30.8 C
Kuala Lumpur
Monday, June 15, 2026
Home Blog Page 73

Pengumuman Perdana Menteri bukti keprihatinan Kerajaan MADANI terhadap rakyat – Fahmi Fadzil

editormaxinfo@gmail.com

KOTA KINABALU – Pengumuman khas yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai bukti jelas keprihatinan Kerajaan MADANI terhadap denyut nadi rakyat.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, langkah-langkah yang diumumkan bukan sahaja meringankan beban rakyat, malah mencerminkan komitmen kerajaan dalam menyeimbangkan keperluan fiskal negara dengan kebajikan rakyat jelata.

Beliau berkata, pengumuman yang turut merangkumi cuti tambahan sempena sambutan Hari Malaysia 2025 itu adalah hasil pertimbangan teliti kerajaan, berlandaskan prinsip keadilan sosial serta kelestarian ekonomi.

Katanya lagi, pendekatan menyeluruh yang digagaskan oleh Perdana Menteri bakal memberi kesan langsung terhadap kesejahteraan rakyat, selain mengukuhkan asas ekonomi negara.

“Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri atas pengumuman langkah-langkah Kerajaan MADANI yang memberikan kelegaan kepada rakyat serta memacu kestabilan ekonomi negara.

“Pendekatan yang diumumkan ini akan merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi, memberikan kelegaan kepada rakyat, di samping mengukuhkan daya tahan fiskal negara dalam menghadapi ketidaktentuan global,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Antara perkara utama yang diumumkan Perdana Menteri menerusi pengumuman khas bertajuk Penghargaan Untuk Rakyat Malaysia termasuklah bantuan tunai one-off berjumlah RM100 kepada setiap rakyat dewasa, jaminan penurunan harga petrol kepada RM1.99 seliter menjelang akhir September, tambahan RM300 juta untuk memperluaskan Program Jualan Rahmah MADANI serta jaminan tiada kenaikan kadar tol sepanjang tahun ini.

Fahmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) berkata, pihaknya menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk terus menyemarakkan semangat patriotisme dan cinta akan tanah air sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia yang bakal menjelang.

“Inilah masanya untuk kita bersatu hati dan jiwa, menghargai nikmat kemerdekaan dan bersama-sama menyumbang kepada kemakmuran negara,” katanya.

Dalam masa yang sama, beliau turut menegaskan Kerajaan MADANI akan terus memperkukuh agenda pembangunan negara menerusi pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) serta Belanjawan Malaysia MADANI yang kini sedang dirangka dengan teliti bagi memastikan manfaatnya dapat dirasai secara menyeluruh oleh rakyat dari pelbagai lapisan.

Jelasnya, usaha kerajaan hari ini bukan sahaja tertumpu kepada pertumbuhan ekonomi semata-mata, tetapi juga kepada pembinaan sebuah negara bangsa yang adil, makmur dan inklusif sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI.

PTTI terus cipta impak, Roadtour Skor A+ SPM tarik lebih 3,000 pelajar di Kelantan

editormaxinfo@gmail.com

KOTA BHARU – Platform pendidikan digital terkemuka, PTTI, terus membuktikan komitmennya dalam membantu pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mencapai kecemerlangan apabila menganjurkan program Roadtour Skor A+ SPM PTTI yang berlangsung dengan penuh meriah di Hotel Grand Renai, Kelantan.

Program ini berjaya menarik kehadiran lebih 3,000 pelajar dari seluruh negeri, mencerminkan kepercayaan yang tinggi terhadap pendekatan dan kandungan pembelajaran yang ditawarkan oleh PTTI.

Kejayaan penganjuran ini hadir selepas PTTI mencipta dua pencapaian membanggakan yang direkodkan dalam Malaysia Book of Records (MBOR), sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai peneraju dalam menyediakan platform pembelajaran digital yang berimpak tinggi dan inklusif.

Ketua Pegawai Eksekutif PTTI, Siti Farhana Abu Osman atau lebih dikenali sebagai Cikgu Fana berkata, setiap pelajar mempunyai potensi untuk mencapai kejayaan cemerlang sekiranya dibimbing dengan kaedah yang berkesan serta didedahkan kepada strategi pembelajaran yang sesuai.

“PTTI sentiasa percaya setiap pelajar mampu mencipta kecemerlangan sekiranya diberikan bimbingan yang tepat dan persekitaran pembelajaran yang kondusif.

