28.5 C
Kuala Lumpur
Wednesday, June 17, 2026
Home Blog Page 72

Kerajaan Madani hormat hak rakyat, pembangkang perlu guna saluran demokrasi – Saifuddin Nasution

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Kerajaan Perpaduan sentiasa komited terhadap prinsip Perlembagaan Persekutuan dan menjamin kebebasan bersuara rakyat, termasuk hak untuk berhimpun secara aman seperti yang dijamin di bawah Perkara 10 Perlembagaan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerajaan tidak menghalang sebarang perhimpunan selagi ia mematuhi undang-undang sedia ada, termasuk Akta Perhimpunan Aman.

Namun begitu, beliau mengingatkan terdapat beberapa sekatan demi menjaga keselamatan awam, seperti larangan membabitkan kanak-kanak dan penggunaan bahan atau objek berbahaya seperti suar.

“Sesiapa yang mahu berhimpun, silakan. Itu hak di sisi Perlembagaan. Tetapi jika melampaui batas undang-undang seperti membakar suar atau membawa senjata berbahaya maka tindakan penguatkuasaan perlu diambil,” katanya.

Saifuddin turut menyentuh dakwaan kerajaan menyekat suara pembangkang.

Katanya, hakikatnya kerajaan telah membuka ruang seluas-luasnya untuk perbahasan di Parlimen, termasuk membenarkan pembangkang mengemukakan usul undi tidak percaya jika benar-benar serius ingin mencabar kedudukannya sebagai Perdana Menteri.

“Kalau benar pembangkang menghormati prinsip demokrasi, ada dua saluran yang mereka boleh guna sama ada di luar atau di dalam Parlimen.

“Tetapi kalau di luar Parlimen, apa kesannya? Di dalam Parlimen, kita telah sediakan ruang. Saya sendiri sebagai Ketua Majlis telah memberi jaminan, sekiranya usul yang dikemukakan itu spesifik, mendesak dan membabitkan kepentingan awam, saya akan minta Speaker untuk utamakan usul terbabit,” katanya.

Saifuddin turut merujuk kepada Peraturan Mesyuarat 18(1) dan 27, yang membolehkan Ahli Parlimen membawa usul tergempar dan usul biasa ke dalam Dewan Rakyat.

Namun katanya, sehingga kini, walaupun Parlimen telah bersidang selama lima hari, tiada sebarang usul undi tidak percaya dikemukakan pembangkang.

“Bola kini di kaki pembangkang. Kalau betul mereka tak boleh tunggu dua tahun lagi dan merasakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim harus turun, silakan kemukakan usul.

“Tapi yang kita lihat hanya diam sunyi di dalam Parlimen, sedangkan yang lantang hanya di luar,” katanya lagi.

Beliau juga menyindir tuntutan pembangkang agar Anwar “turun” daripada jawatan, dengan menyatakan kerajaan telah mengambil langkah proaktif demi rakyat, termasuk menurunkan harga minyak dan tarif elektrik.

Namun menurutnya, pihak pembangkang masih tidak berpuas hati.

“Apa sebenarnya matlamat mereka? Adakah untuk mewujudkan keresahan, mencipta persepsi buruk terhadap kerajaan, atau memberi isyarat negatif kepada pelabur asing? Sedangkan pada masa ini ekonomi negara mula menunjukkan pemulihan yang positif,” katanya.

Saifuddin menggesa pembangkang supaya menjadi pihak semak dan imbang yang bertanggungjawab, selaras dengan amalan demokrasi yang sihat.

Beliau berkata, semua pihak harus lebih matang dalam mengendalikan perbezaan pendapat dan tidak merosakkan kestabilan negara demi kepentingan politik sempit.

“Janganlah semata-mata kerana tidak berpuas hati, kita ciptakan ketegangan yang akhirnya menyusahkan rakyat.

“Kalau benar ada keyakinan dan kekuatan, tunjukkan di Parlimen, bukan di jalanan,” tegasnya.

Iskandar Zulkarnain kembali dengan “Sewaktu Bahagia”, luahan emosi dan simbol kebangkitan seni

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Setelah sekian lama menyepi daripada dunia seni, penyanyi pop rock yang pernah mencipta nama bersama Projektor Band, Iskandar Zulkarnain, kini kembali mewarnai industri muzik tempatan dengan single solo terbaharunya berjudul Sewaktu Bahagia.

Lagu yang menyentuh perasaan ini diterbitkan di bawah label ternama Luncai Emas, sekali gus menandakan fasa baharu dalam perjalanan seni Iskandar sebagai penyanyi solo.

Sewaktu Bahagia bukan sekadar sebuah karya muzik, malah merupakan cerminan emosi dan kisah benar yang dialami oleh pencipta lagunya, Aidil AF dan Jeremy Erskine, dua figura kreatif di bawah naungan Luncai Emas.

Kedua-dua mereka melalui episod kekecewaan dalam percintaan, yang kemudiannya diterjemahkan secara jujur dan mendalam dalam bentuk lirik serta melodi.

