetika yang menjadikannya sesuai untuk pelbagai kegunaan, sama ada di sekolah, tempat kerja mahupun di rumah.

Kehadiran koleksi ini turut memberi peluang kepada pengguna untuk memiliki barangan berjenama karakter pada harga yang sangat berpatutan.

Bagi menambah keterujaan pelanggan, Eco-Shop turut merancang pelbagai aktiviti interaktif sepanjang kempen berlangsung.

Antaranya ialah peraduan “Cari QUBY” yang menawarkan peluang kepada pelanggan memenangi baucar eksklusif Eco-Shop dengan mencari karakter QUBY yang disembunyikan di platform digital syarikat itu.

Selain itu, kempen berkenaan akan turut disokong menerusi kerjasama bersama pelbagai pencipta kandungan tempatan yang bakal berkongsi pengalaman mereka dengan koleksi QUBY serta memperkenalkan aktiviti kejutan bagi memastikan keterujaan pelanggan terus berterusan sepanjang tempoh promosi.

Salah satu tarikan utama yang dijangka menjadi perhatian peminat dan pengumpul ialah pelancaran siri eksklusif QUBY Blind Box, yang menawarkan pengalaman koleksi penuh misteri dan kejutan.

Siri berkenaan menampilkan pelbagai reka bentuk serta pose rahsia karakter QUBY yang hanya boleh diketahui selepas kotak dibuka.

Lebih menarik, beberapa rekaan dalam siri Blind Box itu dihasilkan secara eksklusif dengan tema Eco-Shop, menjadikannya item koleksi istimewa yang sukar diperoleh di tempat lain.

Faktor kejutan dan elemen eksklusiviti itu dijangka menjadikan siri tersebut antara produk paling dicari oleh peminat QUBY di seluruh negara.

Koleksi edisi terhad “QUBY Dah Tiba!” kini boleh didapati di semua cawangan Eco-Shop di seluruh Malaysia untuk tempoh yang terhad.

Dengan gabungan harga mampu milik, reka bentuk yang menarik dan pelbagai aktiviti menarik sepanjang kempen berlangsung, koleksi ini dijangka menjadi antara kempen runcit paling mendapat perhatian pengguna pada tahun ini.

Pelancaran koleksi itu sekali lagi membuktikan komitmen Eco-Shop dalam menawarkan produk berkualiti pada harga rendah sambil memberikan pengalaman membeli-belah yang lebih menyeronokkan kepada rakyat Malaysia.

Jualan 6.6 TC Acoustic tawar diskaun sehingga 29 peratus untuk Sonos dan Bowers & Wilkins

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR Penggemar audio premium dan hiburan rumah kini berpeluang menikmati pengalaman bunyi yang lebih mengagumkan menerusi Jualan Tengah Tahun 6.6 anjuran TC Acoustic yang menawarkan diskaun sehingga 29 peratus bagi rangkaian produk terpilih daripada jenama terkemuka, Sonos dan Bowers & Wilkins.

Kempen promosi yang berlangsung dari 6 hingga 18 Jun 2026 itu memberi peluang kepada pengguna di Malaysia untuk menaik taraf sistem hiburan rumah, membina ekosistem audio pintar serta menikmati pengalaman pendengaran peribadi yang lebih premium pada harga yang lebih berpatutan.

Seiring dengan peningkatan permintaan terhadap teknologi audio berkualiti tinggi dalam kalangan pengguna moden, TC Acoustic tampil dengan pelbagai tawaran menarik yang direka untuk memenuhi keperluan gaya hidup masa kini.

Daripada pengalaman menonton filem secara sinematik di ruang tamu hingga menikmati muzik berkualiti tinggi di setiap sudut rumah, promosi ini menawarkan penyelesaian audio yang sesuai untuk pelbagai situasi dan keperluan.

Tumpuan utama kempen kali ini diberikan kepada ekosistem audio pintar Sonos yang terkenal dengan keupayaan audio multiroom yang lancar dan saling berhubung.

Teknologi itu membolehkan pengguna menikmati pengalaman audio yang konsisten di seluruh kediaman, sama ada untuk hiburan keluarga, sesi penstriman muzik mahupun kegunaan harian.

Antara produk utama yang ditawarkan termasuk Sonos Arc Ultra, soundbar premium yang direka untuk menghasilkan pengalaman audio sinematik yang lebih mendalam, serta Sonos Sub 4 yang melengkapkan sistem hiburan rumah dengan prestasi bass yang lebih bertenaga.

Bagi pengguna yang ingin menikmati muzik berkualiti tinggi di pelbagai ruang kediaman, Sonos Era 100 dan Sonos Era 300 menawarkan pengalaman audio yang lebih seimbang dan menyeluruh.

