26.9 C
Kuala Lumpur
Wednesday, June 10, 2026
Home Blog Page 2

Konsert Jay Chou Malaysia 2027: TMGM umum penajaan utama, jualan tiket bermula 3 Jun

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR TMGM sekali lagi mengukuhkan komitmennya dalam menyokong industri hiburan dan acara berskala besar di rantau Asia Tenggara apabila mengumumkan kembalinya syarikat itu sebagai penaja utama bagi konsert mega penyanyi dan komposer terkenal dunia, Jay Chou, yang bakal berlangsung di Malaysia pada tahun 2027.

Konsert yang dinanti-nantikan oleh peminat muzik Mandopop itu dijadualkan berlangsung pada 23 Januari 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil, menampilkan jelajah terbaharu “Carnival II World Tour” yang bakal membawa pengalaman persembahan lebih segar dan unik kepada peminat tempatan.

Kerjasama ini menandakan kali keempat TMGM terbabit sebagai penaja bagi siri konsert Jay Chou di rantau ini, merangkumi tiga penajaan di Malaysia serta satu lagi di Bangkok.

Penyertaan berterusan itu mencerminkan komitmen TMGM dalam memperkukuhkan kehadirannya di pasaran Asia Tenggara melalui sokongan terhadap acara hiburan bertaraf antarabangsa yang mempunyai hubungan rapat dengan komuniti dan audiens tempatan.

Bersempena ulang tahun ke-25 perjalanan seni Jay Chou sejak kemunculan sulungnya dalam industri muzik, penyanyi yang dikenali sebagai Raja Mandopop itu bakal meneruskan legasi muziknya menerusi “Carnival II World Tour”, yang dibangunkan berdasarkan kejayaan besar siri jelajah “Carnival” sebelum ini.

Jelajah baharu itu dijangka menawarkan pengalaman lebih eksklusif kepada peminat menerusi konsep kreatif yang diperbaharui serta elemen persembahan yang lebih inovatif.

Menariknya, “Carnival II World Tour” turut memperkenalkan konsep “One City, One Theme” atau “Satu Bandar, Satu Tema”, yang memberikan identiti dan tema tersendiri kepada setiap lokasi konsert.

Pendekatan ini bukan sahaja menjadikan setiap persembahan lebih istimewa, malah menawarkan pengalaman berbeza kepada peminat di setiap bandar yang dikunjungi sepanjang jelajah dunia tersebut.

Menurut TMGM, Jay Chou terus menjadi ikon muzik yang berjaya menyatukan peminat daripada pelbagai generasi dan latar belakang di seluruh dunia.

Popularitinya yang kekal relevan selama lebih dua dekad menjadikan setiap siri konsertnya sentiasa mendapat sambutan luar biasa, termasuk di Malaysia yang mempunyai komuniti peminat Mandopop yang besar dan setia.

“Jay Chou, yang diiktiraf secara meluas sebagai Raja Mandopop, terus menyatukan peminat merentas generasi dan audiens di seluruh dunia.

“Kami berbangga kerana sekali lagi dapat dikaitkan dengan acara konsert utama ini dan membawakan satu lagi pengalaman konsert yang tidak dapat dilupakan kepada peminat di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam usaha meningkatkan lagi pembabitan peminat menjelang konsert berkenaan, TMGM turut memaklumkan bahawa pelbagai aktiviti khas serta kempen berkaitan tiket akan diumumkan dari semasa ke semasa.

Inisiatif itu dijangka merangkumi hadiah eksklusif, program penghargaan kepada peminat serta pelbagai aktiviti komuniti yang direka bagi memeriahkan lagi pengalaman menjelang acara berprestij itu.

Sementara itu, jualan tiket bagi konsert Jay Chou “Carnival II World Tour” di Malaysia akan bermula pada 3 Jun 2026.

Prajualan eksklusif untuk pemegang kad UOB dijadualkan bermula pada jam 10 pagi sebelum jualan umum dibuka kepada orang ramai pada jam 3 petang pada hari yang sama.

Dengan pengumuman rasmi ini, konsert Jay Chou di Malaysia dijangka menjadi antara acara hiburan paling dinantikan pada tahun 2027, sekali gus mengukuhkan kedudukan negara sebagai destinasi utama bagi penganjuran konsert antarabangsa berskala besar di rantau Asia Tenggara.

40 usahawan muda bakal nikmati pusat perniagaan baharu di Ampang

editormaxinfo@gmail.com

AMPANG – Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Ampang merancang membangunkan sebuah pusat perniagaan khas bernilai RM500,000 bagi membantu golongan usahawan muda menjalankan perniagaan dan menjana pendapatan tanpa mengira latar belakang politik.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ampang, Datuk Hasry Sham Chasmen berkata, inisiatif itu diwujudkan sebagai usaha memperkasakan ekonomi anak muda yang kini berdepan pelbagai cabaran termasuk peningkatan kos sara hidup, peluang pekerjaan yang semakin kompetitif serta ketidaktentuan ekonomi semasa.

Menurut beliau, fokus utama Pemuda UMNO Ampang ketika ini bukan hanya tertumpu kepada agenda politik semata-mata, sebaliknya memberi penekanan kepada usaha meningkatkan taraf ekonomi dan kesejahteraan generasi muda di kawasan berkenaan.

“Cabaran anak muda hari ini bukan soal politik semata-mata, tetapi soal kos sara hidup, peluang pekerjaan dan masa depan ekonomi.

“Sebab itu kita telah mengadakan beberapa siri mesyuarat dan perbincangan khusus berkaitan pembangunan ekonomi anak muda,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjelaskan perkembangan projek pembinaan Pusat Perniagaan Pemuda UMNO Ampang yang kini memasuki fasa kedua pelaksanaannya.

Menurut Hasry, pelbagai persiapan awal telah dilaksanakan termasuk pelantikan juru ukur, konsultan dan arkitek bagi menyediakan pelan pembangunan projek terbabit.

Selain itu, beberapa dokumen dan cadangan berkaitan juga telah disiapkan bagi memastikan projek dapat dilaksanakan mengikut perancangan.

Katanya, pihak Pemuda UMNO Ampang kini hanya menunggu beberapa kelulusan penting daripada pihak berkaitan termasuk Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) serta Pejabat Tanah dan Galian Selangor sebelum kerja-kerja pembinaan dapat dimulakan.

Dalam masa sama, beliau memaklumkan perbincangan bersama Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) turut berlangsung dengan baik dan pihak berkuasa tempatan itu menyatakan kesediaan untuk membantu menjayakan inisiatif berkenaan.

“Pihak Majlis Perbandaran Ampang Jaya bersetuju membantu usaha Pemuda UMNO Ampang untuk menjadi pemangkin ekonomi kepada golongan muda di kawasan ini,” katanya.

Beliau berkata, pusat perniagaan yang dicadangkan itu akan dibangunkan di atas tanah milik syarikat Sukahiri yang terletak bersebelahan Bangunan UMNO Ampang.

Projek berkenaan dijangka menempatkan kira-kira 40 lot perniagaan pada fasa awal dan bakal memberi peluang kepada usahawan muda memulakan atau mengembangkan perniagaan mereka.

Menurutnya, beberapa syarikat turut menunjukkan minat untuk bekerjasama dan menyokong pembangunan pusat perniagaan berkenaan sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuhkan ekosistem keusahawanan anak muda di Ampang.

Hasry berkata, sekiranya semua urusan berjalan lancar, pembinaan projek itu dijangka bermula selewat-lewatnya pada awal tahun hadapan.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan kerja-kerja awal dapat dimulakan lebih awal sekiranya segala kelulusan diperoleh dalam masa terdekat.

Tambah beliau, konsep pembangunan yang dirancang akan mengambil inspirasi daripada beberapa pusat perniagaan komuniti yang berjaya dilaksanakan di kawasan lain, dengan matlamat mewujudkan hab ekonomi baharu yang mampu menarik lebih ramai usahawan muda.

Dalam pada itu, Hasry berkata, peluang untuk menyertai pusat perniagaan berkenaan terbuka kepada semua anak muda Melayu dan Islam yang berminat dalam bidang keusahawanan tanpa mengira pegangan atau kecenderungan politik masing-masing.

“Apa yang penting adalah semangat untuk berniaga, membina ekonomi dan membantu sesama umat. Kita tidak melihat kepada latar belakang politik.

“Selagi mereka anak Melayu, beragama Islam dan mempunyai keinginan untuk berjaya dalam bidang perniagaan, mereka dialu-alukan untuk bersama Pemuda UMNO Ampang,” katanya.

Beliau berharap projek berkenaan dapat menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi anak muda di Ampang, selain membantu melahirkan lebih ramai usahawan berjaya yang mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi setempat pada masa hadapan.

TVET jadi pilihan utama lepasan SPM, tawar peluang kerjaya lebih cerah

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kini semakin menjadi pilihan utama dalam kalangan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), sekali gus menepis tanggapan lama bahawa laluan itu hanya sesuai dijadikan pilihan kedua selepas pendidikan universiti.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Datuk Mohd Asna Amin berkata, perubahan landskap pekerjaan serta peningkatan permintaan terhadap tenaga kerja berkemahiran tinggi menjadikan TVET sebagai antara laluan pendidikan yang paling relevan dan berpotensi untuk masa depan.

Menurut beliau, setiap pelajar mempunyai minat, bakat dan kecenderungan yang berbeza, justeru kejayaan seseorang tidak seharusnya dinilai berdasarkan pencapaian akademik semata-mata atau kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam.

Katanya, persaingan yang semakin sengit untuk memasuki universiti awam, peningkatan kos pengajian serta keperluan industri yang semakin menjurus kepada kemahiran praktikal menyebabkan semakin ramai lepasan SPM memilih TVET sebagai laluan kerjaya yang lebih realistik dan berdaya saing.

“TVET menawarkan laluan yang lebih praktikal, realistik dan mempunyai kadar kebolehpasaran graduan yang tinggi kepada lepasan SPM,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, sistem TVET dibangunkan khusus untuk melahirkan tenaga kerja mahir menerusi pembelajaran berasaskan latihan praktikal, pendedahan kepada persekitaran industri sebenar serta pengalaman kerja yang membolehkan graduan bersedia memasuki pasaran pekerjaan sebaik sahaja tamat pengajian.

Menurut Mohd Asna, sistem TVET negara turut menyediakan laluan pendidikan yang tersusun sehingga Tahap 5 menerusi Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) dan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM), sekali gus memberi peluang kepada pelajar untuk meningkatkan kelayakan dan kemahiran secara berperingkat.