Antara bait lirik yang paling menggamit jiwa ialah “kau berubah tanpa ku sedar, kau hancurkan sewaktu bahagia”, yang menyimpulkan rasa kecewa terhadap cinta yang mengkhianati momen kebahagiaan.

Pertemuan antara Iskandar dan Aidil berlaku dalam suasana yang tidak disangka-sangka, apabila Nabil sepupu kepada Iskandar mempertemukan mereka.

Menyedari bahawa Iskandar sedang mencari ruang untuk bangkit semula dalam arena muzik, Aidil tidak berlengah memperkenalkannya kepada pihak Luncai Emas.

Hasil pertemuan itu, terjalinlah kolaborasi yang melahirkan Sewaktu Bahagia.

Iskandar, yang sebelum ini dikenali dengan keupayaannya membawakan lagu-lagu penuh emosi dan jiwa, meluahkan rasa syukur atas peluang untuk bekerjasama dengan barisan nama besar dalam industri muzik tanah air.

“Saya amat berbesar hati dan bersyukur dapat bekerjasama dengan Aidil AF serta Dato’ M. Nasir.

“Lagu ini bukan sahaja mencerminkan kisah peribadi, tetapi juga lambang kebangkitan semula saya dalam dunia muzik,” katanya penuh harapan.

Tambahnya, Sewaktu Bahagia diharapkan bukan sahaja mendapat sambutan baik daripada peminat, malah mampu menjadi lagu malar segar (evergreen) yang relevan merentasi generasi.

“Terima kasih atas segala doa dan sokongan. Nantikan yang terbaik daripada saya,” katanya lagi, sambil menzahirkan penghargaan kepada para peminat yang terus setia menantikan kemunculannya.

Bagi menjayakan penerbitan lagu ini, Pengarah Produksi Luncai Emas Sdn. Bhd., Keon Omar telah memberikan tanggungjawab kepada penerbit muda, Hidayat Nasir yang juga pemain gitar kumpulan Pitahati untuk menerajui produksi karya berkenaan.

Hidayat menyifatkan peluang menerbitkan lagu ini sebagai satu penghormatan besar dalam kerjayanya.

“Saya amat bersyukur kerana diberi kepercayaan untuk menerbitkan lagu ini, yang menjadi penanda kemunculan semula Iskandar selepas beberapa tahun menyepi.

“Ia bukan tugas mudah, tetapi pengalaman ini amat bermakna,” kata Hidayat.

Menurutnya, antara cabaran utama dalam proses penghasilan lagu ini adalah memastikan susunan muzik dan interpretasi lagu selari dengan kekuatan vokal serta keperibadian maskulin Iskandar.

Dalam menghasilkan karya ini, Hidayat turut mendapat sokongan pasukan produksi yang mantap termasuk Zahar dari Pitahati sebagai pemain gitar, Faliq Mohd sebagai jurutera bunyi dan Ujang dari kumpulan Exist yang menggalas tugas sebagai pemain drum.

Keunikan Sewaktu Bahagia turut diperkukuh dengan sentuhan istimewa daripada maestro muzik tersohor tanah air, M. Nasir, yang memberi bimbingan secara langsung kepada Iskandar dalam menyampaikan emosi lagu secara lebih mendalam dan berkesan.

Kehadiran beliau memberi nilai tambah besar kepada mutu persembahan dan keseluruhan produksi lagu terbabit.

Sempena pelancaran rasmi lagu ini, sebuah video lirik turut telah dirakam dan ditayangkan menerusi saluran YouTube rasmi Luncai Emas sejak 25 Julai 2025.

Lagu ini juga akan tersedia secara serentak di semua platform penstriman digital.

Kemunculan Sewaktu Bahagia bukan sahaja mengumumkan kembalinya Iskandar Zulkarnain ke pentas muzik, tetapi juga membawa harapan baharu buat penggemar muzik tempatan yang sentiasa mendambakan karya-karya tulen, emosional dan penuh jiwa.

Maxim dibenar terus beroperasi di Malaysia, tertakluk kepada syarat APAD

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Penyedia perkhidmatan e-hailing antarabangsa, Maxim, mengesahkan syarikat itu akan terus beroperasi di seluruh Malaysia selepas menerima keputusan rasmi daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Kebenaran ini diberikan tertakluk kepada pematuhan terhadap syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Pengarah Maxim Malaysia, Mohd Hazwan Musley, dalam satu kenyataan berkata, pihaknya amat menghargai peluang untuk meneruskan operasi di negara ini dan akan berusaha memastikan penyediaan perkhidmatan yang bermanfaat, mudah diakses serta boleh dipercayai, seiring dengan keperluan yang digariskan oleh APAD.

“Maxim kekal komited untuk menyediakan perkhidmatan yang berterusan dan mematuhi segala peraturan yang telah ditetapkan.

“Kami akan terus mengekalkan standard perkhidmatan tertinggi sebagai sebahagian daripada usaha kami menyumbang kepada pembangunan sektor pengangkutan serta ekonomi digital negara,” katanya.