Selain itu, pengguna yang mengutamakan mobiliti turut boleh mendapatkan Sonos Move 2 dan Sonos Roam 2 yang direka untuk memberikan fleksibiliti audio berkualiti tinggi sama ada di dalam mahupun di luar rumah.

Melalui promosi berkenaan, Sonos Ace menerima potongan harga paling tinggi dengan diskaun sebanyak 29 peratus, diikuti Sonos Sub Mini, Sonos Sub 4, Sonos Roam 2 dan Sonos Move 2 yang masing-masing ditawarkan dengan diskaun sehingga 25 peratus.

Produk lain seperti Sonos Arc Ultra, Sonos Beam (Gen 2), Sonos Era 100 serta Sonos Era 300 turut ditawarkan pada harga promosi yang menarik sepanjang tempoh kempen berlangsung.

Dalam masa sama, jenama audio premium British, Bowers & Wilkins, turut menawarkan promosi eksklusif untuk beberapa produk audio peribadi terbaiknya.

Dikenali dengan reputasi global dalam menghasilkan peralatan audio berprestasi tinggi, jenama itu terus memberi penekanan terhadap kualiti bunyi, keselesaan penggunaan serta reka bentuk elegan yang memenuhi citarasa pengguna moden.

Antara produk yang diketengahkan ialah fon kepala tanpa wayar Bowers & Wilkins Px7 S3 dan fon telinga premium Bowers & Wilkins Pi8 yang menawarkan pengalaman audio hi-fi bertaraf premium.

Kedua-dua produk itu direka khusus untuk pengguna yang menghargai setiap perincian bunyi, kejelasan audio dan pengalaman pendengaran yang lebih mendalam dalam penggunaan harian.

Turut diperkenalkan ialah pilihan warna baharu yang lebih bergaya dan moden termasuk Midnight Blue serta Pearl Blue untuk Px8 S2, Vintage Maroon bagi Px7 S3 dan Pale Mauve untuk Pi8.

Penawaran warna terkini ini memberikan nilai tambah kepada pengguna yang mengutamakan elemen fesyen selain prestasi audio.

Dilengkapi teknologi pembatalan hingar terkini, talaan audio yang imersif serta mutu pertukangan premium yang menjadi identiti Bowers & Wilkins, koleksi terbabit terus mencerminkan kepakaran kejuruteraan audio British yang telah diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Sepanjang tempoh promosi, Bowers & Wilkins Px7 S3 dan Pi8 ditawarkan dengan diskaun sebanyak 17 peratus, manakala Pi6 menerima potongan harga sehingga 21 peratus.

Model premium Px8 S2 pula boleh dimiliki dengan diskaun sebanyak 12 peratus.

Jualan Tengah Tahun 6.6 TC Acoustic dilihat sebagai antara peluang terbaik bagi pengguna yang ingin membina sistem audio multiroom yang lebih pintar, meningkatkan pengalaman hiburan di rumah atau mendapatkan peranti audio peribadi premium pada harga istimewa.

Dengan gabungan teknologi audio terkini, reka bentuk premium dan tawaran diskaun yang menarik, kempen ini dijangka menjadi tumpuan peminat audio serta pengguna yang ingin membawa pengalaman bunyi yang lebih luar biasa ke dalam kehidupan harian mereka.

Motherhood Choice Awards 2026 iktiraf jenama, pakar dan supermom terbaik Malaysia

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR Motherhood Choice Awards 2026 sekali lagi membuktikan peranannya sebagai platform penghargaan berprestij dalam industri keibubapaan apabila meraikan jenama, pakar kesihatan dan figura komuniti yang telah memberikan sumbangan signifikan kepada kesejahteraan keluarga di Malaysia.

Memasuki tahun kelapan penganjurannya, anugerah tahunan yang dianjurkan oleh Motherhood itu terus menjadi penanda aras dalam mengiktiraf kecemerlangan produk, perkhidmatan dan individu yang memainkan peranan penting dalam membantu ibu bapa membuat keputusan terbaik sepanjang perjalanan keibubapaan mereka.

Majlis berprestij itu menghimpunkan pemain industri, pakar kesihatan, rakan strategik, pencipta kandungan serta komuniti keibubapaan dalam satu malam penuh bermakna yang meraikan kecemerlangan dalam penjagaan keluarga dan perkembangan kanak-kanak.

Ketua Pegawai Eksekutif Nuren Group, Petrina Goh berkata, dunia keibubapaan masa kini menawarkan pelbagai pilihan dan sumber maklumat kepada ibu bapa, namun dalam masa sama turut menimbulkan cabaran untuk membuat keputusan yang tepat.

Menurut beliau, Motherhood Choice Awards diwujudkan bagi mengetengahkan jenama, pakar dan figura komuniti yang benar-benar membantu ibu bapa membuat pilihan dengan lebih yakin dan berinformasi.

