27.5 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 30, 2026

Yonnyboii capai impian tertinggi, ‘Tanya Tuhan’ perkongsian bermakna bersama Malique

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Impian besar yang sekian lama tersimpan dalam hati komposer dan penyanyi berbakat, Yonnyboii, akhirnya menjadi kenyataan apabila dia berjaya merealisasikan kolaborasi yang dianggap sebagai pencapaian tertinggi dalam kerjaya seninya bekerja bersama ikon muzik tanah air, Malique, menerusi single terbaharu berjudul Tanya Tuhan.

Dalam nada penuh rasa syukur dan keterujaan, Yonnyboii menyifatkan peluang berkarya bersama Malique bukan sahaja sebagai mimpi yang menjadi realiti, malah suatu kemenangan peribadi yang membawa makna amat mendalam dalam hidup dan kariernya.

“Saya masih tidak percaya bahawa impian ini benar-benar menjadi kenyataan.

“Malique adalah idola saya sejak dahulu dan akhirnya dapat duduk semeja serta menghasilkan karya bersamanya ia benar-benar satu pencapaian yang tidak dapat saya bayangkan sebelum ini,” kata Yonnyboii.

Lagu Tanya Tuhan adalah hasil ciptaan bersama Yonnyboii dan Malique dengan penerbitan muzik diketuai oleh LastKhalif, yang turut bertindak sebagai penerbit keseluruhan projek.

Momen kerjasama itu turut diabadikan melalui penulisan lirik yang lahir daripada gabungan idea dua generasi pengkarya muzik ini, menjadikan karya ini istimewa dari sudut penceritaan dan penyampaian emosi.

Yonnyboii tidak lupa untuk merakamkan penghargaan kepada Pengarah Kanan, A&R dan Pengurusan Artis Universal Music Malaysia, Hermond Cheng, yang menurutnya telah membuka pintu dan meletakkan kepercayaan penuh sehingga kerjasama dengan Malique dapat direalisasikan.

“Saya sangat berterima kasih kepada seluruh pasukan pengurusan. Tanpa sokongan mereka, impian saya mungkin kekal sebagai angan-angan. Ia satu penghormatan besar,” katanya lagi.

Bagi Yonnyboii, Tanya Tuhan bukan sekadar sebuah lagu, tetapi cerminan perjalanan peribadi yang penuh dengan refleksi dan pertanyaan terhadap kehidupan.

Katanya, inspirasi karya itu lahir daripada pengalaman sebenar, saat dirinya berdepan tekanan, kekeliruan dan keletihan dalam pelbagai aspek kehidupan sebagai seorang anak seni dan juga sebagai seorang bapa.

“Lagu ini datang daripada satu fasa kehidupan di mana saya tidak tahu kepada siapa lagi hendak bertanya.

“Bukan saya melalui penderitaan besar, tapi ada satu saat dalam hidup di mana saya terasa begitu jauh daripada diri sendiri, penat, ‘Burnout’ dan waktu itu, saya cuma mahu mencari jawapan,” luahnya.

Dia berharap agar lagu ini dapat menyentuh hati pendengar dan memberi kekuatan kepada mereka yang mungkin melalui situasi serupa.

Harapannya, Tanya Tuhan akan menjadi karya ikonik yang kekal dalam ingatan dan mampu menjadi suara kepada perasaan yang sukar diluahkan.

Menambahkan lagi keistimewaan lagu ini ialah penghasilan muzik videonya (MV) yang digarap oleh pengarah pilihan Yonnyboii sendiri, Thaqif seorang pengarah yang disifatkannya sebagai rakan, rakan seni dan penterjemah terbaik untuk idea-idea kreatifnya yang unik.

“MV ini sangat bermakna kerana saya akhirnya dapat bekerjasama semula dengan Thaqif.

“Dia faham cara saya berfikir. Dia terjemahkan ‘gila’ saya dalam bentuk visual yang sangat jujur dan indah. Saya harap kami dapat bekerjasama lagi untuk projek akan datang,” katanya.

Dengan segala elemen hebat yang menyatu daripada kolaborasi impian, penceritaan yang jujur, hingga produksi visual yang memukau Tanya Tuhan berdiri sebagai karya peribadi yang bukan sahaja mencerminkan kematangan Yonnyboii sebagai artis, malah menandakan satu babak penting dalam sejarah kerjaya seninya yang sedang terus berkembang.

ARTIKEL BERKAITAN

1 COMMENT

Comments are closed.

Popular