Beliau berkata, graduan TVET kini semakin mendapat perhatian majikan kerana memiliki kemahiran khusus yang diperlukan oleh industri serta mampu melaksanakan tugas dengan lebih cepat tanpa memerlukan tempoh latihan tambahan yang panjang.

“Ramai majikan mencari pekerja yang mempunyai kemahiran teknikal dan pengalaman praktikal, bukan sekadar kelayakan akademik.

“Keadaan ini memberi kelebihan kepada graduan TVET untuk memperoleh pekerjaan dalam tempoh yang lebih cepat,” katanya.

Tambah beliau, perkembangan teknologi dan transformasi digital turut membuka peluang kerjaya baharu yang memerlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi, sekali gus meningkatkan nilai graduan TVET dalam pasaran pekerjaan.

Antara bidang yang kini mencatat permintaan tinggi termasuk Teknologi Kejuruteraan Penyelenggaraan Pesawat, Teknologi Kejuruteraan Penyelenggaraan Helikopter, Teknologi Kejuruteraan Penyelenggaraan Avionik, Kecerdasan Buatan (AI), Kenderaan Elektrik (EV) dan Keselamatan Siber.

Mohd Asna berkata, bidang-bidang terbabit menawarkan prospek kerjaya yang luas serta pendapatan yang kompetitif, sejajar dengan keperluan industri yang semakin berkembang dan memerlukan tenaga kerja mahir dalam pelbagai sektor strategik negara.

Beliau berharap lebih ramai lepasan SPM dan ibu bapa membuka minda terhadap potensi TVET sebagai laluan pendidikan yang mampu menjamin masa depan, selain memainkan peranan penting dalam menyokong agenda pembangunan ekonomi serta keperluan tenaga kerja berkemahiran tinggi negara.

Pulau Ulva ‘tutup’ setiap Ahad akibat lambakan pelancong

editormaxinfo@gmail.com

EDINBURGH – Sebuah pulau kecil di luar pesisir barat Scotland mengambil langkah luar biasa dengan ‘menutup’ operasinya setiap Ahad susulan peningkatan mendadak jumlah pelancong selepas mendapat perhatian menerusi sebuah program televisyen popular.

Pulau Ulva, yang hanya dihuni 16 penduduk, kini berdepan lonjakan kehadiran pelawat yang jauh melebihi jangkaan komuniti setempat.

Situasi itu berlaku selepas pulau berkenaan menjadi lokasi utama program televisyen Banjo & Ro’s Grand Island Hotel yang disiarkan oleh BBC Scotland awal tahun ini.

Program berkenaan menampilkan pereka dalaman terkenal, Banjo Beale bersama suaminya, Ro Christopher, dalam usaha mereka membangunkan semula Ulva House, sebuah rumah agam lama yang dirancang untuk dijadikan hotel butik.

Pendedahan meluas menerusi rancangan itu secara tidak langsung menjadikan Pulau Ulva sebagai destinasi pelancongan baharu yang menarik perhatian ramai.

Sejak program berkenaan disiarkan, jumlah pengunjung ke pulau terbabit meningkat secara ketara sehingga mengejutkan penduduk tempatan.

Permintaan yang semakin tinggi turut memberi tekanan kepada kemudahan dan perkhidmatan sedia ada, termasuk operasi feri yang menjadi satu-satunya penghubung utama ke pulau itu.

Berikutan situasi itu, syarikat pengendali Ulva Ferry mengumumkan bahawa perkhidmatan feri ke pulau berkenaan akan dihentikan setiap Ahad.

Keputusan itu secara efektif menjadikan Pulau Ulva tidak menerima kemasukan pelancong pada hari berkenaan.

Penduduk pulau, Andy Primrose, berkata peningkatan jumlah pelawat sebenarnya membawa manfaat kepada ekonomi tempatan dan membantu merancakkan aktiviti perniagaan di kawasan itu.

Namun, beliau mengakui komuniti kecil berkenaan turut memerlukan masa untuk berehat daripada kesibukan yang tercetus akibat kehadiran pelancong yang berterusan.

Pulau Ulva antara pulau berpenghuni paling kecil di Kepulauan Hebrides. Pada suatu ketika dahulu, pulau itu pernah mempunyai kira-kira 800 penduduk, namun jumlah itu merosot secara drastik sehingga hanya tinggal 16 orang pada masa ini, termasuk Banjo Beale dan suaminya yang berasal dari Australia.

Menurut penduduk setempat, keputusan menghentikan operasi feri pada setiap Ahad dibuat bagi memberi ruang kepada pekerja dan komuniti pulau menikmati hari rehat tanpa gangguan pelawat.

Langkah itu juga dilihat sebagai usaha mengekalkan keseimbangan antara pembangunan pelancongan dan kesejahteraan penduduk yang tinggal di pulau berkenaan.

Fenomena yang berlaku di Pulau Ulva sekali lagi menunjukkan bagaimana pendedahan menerusi program televisyen mampu mengubah landskap pelancongan sesebuah destinasi dalam tempoh singkat, sekali gus membawa manfaat ekonomi tetapi turut mencetuskan cabaran baharu kepada komuniti tempatan.