“Keibubapaan hari ini hadir dengan lebih banyak pilihan, lebih banyak maklumat dan kadangkala lebih banyak ketidakpastian.

“Melalui Motherhood Choice Awards, kami ingin mengetengahkan jenama, pakar dan figura komuniti yang membantu ibu bapa membuat pilihan dengan lebih yakin dan jelas.

“Setelah lapan tahun berlangsung, platform ini terus menjadi satu bentuk pengiktirafan yang bermakna terhadap kualiti, relevansi dan impak dalam industri keibubapaan,” katanya.

Pada edisi kali ini, pelbagai jenama terkemuka menerima pengiktirafan dalam kategori utama yang merangkumi keperluan keluarga moden, bermula daripada fasa kehamilan sehingga penjagaan harian anak-anak.

Bagi kategori Susu dan Lampin, anugerah diberikan kepada beberapa jenama yang memainkan peranan penting dalam menyokong tumbesaran serta keselesaan harian kanak-kanak. Antara penerima pengiktirafan termasuk HiPP Junior, Bubs, Enfagrow A+ MindPro dan Juniors.

Sementara itu, kategori Penjagaan Bayi dan Kanak-Kanak memberi penghargaan kepada jenama yang membantu memenuhi keperluan harian si kecil, merangkumi penjagaan kulit, kebersihan, kesihatan oral dan kelengkapan pendidikan awal.

Antara pemenang ialah Fiffy, Nappikleen, Little Étoile, ZP Multivitamin Kids Toothgel dan Tiger Family Malaysia.

Kategori Penjagaan Materniti dan Penyusuan Susu Ibu pula menampilkan jenama serta penyedia perkhidmatan yang menyokong kesejahteraan ibu selepas bersalin dan sepanjang tempoh penyusuan.

Antara penerima anugerah termasuk Shapee, Bio-Oil, Joyful Confinement Centre, Zinnia Fields Post Natal Retreat, Momcozy dan Babyshop.

Dalam kategori Vitamin dan Suplemen, beberapa jenama terkenal menerima pengiktirafan atas komitmen mereka dalam menyokong kesihatan wanita, ibu hamil, kanak-kanak serta kesejahteraan keluarga secara menyeluruh.

Pemenang terdiri daripada Pentavite, Blackmores, VitaHealth, Herbs of Gold dan Scott’s.

Kategori Kesejahteraan Keluarga pula mengiktiraf jenama dan organisasi yang menyediakan penyelesaian berkaitan perlindungan kesihatan, pemakanan dan gaya hidup sihat untuk keluarga masa kini. Antara penerima anugerah ialah CryoCord, Manulife, Kotex, Vitagen, Bega dan Farmers Union.

Selain menghargai jenama, Motherhood Choice Awards 2026 turut memberi pengiktirafan kepada golongan profesional yang aktif menyumbang kepada pendidikan dan kesedaran keibubapaan menerusi Experts Awards 2026.

Antara penerima anugerah dalam kategori berkenaan ialah Dr Priyanka Mahendru, Ms Jacqueline Chan, Dr Rakhee Yadav, Prof Dr Aida Hani, Elpeni Ramli, Dr Loh Sweet Yi Esther, Dr Nisa Khalil, Dr Arifah Binti Mohd Amin Hamim dan Puan Nad Masrom.

Dalam masa sama, Supermom Awards 2026 mengiktiraf individu yang berjaya memberi inspirasi kepada komuniti ibu menerusi perkongsian pengalaman, kandungan bermanfaat dan pengaruh positif dalam dunia keibubapaan.

Penerima anugerah bagi kategori itu ialah Mama Sue, Joey Ting, Bobo Tiffany, Adreanna Joyce, Mirza, Jari Marrisa, Mommy Mika dan Dr Fatin Radzuan.

Acara turut diserikan dengan persembahan secara langsung daripada Aspire Music Academy yang bukan sahaja mempamerkan bakat muda, malah menerima pengiktirafan sebagai Best Enrichment Centre atas sumbangan mereka dalam pembangunan pendidikan dan kreativiti kanak-kanak.

Majlis berakhir dengan sesi fotografi berkumpulan serta aktiviti jaringan profesional yang menghimpunkan pemenang, pakar, wakil jenama dan tetamu jemputan.

Suasana penuh kemeriahan itu mencerminkan komitmen berterusan Motherhood dalam memperkukuh ekosistem keibubapaan dan penjagaan keluarga di Malaysia.

Sejak diperkenalkan lapan tahun lalu, Motherhood Choice Awards telah berkembang menjadi salah satu platform pengiktirafan paling berpengaruh dalam industri keibubapaan negara, sekali gus membantu ibu bapa mengenal pasti produk, perkhidmatan dan pakar yang dipercayai dalam membuat pilihan terbaik untuk keluarga mereka.