“Siri jelajah ini adalah sebahagian daripada usaha kami untuk mendekati pelajar secara terus, memberi suntikan motivasi dan berkongsi teknik Skor A+ yang telah terbukti keberkesanannya,” katanya.

Sambutan luar biasa terhadap program ini turut diserikan dengan pelbagai reaksi positif daripada pelajar yang hadir, kebanyakannya berkongsi pengalaman mereka di media sosial.

Ramai meluahkan rasa teruja dan menyatakan teknik-teknik pembelajaran yang dikongsikan oleh tenaga pengajar PTTI berjaya meningkatkan keyakinan mereka untuk menghadapi peperiksaan yang akan datang.

“Best gila! Teknik-teknik yang diajar sangat membantu saya faham topik yang susah. Lepas ni rasa lebih yakin nak jawab SPM,” kata seorang pelajar tingkatan lima.

“Cikgu-cikgu PTTI memang power! Semoga ada lagi roadtour macam ni kat negeri lain,” kata seorang lagi peserta yang turut berkongsi pengalamannya di platform media sosial.

Dalam usaha untuk terus memberikan manfaat kepada pelajar, PTTI turut mengumumkan tawaran istimewa sempena ulang tahun kelahiran Cikgu Fana pada 20 Julai.

Semua pelajar dari tingkatan satu hingga lima berpeluang menikmati diskaun yuran sebanyak 15 peratus dan ke atas bagi pendaftaran kelas dalam talian melalui laman rasmi PTTI di www.ptti.my.

Langkah ini bukan sahaja bertujuan menggalakkan lebih ramai pelajar menyertai pembelajaran digital secara sistematik, malah dijangka dapat meringankan beban kewangan ibu bapa serta memperluas akses kepada modul pembelajaran berkualiti tinggi daripada barisan guru berpengalaman.

Tanda pagar #RoadtourSkorAPlusPTTI turut tular di media sosial dengan lebih 5,000 hantaran daripada pelajar yang berkongsi pengalaman mereka sepanjang program berlangsung, menjadikan inisiatif ini sebagai satu fenomena pendidikan yang memberi inspirasi kepada pelajar di seluruh negara.

Dengan kejayaan ini, PTTI sekali lagi membuktikan pendekatan digital yang dinamik dan berfokus kepada pelajar mampu memberikan impak besar dalam usaha memperkasakan pendidikan negara.

‘Sister Hong’ ditahan, ratusan lelaki didakwa jadi mangsa penipuan seksual dan rakaman rahsia

editormaxinfo@gmail.com

NANJING – Seorang lelaki berusia 38 tahun telah ditahan oleh pihak berkuasa China selepas disyaki memperdaya dan merakam secara rahsia hubungan seks bersama ratusan lelaki untuk tujuan jualan dalam talian.

Suspek, yang dikenali dengan nama samaran ‘Sister Hong’ atau ‘Uncle Red’ di media sosial tempatan, didakwa menyamar sebagai wanita untuk memikat mangsa melalui aplikasi janji temu serta platform rangkaian sosial.

Menurut kenyataan rasmi daripada Polis Nanjing, suspek menggunakan solekan tebal, rambut palsu serta pakaian wanita bagi menguatkan penyamarannya.

Mangsa yang terpedaya kemudiannya diajak ke kediaman peribadi suspek, di mana kamera tersembunyi telah dipasang bagi merakam aksi hubungan intim tanpa pengetahuan mangsa.

Dalam beberapa kes, suspek juga dilaporkan memanipulasi suaranya bagi meyakinkan mangsa bahawa dia adalah seorang wanita.

Rakaman-rakaman itu kemudiannya dimuat naik ke internet dan dijual melalui saluran langganan tertutup dengan bayaran sekitar 150 yuan (kira-kira RM98).

Setakat ini, siasatan masih dijalankan bagi menentukan jumlah sebenar keuntungan yang diperoleh daripada aktiviti tidak bermoral ini.

Insiden yang kini dikenali sebagai ‘Kes Sister Hong’ telah mencetuskan kegemparan dalam kalangan masyarakat China dan menjadi topik perbualan hangat di platform media sosial, khususnya di Weibo.

Dalam tempoh beberapa hari sahaja, tanda pagar berkaitan kes ini meraih lebih 200 juta tontonan, mencerminkan betapa luasnya liputan serta perhatian yang diberikan masyarakat terhadap isu itu.