MCMC wajibkan pengesahan umur pengguna media sosial

editormaxinfo@gmail.com

CYBERJAYA Semua penyedia perkhidmatan media sosial berlesen di Malaysia kini diwajibkan mematuhi sepenuhnya keperluan pengesahan umur pengguna selaras dengan pelaksanaan Kod Perlindungan Kanak-Kanak (Child Protection Code – CPC) dan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Online Safety Act – ONSA) yang berkuat kuasa mulai hari ini.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam satu kenyataan berkata, pihaknya memandang serius sebarang bentuk ketidakpatuhan terhadap obligasi statutori yang ditetapkan dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan kawal selia serta penguatkuasaan yang sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

Menurut MCMC, selaras dengan tanggungjawab berkanun di bawah ONSA, semua pemberi perkhidmatan media sosial berlesen dikehendaki melaksanakan langkah perlindungan pengguna yang lebih menyeluruh, termasuk memperkenalkan mekanisme pengesahan umur yang berkesan berdasarkan had umur minimum 16 tahun.

“Pengesahan umur terbabit perlu dilakukan menggunakan rekod rasmi yang dikeluarkan oleh Kerajaan Malaysia atau dokumen setara yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa kompeten luar negara yang diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia.

“Langkah ini bertujuan memastikan hanya pengguna yang memenuhi syarat umur dibenarkan mengakses platform media sosial serta ciri-ciri perkhidmatan yang bersesuaian dengan peringkat umur mereka,” katanya.

MCMC berkata, mulai 1 Jun 2026, penyedia perkhidmatan media sosial berlesen perlu memastikan hanya individu berumur 16 tahun dan ke atas dibenarkan mendaftar akaun baharu serta menggunakan mana-mana fungsi perkhidmatan yang ditawarkan mengikut kesesuaian umur pengguna.

“Bagi pengguna sedia ada pula, proses pengesahan umur akan dilaksanakan secara berperingkat oleh penyedia platform media sosial dalam tempoh sehingga enam bulan.

“Dalam tempoh pelaksanaan terbabit, pengguna yang dikenal pasti berumur di bawah 16 tahun akan diberikan masa selama sebulan untuk memuat turun, menyimpan atau memindahkan data peribadi mereka sebelum sebarang tindakan sekatan, penggantungan akaun atau langkah lain dilaksanakan oleh penyedia perkhidmatan berkenaan.

“Data yang boleh dipindahkan termasuk kandungan digital seperti gambar, video dan bahan lain yang dimuat naik oleh pengguna sepanjang tempoh penggunaan platform terbabit.

“Keperluan pengesahan umur ini membabitkan semua perkhidmatan media sosial berlesen yang beroperasi di Malaysia, termasuk platform popular seperti Facebook, Instagram, TikTok dan YouTube,” kata kenyataan itu lagi.

Menurut MCMC, langkah berkenaan diambil susulan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap isu keselamatan dalam talian, pendedahan kepada kandungan berbahaya serta kesan penggunaan media sosial terhadap perkembangan dan kesejahteraan kanak-kanak.

Dalam masa yang sama, pelaksanaan Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (Risk Mitigation Code – RMC) di bawah ONSA dilihat sebagai antara inisiatif penting kerajaan dalam memperkukuh keselamatan digital negara, khususnya bagi golongan kanak-kanak dan remaja.

MCMC berkata, CPC memberi penekanan kepada pendekatan safety by design atau keselamatan dalam reka bentuk dengan mewajibkan penyedia platform media sosial mengintegrasikan ciri-ciri perlindungan kanak-kanak secara langsung dalam pembangunan dan operasi perkhidmatan mereka.

Selain memperkukuh perlindungan terhadap pengguna muda, kod tersebut turut memastikan tahap keselamatan yang lebih bersesuaian dengan umur bagi kanak-kanak yang menggunakan platform digital di negara ini.

Sementara itu, RMC pula melengkapkan usaha berkenaan melalui pelaksanaan penilaian risiko yang lebih komprehensif, penyederhanaan kandungan yang berkesan, pengukuhan kawalan keselamatan pengguna serta peningkatan tahap akauntabiliti dalam kalangan penyedia platform digital.

MCMC menegaskan komitmennya untuk terus bekerjasama rapat dengan semua pihak berkepentingan termasuk pemain industri, organisasi berkaitan dan masyarakat bagi memastikan ekosistem digital negara kekal selamat, bertanggungjawab dan kondusif untuk semua pengguna.

Langkah penguatkuasaan baharu ini dilihat sebagai satu titik perubahan penting dalam landskap keselamatan siber dan media sosial negara, sekali gus memperkukuh usaha Malaysia dalam melindungi kanak-kanak daripada risiko serta ancaman yang semakin kompleks dalam dunia digital.

Filem Kata Hati bawa genre romantik komedi moden ke pawagam

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Industri perfileman tempatan bakal menerima sebuah lagi naskhah romantik komedi menarik menerusi filem Kata Hati, karya terbaharu yang mengetengahkan kisah cinta moden dengan sentuhan emosi, humor dan realiti kehidupan selebriti masa kini.

Filem terbitan Wayangworks Sdn. Bhd. dan Filmscape Sdn. Bhd. itu dilihat membawa pendekatan berbeza apabila menggabungkan elemen percintaan ringan bersama sisi manusiawi dunia glamor yang jarang diketengahkan secara mendalam dalam filem tempatan.