Menurut Mohd Hazwan, Maxim telah melaksanakan pelbagai langkah penting dalam memastikan pematuhan undang-undang, termasuk memastikan semua pemandu aktif mempunyai Permit Kenderaan E-Hailing (EVP) yang sah.

Selain itu, pemandu juga ditawarkan perlindungan insurans menerusi rakan kongsi strategik syarikat.

Langkah ini mencerminkan tekad Maxim dalam membina persekitaran e-hailing yang selamat, profesional dan mampan di seluruh negara.

Mengulas lanjut, beliau berkata, keselamatan serta kebajikan pemandu dan pengguna sentiasa menjadi keutamaan syarikat.

Maxim menawarkan model fleksibel yang membolehkan individu memilih untuk menjadi pemandu sepenuh masa atau sambilan, sekali gus membuka peluang pendapatan kepada ribuan rakyat Malaysia, khususnya di kawasan luar bandar dan wilayah yang kurang mendapat liputan perkhidmatan pengangkutan.

Maxim juga aktif melaksanakan pelbagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR), termasuk program kesedaran keselamatan jalan raya dan sumbangan kebajikan kepada masyarakat.

Di samping itu, syarikat melabur dalam penyelesaian mobiliti berasaskan teknologi pintar bagi meningkatkan tahap aksesibiliti, kecekapan serta kemampuan sistem pengangkutan digital di Malaysia.

“Segala usaha ini adalah sejajar dengan matlamat negara untuk memperkukuh budaya inovasi, memperluas peluang pekerjaan digital serta membina masa depan yang lebih inklusif dan saling berhubung,” tambahnya.

Maxim turut menyatakan komitmen untuk terus bekerjasama rapat dengan APAD serta pihak berkepentingan lain dalam memastikan pembangunan ekosistem pengangkutan yang cekap, selamat dan boleh dipercayai untuk semua lapisan masyarakat di Malaysia.

Sebelum ini, APAD telah mengeluarkan Notis Pembatalan Lesen Perniagaan Perantaraan (LPP) terhadap dua syarikat e-hailing, iaitu Maxim dan InDrive, yang dijadualkan berkuat kuasa pada 24 Julai 2025.

Tindakan itu diambil susulan audit yang mendapati kedua-dua syarikat gagal memastikan pemandu mereka memiliki EVP yang sah.

Namun begitu, selepas rayuan dikemukakan kepada Kementerian Pengangkutan, kedua-dua syarikat telah diarahkan untuk mengambil langkah pembetulan segera.

APAD kemudiannya memaklumkan Maxim dan InDrive dibenarkan meneruskan operasi, namun akan ditempatkan di bawah tempoh pemantauan selama tiga bulan bermula 25 Julai.

Dengan kelulusan ini, Maxim bertekad untuk terus memperbaiki operasinya serta menyumbang secara positif kepada landskap pengangkutan digital negara.

CelcomDigi perkenal penyelesaian keselamatan siber berkuasa AI untuk perusahaan Malaysia

editormaxinfo@gmail.com

PETALING JAYA – Dalam usaha memperkukuh pertahanan digital perusahaan tempatan, CelcomDigi Berhad (CelcomDigi) hari ini melancarkan rangkaian penyelesaian keselamatan siber berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang direka khas bagi membantu perniagaan berskala besar menangani ancaman digital yang kian pesat berkembang.

Penyelesaian keselamatan yang diperkenalkan ini merangkumi tiga bidang utama iaitu Perkhidmatan Keselamatan Terurus, Strategi dan Penilaian, serta Keselamatan Infrastruktur.

Dikuasakan oleh sistem pemantauan masa nyata yang beroperasi sepanjang masa, perkhidmatan ini mampu menjalankan proses ramalan, pengesanan, tindak balas serta pemulihan secara menyeluruh.

Rangkaian penyelesaian ini turut diiktiraf oleh Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan sejajar dengan piawaian rangka kerja keselamatan siber NIST.

Ia disokong oleh kepakaran lebih 150 profesional keselamatan dan rakan kongsi global CelcomDigi.

Ketua Pegawai Perusahaan Perniagaan CelcomDigi, Ts. Afizulazha Abdullah berkata, penyelesaian ini dibangunkan dengan mengambil kira landskap ancaman siber semasa yang semakin kompleks dan bersifat menyasarkan sektor kritikal.

“Reka bentuk keselamatan siber yang menyeluruh adalah amat penting pada masa kini.

“Statistik menunjukkan peningkatan sebanyak 29 peratus dalam insiden pencerobohan data di Malaysia pada suku pertama tahun ini.

“Oleh itu, pendekatan keselamatan yang bersifat prediktif dan adaptif menjadi kunci dalam memastikan kelangsungan operasi, mengekalkan kepercayaan pelanggan dan melindungi perniagaan,” katanya, merujuk kepada laporan MyCERT bagi S1 2025.

Majlis pelancaran penyelesaian ini turut diserikan dengan sesi simulasi ancaman siber secara eksklusif, yang menghimpunkan barisan pemimpin perniagaan dari pelbagai sektor industri.