Pelbagai parodi, meme dan rekaan semula digital bilik suspek turut tersebar, menzahirkan kejutan budaya serta kebimbangan awam terhadap jenayah siber yang semakin kompleks.

Terdapat dakwaan awal bahawa lebih 1,600 lelaki mungkin telah menjadi mangsa, termasuk pelajar, golongan profesional dan warga asing.

Namun begitu, pihak berkuasa masih belum mengesahkan angka sebenar dan menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih atau belum disahkan secara rasmi.

Apa yang lebih membimbangkan, penyebaran semula video-video eksplisit yang tidak disunting telah menyebabkan beberapa mangsa dikenal pasti oleh ahli keluarga, rakan dan pasangan masing-masing.

Hal ini bukan sahaja menjejaskan maruah mangsa, malah dilaporkan telah menyebabkan tekanan emosi, keretakan rumah tangga dan dalam beberapa kes, perceraian.

Suspek telah ditahan secara rasmi pada 5 Julai lalu dan berkemungkinan berdepan dengan pelbagai pertuduhan termasuk menghasilkan serta mengedar bahan lucah, pelanggaran privasi serta penyalahgunaan hak imej individu.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Nanjing dalam perkembangan berkaitan turut menawarkan saringan kesihatan percuma kepada individu yang mungkin terkesan.

Namun, mereka enggan mengulas lanjut mengenai kemungkinan jangkitan penyakit kelamin atas dasar kerahsiaan perubatan.

Pihak berkuasa kini sedang giat menurunkan semua kandungan lucah berkaitan kes itu di internet dan menjejaki saluran pengedaran utama.

Dalam masa sama, orang ramai turut digesa agar tidak menyebarkan bahan sensitif dan menghormati privasi mangsa yang terbabit.

Kes ini sekali lagi mengangkat isu penting berkaitan keselamatan siber, penyamaran identiti dan perlindungan privasi dalam era digital yang serba canggih.

Pihak berkuasa menegaskan komitmen mereka untuk membanteras jenayah sebegini dan membawa pelaku ke muka pengadilan secepat mungkin. -Agensi

Didi & Friends cipta rekod kebangsaan, pupuk minat membaca sejak awal usia

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Watak animasi kanak-kanak yang mencuri hati jutaan peminat, Didi & Friends, sekali lagi mencatat kejayaan membanggakan apabila secara rasmi diiktiraf dalam The Malaysia Book of Records menerusi kategori “Penyertaan Kanak-Kanak Teramai dalam Acara Penceritaan”.

Acara itu menyaksikan penyertaan luar biasa seramai 2,172 orang kanak-kanak dalam satu sesi penceritaan serentak yang berlangsung di MAEPS, Serdang.

Acara bersejarah itu dianjurkan bersama oleh Didi & Friends dan Al-Kauthar Eduqids sempena Karnival Sukan Al-Kauthar Eduqids with Friends 2025, sebuah inisiatif pendidikan yang menggabungkan elemen pembelajaran, keseronokan dan nilai kekeluargaan.

Lebih daripada sekadar pencapaian rekod, majlis itu menjadi simbol kepada semangat memperkasa generasi muda melalui cerita dan imaginasi.

Sesi penceritaan yang memecah rekod itu mengetengahkan kisah klasik Arnab & Kura-Kura, yang pada mulanya disampaikan oleh seorang guru sebelum dihidupkan dengan gaya tersendiri oleh Abang Pa’an, pengacara ceria yang sinonim dengan Didi & Friends.

Dengan gaya penyampaian penuh warna-warni dan interaktif, cerita ini berjaya memikat perhatian ribuan si cilik yang hadir.

Walaupun angka rasmi yang direkodkan untuk The Malaysia Book of Records ialah 2,172 peserta, aktiviti penceritaan diteruskan sepanjang hari, menjadikan jumlah keseluruhan penyertaan kanak-kanak melebihi 6,000 orang.

Secara keseluruhan, karnival ini berjaya menarik kehadiran lebih 20,000 pengunjung, terdiri daripada ibu bapa, guru dan ahli keluarga yang hadir bagi menyokong acara komuniti ini.

Lebih menarik, acara ini turut menjadi pentas pelancaran rasmi bagi kempen Didi & Friends Story Time, satu inisiatif baharu yang bertujuan menanam minat membaca dalam kalangan kanak-kanak sejak usia muda.

Melalui kempen ini, Didi & Friends akan terus mendekati peminat kecil mereka dengan pendekatan interaktif dan kandungan bercerita yang menyeronokkan.

Sebagai kesinambungan, kemunculan istimewa Didi & Friends turut menyerikan Sambutan Minggu Perpaduan 2025 Peringkat Kebangsaan yang berlangsung serentak di Perkarangan Stadium Negeri Pulau Pinang, di mana ribuan pengunjung mengambil peluang bertemu watak-watak kegemaran mereka secara langsung.

Penolong Kanan Naib Presiden, Studio GenNext Astro, Edison Cheam, berkata pihaknya komited untuk terus menyemai nilai positif dalam kalangan generasi muda melalui kandungan yang berkualiti.

“Di Astro, kami amat komited untuk memupuk semangat cintakan pembelajaran dan pembacaan dalam kalangan kanak-kanak.

“Menerusi platform kami serta kerjasama dengan IP kandungan seperti Didi & Friends, kami berhasrat untuk menyebarkan nilai-nilai positif dan menginspirasi tabiat murni yang akan memberi manfaat kepada generasi akan datang,” katanya.

Kejayaan ini bukan sekadar satu rekod kebangsaan, malah menjadi bukti bahawa kuasa penceritaan mampu menyatukan komuniti, mengembangkan imaginasi dan menyemai nilai-nilai murni sejak awal usia.

Ia juga memperlihatkan peranan penting kandungan tempatan dalam membentuk ekosistem pembelajaran yang menyeronokkan dan bermakna.

Untuk mereka yang terlepas menyaksikan sesi bercerita secara langsung, Didi & Friends Story Time kini disiarkan setiap hari Jumaat jam 11 pagi di Astro Ceria (saluran 611) dan turut boleh ditonton secara On Demand melalui Astro GO dan sooka.

KUPBB jalin kerjasama strategik, bakal lancar platform e-hailing pertama di Borneo

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Usaha memperkasa ekosistem pengangkutan digital di wilayah Borneo menyaksikan satu langkah signifikan apabila Koperasi Usahawan Pengangkutan Borneo Berhad (KUPBB) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Gerbang Bestari Sdn. Bhd. bagi melancarkan sebuah platform e-hailing pertama yang berasaskan koperasi tempatan, dikenali sebagai “Borneo VeGo E-Transport.”

Majlis menandatangani perjanjian kerjasama itu berlangsung dalam suasana penuh simbolik di Pejabat Korporat GrakChat, di sini.

Ia turut disaksikan oleh wakil-wakil industri pengangkutan digital, pemimpin koperasi, sekali gus menandakan permulaan kepada era baharu dalam sektor mobiliti serantau.

Ahli Jawatankuasa Koperasi Usahawan Pengangkutan Borneo Berhad

Platform “Borneo VeGo E-Transport” digarap khusus untuk memenuhi keperluan masyarakat di Sabah, Sarawak dan Labuan, dengan menawarkan sistem pengangkutan moden yang inklusif dan mesra komuniti.

Usaha ini dijangka memberi impak besar kepada pembangunan ekonomi setempat, khususnya dalam memperkukuh keupayaan koperasi pengangkutan tempatan serta menyediakan peluang baharu kepada usahawan Borneo.

KUPBB diwakili oleh Presidennya, Tamrin Eraba, bersama Setiausaha Koperasi, Asad Hanapi, manakala Gerbang Bestari Sdn. Bhd. pula diwakili oleh Pengasas dan Pengarahnya, Maliki Mohamed.

Kedua-dua pihak menyatakan keyakinan kerjasama ini bakal mengubah landskap e-mobiliti di rantau Borneo, bukan sahaja dari sudut teknologi, malah dari segi pemilikan dan penglibatan rakyat secara langsung.

“Kerjasama ini adalah satu detik penting dalam usaha kami untuk memartabatkan koperasi dan memperkenalkan penyelesaian pengangkutan digital yang dibangunkan oleh anak Borneo, untuk anak Borneo,” kata Tamrin Eraba.

Tamrin berkata, pihaknya yakin Borneo VeGo bukan sahaja mampu menjadi alternatif kepada aplikasi e-hailing sedia ada, malah boleh menjadi pemangkin kepada pembangunan mampan di kawasan luar bandar.