Motherhood.com.my adalah platform keibubapaan terbesar di Malaysia yang menyediakan pelbagai sumber berkaitan kesuburan, kehamilan dan keibubapaan dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

Platform itu turut beroperasi sebagai hab media dan e-dagang yang menghubungkan pengguna dengan jenama melalui kandungan, teknologi dan penyelesaian digital.

Diasaskan pada tahun 2013 oleh Petrina Goh, Nuren Group kini menjadi antara syarikat platform digital terkemuka di Asia Tenggara yang memfokuskan kepada wanita, keibubapaan dan kesejahteraan keluarga, dengan capaian melebihi lima juta wanita dan keluarga di rantau ini.

UMNO Ampang terus dekati rakyat, bukan hanya muncul ketika pilihan raya

editormaxinfo@gmail.com

AMPANG Politik bukan sekadar tentang berkempen ketika musim pilihan raya, sebaliknya ia adalah mengenai kehadiran, khidmat dan kesetiaan kepada rakyat dalam apa jua keadaan.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ampang, Datuk Hasry Sham Chasmen berkata, Pemuda UMNO Ampang sentiasa komited berkhidmat kepada masyarakat tanpa mengira waktu.

Menurut beliau, sepanjang tempoh kebelakangan ini, Pemuda UMNO Ampang tidak pernah berhenti melaksanakan pelbagai program dan aktiviti kemasyarakatan demi memastikan kebajikan rakyat terus terbela serta hubungan antara parti dan masyarakat sentiasa kukuh.

Katanya, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan di seluruh cawangan termasuk program kebajikan, pendidikan, bantuan komuniti, pembangunan belia dan keusahawanan serta usaha memperkukuh keanggotaan dalam kalangan anak muda.

Semua usaha itu adalah sebahagian daripada komitmen berterusan Pemuda UMNO Ampang untuk mendekati rakyat dan memahami keperluan mereka secara langsung.

“Politik bukan sekadar bercakap ketika pilihan raya. Politik adalah tentang kehadiran. Politik adalah tentang khidmat. Politik adalah tentang siapa yang bersama rakyat ketika susah dan senang,” katanya.

Beliau berkata, Pemuda UMNO Ampang tidak mahu dilihat sebagai kelompok pemimpin yang hanya muncul apabila tiba musim pilihan raya, sebaliknya mahu rakyat menilai sendiri bahawa pergerakan itu sentiasa berada di lapangan bersama masyarakat dalam menyelesaikan pelbagai isu yang dihadapi.

Dalam pada itu, Hasry Sham yang juga Pengarah Penyelidikan Pemuda UMNO Malaysia berkata, jentera Pemuda UMNO Ampang kini berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan termasuk persiapan menjelang pilihan raya akan datang.

Menurut beliau, pelbagai latihan dan persediaan telah dilaksanakan membabitkan ketua-ketua Pemuda di peringkat Pusat Daerah Mengundi (PDM) selain pengukuhan jentera akar umbi bagi memastikan kesiapsiagaan organisasi berada pada tahap terbaik.

“Kita telah melatih ketua-ketua Pemuda PDM dan menggerakkan jentera akar umbi. Kita mahu memastikan Ampang kembali dominan, Barisan Nasional kembali kuat dan rakyat kembali yakin bahawa UMNO adalah parti yang mampu membawa kestabilan serta masa depan yang lebih baik,” katanya.

Tambah beliau, keyakinan rakyat terhadap UMNO perlu terus diperkukuhkan melalui pendekatan yang lebih dekat dengan masyarakat serta penyampaian dasar yang mampu memenuhi aspirasi semasa, khususnya dalam kalangan generasi muda.

Sehubungan itu, beberapa perancangan strategik dan dasar baharu sedang dirangka bagi memperkukuh kekuatan parti di kawasan Ampang.

Usaha itu bukan sahaja bertujuan mempertahankan sokongan sedia ada, malah memberi tumpuan kepada peningkatan pengaruh dalam kalangan pengundi muda yang dilihat semakin penting dalam landskap politik negara.

Katanya, Pemuda UMNO Ampang akan terus memainkan peranan aktif dalam memperluaskan sokongan kepada Barisan Nasional serta memastikan parti berada pada kedudukan terbaik sekiranya diberi mandat untuk bertanding di tiga kerusi dalam kawasan Ampang pada pilihan raya akan datang.

Dengan pelbagai gerak kerja yang telah dan sedang dilaksanakan, Pemuda UMNO Ampang optimis usaha berterusan di peringkat akar umbi mampu mengembalikan keyakinan rakyat terhadap UMNO sebagai parti yang memperjuangkan kestabilan, pembangunan dan masa depan negara.