Acara ini memberi peluang kepada peserta untuk menyaksikan secara langsung bagaimana serangan siber boleh berlaku, serta pendekatan tindak balas pantas yang diperlukan untuk meminimumkan impak terhadap operasi dan reputasi organisasi.

Perkhidmatan Keselamatan Terurus CelcomDigi ditawarkan melalui Pusat Operasi Keselamatan (SOC) yang beroperasi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu.

Ia merangkumi aspek penting seperti kesedaran dan kesiapsiagaan, pengesanan serta respons terurus, pengurusan kerentanan, ujian penembusan, perisikan ancaman, dan keselamatan ofensif kesemuanya direka untuk membantu organisasi mempertahankan diri daripada serangan siber canggih yang boleh mengganggu kelangsungan perniagaan.

Sementara itu, Perkhidmatan Strategi dan Penilaian pula menyediakan konsultasi menyeluruh bermula daripada analisis tahap keselamatan sedia ada, sehinggalah kepada cadangan strategi dan pelaksanaan pertahanan digital yang lebih berkesan.

Pendekatan ini membolehkan perniagaan membuat keputusan lebih tepat berdasarkan keperluan dan risiko sebenar yang mereka hadapi.

Di samping itu, Penyelesaian Keselamatan Infrastruktur CelcomDigi memperkukuh sistem pertahanan siber perusahaan dengan membekalkan peralatan serta teknologi terkini.

Ini termasuk perlindungan terhadap pusat data dan persekitaran awan, sistem firewall, pengurusan identiti dan akses, pencegahan serangan DDoS, keselamatan peranti dan rangkaian, serta perlindungan terhadap e-mel dan telefon mudah alih semuanya digabungkan dalam pendekatan berlapis yang mengimbangi tindakan proaktif dan reaktif.

Sesi simulasi yang dianjurkan dengan kerjasama Axiata Cyber Fusion Centre dan Bridgenet Solutions turut merangkumi perbincangan meja bulat bersama pakar-pakar industri.

Perbincangan ini menyentuh isu-isu kritikal termasuk jurang kesiapsiagaan, kerentanan sektor-sektor tertentu serta keperluan mendesak untuk strategi keselamatan yang lebih menyeluruh dan selaras dengan keperluan semasa.

Pelancaran ini menandakan satu lagi langkah penting dalam usaha CelcomDigi untuk menyokong pendigitalan perusahaan tempatan.

Penyelesaian keselamatan siber yang ditawarkan bukan sahaja memenuhi keperluan syarikat besar, tetapi juga dibangunkan berasaskan kepakaran dan pengalaman CelcomDigi dalam menyediakan perkhidmatan keselamatan untuk pelbagai jenis perniagaan.

CelcomDigi terus komited dalam memastikan organisasi di Malaysia bukan sahaja kekal selamat di alam digital, malah berdaya saing dan bersedia menghadapi perubahan landskap teknologi yang kian dinamik.

Untuk maklumat lanjut mengenai penyelesaian keselamatan siber berkuasa AI oleh CelcomDigi, layari laman web rasmi CelcomDigi Business.

“Dadah musuh utama negara, perlu kerjasama bersepadu” – Saifuddin Nasution

editormaxinfo@gmail.com

JITRA – Kerajaan menegaskan komitmen dalam memerangi ancaman dadah yang terus mengancam keselamatan dan kesejahteraan rakyat apabila Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyampaikan amanat penuh bersemangat sempena Sambutan Hari Anti Dadah Kebangsaan 2025 yang berlangsung di Dataran Darulaman, hari ini.

Dalam ucapannya, Saifuddin menekankan isu dadah bukan lagi hanya tanggungjawab agensi penguat kuasa semata-mata, tetapi satu perjuangan nasional yang memerlukan pendekatan bersepadu membabitkan semua pihak kerajaan persekutuan, kerajaan negeri, institusi masyarakat, pertubuhan agama dan orang awam.

Beliau mendedahkan sebanyak RM480 juta telah diperuntukkan oleh kerajaan bagi memperkukuh operasi Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan penyelenggaraan pusat-pusat pemulihan seluruh negara.

Tambahnya, permohonan tambahan sebanyak RM500 juta sedang diusahakan bagi memperluas kapasiti sedia ada dan meningkatkan keberkesanan intervensi rawatan serta pemulihan.

Menyentuh aspek penguatkuasaan, Saifuddin menjelaskan pindaan terhadap Akta Dadah Berbahaya dan Akta Penagih Dadah tahun lalu telah membawa kesan signifikan dalam mengekang sindiket serta memperketatkan hukuman terhadap pengedar.

“Tindakan undang-undang yang lebih tegas kini sedang dilaksanakan, dan kita tidak akan berkompromi terhadap pengkhianat yang memperdagangkan masa depan rakyat,” tegasnya.

Menurut beliau, 80 peratus kemasukan dadah ke dalam negara berlaku melalui laluan laut, namun penguatkuasaan masih terhad akibat kekangan aset logistik seperti helikopter dan kapal pemantau.

Bagaimanapun, katanya, usaha ini menerima suntikan baharu apabila permohonan kelengkapan tambahan telah diluluskan oleh Perdana Menteri.

“Perjuangan menentang dadah tidak mengenal sempadan. Kerjasama kita dengan negara ASEAN serta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga kini diperkukuh melalui operasi serantau, pemindahan kepakaran dan perkongsian risikan yang lebih menyeluruh,” katanya.

Saifuddin turut membentangkan data hasil kerjasama strategik bersama Pejabat Dadah dan Jenayah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNODC), yang menunjukkan tiga daerah paling terjejas dengan masalah penagihan dadah ialah Pendang (Kedah), Kuala Krai dan Bachok (Kelantan).

Manakala negeri-negeri dengan kadar penagihan tertinggi pula ialah Terengganu, Perlis, Kelantan dan Kedah.

Beliau turut memberi peringatan agar pihak berkuasa negeri dan pemimpin tempatan tidak memandang ringan fenomena ini kerana ia tidak hanya membabitkan penagih, tetapi turut menggugat struktur sosial dan keselamatan masyarakat.

Dalam nada tegas namun penuh harapan, Saifuddin menyeru seluruh kepimpinan negeri, terutamanya di Kedah, agar bergerak secara kolektif bersama agensi-agensi persekutuan.

“Ini bukan soal politik, ini soal tanggungjawab. Kita semua ada peranan,” katanya.

Beliau turut menyambut baik titah Sultan Kedah yang menyeru agar khutbah Jumaat di masjid-masjid diperkuatkan dengan mesej pencegahan dadah sebagai usaha mendidik masyarakat dari akar umbi.

Menutup ucapannya, Menteri Dalam Negeri itu menggariskan bahawa tiga perkara utama perlu menjadi asas dalam memerangi masalah ini iaitu keinsafan, agar masyarakat tidak terus menafikan realiti di hadapan mata.

 Kerjasama, kerana tiada satu pihak mampu bertindak sendirian dan komitmen, bahawa usaha ini memerlukan pendekatan menyeluruh dan berterusan.

“Usaha hari ini harus menjadi titik tolak kepada perubahan besar. Semoga Allah SWT memberkati perjuangan kita ini,” katanya.

Sebagai langkah lanjut, penduduk di negeri Kedah digesa tampil menjadi ‘mata dan telinga’ kepada pihak berkuasa dengan melaporkan sebarang aktiviti berkaitan penyalahgunaan dadah melalui AADK Careline di talian 019-6262233.

Dalam masa sama, program kesedaran akan diperluas ke sekolah-sekolah dan surau bagi meningkatkan kefahaman serta sokongan komuniti terhadap usaha pencegahan dadah.

Sambutan Hari Anti Dadah 2025 ini turut menyaksikan pelancaran beberapa inisiatif baharu dalam memperkasa pendidikan awam mengenai bahaya dadah dan pengukuhan sistem sokongan kepada individu yang menjalani proses pemulihan.

Yonnyboii capai impian tertinggi, ‘Tanya Tuhan’ perkongsian bermakna bersama Malique

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Impian besar yang sekian lama tersimpan dalam hati komposer dan penyanyi berbakat, Yonnyboii, akhirnya menjadi kenyataan apabila dia berjaya merealisasikan kolaborasi yang dianggap sebagai pencapaian tertinggi dalam kerjaya seninya bekerja bersama ikon muzik tanah air, Malique, menerusi single terbaharu berjudul Tanya Tuhan.

Dalam nada penuh rasa syukur dan keterujaan, Yonnyboii menyifatkan peluang berkarya bersama Malique bukan sahaja sebagai mimpi yang menjadi realiti, malah suatu kemenangan peribadi yang membawa makna amat mendalam dalam hidup dan kariernya.

“Saya masih tidak percaya bahawa impian ini benar-benar menjadi kenyataan.

“Malique adalah idola saya sejak dahulu dan akhirnya dapat duduk semeja serta menghasilkan karya bersamanya ia benar-benar satu pencapaian yang tidak dapat saya bayangkan sebelum ini,” kata Yonnyboii.

Lagu Tanya Tuhan adalah hasil ciptaan bersama Yonnyboii dan Malique dengan penerbitan muzik diketuai oleh LastKhalif, yang turut bertindak sebagai penerbit keseluruhan projek.

Momen kerjasama itu turut diabadikan melalui penulisan lirik yang lahir daripada gabungan idea dua generasi pengkarya muzik ini, menjadikan karya ini istimewa dari sudut penceritaan dan penyampaian emosi.

Yonnyboii tidak lupa untuk merakamkan penghargaan kepada Pengarah Kanan, A&R dan Pengurusan Artis Universal Music Malaysia, Hermond Cheng, yang menurutnya telah membuka pintu dan meletakkan kepercayaan penuh sehingga kerjasama dengan Malique dapat direalisasikan.