Dalam pada itu, Maliki Mohamed menyifatkan kolaborasi ini sebagai gabungan strategik antara teknologi dan kekuatan akar umbi.

“Kami melihat potensi besar dalam pendekatan koperasi. Apabila teknologi kami digabungkan dengan jaringan dan kefahaman tempatan yang dimiliki oleh KUPBB, maka terhasil satu sistem mobiliti yang benar-benar memanfaatkan rakyat,” katanya.

“Borneo VeGo E-Transport” bukan semata-mata platform e-hailing seperti yang biasa ditawarkan di bandar-bandar besar.

Ia dirancang sebagai sebuah ekosistem pengangkutan komprehensif yang turut merangkumi perkhidmatan kenderaan sewa persendirian, teksi, penghantaran barang dan dalam masa terdekat perkhidmatan berasaskan tenaga elektrik dan teknologi data analitik.

Inisiatif ini juga dilihat sejajar dengan matlamat Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) yang menekankan pemerkasaan teknologi digital untuk manfaat masyarakat dan ekonomi tempatan.

Pada masa yang sama, ia menyokong aspirasi otonomi wilayah dalam membangunkan sistem pengangkutan yang bersifat lestari dan berasaskan kendiri.

MoU ini turut membuka jalan kepada pelaksanaan fasa pembangunan seterusnya, termasuk proses pengambilan dan latihan pemandu, pelantikan agensi wilayah, penyediaan sokongan sewaan kenderaan, pelancaran aplikasi mudah alih rasmi, serta pelaksanaan strategi pemasaran berfokus wilayah yang akan dijalankan dalam beberapa bulan akan datang.

Dengan pelancaran rasmi yang dijangka berlangsung dalam tempoh terdekat, Borneo VeGo E-Transport bukan sahaja bakal mencipta sejarah sebagai sistem e-hailing pertama milik koperasi tempatan di Borneo, malah menjadi simbol keupayaan masyarakat luar bandar untuk mengadaptasi teknologi secara menyeluruh, sekali gus menyaingi dominasi platform antarabangsa dalam sektor e-mobiliti.

All Star Influencer Award (ASIA) 2025 kembali meriahkan dunia digital serantau

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Dunia pencipta kandungan digital serantau bakal menyaksikan kemunculan semula salah satu acara paling berprestij, All Star Influencer Award (Asia) 2025 (ASIA2025) kembali untuk edisi ketiganya.

Menariknya, tahun ini menyaksikan penglibatan seramai 80 influencer dari 20 negara Asia dan Timur Tengah, menjadikan acara ini antara yang terbesar seumpamanya di rantau ini.

Berbeza daripada edisi terdahulu, ASIA2025 bukan sahaja menampilkan majlis penganugerahan, tetapi juga satu siri jelajah merentasi lapan negeri di seluruh Malaysia, di mana peserta akan menyertai pelbagai aktiviti penciptaan kandungan kreatif yang menampilkan keunikan budaya, makanan, seni dan alam semula jadi tempatan.

Siri jelajah ini bertujuan untuk memberi peluang kepada peserta menghasilkan kandungan asli yang memperkenalkan pelbagai wajah Malaysia kepada dunia.

Penganjur ASIA2025, Dato’ Abd. Rahman Soltan berkata, setiap dua negeri akan menerima kehadiran 20 pencipta kandungan dalam tempoh tertentu.

Sepanjang lawatan mereka, peserta akan terbabit dalam aktiviti eksplorasi termasuk mencuba makanan tradisional, meneroka seni budaya setempat, menikmati keindahan alam semula jadi dan menyertai cabaran digital.

Jelajah bermula dengan negeri Johor dan Pahang dari 20 hingga 25 Julai, diikuti Melaka dan Selangor pada 17 hingga 20 Ogos.

Seterusnya, peserta akan ke Pulau Pinang dan Langkawi antara 14 hingga 20 September sebelum menamatkan siri eksplorasi di Sabah dari 14 hingga 17 Oktober.

ASIA2025 turut menjadi antara inisiatif sokongan kepada Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026, dengan matlamat memperkenalkan Malaysia sebagai destinasi pilihan utama pelancongan digital dan kreatif kepada masyarakat antarabangsa.

