25.5 C
Kuala Lumpur
Saturday, May 2, 2026

CelcomDigi perkenal penyelesaian keselamatan siber berkuasa AI untuk perusahaan Malaysia

editormaxinfo@gmail.com

PETALING JAYA – Dalam usaha memperkukuh pertahanan digital perusahaan tempatan, CelcomDigi Berhad (CelcomDigi) hari ini melancarkan rangkaian penyelesaian keselamatan siber berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang direka khas bagi membantu perniagaan berskala besar menangani ancaman digital yang kian pesat berkembang.

Penyelesaian keselamatan yang diperkenalkan ini merangkumi tiga bidang utama iaitu Perkhidmatan Keselamatan Terurus, Strategi dan Penilaian, serta Keselamatan Infrastruktur.

Dikuasakan oleh sistem pemantauan masa nyata yang beroperasi sepanjang masa, perkhidmatan ini mampu menjalankan proses ramalan, pengesanan, tindak balas serta pemulihan secara menyeluruh.

Rangkaian penyelesaian ini turut diiktiraf oleh Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan sejajar dengan piawaian rangka kerja keselamatan siber NIST.

Ia disokong oleh kepakaran lebih 150 profesional keselamatan dan rakan kongsi global CelcomDigi.

Ketua Pegawai Perusahaan Perniagaan CelcomDigi, Ts. Afizulazha Abdullah berkata, penyelesaian ini dibangunkan dengan mengambil kira landskap ancaman siber semasa yang semakin kompleks dan bersifat menyasarkan sektor kritikal.

“Reka bentuk keselamatan siber yang menyeluruh adalah amat penting pada masa kini.

“Statistik menunjukkan peningkatan sebanyak 29 peratus dalam insiden pencerobohan data di Malaysia pada suku pertama tahun ini.

“Oleh itu, pendekatan keselamatan yang bersifat prediktif dan adaptif menjadi kunci dalam memastikan kelangsungan operasi, mengekalkan kepercayaan pelanggan dan melindungi perniagaan,” katanya, merujuk kepada laporan MyCERT bagi S1 2025.

Majlis pelancaran penyelesaian ini turut diserikan dengan sesi simulasi ancaman siber secara eksklusif, yang menghimpunkan barisan pemimpin perniagaan dari pelbagai sektor industri.

Acara ini memberi peluang kepada peserta untuk menyaksikan secara langsung bagaimana serangan siber boleh berlaku, serta pendekatan tindak balas pantas yang diperlukan untuk meminimumkan impak terhadap operasi dan reputasi organisasi.

Perkhidmatan Keselamatan Terurus CelcomDigi ditawarkan melalui Pusat Operasi Keselamatan (SOC) yang beroperasi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu.

Ia merangkumi aspek penting seperti kesedaran dan kesiapsiagaan, pengesanan serta respons terurus, pengurusan kerentanan, ujian penembusan, perisikan ancaman, dan keselamatan ofensif kesemuanya direka untuk membantu organisasi mempertahankan diri daripada serangan siber canggih yang boleh mengganggu kelangsungan perniagaan.

Sementara itu, Perkhidmatan Strategi dan Penilaian pula menyediakan konsultasi menyeluruh bermula daripada analisis tahap keselamatan sedia ada, sehinggalah kepada cadangan strategi dan pelaksanaan pertahanan digital yang lebih berkesan.

Pendekatan ini membolehkan perniagaan membuat keputusan lebih tepat berdasarkan keperluan dan risiko sebenar yang mereka hadapi.

Di samping itu, Penyelesaian Keselamatan Infrastruktur CelcomDigi memperkukuh sistem pertahanan siber perusahaan dengan membekalkan peralatan serta teknologi terkini.

Ini termasuk perlindungan terhadap pusat data dan persekitaran awan, sistem firewall, pengurusan identiti dan akses, pencegahan serangan DDoS, keselamatan peranti dan rangkaian, serta perlindungan terhadap e-mel dan telefon mudah alih semuanya digabungkan dalam pendekatan berlapis yang mengimbangi tindakan proaktif dan reaktif.

Sesi simulasi yang dianjurkan dengan kerjasama Axiata Cyber Fusion Centre dan Bridgenet Solutions turut merangkumi perbincangan meja bulat bersama pakar-pakar industri.

Perbincangan ini menyentuh isu-isu kritikal termasuk jurang kesiapsiagaan, kerentanan sektor-sektor tertentu serta keperluan mendesak untuk strategi keselamatan yang lebih menyeluruh dan selaras dengan keperluan semasa.

Pelancaran ini menandakan satu lagi langkah penting dalam usaha CelcomDigi untuk menyokong pendigitalan perusahaan tempatan.

Penyelesaian keselamatan siber yang ditawarkan bukan sahaja memenuhi keperluan syarikat besar, tetapi juga dibangunkan berasaskan kepakaran dan pengalaman CelcomDigi dalam menyediakan perkhidmatan keselamatan untuk pelbagai jenis perniagaan.

CelcomDigi terus komited dalam memastikan organisasi di Malaysia bukan sahaja kekal selamat di alam digital, malah berdaya saing dan bersedia menghadapi perubahan landskap teknologi yang kian dinamik.

Untuk maklumat lanjut mengenai penyelesaian keselamatan siber berkuasa AI oleh CelcomDigi, layari laman web rasmi CelcomDigi Business.

ARTIKEL BERKAITAN

1 COMMENT

Comments are closed.

Popular