“Saya sangat berterima kasih kepada seluruh pasukan pengurusan. Tanpa sokongan mereka, impian saya mungkin kekal sebagai angan-angan. Ia satu penghormatan besar,” katanya lagi.

Bagi Yonnyboii, Tanya Tuhan bukan sekadar sebuah lagu, tetapi cerminan perjalanan peribadi yang penuh dengan refleksi dan pertanyaan terhadap kehidupan.

Katanya, inspirasi karya itu lahir daripada pengalaman sebenar, saat dirinya berdepan tekanan, kekeliruan dan keletihan dalam pelbagai aspek kehidupan sebagai seorang anak seni dan juga sebagai seorang bapa.

“Lagu ini datang daripada satu fasa kehidupan di mana saya tidak tahu kepada siapa lagi hendak bertanya.

“Bukan saya melalui penderitaan besar, tapi ada satu saat dalam hidup di mana saya terasa begitu jauh daripada diri sendiri, penat, ‘Burnout’ dan waktu itu, saya cuma mahu mencari jawapan,” luahnya.

Dia berharap agar lagu ini dapat menyentuh hati pendengar dan memberi kekuatan kepada mereka yang mungkin melalui situasi serupa.

Harapannya, Tanya Tuhan akan menjadi karya ikonik yang kekal dalam ingatan dan mampu menjadi suara kepada perasaan yang sukar diluahkan.

Menambahkan lagi keistimewaan lagu ini ialah penghasilan muzik videonya (MV) yang digarap oleh pengarah pilihan Yonnyboii sendiri, Thaqif seorang pengarah yang disifatkannya sebagai rakan, rakan seni dan penterjemah terbaik untuk idea-idea kreatifnya yang unik.

“MV ini sangat bermakna kerana saya akhirnya dapat bekerjasama semula dengan Thaqif.

“Dia faham cara saya berfikir. Dia terjemahkan ‘gila’ saya dalam bentuk visual yang sangat jujur dan indah. Saya harap kami dapat bekerjasama lagi untuk projek akan datang,” katanya.

Dengan segala elemen hebat yang menyatu daripada kolaborasi impian, penceritaan yang jujur, hingga produksi visual yang memukau Tanya Tuhan berdiri sebagai karya peribadi yang bukan sahaja mencerminkan kematangan Yonnyboii sebagai artis, malah menandakan satu babak penting dalam sejarah kerjaya seninya yang sedang terus berkembang.

Peniaga kecil Puchong Permai rayu keadilan, minta jangan tutup rezeki tanpa rundingan

editormaxinfo@gmail.com

PUCHONG – Suasana di Puchong Permai sejak kebelakangan ini menyaksikan gelombang kegelisahan dalam kalangan peniaga kecil yang semakin tertekan dengan tindakan pengosongan tapak niaga oleh pihak berkuasa tempatan.

Lebih 30 tahun berniaga di lokasi yang kini dianggap sebagai nadi ekonomi setempat, mereka kini berhadapan ketidakpastian masa depan selepas menerima notis perobohan tanpa tawaran penyelesaian yang sewajarnya.

Mewakili Persatuan Peniaga, Mohd Said Midon berkata, peniaga tidak pernah menolak pembangunan, malah menyokong segala usaha kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan dalam memodenkan kawasan perbandaran.

Namun dia kecewa pembangunan tidak seharusnya menjadi alasan untuk menindas golongan marhaen yang bergantung hidup kepada hasil perniagaan kecil.

“Sebagai wakil rakyat, tanggungjawab utama adalah membela rakyat, bukan menutup periuk nasi mereka.

“Kami bukan lawan pembangunan, tetapi kami mahu suara kami didengari sebelum sebarang tindakan dibuat,” katanya dalam satu sidang media.

Tapak perniagaan itu yang telah diwujudkan sejak 1995, menempatkan pelbagai jenis gerai seperti penjaja makanan, kedai cuci kereta, nurseri dan penjual pakaian terpakai.

Ramai daripada mereka telah berniaga di situ selama lebih dua dekad dan menurut mereka, kewujudan gerai pernah dilihat sebagai satu bentuk toleransi dan penyelesaian sementara oleh pihak berkuasa tempatan sendiri suatu ketika dahulu.

Namun, pada April 2024, lebih 147 notis telah dikeluarkan oleh Pejabat Daerah Petaling dan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dengan arahan agar kawasan itu dikosongkan menjelang akhir Julai 2025.

Rundingan yang dikatakan telah dimulakan sejak itu, bagaimanapun tidak berakhir dengan sebarang keputusan rasmi mahupun pelan penempatan semula yang konkrit.

Peniaga turut mempersoalkan cadangan pemindahan ke Dataran Puchong Permai yang didakwa tidak sesuai dari segi lokasi, kemudahan asas dan akses pelanggan.

Mereka bimbang kawasan baharu itu hanya akan menyukarkan lagi keadaan serta menjejaskan punca pendapatan harian.

