28.5 C
Kuala Lumpur
Wednesday, June 17, 2026

2.3 tan durian serikan sambutan Hari Keluarga UPSI 2025

editormaxinfo@gmail.com

TANJONG MALIM – Suasana mesra dan penuh kemeriahan menyelubungi Kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) apabila sebanyak 2.3 tan durian diagihkan kepada warga universiti sempena Sambutan Hari Keluarga UPSI 2025 yang diadakan serentak dengan Perhimpunan Bulanan Edisi Julai.

Lebih daripada sekadar jamuan istimewa, pengagihan buah durian serta pelbagai buah-buahan tempatan lain membawa simbolik mendalam tentang kemewahan rezeki, semangat kebersamaan dan hasil usaha kolektif seluruh warga UPSI.

Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, majlis ini mencerminkan kekayaan biodiversiti negara serta budaya berkongsi nikmat sesama komuniti.

“Jamuan ini bukan sekadar mengisi ruang santai, tetapi ia melambangkan semangat kerjasama dan kesyukuran yang menyatukan kita sebagai sebuah keluarga besar dalam dunia pendidikan,” katany ketika menyempurnakan majlis yang berlangsung di Gerbang Suria, di sini.

Sambutan Hari Keluarga UPSI turut dilihat sebagai wadah yang memperkukuhkan hubungan silaturahim dan budaya kerja berpasukan.

Md Amin berkata, adalah asas kepada kekuatan sesebuah institusi dan beliau menekankan semangat kekitaan yang lahir daripada hubungan harmoni antara warga kerja menjadi tunjang kepada kepercayaan dan kecekapan dalam organisasi.

“Kita semua adalah satu keluarga besar keluarga pendidik. Budaya kerja yang berpasukan bermula daripada hati yang saling menghargai dan mempercayai antara satu sama lain,” katanya lagi.

Md Amin turut merakamkan penghargaan kepada Ikatan Persatuan Kesatuan Kakitangan UPSI (JITU) selaku penganjur utama, atas kerjasama erat bersama Persatuan Wanita UPSI (PEWARIS), Kesatuan Pegawai Am UPSI (KPA), Persatuan Kakitangan Akademik UPSI (PEKA) dan Persatuan Tadbir dan Pegawai Ikhtisas UPSI (PRESTASI) serta sokongan padu pelbagai fakulti dan pusat tanggungjawab universiti.

“JITU telah membuktikan apabila kita bersatu hati dan sejiwa, walaupun datang daripada latar belakang serta skop kerja berbeza, hasilnya adalah sesuatu yang luar biasa.

“Budaya ini harus terus dipupuk untuk memperkukuh perpaduan warga UPSI,” katanya.

Dalam majlis yang sama, turut berlangsung pelancaran sistem Integrated Collaboration and Networking System (ICONS), sebuah inisiatif Jabatan Strategik UPSI yang bertujuan memperkasa keupayaan kolaboratif warga universiti.

Turut dilancarkan ialah Dasar Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan (Pindaan 2025) yang dikelolakan oleh Bahagian Pengurusan Risiko dan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan UPSI.

Acara berkenaan dimeriahkan lagi dengan penyediaan gerai juadah tempatan oleh pelbagai fakulti dan jabatan, disertai pelbagai aktiviti kekeluargaan yang mengeratkan hubungan antara warga akademik dan pentadbiran, tanpa mengira pangkat atau peranan.

Mengakhiri ucapannya, Md Amin menyampaikan mesej penuh makna.

 “Hari ini kita bergembira bersama, esok kita terus melakar kecemerlangan bersama.

“UPSI unggul kerana warganya bersatu dan bekerja sebagai satu keluarga,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular