editormaxinfo@gmail.com
SUBANG JAYA – Tampil berani mempertaruhkan kelainan dalam dunia fesyen tanah air, MAKAME – The Art of Heritage melancarkan koleksi pakaian sedia pakai berasaskan batik bermotif ulam.
Diasaskan oleh tiga beradik iaitu Tengku Mahanis Tengku Maulud, Kasma Sahimizan Mamat dan Tengku Melanie, masing-masing berkongsi minat dan aspirasi untuk memperkenalkan batik bercorak alam semula jadi sebagai satu warisan seni yang lebih segar dan dikenali.
Salah seorang pengasas dan pemilik bersama MAKAME, Kasma Sahimizan berkata, ilham untuk memulakan perniagaan ini tercetus apabila adiknya, Tengku Mahanis, kembali ke tanah air selepas menetap di luar negara selama lebih dua dekad.

Kepulangan itu disusuli dengan hasrat untuk menjalin kerjasama bersama adik-beradik dalam meneroka potensi perniagaan berasaskan warisan budaya tempatan.
Walaupun sudah mempunyai latar belakang dalam bidang batik, ketiga-tiga mereka sepakat mahu menghasilkan sesuatu yang berbeza daripada yang biasa dilihat di pasaran.
“Batik bukan lagi sesuatu yang asing dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Namun, kebanyakan rekaan yang ada hari ini dilihat agak seragam dan lazimnya digunakan untuk pakaian tradisional seperti baju kurung atau kaftan.
“Justeru, kami mengambil keputusan untuk memperkenalkan sesuatu yang segar iaitu batik bermotif ulam,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran rasmi MAKAME, baru-baru ini.

Menariknya, nama MAKAME sendiri adalah gabungan nama mereka tiga beradik satu simbolik kepada kekuatan dan penyatuan keluarga dalam membangunkan jenama ini.
Bagi koleksi sulung, MAKAME mengetengahkan 12 motif ulam yang sinonim dengan budaya dan hidangan tradisional masyarakat Malaysia.
Antara motif yang dipilih termasuklah bunga kantan, bunga telang, daun kunyit, daun pegaga, daun selom dan daun ketereh dimana semuanya direka secara teliti bagi menggambarkan keindahan dan keunikan flora tempatan.
Kasma berkata, koleksi kedua dijangka dilancarkan dalam tempoh tiga bulan akan datang.

Walaupun tidak lagi berasaskan motif ulam, konsep reka bentuk masih akan berpaksikan elemen alam semula jadi sebagai kesinambungan kepada identiti jenama.
Setakat ini, semua produk MAKAME ditawarkan secara eksklusif dalam talian melalui platform TikTok dan Instagram, dengan harga bermula sekitar RM200 hingga RM300 ke atas, bergantung kepada reka bentuk dan jenis fabrik.
“Kami berhasrat untuk membawa batik Malaysia ke tahap yang lebih tinggi dan bukan hanya diterima dalam negara, tetapi turut mendapat tempat di pasaran antarabangsa,” katanya.

Pelancaran MAKAME bukan sekadar memperkenalkan satu lagi jenama batik di pasaran, sebaliknya menjadi manifestasi bagaimana warisan budaya boleh diangkat dengan sentuhan kontemporari yang menyuntik nafas baharu kepada fesyen tempatan sambil mengekalkan nilai dan kekayaan tradisional itu sendiri.




https://shorturl.fm/pUzae