editormaxinfo@gmail.com
PUCHONG – Suasana di Puchong Permai sejak kebelakangan ini menyaksikan gelombang kegelisahan dalam kalangan peniaga kecil yang semakin tertekan dengan tindakan pengosongan tapak niaga oleh pihak berkuasa tempatan.
Lebih 30 tahun berniaga di lokasi yang kini dianggap sebagai nadi ekonomi setempat, mereka kini berhadapan ketidakpastian masa depan selepas menerima notis perobohan tanpa tawaran penyelesaian yang sewajarnya.
Mewakili Persatuan Peniaga, Mohd Said Midon berkata, peniaga tidak pernah menolak pembangunan, malah menyokong segala usaha kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan dalam memodenkan kawasan perbandaran.
Namun dia kecewa pembangunan tidak seharusnya menjadi alasan untuk menindas golongan marhaen yang bergantung hidup kepada hasil perniagaan kecil.
“Sebagai wakil rakyat, tanggungjawab utama adalah membela rakyat, bukan menutup periuk nasi mereka.
“Kami bukan lawan pembangunan, tetapi kami mahu suara kami didengari sebelum sebarang tindakan dibuat,” katanya dalam satu sidang media.
Tapak perniagaan itu yang telah diwujudkan sejak 1995, menempatkan pelbagai jenis gerai seperti penjaja makanan, kedai cuci kereta, nurseri dan penjual pakaian terpakai.

Ramai daripada mereka telah berniaga di situ selama lebih dua dekad dan menurut mereka, kewujudan gerai pernah dilihat sebagai satu bentuk toleransi dan penyelesaian sementara oleh pihak berkuasa tempatan sendiri suatu ketika dahulu.
Namun, pada April 2024, lebih 147 notis telah dikeluarkan oleh Pejabat Daerah Petaling dan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dengan arahan agar kawasan itu dikosongkan menjelang akhir Julai 2025.
Rundingan yang dikatakan telah dimulakan sejak itu, bagaimanapun tidak berakhir dengan sebarang keputusan rasmi mahupun pelan penempatan semula yang konkrit.
Peniaga turut mempersoalkan cadangan pemindahan ke Dataran Puchong Permai yang didakwa tidak sesuai dari segi lokasi, kemudahan asas dan akses pelanggan.
Mereka bimbang kawasan baharu itu hanya akan menyukarkan lagi keadaan serta menjejaskan punca pendapatan harian.
“Kalau hendak bantu, berilah tempat yang sesuai. Jangan pindahkan kami ke kawasan mati. Ini bukan penyelesaian, ini penyingkiran perlahan-lahan,” kata seorang peniaga.
Sebagai alternatif, peniaga mencadangkan agar gerai-gerai sedia ada disusun semula secara teratur dengan pelan pembangunan yang bersifat menang-menang seperti membina kemudahan letak kereta di bahagian belakang tanpa menjejaskan operasi perniagaan di bahagian hadapan.
“Kami terbuka untuk berbincang. Tapi jangan tiba-tiba datang dengan jentolak. Tak ada surat rasmi, tak ada tempat ganti, tak diberi masa untuk berpindah. Di mana keadilannya?,” kata Mohd Said.
Dalam rayuan terbuka kepada pihak berkuasa, peniaga memohon campur tangan daripada Menteri Besar Selangor, Dato’ Bandar Subang Jaya, Pegawai Daerah Petaling, serta Ahli Dewan Undangan Negeri Sri Serdang, agar isu ini diberi perhatian serius dan penyelesaian yang adil dapat dicapai.
“Kami bukan mahu istimewa, kami cuma mahu terus hidup. Gerai ini tempat kami cari makan, bukan tapak untuk mengaut kekayaan.
“Tolong hormati kami sebagai rakyat yang selama ini patuh, membayar cukai dan menyumbang kepada ekonomi tempatan,” katanya.

Semua peniaga yang terbabit mengakui mereka bukan penghalang kemajuan, sebaliknya mereka adalah sebahagian daripada denyut ekonomi rakyat.
Mereka bersedia berpindah jika perlu tetapi dengan syarat proses itu dilakukan secara berhemah, melalui perbincangan yang telus dan dengan jaminan penempatan semula yang mampu menjamin kelangsungan hidup.
Jika aspirasi Malaysia MADANI benar-benar ingin diterjemahkan ke dalam tindakan, mereka berharap nilai ihsan dan belas kasihan akan dipraktikkan terlebih dahulu terhadap rakyat kecil.
“Kami tidak mahu berdepan jentolak esok, jika hari ini tiada satu tangan pun yang sudi berbincang,” katanya penuh harapan.


https://shorturl.fm/TBVSI