Diarahkan oleh Nadiah Hamzah, Kata Hati bukan sekadar memaparkan kisah cinta biasa, sebaliknya membawa penonton menyelami kehidupan seorang selebriti wanita popular yang terperangkap antara tekanan dunia hiburan, populariti dan pencarian kebahagiaan sebenar.

Mengangkat tema cinta moden yang dekat dengan realiti masyarakat hari ini, filem berkenaan mengisahkan hubungan luar biasa antara seorang pelakon terkenal dan pemandu e-hailing yang hadir dalam hidupnya ketika berada di titik paling sukar.

Penerbitnya, Muhammad Bahir berkata, idea menghasilkan Kata Hati tercetus hasil pengalamannya sepanjang berada dalam industri hiburan dan berpeluang mengenali ramai selebriti tanah air.

Menurut beliau, terdapat perbezaan besar antara imej yang dipaparkan selebriti di hadapan kamera dengan kehidupan sebenar mereka di sebalik dunia glamor.

“Kami mahu menghasilkan sebuah kisah yang memperlihatkan sisi sebenar kehidupan seorang selebriti dan dalam masa sama disulami dengan jalan cerita yang mampu menghiburkan penonton,” katanya.

Filem itu menampilkan gabungan pelakon muda yang semakin meningkat naik seperti Nia Atasha, Yusof Hashim dan Fazziq Muqris sebagai teraju utama, selain diperkuatkan dengan kehadiran Scha Alyahya, Taqim Zaki dan Norreen Iman.

Turut mencuri perhatian ialah penampilan cameo beberapa pelakon terkenal tanah air termasuk Beto Kusyairy, Nabila Huda, Liyana Jasmay, Nina Kho dan Shweta Sekhon yang memberikan warna tersendiri kepada keseluruhan penceritaan.

Sementara itu, penerbit eksekutifnya, Juliana Foo berkata, penerbitan filem romantik komedi seperti Kata Hati dilihat tepat pada masanya memandangkan penonton kini terlalu banyak disajikan dengan filem aksi dan seram.

Menurut beliau, masih ramai penonton yang merindui karya cinta ringan yang mampu memberikan hiburan santai namun sarat dengan emosi.

“Kata Hati hadir sebagai sebuah filem ‘modern fairy tale’ dengan elemen ‘high-stakes romance’ yang menawarkan pengalaman indah dan tersendiri buat penonton di pawagam nanti,” katanya.

Dalam pada itu, Nadiah Hamzah berkata, filem berkenaan menjanjikan pelbagai emosi menerusi gabungan humor, drama dan momen romantik yang disusun dalam penceritaan moden serta dekat dengan penonton.

Beliau berkata, selepas menghasilkan filem berintensiti berat seperti Motif, beliau mahu tampil dengan sebuah karya cinta ringan yang mampu membuat penonton ketawa dan menangis dalam masa sama.

“Berkenaan pemilihan pelakon pula, Nia, Yusof dan Fazziq dipilih menerusi sesi uji bakat dan walaupun mereka masih baharu dalam dunia layar perak, kesungguhan serta komitmen mereka memang sangat mengagumkan,” katanya.

Menurut Nadiah lagi, beliau berharap penonton dapat merasai sendiri kejujuran dan keindahan kisah cinta yang cuba disampaikan menerusi filem berkenaan.

“Apa yang boleh saya katakan, filem ini bakal menyentuh emosi penonton melalui tangisan dan gelak ketawa, selain mengingatkan kita semua tentang kemanisan bercinta,” katanya.

Dari sudut penceritaan, Kata Hati mengisahkan Ayra Natasha lakonan Nia Atasha, seorang pelakon wanita yang sedang meningkat popular selepas membintangi sebuah filem aksi bersama teman lelakinya yang juga pelakon terkenal, Zayn Mikhail lakonan Fazziq Muqris.

Namun, kehidupannya mula berubah selepas terbabit dalam satu insiden memalukan yang tular ketika malam pencalonan sebuah anugerah berprestij.

Dalam keadaan emosinya yang semakin tertekan, Ayra bertemu dengan Imran Firdaus lakonan Yusof Hashim, seorang pemandu e-hailing yang langsung tidak terpengaruh dengan dunia glamor selebriti.

Pertemuan itu akhirnya membuka lembaran baharu dalam hidup Ayra apabila Imran bersetuju menjadi pemandu peribadinya atas permintaan Maya lakonan Scha Alyahya yang juga kakak serta pengurus kepada pelakon wanita itu.

Selain jalan cerita yang menyentuh emosi, Kata Hati turut mendapat perhatian kerana berjaya menampilkan keseimbangan antara elemen humor dan drama tanpa menjadikan filem terbabit terlalu berat atau melodramatik.

Kekuatan filem ini juga terletak pada keserasian antara Nia Atasha dan Yusof Hashim yang berjaya menjadikan hubungan dua watak utama itu tampak natural serta mudah disenangi penonton.

Gaya visual moden bersama latar kota Kuala Lumpur turut memberikan sentuhan urban yang sesuai dengan tema cinta kontemporari yang dibawa filem berkenaan.

Kata Hati dilihat sebagai sebuah filem romantik komedi tempatan yang ringan, menghiburkan dan sarat emosi, sekali gus berpotensi menjadi antara naskhah cinta moden yang mendapat perhatian penonton tahun ini.

Penggambaran filem dijalankan sekitar Kuala Lumpur dan Kuantan pada Ogos 2025 dan filem Kata Hati dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 4 Jun 2026.

KL Headline Season 2026 pacu Kuala Lumpur sebagai destinasi konsert Asia

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Kuala Lumpur terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara destinasi utama hiburan langsung di Asia apabila dipilih sebagai lokasi penganjuran pelbagai konsert antarabangsa berskala besar menerusi pelancaran KL Headline Season 2026 oleh Live Nation Malaysia.

Inisiatif strategik yang dibangunkan bersama PR Worldwide, Tourism Malaysia dan CelcomDigi itu dijangka menjadi pemangkin baharu kepada industri hiburan langsung negara sekali gus merancakkan sektor pelancongan dan ekonomi kreatif Malaysia sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

Menerusi KL Headline Season 2026, Kuala Lumpur bakal menjadi tuan rumah kepada 25 persembahan muzik antarabangsa sepanjang tahun ini membabitkan enam venue utama dengan anggaran kehadiran lebih 500,000 peminat muzik dari Malaysia dan seluruh rantau Asia.

Barisan artis antarabangsa yang bakal membuat persembahan termasuk nama besar seperti LANY, Laufey, Bryan Adams, DAY6, TREASURE dan Daniel Caesar, selain konsert berskala stadium membabitkan Post Malone, The Weeknd dan BTS yang dijangka menarik ribuan peminat dari dalam serta luar negara.

Penganjuran siri konsert berskala mega ini turut memperlihatkan kemampuan Kuala Lumpur untuk menjadi hab utama jelajah artis antarabangsa di Asia, setanding dengan bandar raya utama lain di rantau ini seperti Bangkok, Singapura dan Seoul.

Selain menawarkan pengalaman hiburan bertaraf dunia, KL Headline Season 2026 juga dilihat sebagai pemacu penting kepada industri pelancongan negara.

Selaras dengan aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026 yang menyasarkan 47 juta pelancong antarabangsa, acara hiburan langsung kini memainkan peranan besar dalam mempengaruhi pilihan destinasi pelancong global.

Fenomena pelancongan berasaskan pengalaman dilihat semakin berkembang apabila peminat muzik sanggup merentas negara untuk menghadiri konsert artis kegemaran mereka.

Situasi ini secara tidak langsung meningkatkan tempoh penginapan pelancong serta merangsang perbelanjaan dalam sektor hotel, penerbangan, peruncitan dan makanan serta minuman.

Melalui kerjasama strategik bersama pemain industri pelancongan, hospitaliti dan gaya hidup, pengunjung yang hadir ke Kuala Lumpur bukan sahaja menikmati persembahan muzik, malah berpeluang merasai pengalaman budaya, gastronomi dan gaya hidup urban yang menjadi identiti ibu negara Malaysia.

Menteri Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh Tseow Suan berkata, hiburan langsung kini menjadi komponen penting dalam memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan bernilai tinggi.

Menurut beliau, konsert dan acara berskala besar bukan sahaja berjaya menarik pelancong antarabangsa, malah memberi limpahan ekonomi kepada keseluruhan ekosistem pelancongan termasuk sektor hospitaliti dan komuniti perniagaan tempatan.

“Kuala Lumpur berada dalam kedudukan terbaik untuk menyokong pertumbuhan ini dan kami mengalu-alukan kerjasama berterusan bersama rakan industri termasuk Live Nation bagi memperluaskan penawaran acara hiburan langsung negara,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Live Nation Malaysia, Paramananthan Rajagopal berkata, muzik langsung mempunyai kuasa untuk menghubungkan artis dan peminat menerusi pengalaman yang meninggalkan kenangan mendalam.

Beliau berkata, KL Headline Season 2026 menjadi langkah penting dalam membina ekosistem hiburan langsung yang konsisten di Kuala Lumpur sekali gus menjadikan ibu negara sebagai hentian tetap bagi jelajah artis antarabangsa di Asia.

“Dengan membawa lebih banyak artis global ke Kuala Lumpur, kami bukan sahaja mencipta pengalaman hiburan bertaraf dunia, malah membantu memperkukuhkan ekosistem pelancongan dan ekonomi kreatif negara,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Perkhidmatan Jenama dan Pemasaran CelcomDigi, Chan May Ling berkata, muzik secara langsung kini menjadi medium penting yang menyatukan rakyat Malaysia menerusi pengalaman dan minat bersama.

Menurut beliau, kerjasama bersama KL Headline Season 2026 membolehkan lebih 20 juta pelanggan CelcomDigi menikmati akses lebih mudah kepada pengalaman hiburan bertaraf dunia melalui sokongan rangkaian telekomunikasi syarikat itu.

“Kami mahu membawa pengalaman hiburan yang lebih dekat kepada rakyat Malaysia sambil memastikan ia boleh diakses secara lebih meluas oleh peminat di seluruh negara,” katanya.

Antara acara yang telah diumumkan bagi baki tahun 2026 termasuk persembahan BUS di Zepp Kuala Lumpur pada 19 Mei, Vir Das di Plenary Hall KL Convention Centre pada 23 Mei, Daniel Caesar di Idea Live Arena dari 24 hingga 26 Mei serta TREASURE di Unifi Arena pada 30 Mei.

Selain itu, peminat muzik juga bakal disajikan dengan persembahan Anson Seabra, Laufey dan Kodaline sebelum konsert mega Post Malone pada 27 September di TM Stadium Nasional.

Keterujaan dijangka memuncak pada November dan Disember apabila The Weeknd serta BTS bakal menggegarkan TM Stadium Nasional menerusi persembahan berskala stadium yang dijangka menjadi antara acara hiburan terbesar tahun ini.

Untuk maklumat lanjut dan pembelian tiket konsert, orang ramai boleh melayari laman rasmi Live Nation Malaysia di https://www.livenation.my/.

Ernie Zakri hayati emosi dalam OST Khadam ‘Tak Berlagu’

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Filem seram dramatik Khadam terus mencuri perhatian apabila melancarkan lagu tema rasmi berjudul Tak Berlagu, sebuah karya penuh emosi yang mengangkat kisah kehilangan, kasih sayang dan pengorbanan seorang ibu menerusi gabungan muzik yang menyentuh jiwa.

Dipersembahkan oleh penyanyi terkenal, Ernie Zakri, lagu itu menjadi nadi emosi kepada filem Khadam dengan menampilkan perjalanan perasaan watak utama, Melor, yang sarat dengan penderitaan, harapan dan doa demi melindungi insan tersayang.

Lagu Tak Berlagu dihasilkan menerusi kerjasama komposer Rendra Zawawi dan NJWA, manakala liriknya ditulis sepenuhnya oleh NJWA.

Susunan muzik dan melodi dibentuk secara terperinci bagi menggambarkan perkembangan emosi watak dari awal hingga penghujung cerita.

Penerbit Eksekutif Khadam, Datuk Ahmad Izham Omar berkata, kekuatan utama lagu itu terletak pada pembinaan emosi dan susunan muzik yang bergerak selari dengan jalan cerita filem.

“Apa yang menjadikan susunan muzik ini istimewa adalah garapan melodi dan ritmanya yang dibina dengan jelas dari segi teknik dan emosi, seiring dengan jalan cerita serta perjalanan watak utama iaitu Melor,” katanya.

Berbeza dengan kebanyakan filem seram yang sering bergantung kepada elemen kejutan, Khadam tampil dengan pendekatan lebih mendalam menerusi penceritaan berasaskan emosi dan suasana, dengan muzik memainkan peranan penting dalam membina pengalaman penonton.

Menurut Rendra Zawawi, lagu berkenaan berkembang daripada elemen kesunyian yang menjadi asas kepada emosi watak dalam filem berkenaan.

“Dalam Khadam, muzik dibina untuk menyampaikan emosi dengan tepat. Tak Berlagu berkembang daripada ruang sunyi yang menjadi asas kepada perasaan watak,” katanya.

Beliau turut memuji kerjasama bersama NJWA yang disifatkan berjaya memperhalusi sentuhan emosi dalam lagu tersebut menerusi perspektif seorang ibu.

“Sebagai seorang ibu, NJWA berjaya menzahirkan melodi dengan rasa yang lebih dekat dan jujur,” katanya.

Dari sudut teknikal, Tak Berlagu turut menampilkan sentuhan bertaraf antarabangsa apabila proses adunan dilakukan oleh Alvin Wee, anak kelahiran Malaysia yang kini menetap di Los Angeles, manakala proses mastering disempurnakan oleh pemenang Anugerah Grammy, Jett Galindo.

Lagu berkenaan juga dirakam menggunakan orkestrasi alat muzik akustik secara langsung seperti piano, violin, viola, cello dan double bass bagi menghasilkan pengalaman audio yang lebih menyeluruh serta dramatik.

Bagi Ernie Zakri, penglibatannya dalam lagu itu hadir daripada hubungan emosi yang kuat terhadap jalan cerita filem Khadam, terutama sebagai seorang ibu.

“Saya terpanggil kerana jalan cerita ini sangat dekat dengan perasaan saya sebagai seorang ibu.

“Apabila mengetahui ia adalah kerjasama antara Rendra dan NJWA, saya terus yakin untuk menerimanya,” katanya.

Menurut Ernie, penghayatan terhadap watak Melor memberi kesan mendalam sepanjang proses rakaman sehingga beliau tidak mampu menahan air mata.

“Sepanjang rakaman, air mata saya tidak berhenti mengalir kerana saya benar-benar dapat merasai emosi itu,” katanya.

Tak Berlagu adalah hasil kolaborasi antara Komet Productions, Red Communications dan Universal Music Malaysia yang menggabungkan kepakaran dalam produksi filem, komunikasi strategik dan penerbitan muzik.

Pengarah Kanan A&R dan Pengurusan Artis Universal Music Malaysia, Hermond Cheng berkata, kekuatan penceritaan dalam filem Khadam menjadi faktor utama yang menjadikan projek berkenaan istimewa.

“Filem Khadam menitik beratkan penceritaan dalam lagu, dan muzik bukan dijadikan sekadar elemen sokongan sesebuah filem. Ini yang menjadikan projek ini amat menarik,” katanya.

Beliau berkata, pemilihan Ernie Zakri dibuat berdasarkan kemampuan vokalnya dalam menyampaikan emosi secara mendalam dan berkesan.