“Ini adalah antara platform digital terbaik untuk terus memperkenalkan Malaysia. Gabungan pengaruh digital dan keunikan budaya tempatan dijangka meningkatkan lagi kesedaran global terhadap tarikan pelancongan negara,” katanya.

Kesemua peserta akan kembali berkumpul untuk Majlis Gala Anugerah yang dijadual berlangsung pada 19 Oktober 2025, dengan lokasi rasmi majlis bakal diumumkan dalam masa terdekat.

Anugerah utama akan menyaksikan pemenang menerima wang tunai bernilai USD15,000 serta pakej percutian eksklusif ke Dubai.

Tempat kedua pula akan membawa pulang USD5,000, manakala tempat ketiga akan menerima hadiah tunai USD1,000, kedua-duanya turut menerima percutian ke destinasi yang sama.

Bagi menghargai usaha dan kreativiti peserta, 10 pencipta kandungan terbaik keseluruhan juga akan dipilih untuk menyertai satu perjalanan istimewa yang ditaja sepenuhnya ke Dubai sebagai penghargaan atas pengaruh dan impak kandungan mereka sepanjang program.

Sebanyak 13 kategori anugerah akan dipertandingkan dalam edisi tahun ini termasuk Best Gourmet Award, Best Storyteller, Best Comedy Maestro, Best Transition, Best Culture Curator dan banyak lagi menampilkan variasi bidang kandungan yang diraikan dalam dunia digital masa kini.

Program berskala besar ini turut menerima sokongan dan kerjasama pelbagai agensi serta penaja termasuk Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Tourism Malaysia, Tune Talk, Sally Beauty by Sally, Argania, Yute by thelikeyuti, AN by Harissa Adlynn dan Atlanta Resources.

“Melalui ASIA2025, kami mahu menjadikan Malaysia sebagai hab pencipta kandungan digital serantau.

“Ini bukan sekadar pertandingan, ia adalah pertemuan budaya, kreativiti dan teknologi yang memberi impak langsung kepada imej negara,” katanya lagi.

Tahun lalu, All Star Influencer Award 2024 berjaya mencipta fenomena apabila tanda pagar rasmi program itu, #AllStarInfluencerAward2024, meraih lebih daripada 500 juta capaian digital di TikTok dan tular merentasi pelbagai platform media sosial dalam tempoh hanya setahun.

Kejayaan tahun lalu turut menyaksikan Saal Haerid, pencipta kandungan dari Indonesia, diangkat sebagai pemenang utama.

Saal membawa pulang hadiah wang tunai USD10,000, trofi eksklusif serta pakej percutian mewah ke Dubai.

Saal turut merangkul anugerah Ciptaan Kandungan Terbaik yang melayakkannya menerima tambahan USD1,000. Manakala Abyan Calief, juga dari Indonesia, membawa pulang tempat kedua dan pencipta kandungan Malaysia, Imranul Effendi, memenangi tempat ketiga dengan hadiah bernilai USD3,000 dan percutian ke Dubai.

Dengan penyertaan antarabangsa yang semakin meningkat, hadiah lumayan dan impak digital yang terbukti, All Star Influencer Award (Asia) 2025 dijangka menjadi salah satu acara paling dinanti-nantikan dalam dunia kandungan digital Asia dan Timur Tengah.

Asia Championship 2025, gabungan tinju dan dunia digital bakal menggegar Oktober ini

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Dunia sukan tempatan bakal menyaksikan satu lagi detik bersejarah apabila Asia Championship 2025 bersedia membuka tirainya pada 18 Oktober ini, menawarkan kelainan yang bukan sekadar pertarungan fizikal, tetapi juga menyatukan semangat kesukanan dengan elemen digital yang semakin mendominasi gaya hidup masa kini.

Edisi kali ini tampil lebih segar dan menyeluruh, apabila kejohanan berkenaan bakal menampilkan bukan sahaja peninju, tetapi turut diserikan dengan kehadiran artis, influencer dan atlet dari pelbagai latar, menjadikan Asia Championship sebuah platform rentas dunia nyata dan maya.

Penganjuran ini bukan sahaja berfungsi sebagai pentas pertarungan, malah sebagai medium yang memperkukuh hubungan antara sukan dan pembabitan komuniti digital secara aktif.

Penganjur Asia Championship, Dato’ Abd Rahman Soltan berkata, kejohanan ini diadakan bukan semata-mata untuk menjadi medan persaingan sengit, tetapi lebih daripada itu sebagai sebuah budaya baharu yang merapatkan jurang antara penonton dan atlet melalui platform media sosial.