“Kalau hendak bantu, berilah tempat yang sesuai. Jangan pindahkan kami ke kawasan mati. Ini bukan penyelesaian, ini penyingkiran perlahan-lahan,” kata seorang peniaga.

Sebagai alternatif, peniaga mencadangkan agar gerai-gerai sedia ada disusun semula secara teratur dengan pelan pembangunan yang bersifat menang-menang seperti membina kemudahan letak kereta di bahagian belakang tanpa menjejaskan operasi perniagaan di bahagian hadapan.

“Kami terbuka untuk berbincang. Tapi jangan tiba-tiba datang dengan jentolak. Tak ada surat rasmi, tak ada tempat ganti, tak diberi masa untuk berpindah. Di mana keadilannya?,” kata Mohd Said.

Dalam rayuan terbuka kepada pihak berkuasa, peniaga memohon campur tangan daripada Menteri Besar Selangor, Dato’ Bandar Subang Jaya, Pegawai Daerah Petaling, serta Ahli Dewan Undangan Negeri Sri Serdang, agar isu ini diberi perhatian serius dan penyelesaian yang adil dapat dicapai.

“Kami bukan mahu istimewa, kami cuma mahu terus hidup. Gerai ini tempat kami cari makan, bukan tapak untuk mengaut kekayaan.

“Tolong hormati kami sebagai rakyat yang selama ini patuh, membayar cukai dan menyumbang kepada ekonomi tempatan,” katanya.

Semua peniaga yang terbabit mengakui mereka bukan penghalang kemajuan, sebaliknya mereka adalah sebahagian daripada denyut ekonomi rakyat.

Mereka bersedia berpindah jika perlu tetapi dengan syarat proses itu dilakukan secara berhemah, melalui perbincangan yang telus dan dengan jaminan penempatan semula yang mampu menjamin kelangsungan hidup.

Jika aspirasi Malaysia MADANI benar-benar ingin diterjemahkan ke dalam tindakan, mereka berharap nilai ihsan dan belas kasihan akan dipraktikkan terlebih dahulu terhadap rakyat kecil.

“Kami tidak mahu berdepan jentolak esok, jika hari ini tiada satu tangan pun yang sudi berbincang,” katanya penuh harapan.

2.3 tan durian serikan sambutan Hari Keluarga UPSI 2025

editormaxinfo@gmail.com

TANJONG MALIM – Suasana mesra dan penuh kemeriahan menyelubungi Kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) apabila sebanyak 2.3 tan durian diagihkan kepada warga universiti sempena Sambutan Hari Keluarga UPSI 2025 yang diadakan serentak dengan Perhimpunan Bulanan Edisi Julai.

Lebih daripada sekadar jamuan istimewa, pengagihan buah durian serta pelbagai buah-buahan tempatan lain membawa simbolik mendalam tentang kemewahan rezeki, semangat kebersamaan dan hasil usaha kolektif seluruh warga UPSI.

Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, majlis ini mencerminkan kekayaan biodiversiti negara serta budaya berkongsi nikmat sesama komuniti.

“Jamuan ini bukan sekadar mengisi ruang santai, tetapi ia melambangkan semangat kerjasama dan kesyukuran yang menyatukan kita sebagai sebuah keluarga besar dalam dunia pendidikan,” katany ketika menyempurnakan majlis yang berlangsung di Gerbang Suria, di sini.

Sambutan Hari Keluarga UPSI turut dilihat sebagai wadah yang memperkukuhkan hubungan silaturahim dan budaya kerja berpasukan.

Md Amin berkata, adalah asas kepada kekuatan sesebuah institusi dan beliau menekankan semangat kekitaan yang lahir daripada hubungan harmoni antara warga kerja menjadi tunjang kepada kepercayaan dan kecekapan dalam organisasi.

“Kita semua adalah satu keluarga besar keluarga pendidik. Budaya kerja yang berpasukan bermula daripada hati yang saling menghargai dan mempercayai antara satu sama lain,” katanya lagi.

Md Amin turut merakamkan penghargaan kepada Ikatan Persatuan Kesatuan Kakitangan UPSI (JITU) selaku penganjur utama, atas kerjasama erat bersama Persatuan Wanita UPSI (PEWARIS), Kesatuan Pegawai Am UPSI (KPA), Persatuan Kakitangan Akademik UPSI (PEKA) dan Persatuan Tadbir dan Pegawai Ikhtisas UPSI (PRESTASI) serta sokongan padu pelbagai fakulti dan pusat tanggungjawab universiti.

“JITU telah membuktikan apabila kita bersatu hati dan sejiwa, walaupun datang daripada latar belakang serta skop kerja berbeza, hasilnya adalah sesuatu yang luar biasa.

“Budaya ini harus terus dipupuk untuk memperkukuh perpaduan warga UPSI,” katanya.

Dalam majlis yang sama, turut berlangsung pelancaran sistem Integrated Collaboration and Networking System (ICONS), sebuah inisiatif Jabatan Strategik UPSI yang bertujuan memperkasa keupayaan kolaboratif warga universiti.