“Lagu ini berpaksi kepada vokal dan emosi, itu juga adalah kekuatan Ernie,” katanya lagi.

Pelancaran Tak Berlagu dilihat mampu memperluaskan lagi kehadiran Khadam dalam industri hiburan tempatan apabila bukan sahaja menonjol sebagai filem seram dramatik, malah sebagai karya yang memberi penekanan terhadap kekuatan emosi, ketelitian bunyi dan kualiti produksi.

Lagu Tak Berlagu kini boleh didengari di semua platform penstriman digital, manakala muzik video rasminya bakal dilancarkan dalam masa terdekat menerusi saluran YouTube rasmi Universal Music Malaysia.

Filem Khadam pula dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 11 Jun 2026.

UMNO Batu agih 600 paket daging korban kepada penduduk Parlimen Batu

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – UMNO Bahagian Batu terus memperkukuh hubungan bersama masyarakat setempat apabila berjaya melaksanakan program ibadah korban Aidiladha menerusi penyembelihan enam ekor lembu yang memberi manfaat kepada lebih 600 penerima di sekitar Parlimen Batu.

Program korban yang berlangsung meriah itu menyaksikan peningkatan jumlah haiwan korban berbanding tahun lalu yang hanya membabitkan empat ekor lembu, sekali gus membolehkan lebih banyak paket daging korban diagihkan kepada penduduk kurang berkemampuan.

Ketua UMNO Bahagian Batu merangkap Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Gulam Muszaffar Gulam Mustakim berkata, pertambahan jumlah korban tahun ini mencerminkan rezeki serta sokongan berterusan pelbagai pihak dalam membantu masyarakat setempat sempena sambutan Aidiladha.

Menurut beliau, sebanyak lebih 600 paket daging korban berjaya disediakan dan diagihkan kepada warga Parlimen Batu yang memerlukan.

“Alhamdulillah tahun ini kita korbankan enam ekor lembu. Tahun lepas hanya empat ekor dan tahun ini rezeki bertambah.

“Lebih kurang 600 lebih paket daging korban dapat diagihkan kepada warga Parlimen Batu yang kurang berkemampuan,” katanya ketika ditemui selepas program.

Beliau berkata, pendekatan pengagihan pada tahun ini turut dilakukan secara lebih terbuka dan tersusun apabila UMNO Bahagian Batu memperkenalkan sistem pendaftaran menggunakan kod QR bagi memudahkan penduduk mendapatkan agihan daging korban.

Katanya, kaedah itu dilaksanakan bagi memastikan lebih ramai penduduk dalam kawasan Parlimen Batu berpeluang menerima sumbangan tanpa perlu melalui cawangan-cawangan tertentu.

“Kaedah pengagihan kali ini agak berbeza sedikit. Kami tidak melalui cawangan-cawangan, tetapi buka kepada semua penduduk dalam Parlimen Batu melalui pendaftaran QR Code.

“Alhamdulillah, respon begitu baik sekali diterima,” katanya lagi.

Program berkenaan turut mendapat sokongan padu kira-kira 200 urus setia daripada pelbagai peringkat UMNO Bahagian Batu termasuk cawangan, Wanita, Pemuda dan Puteri yang berganding bahu memastikan kelancaran proses penyembelihan serta pengagihan daging korban.

Sebagai tanda penghargaan kepada petugas yang bertungkus-lumus menjayakan program berkenaan, pihak penganjur turut menyediakan juadah makan malam khas buat semua sukarelawan dan urus setia yang terbabit.

Dalam pada itu, Gulam turut melahirkan rasa terharu terhadap sambutan luar biasa penduduk setempat yang hadir lebih awal bagi mendapatkan agihan daging korban.

Menurut beliau, orang ramai mula beratur panjang seawal jam 4 petang walaupun edaran asal dijadualkan bermula sekitar jam 5 petang.

“Saya begitu terharu kerana sambutan kali ini sangat baik. Saya jangkakan jam 5 petang baru buat edaran, tetapi jam 4 lebih orang ramai sudah beratur panjang untuk ambil sumbangan daging korban ini,” katanya.

Beliau berkata, pengagihan dilakukan berdasarkan konsep siapa cepat dia dapat memandangkan jumlah paket yang disediakan adalah terhad.

Ketika program sedang berlangsung, sebahagian besar daripada lebih 600 paket yang disediakan telah berjaya diagihkan kepada penerima.

Dalam masa sama, Gulam turut memohon maaf kepada mana-mana penduduk yang tidak sempat menerima sumbangan daging korban pada kali ini berikutan sambutan yang amat menggalakkan.

Bagaimanapun, beliau memberi jaminan UMNO Bahagian Batu akan menambah baik pelaksanaan program korban pada tahun hadapan termasuk meningkatkan jumlah sumbangan bagi memberi manfaat kepada lebih ramai penduduk di kawasan Parlimen Batu.

“Kalau ada yang tidak dapat, saya mohon maaf. Insya-Allah tahun depan kita akan memperbaiki dan menambah sumbangan daging korban kepada penduduk-penduduk dalam Parlimen Batu,” katanya.

Program korban itu sekali lagi membuktikan komitmen berterusan UMNO Bahagian Batu dalam menyemarakkan semangat kebersamaan, memperkukuh hubungan komuniti serta membantu golongan memerlukan sempena sambutan Aidiladha.