28.5 C
Kuala Lumpur
Wednesday, June 17, 2026
Home Blog Page 71

G57 buat laporan polis, dakwa portal fitnah Ketua Menteri Sabah dalam isu lesen perlombongan

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) hari ini tampil mempertahankan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, susulan dakwaan mengaitkan beliau dalam isu kontroversi berhubung kelulusan lesen cari gali mineral di negeri itu.

Pengerusi G57, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, tuduhan itu adalah satu bentuk fitnah jahat yang berniat mencemarkan nama baik Hajiji dan pentadbiran negeri Sabah.

Beliau mendakwa, Ketua Menteri itu sebenarnya telah bertindak mempertahankan kepentingan negeri dan rakyat dengan membatalkan kelulusan lesen yang dipercayai memberi kelebihan kepada pihak-pihak berkepentingan tertentu.

“Hanya kerana beliau enggan tunduk kepada desakan kartel dan membatalkan lesen terbabit, kini beliau menjadi sasaran fitnah.

“Malah, lebih malang apabila terdapat portal berita yang sanggup bersekongkol menyebarkan tuduhan tidak berasas,” katanya ketika ditemui media di pekarangan Balai Polis Sri Petaling, selepas membuat satu laporan polis terhadap portal berkenaan.

Menurut Zulkarnain, tindakan G57 membuat laporan polis ini adalah untuk menuntut keadilan dan memohon agar pihak berkuasa menyiasat serta mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang terbabit menyebarkan maklumat palsu.

Tegasnya lagi, usaha ini penting demi membersihkan nama Hajiji Noor yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah.

“Kami juga menggesa agar Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) turut mengambil tindakan tegas terhadap portal terbabit yang jelas melampaui batas etika kewartawanan dengan menerbitkan laporan berunsur fitnah,” katanya.

Zulkarnain turut meluahkan kekecewaan terhadap cara pemberitaan yang disifatkannya provokatif dan berat sebelah, sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

“Tajuk berita yang digunakan sudah cukup menggambarkan niat sebenar mereka untuk menjatuhkan reputasi Hajiji.

“Banyak lagi kandungan yang boleh dianggap fitnah, tidak perlu saya perincikan kerana saya percaya masyarakat sudah dapat menilai,” katanya lagi.

Untuk rekod, pihak berkuasa tanah negeri Sabah sebelum ini menafikan dakwaan sebuah syarikat dikenali sebagai Bumi Suria Sdn Bhd yang dikaitkan dengan bekas pembantu Perdana Menteri, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak pernah mengemukakan permohonan lesen bagi tujuan penerokaan mineral di negeri itu.

Penafian itu dibuat susulan laporan sebuah portal berita yang mendakwa Hajiji telah meluluskan lesen terbabit kepada syarikat berkenaan pada tahun lalu.

Kenyataan rasmi daripada pihak berkuasa tanah negeri sekali gus menolak dakwaan berkenaan dan menganggapnya tidak berasas.

Langkah G57 membuat laporan polis ini dijangka membuka ruang siasatan lanjut oleh pihak berwajib terhadap penyebaran berita palsu membabitkan pemimpin tertinggi negeri, dalam usaha mempertahankan integriti pentadbiran kerajaan negeri Sabah.

Konsert Intifada Rabbani bakal gegar Idea Live Arena September ini

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Legenda nasyid tanah air, Rabbani, bakal kembali menghangatkan pentas menerusi konsert solo mega pertama mereka selepas hampir tiga dekad mewarnai industri muzik tempatan.

Konsert yang dinamakan Konsert Intifada Rabbani itu akan berlangsung pada 20 September 2025 bertempat di Idea Live Arena, Petaling Jaya, Selangor dan dijangka menjadi acara bersejarah buat peminat setia kumpulan berkenaan.

Penganjuran konsert ini diumumkan secara rasmi oleh Universe Gateway, syarikat penganjur acara terkenal yang sebelum ini telah menganjurkan pelbagai persembahan berskala besar, termasuk The Journey of Sound menampilkan Judika dan Datuk Seri Siti Nurhaliza pada Disember tahun lalu.

Konsert yang akan bermula pada jam 8.30 malam itu dijadual berlangsung selama dua jam, menampilkan anggota Rabbani yang terdiri daripada Azadan Abdul Aziz, Asri Ubaidullah, Zulkiflee Azman, Luqman Abd Aziz, Muhammad Rithauddeen, Mohamad Afandi Shahbudin dan Ahmad Shafie.

Mereka bakal menghiburkan peminat dengan dendangan lagu-lagu ikonik yang telah mengangkat nama Rabbani sebagai pelopor irama nasyid moden sejak akhir 90-an, termasuk Intifada, Pergi Tak Kembali, dan Satu Qiblat Yang Sama.

Sebagai menyuntik elemen istimewa ke dalam persembahan, konsert ini turut menampilkan beberapa artis undangan istimewa termasuk ahli kumpulan Brothers, serta penyanyi Yabang dan Aeydan, yang bakal bergabung suara dalam menyemarakkan lagi aura nasyid yang sarat dengan mesej ketuhanan dan kemanusiaan.

Tiket bagi menyaksikan Konsert Intifada Rabbani akan mula dijual secara rasmi bermula 31 Julai ini dan dijangka mendapat sambutan luar biasa daripada peminat.

Penganjur menasihatkan orang ramai agar mendapatkan tiket lebih awal bagi mengelakkan kekecewaan, memandangkan ini adalah konsert berskala mega pertama Rabbani sejak penubuhannya lebih 25 tahun lalu.

Rabbani yang ditubuhkan secara rasmi pada 1 Mac 1997, pernah mencetuskan fenomena besar dalam industri muzik nasyid Malaysia dengan pendekatan muzik yang menyatukan elemen Melayu Timur dan Timur Tengah.

Seiring dengan perubahan masa, kumpulan ini terus berevolusi dengan memperkenalkan konsep muzik berskala global tanpa mengorbankan mesej dakwah yang menjadi teras perjuangan mereka.

Kini, dengan suntikan world music dalam karya-karya baharu, Rabbani terus membuktikan kemampuannya bertahan dan relevan dalam arus muzik semasa.

Sebelum ini, Rabbani diketuai oleh vokalis tersohor mereka, Allahyarham Mohd Asri Ibrahim, yang telah meninggal dunia pada tahun 2009.

Namun semangat perjuangan kumpulan ini terus diteruskan oleh tujuh anggota yang masih teguh bersama sehingga hari ini.

Konsert ini bukan sekadar sebuah persembahan hiburan, tetapi simbol kesinambungan warisan seni nasyid tanah air dan penghargaan terhadap sokongan berterusan daripada peminat selama hampir tiga dekad.

Bagi yang ingin mendapatkan tiket ia boleh dibeli menerusi Ticket2U dan Fantopia.io.

KATEGORI TIKET:

Lower Level

CAT 1 – RM250

CAT 2 – RM230

CAT 3 – RM200

CAT 4 – RM150

Upper Level

CAT 5 – RM258

CAT 6 – RM238

Karnival Mega 3 Dimensi 2025 FELDA tawar pengalaman budaya dan produk tempatan dari seluruh negara

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Karnival Mega 3 Dimensi 2025 FELDA membuka tirainya hari ini, menghimpunkan pelbagai elemen kebudayaan, keusahawanan dan komuniti desa dalam satu acara berskala besar yang dijadual berlangsung selama lima hari, bermula 30 Julai hingga 3 Ogos 2025.

Bertempat di lokasi yang dijangka menjadi tumpuan ribuan pengunjung dari seluruh negara, karnival ini menawarkan pengalaman unik dengan menggabungkan elemen hiburan, pameran produk tempatan, persembahan kebudayaan, jualan langsung oleh usahawan desa, serta pameran khas dari semua negeri di Malaysia dari Perlis hingga ke Sabah.

Acara yang berkonsepkan tiga dimensi utama ini mengetengahkan tiga komponen teras iaitu Hari Peneroka FELDA (HPF), Karnival Usahawan Desa (KUD) dan program Satu Daerah Satu Industri (SDSI), masing-masing menyumbang kepada pengukuhan identiti komuniti luar bandar, pemerkasaan ekonomi setempat serta pemeliharaan warisan budaya negara.

Salah satu daya tarikan utama karnival tahun ini adalah penyertaan wakil daripada setiap negeri yang menampilkan gerai khas, mempersembahkan keunikan produk, makanan tradisional, kraftangan serta seni budaya negeri masing-masing.

Pengunjung berpeluang ‘menjelajah’ ke seluruh Malaysia tanpa perlu meninggalkan tapak karnival, menjadikan acara ini satu-satunya karnival yang menawarkan pengalaman menyeluruh dari segi ekonomi tempatan dan kepelbagaian budaya.

Majlis perasmian Karnival Mega 3 Dimensi 2025 FELDA  dijadual berlangsung pada hari Jumaat, 2 Ogos 2025 dari jam 2 hingga 4 petang dan dijangka akan diserikan oleh kehadiran tetamu kehormat serta barisan pemimpin FELDA dan kementerian berkaitan.

Orang ramai dijemput hadir dan nikmati pelbagai aktiviti yang telah dirancang di mana kemasukan adalah percuma.

Karnival ini bukan sahaja menjadi platform untuk mempromosikan produk keluaran tempatan dan hasil tangan usahawan desa, malah turut mengangkat semangat perpaduan, identiti nasional serta potensi ekonomi luar bandar.

Dengan pelbagai acara menarik sepanjang lima hari penganjuran, Karnival Mega 3 Dimensi 2025 FELDA dilihat sebagai cerminan kekayaan warisan dan potensi besar komuniti FELDA serta desa di seluruh negara.

Orang ramai diseru agar tidak melepaskan peluang untuk turut serta dalam acara penuh warna-warni ini sambil menyokong usaha memperkasa ekonomi tempatan dan memperkukuh semangat kebersamaan rakyat Malaysia.

KEADILAN Ampang kecam kenyataan biadab Ahmad Fadhli Shaari, didakwa hina perdana menteri

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – KEADILAN Ampang mengecam keras tindakan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, susulan hantaran media sosial beliau yang dianggap menghina institusi Perdana Menteri serta mencemarkan imej negara di mata dunia.

Ketua Cabang Ampang, Altimet berkata, tindakan Ahmad Fadhli itu disifatkan sebagai tidak beretika dan biadab apabila beliau memuat naik satu lukisan karikatur yang menyamakan dua negara sebagai kambing dan biri-biri, serta menggambarkan peranan Malaysia sebagai pendamai antarabangsa dengan imej seekor monyet.

Hantaran berbaur sinis itu dimuat naik di laman Facebook beliau namun kemudiannya dipadam setelah menerima reaksi negatif daripada pelbagai pihak.

“Gambaran berkenaan secara langsung dilihat merendahkan martabat Perdana Menteri Malaysia yang sedang memainkan peranan penting sebagai pendamai dalam isu-isu konflik serantau.

“Ia turut membawa mesej bahawa “seekor monyet tidak layak menjadi pendamai antara kambing dan biri-biri”, satu sindiran yang jelas ditujukan kepada kepimpinan negara.

“KEADILAN Ampang menyifatkan tindakan itu sebagai cubaan untuk memperlekeh dan mempermainkan institusi tertinggi kerajaan, serta berpotensi menghasut rakyat agar mempersendakan peranan Perdana Menteri di peringkat antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan.

Altimet berkata, tindakan sedemikian tidak wajar dilakukan oleh seorang wakil rakyat yang sepatutnya menunjukkan teladan baik serta menjunjung maruah negara.

“KEADILAN Ampang menzahirkan kebimbangan kesan kenyataan terbabit terhadap persepsi masyarakat antarabangsa kepada Malaysia, khususnya dalam konteks hubungan diplomatik dan peranan negara dalam rundingan keamanan.

Sehubungan dengan insiden itu, satu laporan polis telah dibuat oleh KEADILAN Ampang bagi mempertahankan maruah institusi Perdana Menteri dan memastikan tindakan undang-undang dapat diambil terhadap individu yang didakwa mencemarkan kedudukan kerajaan secara terbuka.

“Budaya politik di negara ini mesti berlandaskan kematangan, kesopanan dan penghormatan terhadap Perlembagaan Persekutuan.

“Tindakan yang berunsurkan penghinaan dan cercaan terhadap pemimpin negara tidak seharusnya dijadikan norma dalam wacana politik Malaysia yang sepatutnya lebih beradab dan bertanggungjawab,” katanya.

Taman Negara Bako antara tiga lokasi Malaysia dicalon sebagai Tapak Warisan ASEAN

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Malaysia terus mengorak langkah ke hadapan dalam pemeliharaan dan pemuliharaan biodiversiti serantau apabila tiga kawasan perlindungan negara telah dicalonkan sebagai Tapak Warisan ASEAN (ASEAN Heritage Park, AHP).

Tiga lokasi yang terbabit dalam pencalonan itu ialah Taman Negara Bako dan Taman Negara Bukit Lambir di Sarawak serta Rizab Hidupan Liar Tengku Hassanal di Pahang.

Pencalonan itu diumumkan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menerusi satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan hari ini.

Pencalonan berkenaan dibuat semasa Mesyuarat Lembaga Pemimpin Pusat Biodiversiti ASEAN (ASEAN Centre for Biodiversity Governing Board, ACB GB) ke-27 yang berlangsung di Langkawi, semalam.

Mesyuarat berprestij itu dipengerusikan oleh Setiausaha Bahagian Dasar, Perancangan dan Hal Ehwal Antarabangsa Filipina, Jonas R. Leones selaku Pengerusi ACB GB, manakala Malaysia diwakili oleh Setiausaha Bahagian Pengurusan Biodiversiti dan Perhutanan NRES, S. Siva Kumar selaku Timbalan Pengerusi GB ACB.

Selain Malaysia, mesyuarat turut bersetuju mencalonkan tiga lagi tapak warisan baharu dari Vietnam, iaitu Taman Negara Xuan Thuy, Taman Negara Pu Mat serta Rizab Budaya dan Alam Semula Jadi Dong Nai.

Dalam mesyuarat yang sama, satu inisiatif konservasi baharu dikenali sebagai Enhancing Conservation and Restoration of Wetlands and Peatlands in ASEAN (EnCORE Wetlands) turut diperkenalkan secara rasmi.

Malaysia dipilih untuk mewakili negara anggota ASEAN melalui Taman Negara Maludam di Sarawak sebagai tapak perintis bagi inisiatif ini, bersama-sama Agusan Marsh Wildlife Sanctuary di Filipina.

Langkah berkenaan dilihat sebagai pengiktirafan terhadap peranan Malaysia dalam pengurusan tanah lembap dan kawasan berpaya gambut secara mampan, selaras dengan matlamat pemuliharaan serantau dan global.

Dalam usaha memperkukuhkan strategi biodiversiti rantau ini, mesyuarat ACB GB turut menyambut baik penggubalan Pelan Kepelbagaian Biologi ASEAN (ASEAN Biodiversity Plan – ABP) bagi tempoh 2024 hingga 2030.

Pelan ini dirangka bagi menyokong rangka kerja biodiversiti global di bawah Kunming-Montreal Global Biodiversity Framework (KM-GBF), sekali gus menunjukkan komitmen ASEAN terhadap pemuliharaan alam sekitar dalam kerangka yang lebih menyeluruh dan terarah.

Mesyuarat yang dihoskan oleh Malaysia melalui NRES itu turut memfokuskan kepada penyelarasan pelan tindakan bagi pembangunan Kenyataan Bersama ASEAN (ASEAN Joint Statement – AJS) mengenai biodiversiti.

Kenyataan terbabit dijangka akan dibentangkan oleh Pengerusi ASEAN 2026 dalam segmen peringkat tinggi semasa Sidang COP 17 Konvensyen Kepelbagaian Biologi (CBD) yang bakal berlangsung di Yerevan, Armenia.

Proses penyediaan AJS sedang dilaksanakan secara teliti menerusi siri perundingan bersama negara-negara anggota ASEAN dan dijangka dimuktamadkan pada pertengahan tahun 2026.

Pencalonan tiga kawasan perlindungan di Malaysia sebagai Tapak Warisan ASEAN bukan sahaja menandakan pengiktirafan antarabangsa terhadap usaha negara dalam memelihara biodiversiti, malah membuktikan peranan aktif Malaysia dalam mengangkat agenda kelestarian di peringkat serantau dan global.

KKM lancar Operasi Selamat Paru-Paru bermula Jumaat ini

editormaxinfo@gmail.com

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan melancarkan Operasi Selamat Paru-Paru (Ops Selamat PaPa) bermula Jumaat ini sebagai langkah bersepadu untuk menangani ancaman produk merokok termasuk rokok elektronik atau vape.

KKM dalam satu kenyataan berkata, operasi berkenaan akan membabitkan kerjasama pelbagai agensi termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN), pihak berkuasa tempatan (PBT), serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Menurut KKM, Ops Selamat PaPa bertujuan memastikan undang-undang dikuatkuasakan secara berkesan bagi mewujudkan persekitaran negara yang lebih selamat dan bebas daripada ancaman produk merokok.

Pada masa sama, kementerian itu memaklumkan pelaksanaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 [Akta 852] diteruskan dengan penuh komitmen.

“Akta ini merangkumi keperluan pendaftaran produk, larangan pengiklanan, promosi dan tajaan, kawalan penjualan serta larangan merokok di kawasan larangan,” katanya.

KKM turut menyambut baik tindakan enam kerajaan negeri iaitu Johor, Kelantan, Terengganu, Perlis, Kedah dan Pahang yang telah membuat keputusan untuk tidak mengeluarkan atau memperbaharui lesen penjualan rokok elektronik atau vape di negeri masing-masing.

Langkah itu adalah selari dengan aspirasi nasional untuk melindungi kesihatan awam daripada ancaman produk merokok.

Bagaimanapun, kawalan sedia ada masih terhad kepada jenis premis tertentu dan belum mencakupi semua saluran penjualan seperti kedai runcit atau serbaneka.

“Bagi mencapai kawalan menyeluruh ke arah pengharaman sepenuhnya, ia masih tertakluk kepada kuasa kerajaan Persekutuan,” katanya.

Sebagai langkah awal, Mesyuarat Jawatankuasa Kepakaran Rokok Elektronik atau Vape telah diadakan pada 22 Julai 2025 bagi meneliti strategi pengawalan yang lebih ketat dan mencadangkan kajian mendalam terhadap implikasi pengharaman.

窗体底端

KKM akan mengadakan perbincangan lanjut bersama Kementerian Kewangan (MOF), KPDN, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), serta Jabatan Peguam Negara bagi meneliti semua aspek berkaitan isu ini.

“KKM menyeru semua pihak termasuk kerajaan, agensi penguat kuasa, NGO dan masyarakat untuk menyokong serta memperkukuh usaha ini demi melindungi kesihatan generasi kini dan akan datang sejajar dengan aspirasi nilai Madani iaitu Kemampanan, Kesejahteraan dan Ihsan serta Agenda Negara Malaysia Sihat (ANMS),” katanya.

Terdahulu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan di Dewan Rakyat kementerian itu sedang menuju ke arah pengharaman sepenuhnya penggunaan dan penjualan rokok elektronik bagi mengekang isu berkenaan dengan lebih berkesan.

Bagaimanapun, katanya, pelaksanaan pengharaman itu perlu dibuat secara teliti dengan mengambil kira pelbagai aspek termasuk impak kepada perundangan, penguatkuasaan dan kesihatan awam.

Peniaga Puchong Permai terima injunksi mahkamah, lega tindakan perobohan gerai dihentikan sementara

editormaxinfo@gmail.com

PUCHONG – Lebih tiga dekad menjalankan perniagaan di kawasan Puchong Permai, sekumpulan peniaga menarik nafas lega apabila Mahkamah membenarkan permohonan injunksi bagi menghentikan sementara tindakan perobohan gerai mereka oleh pihak berkuasa tempatan.

Perintah injunksi itu berkuat kuasa serta-merta dan kekal sehingga pendengaran penuh kes di mahkamah berlangsung.

Ia bertujuan memberi ruang kepada pihak peniaga untuk mempertahankan hak mereka serta merancang langkah seterusnya bagi memastikan kelangsungan hidup dan mata pencarian yang telah mereka bina sejak sekian lama.

Menurut peguam yang mewakili kumpulan peniaga itu, walaupun tidak dapat mengulas lanjut situasi memandangkan kes kini sedang berjalan di mahkamah, pihaknya mengesahkan keputusan injunksi telahpun diperoleh.

“Kami berjaya mendapatkan injunksi bagi menghentikan tindakan perobohan gerai sementara menunggu keputusan pendengaran dari kedua-dua pihak.

“Ini penting untuk melindungi hak dan kepentingan anak guam saya yang telah lama berniaga di kawasan ini,” katanya dalam satu sidang media yang diadakan di tapak gerai, baru-baru ini.

Katanya, mereka akan terus menggunakan saluran undang-undang bagi memastikan hak dan kebajikan anak guam mereka dipertahankan sepenuhnya.

Sementara itu, salah seorang peniaga, Yusof berkata, peniaga telah berusaha untuk mendapatkan perhatian pihak berkuasa dengan menghantar surat rayuan kepada pelbagai pihak termasuk Menteri Besar Selangor, Pejabat Tanah Daerah, pejabat Parlimen Puchong serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N29.

Namun, hingga kini tiada sebarang maklum balas rasmi diterima.

Yusof turut meluahkan kekecewaannya terhadap hasil beberapa pertemuan yang telah mereka adakan bersama ADUN kawasan, Abbas Azmi.

“Dalam pertemuan pertama, YB menyatakan komitmen untuk menyediakan lokasi baharu sekiranya berlaku perobohan.

“Pertemuan kedua pula menyaksikan kami membawa wakil teknikal untuk berbincang mengenai susun atur penempatan semula. Namun, dalam pertemuan ketiga, YB maklumkan tiada peruntukan bajet,” jelasnya.

Katanya, ke semua peniaga tidak menolak pembangunan, tetapi berharap agar kebajikan mereka turut diberi perhatian.

“Kami bukan penceroboh. Pada awalnya, kami beroperasi dengan kebenaran TOL dan selepas tahun 2008, pihak majlis perbandaran membenarkan kami beroperasi sebagai penyewa.

“Namun selepas tempoh penyewaan ditamatkan empat tahun kemudian, tiada sebarang hala tuju atau penyelesaian jelas diberikan,” katanya lagi.

Situasi menjadi semakin tegang apabila peniaga mendakwa menerima saman dan notis pengosongan hanya beberapa hari selepas Pilihan Raya Negeri yang lalu.

Menurut mereka, kadar saman juga meningkat secara drastik selepas kawasan terbabit diisytiharkan sebagai bandar raya.

“Dulu, sewaktu status kawasan ini masih perbandaran, jumlah saman hanya sekitar RM200. Tapi selepas jadi bandar raya, ia meningkat kepada RM1,000.

“Kemudian keluar pula notis pengosongan atas alasan kami melanggar Akta Tanah dan Galian. Dendanya sampai RM500,000,” kata wakil peniaga, Mohd Said Midon.

Mengambil iktibar daripada usaha penempatan semula peniaga serta projek pertanian bandar yang berjaya dijalankan di kawasan Gombak, peniaga Puchong Permai turut mencadangkan agar pendekatan serupa dipertimbangkan termasuk penggunaan tanah rizab di bawah talian pencawang TNB sebagai lokasi alternatif.

“Kami hanya minta satu peluang untuk berbincang dan mencari penyelesaian. Jika tindakan perlu diambil, biarlah adil dan tanpa pilih kasih.

“Kami rakyat Malaysia dan kami hanya mahu mencari rezeki secara sah,” kata salah seorang peniaga lagi.

Penangguhan tindakan perobohan ini disifatkan sebagai peluang penting buat peniaga untuk membentangkan cadangan yang munasabah kepada kerajaan negeri, di samping mencari penyelesaian yang tidak menjejaskan kelangsungan ekonomi rakyat marhaen.

Latihan Pestapora Malaysia 2025 gamatkan Bukit Jalil dengan irama, kesatuan dan nostalgia

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Stadium Nasional Bukit Jalil sekali lagi menjadi saksi kepada sebuah acara muzik mega apabila “Latihan Pestapora Malaysia 2025” berjaya menghimpunkan lebih 25,000 peminat muzik dari seluruh Malaysia dan negara jiran, Indonesia, dalam satu malam penuh warna-warni, emosi dan kebersamaan.

Festival ini dianjurkan oleh dua nama besar dalam industri hiburan iaitu Hitman Solutions dan Boss Creator sebagai edisi pemanas badan menjelang acara utama Pestapora Jakarta yang dijadual berlangsung dari 5 hingga 7 September 2025.

Namun, apa yang digambarkan sebagai “latihan” ini nyata melangkaui jangkaan apabila ia berubah menjadi medan perayaan muzik serantau berskala penuh.

Menggabungkan lebih 25 persembahan langsung di dua pentas utama “Main Stage” dan “Hingar Bingar”, festival ini mengetengahkan kepelbagaian genre muzik merentas sempadan, daripada pop, rock dan hip-hop hingga ke indie dan dangdut.

Antara nama-nama besar yang tampil termasuklah Sheila On 7, .Feast, Hindia, Nadin Amizah, Barasuara X Efek Rumah Kaca, Bittersweet, Bunkface, Dolla, Pamungkas, Kunto Aji, Salammusik dan ramai lagi.

Detik paling dinantikan pastinya kemunculan semula kumpulan ikonik dari Indonesia, Sheila On 7, yang membuat persembahan sulung mereka di Malaysia selepas lebih sedekad menyepi.

Sorakan gemuruh bergema sebaik sahaja alunan lagu pembukaan dimainkan, menandakan betapa eratnya hubungan kumpulan berkenaan dengan peminat di Malaysia.

Lagu-lagu malar segar seperti Dan, Melompat Lebih Tinggi, Sephia dan Sahabat Sejati dinyanyikan bersama ribuan penonton, mencipta suasana penuh emosi dan nostalgia yang sukar dilupakan.

Ketua Pegawai Eksekutif Hitman Solutions, Rohit Rampal berkata, kejayaan penganjuran festival ini bukan sahaja satu pencapaian dari sudut produksi, tetapi juga lambang pencapaian budaya yang signifikan.

“Merealisasikan Latihan Pestapora di Malaysia adalah bukti bahawa kita mampu menjadi tuan rumah kepada festival bertaraf antarabangsa.

“Ia membuka ruang untuk rakyat tempatan dan pengunjung luar negara menikmati pengalaman muzik yang unik di tanah air sendiri,” katanya.

Rohit berkata, penganjuran membabitkan koordinasi kompleks lebih 25 artis dari dua negara, namun kesemua cabaran itu berjaya diatasi melalui kerjasama pasukan dan sokongan padu daripada rakan strategik.

Sementara itu, Pengarah Festival Pestapora merangkap Pengasas Bersama Boss Creator, Kiki Ucup berkata, acara ini adalah sebuah gerakan budaya yang penting dalam memperkukuhkan hubungan serantau.

“Kami sedar ramai peminat dari Malaysia sanggup ke Jakarta setiap tahun untuk menyertai Pestapora.

“Kini tiba masanya kami bawa sebahagian daripada magis itu ke sini, agar rakyat Malaysia dapat merasai pengalaman yang sama.

“Ini bukan sekadar konsert ia adalah tentang membina komuniti dan menyemarakkan semangat serumpun,” katanya.

Berbeza dengan edisi asal di Jakarta, Latihan Pestapora Malaysia 2025 menampilkan sentuhan tempatan yang jelas daripada pemilihan artis tempatan, kehadiran vendor makanan tempatan, hingga ke aktiviti interaktif serta ruang bergambar yang mesra pengunjung dari semua lapisan umur.

Melihat kepada sambutan luar biasa yang diterima, penganjur kini menyatakan hasrat untuk menjadikan Latihan Pestapora sebagai acara tahunan tetap di Malaysia, sekaligus membuka lebih banyak peluang untuk kolaborasi rentas budaya dan industri kreatif antara dua negara serumpun.

“Ini baru permulaan. Kami yakin dengan sokongan yang diberikan, festival ini mampu berkembang lebih besar dan memberi impak lebih mendalam kepada peminat dan industri muzik serantau,” kata Rohit lagi.

Penganjuran festival ini turut mendapat sokongan daripada pelbagai pihak termasuk Tourism Malaysia, Universal Music Malaysia, serta rakan media dan penaja rasmi seperti Era FM, Sinar FM, Hitz FM, Mix FM, THR Gegar, Syok, World of Buzz, Lobak Merah, Tapau, Batik Air, Book Cabin, D’Mart Travel Tour dan Sunway Putra Hotel.

Latihan Pestapora Malaysia 2025 membuktikan bahawa muzik bukan sahaja medium hiburan, malah jambatan yang menghubungkan budaya, semangat dan jiwa dua negara serumpun dalam satu perayaan bersama yang tidak akan dilupakan.

MAKAME perkenal koleksi batik bermotif ulam, suntik kelainan dalam fesyen tempatan

editormaxinfo@gmail.com

SUBANG JAYA – Tampil berani mempertaruhkan kelainan dalam dunia fesyen tanah air, MAKAME – The Art of Heritage melancarkan koleksi pakaian sedia pakai berasaskan batik bermotif ulam.

Diasaskan oleh tiga beradik iaitu Tengku Mahanis Tengku Maulud, Kasma Sahimizan Mamat dan Tengku Melanie, masing-masing berkongsi minat dan aspirasi untuk memperkenalkan batik bercorak alam semula jadi sebagai satu warisan seni yang lebih segar dan dikenali.

Salah seorang pengasas dan pemilik bersama MAKAME, Kasma Sahimizan berkata, ilham untuk memulakan perniagaan ini tercetus apabila adiknya, Tengku Mahanis, kembali ke tanah air selepas menetap di luar negara selama lebih dua dekad.

Kepulangan itu disusuli dengan hasrat untuk menjalin kerjasama bersama adik-beradik dalam meneroka potensi perniagaan berasaskan warisan budaya tempatan.

Walaupun sudah mempunyai latar belakang dalam bidang batik, ketiga-tiga mereka sepakat mahu menghasilkan sesuatu yang berbeza daripada yang biasa dilihat di pasaran.

“Batik bukan lagi sesuatu yang asing dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Namun, kebanyakan rekaan yang ada hari ini dilihat agak seragam dan lazimnya digunakan untuk pakaian tradisional seperti baju kurung atau kaftan.

“Justeru, kami mengambil keputusan untuk memperkenalkan sesuatu yang segar iaitu batik bermotif ulam,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran rasmi MAKAME, baru-baru ini.

Menariknya, nama MAKAME sendiri adalah gabungan nama mereka tiga beradik satu simbolik kepada kekuatan dan penyatuan keluarga dalam membangunkan jenama ini.

Bagi koleksi sulung, MAKAME mengetengahkan 12 motif ulam yang sinonim dengan budaya dan hidangan tradisional masyarakat Malaysia.

Antara motif yang dipilih termasuklah bunga kantan, bunga telang, daun kunyit, daun pegaga, daun selom dan daun ketereh dimana semuanya direka secara teliti bagi menggambarkan keindahan dan keunikan flora tempatan.

Kasma berkata, koleksi kedua dijangka dilancarkan dalam tempoh tiga bulan akan datang.

Walaupun tidak lagi berasaskan motif ulam, konsep reka bentuk masih akan berpaksikan elemen alam semula jadi sebagai kesinambungan kepada identiti jenama.

Setakat ini, semua produk MAKAME ditawarkan secara eksklusif dalam talian melalui platform TikTok dan Instagram, dengan harga bermula sekitar RM200 hingga RM300 ke atas, bergantung kepada reka bentuk dan jenis fabrik.

“Kami berhasrat untuk membawa batik Malaysia ke tahap yang lebih tinggi dan bukan hanya diterima dalam negara, tetapi turut mendapat tempat di pasaran antarabangsa,” katanya.

Pelancaran MAKAME bukan sekadar memperkenalkan satu lagi jenama batik di pasaran, sebaliknya menjadi manifestasi bagaimana warisan budaya boleh diangkat dengan sentuhan kontemporari yang menyuntik nafas baharu kepada fesyen tempatan sambil mengekalkan nilai dan kekayaan tradisional itu sendiri.