25.3 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 15, 2026

Maxim dibenar terus beroperasi di Malaysia, tertakluk kepada syarat APAD

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Penyedia perkhidmatan e-hailing antarabangsa, Maxim, mengesahkan syarikat itu akan terus beroperasi di seluruh Malaysia selepas menerima keputusan rasmi daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Kebenaran ini diberikan tertakluk kepada pematuhan terhadap syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Pengarah Maxim Malaysia, Mohd Hazwan Musley, dalam satu kenyataan berkata, pihaknya amat menghargai peluang untuk meneruskan operasi di negara ini dan akan berusaha memastikan penyediaan perkhidmatan yang bermanfaat, mudah diakses serta boleh dipercayai, seiring dengan keperluan yang digariskan oleh APAD.

“Maxim kekal komited untuk menyediakan perkhidmatan yang berterusan dan mematuhi segala peraturan yang telah ditetapkan.

“Kami akan terus mengekalkan standard perkhidmatan tertinggi sebagai sebahagian daripada usaha kami menyumbang kepada pembangunan sektor pengangkutan serta ekonomi digital negara,” katanya.

Menurut Mohd Hazwan, Maxim telah melaksanakan pelbagai langkah penting dalam memastikan pematuhan undang-undang, termasuk memastikan semua pemandu aktif mempunyai Permit Kenderaan E-Hailing (EVP) yang sah.

Selain itu, pemandu juga ditawarkan perlindungan insurans menerusi rakan kongsi strategik syarikat.

Langkah ini mencerminkan tekad Maxim dalam membina persekitaran e-hailing yang selamat, profesional dan mampan di seluruh negara.

Mengulas lanjut, beliau berkata, keselamatan serta kebajikan pemandu dan pengguna sentiasa menjadi keutamaan syarikat.

Maxim menawarkan model fleksibel yang membolehkan individu memilih untuk menjadi pemandu sepenuh masa atau sambilan, sekali gus membuka peluang pendapatan kepada ribuan rakyat Malaysia, khususnya di kawasan luar bandar dan wilayah yang kurang mendapat liputan perkhidmatan pengangkutan.

Maxim juga aktif melaksanakan pelbagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR), termasuk program kesedaran keselamatan jalan raya dan sumbangan kebajikan kepada masyarakat.

Di samping itu, syarikat melabur dalam penyelesaian mobiliti berasaskan teknologi pintar bagi meningkatkan tahap aksesibiliti, kecekapan serta kemampuan sistem pengangkutan digital di Malaysia.

“Segala usaha ini adalah sejajar dengan matlamat negara untuk memperkukuh budaya inovasi, memperluas peluang pekerjaan digital serta membina masa depan yang lebih inklusif dan saling berhubung,” tambahnya.

Maxim turut menyatakan komitmen untuk terus bekerjasama rapat dengan APAD serta pihak berkepentingan lain dalam memastikan pembangunan ekosistem pengangkutan yang cekap, selamat dan boleh dipercayai untuk semua lapisan masyarakat di Malaysia.

Sebelum ini, APAD telah mengeluarkan Notis Pembatalan Lesen Perniagaan Perantaraan (LPP) terhadap dua syarikat e-hailing, iaitu Maxim dan InDrive, yang dijadualkan berkuat kuasa pada 24 Julai 2025.

Tindakan itu diambil susulan audit yang mendapati kedua-dua syarikat gagal memastikan pemandu mereka memiliki EVP yang sah.

Namun begitu, selepas rayuan dikemukakan kepada Kementerian Pengangkutan, kedua-dua syarikat telah diarahkan untuk mengambil langkah pembetulan segera.

APAD kemudiannya memaklumkan Maxim dan InDrive dibenarkan meneruskan operasi, namun akan ditempatkan di bawah tempoh pemantauan selama tiga bulan bermula 25 Julai.

Dengan kelulusan ini, Maxim bertekad untuk terus memperbaiki operasinya serta menyumbang secara positif kepada landskap pengangkutan digital negara.

ARTIKEL BERKAITAN

1 COMMENT

Comments are closed.

Popular