“Asia Championship bukan sekadar satu pertembungan peninju, tetapi satu pentas moden yang menyatukan semangat kesukanan dengan dunia digital.

“Kami mahu wujudkan satu budaya baharu di mana sukan bukan sahaja disaksikan, tetapi turut dikongsi, diikuti dan diraikan dalam alam media sosial,” katanya.

Menjelang kejohanan, setiap peserta akan mengikuti sesi latihan khusus sebagai persediaan bukan sahaja dari segi fizikal, malah mental.

Abd Rahman berkata, pihaknya menekankan aspek disiplin dan tanggungjawab sebagai ikon sukan moden turut diberi perhatian dalam program pembangunan atlet yang dianjurkan pihaknya.

“Semua peserta harus bersedia. Kami akan latih mereka bukan hanya untuk bertarung, tetapi juga membawa nilai-nilai disiplin, fokus dan tanggungjawab.

“Ini penting kerana mereka mewakili generasi baharu atlet yang bukan sahaja beraksi di gelanggang, tetapi juga memberi inspirasi kepada komuniti dalam dan luar talian,” tambahnya.

Untuk edisi tahun ini, seramai 16 anak muda tempatan telah disahkan menyertai Asia Championship 2025 dalam dua kategori utama.

Bagaimanapun, pihak penganjur masih membuka ruang kepada lebih ramai penyertaan, termasuk dalam perancangan untuk menambah kategori baharu.

“Permohonan masih dibuka. Ini bukan semata-mata untuk cari siapa paling kuat, tetapi untuk membangunkan semangat sukan dan disiplin dalam kalangan anak muda kita,” katanya.

Dengan pendekatan inovatif yang menggabungkan elemen sukan tempur, pengaruh digital, penghasilan kandungan interaktif serta keterlibatan masyarakat, Asia Championship 2025 dijangka menjadi satu medan transformasi dalam arena sukan tempatan bukan sekadar acara tinju, tetapi sebagai simbol gaya hidup aktif dan dinamik yang bersesuaian dengan era digital masa kini.

Bagi mereka yang berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut atau ingin menyertai kejohanan ini, boleh menghubungi pihak urusetia di talian +60 11-3336 1885 (Bakhtiar) atau +60 11-3794 3779 (Rey).

Wawa Global umum tiga produk pelindung matahari terbaharu dan penjenamaan semula

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Wawa Global Sdn. Bhd., syarikat kecantikan tempatan yang diasaskan oleh pasangan selebriti terkenal Wawa Zainal dan Aeril Zafrel, kini melangkah ke fasa baharu dengan pelancaran tiga produk pelindung matahari terbaharu serta pengenalan logo baharu syarikat.

Acara gilang-gemilang yang diadakan itu bukan sekadar majlis pelancaran, malah menjadi detik bersejarah yang menandakan permulaan kepada lembaran baru buat jenama Wawa.

Produk pelindung matahari baharu yang diperkenalkan diformulasi secara khusus untuk memenuhi keperluan lelaki dan wanita yang aktif, terutamanya mereka yang gemar bersukan dan sering terdedah kepada cahaya matahari.

Dengan penggunaan formula mineral terkini, produk ini bukan sahaja menawarkan perlindungan optimum, malah lebih mesra kulit dan selamat digunakan sejajar dengan komitmen syarikat dalam menghasilkan produk kosmetik yang halal, selamat dan berkualiti tinggi.

Sejak kemunculan pertamanya di pasaran, Sunscreen Wawa telah mencapai kejayaan luar biasa dengan jumlah jualan melebihi empat juta unit.

Pencapaian ini menjadi bukti kukuh terhadap tahap kepercayaan pengguna terhadap keberkesanan dan kualiti produk yang ditawarkan.

Namun, di sebalik kejayaan itu, Wawa Zainal turut meluahkan rasa kesal terhadap segelintir pihak yang mempertikaikan kejayaan jenamanya dengan mendakwa populariti sebagai satu-satunya faktor kejayaan.

Wawa berkata, jenama Wawa telah bertapak selama lebih tujuh tahun di pasaran dan memiliki kumpulan pengguna setia yang terus menyokong berasaskan pengalaman dan keberkesanan produk itu sendiri.

Langkah penjenamaan semula yang dilaksanakan bukan sahaja membabitkan rekaan semula logo dan pembungkusan produk, malah menjadi strategi penting dalam menangani isu penyebaran produk tiruan yang semakin berleluasa.

Identiti baharu yang dibawa oleh Wawa Global memberi nafas segar dengan imej yang lebih elegan, profesional dan mencerminkan keyakinan jenama yang semakin matang.

“Kami di Wawa Global sangat komited dalam usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk menghasilkan produk yang memenuhi kehendak pengguna masa kini.

“Kami percaya produk yang selamat, halal dan berkualiti tinggi adalah asas kepada kejayaan yang mampan,” kata Wawa ketika majlis pelancaran.

Majlis pelancaran turut diserikan dengan kehadiran beberapa figura penting dalam syarikat termasuk pengasas bersama Aeril Zafrel, Ketua Pegawai Eksekutif Umisya Mazlan, serta barisan pentadbiran kanan seperti Aslam.

Turut hadir sebagai tetamu kehormat ialah Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq yang menyokong usaha pembangunan jenama tempatan.

Mengakhiri majlis, Wawa berharap, Wawa Global akan terus berkembang dan bersaing secara kompetitif di peringkat antarabangsa dalam masa terdekat.

Dengan strategi jenama yang lebih kukuh serta rangkaian produk yang diperbaharui, syarikat itu optimis dapat meletakkan jenama Wawa sebagai antara peneraju dalam industri kecantikan serantau dan global.

Skandal ketika konsert Coldplay, CEO Astronomer digantung tugas

editormaxinfo@gmail.com

CINCINNATI – Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) firma perisian terkemuka Amerika Syarikat, Astronomer, digantung tugas berikutan satu insiden yang tular di media sosial, membabitkan dakwaan kecurangan yang berlaku secara terbuka semasa konsert kumpulan muzik terkenal, Coldplay.

Insiden itu mula mencuri perhatian ramai selepas rakaman skrin besar di Stadium Gillette, Foxborough, Massachusetts, memaparkan seorang lelaki yang didakwa sebagai Andy Byron, sedang berpelukan mesra dengan Ketua Pegawai Sumber Manusia (CHRO) syarikat berkenaan, Kristin Cabot.

Kejadian itu turut disertai teguran spontan oleh vokalis Coldplay, Chris Martin, yang menyaksikan momen itu dari atas pentas.

Ekoran reaksi pantas dan meluas daripada warga maya, yang menjadikan insiden berkenaan bahan jenaka dan spekulasi di media sosial selama dua hari berturut-turut, pihak syarikat tampil mengesahkan Andy Byron kini telah diarahkan untuk bercuti sementara siasatan dalaman dijalankan.

Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan menerusi platform X (dahulunya Twitter) lewat malam Jumaat, jurucakap Astronomer berkata, Lembaga Pengarah telah memulakan siasatan berhubung perkara itu dan akan mengumumkan butiran lanjut dalam masa terdekat.

“Astronomer komited terhadap budaya dan nilai positif yang telah menjadi panduan sejak firma ini ditubuhkan,” menurut kenyataan itu, yang turut berkata sebarang tindakan susulan akan diambil berdasarkan hasil siasatan yang menyeluruh dan telus.

Sebagai langkah interim, pengasas bersama syarikat yang juga Ketua Pegawai Produk (CPO), Pete DeJoy telah dilantik sebagai CEO sementara bagi memastikan kelangsungan pengurusan syarikat sepanjang tempoh siasatan berlangsung.

Setakat ini, Andy Byron masih belum memberikan sebarang kenyataan rasmi atau mengesahkan penglibatannya dalam insiden yang dirakam secara terbuka dan ditayangkan kepada ribuan penonton di stadium itu. Kristin Cabot juga belum mengulas mengenai perkara berkenaan.

Insiden ini telah mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial serta penggiat industri teknologi, yang mempersoalkan etika profesional pemimpin syarikat dalam menjaga integriti dan imej korporat.

Dengan reputasi Astronomer sebagai salah satu syarikat teknologi yang berkembang pesat dalam bidang pemprosesan data dan penyelesaian awan, pemantauan terhadap perkembangan kes ini dijangka akan terus mendapat perhatian ramai, bukan sahaja dalam kalangan pelanggan dan pelabur, malah masyarakat umum. -Agensi