Turut dilancarkan ialah Dasar Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan (Pindaan 2025) yang dikelolakan oleh Bahagian Pengurusan Risiko dan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan UPSI.

Acara berkenaan dimeriahkan lagi dengan penyediaan gerai juadah tempatan oleh pelbagai fakulti dan jabatan, disertai pelbagai aktiviti kekeluargaan yang mengeratkan hubungan antara warga akademik dan pentadbiran, tanpa mengira pangkat atau peranan.

Mengakhiri ucapannya, Md Amin menyampaikan mesej penuh makna.

 “Hari ini kita bergembira bersama, esok kita terus melakar kecemerlangan bersama.

“UPSI unggul kerana warganya bersatu dan bekerja sebagai satu keluarga,” katanya.

King’s Cup 2025 diiktiraf lancar, Abdul Halim Kader puji komitmen tuan rumah Thailand

editormaxinfo@gmail.com

HATYAI – Kejohanan Sepak Takraw Dunia Istaf Piala Raja Thailand (King’s Cup) Ke-38 yang sedang berlangsung di Hatyai, Songkhla, mendapat pujian daripada Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) berikutan penganjurannya yang tersusun dan menepati standard antarabangsa.

Setiausaha Agung ISTAF, Datuk Abdul Halim Kader, menyifatkan dua hari awal kejohanan sebagai sangat lancar dan memuaskan dari segi pengurusan serta pelaksanaan teknikal.

Beliau memuji komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh Persatuan Sepak Takraw Thailand (TAT) selaku penganjur utama, termasuk dalam memastikan aspek keselamatan dipelihara sepenuhnya meskipun lokasi kejohanan sebelum ini dikaitkan dengan insiden keselamatan.

“Sepanjang dua hari pemantauan kami, saya amat berpuas hati dengan kelancaran perjalanan kejohanan ini.

“Komitmen serta kerja keras yang ditunjukkan oleh TAT dan Jawatankuasa Pengelola amat mengagumkan.

“Mereka sentiasa terbuka menerima nasihat dan pandangan daripada ISTAF demi memastikan sebarang isu yang timbul, khususnya berkaitan keselamatan dan kelancaran teknikal, dapat ditangani dengan cermat,” katanya yang turut bertindak sebagai Wakil Teknikal Kejohanan.

Beliau turut memuji kepimpinan barisan utama TAT yang diketuai Presidennya, Thana Chaiprasit, bersama Naib Presiden, Viradech Sompita serta Dr. Srihasak Arrirachakaran.

Turut diberi penghargaan ialah Pemangku Presiden ISTAF, Boonchai Lorhpipat yang menurutnya sentiasa memberikan sokongan penuh dalam memastikan kejohanan ini berlangsung dalam suasana profesional dan berprestij.

Kejohanan yang bermula pada 22 Julai lalu dan akan berakhir 27 Julai ini, berlangsung di sebuah pusat beli-belah terkemuka di Hatyai.

Ia menyaksikan penyertaan 18 buah negara termasuk Malaysia, Myanmar, Korea Selatan, Singapura, Vietnam, Jepun, India, Sri Lanka dan Perancis, selain tuan rumah Thailand yang terkenal sebagai kuasa utama sukan sepak takraw dunia.

Menurut Halim yang juga Presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF), majlis perasmian yang diadakan pada malam pembukaan turut menggambarkan kemegahan serta tradisi panjang penganjuran King’s Cup, yang telah ditauliahkan sebagai Kejohanan Dunia oleh ISTAF sejak Disember 1992.

“Majlis perasmian diserikan dengan persembahan seni tarian warisan Thailand iaitu Menora, yang bukan sahaja memperlihatkan kekayaan budaya tempatan, tetapi juga membayangkan permulaan yang bersemangat dan penuh makna bagi kejohanan sepak takraw antarabangsa tertua di dunia ini,” katanya.

Bagi menjamin integriti pertandingan, seramai 78 pegawai teknikal berkelayakan telah dilantik, termasuk 26 dari Thailand yang diketuai Manop Chujit, serta 52 lagi dari negara-negara sepak takraw utama seperti Malaysia, Indonesia, Korea Selatan dan Myanmar.

Barisan Juri pula dipengerusikan oleh Timbalan Presiden ISTAF, Fariq Halim dari Singapura dengan enam anggota lain termasuk Jais Abdul Karim dari Malaysia dan Prof. Chalerm Chaiwatcharaporn dari Thailand.

Jawatankuasa Penganjur King’s Cup jelas menunjukkan keupayaan luar biasa dalam mengendalikan pelbagai aspek penganjuran merangkumi penyediaan logistik, tempat pertandingan, sambutan kepada pasukan antarabangsa, sehingga penyusunan jadual yang efisien dan profesional.

Keseluruhan penganjuran King’s Cup 2025 setakat ini berjaya mencerminkan kesungguhan dan tekad Thailand dalam memastikan kejohanan ini bukan sahaja memenuhi ekspektasi antarabangsa, malah mampu menjadi penanda aras baharu bagi penganjuran sukan sepak takraw di peringkat global.