editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Malaysia terus mengorak langkah ke hadapan dalam pemeliharaan dan pemuliharaan biodiversiti serantau apabila tiga kawasan perlindungan negara telah dicalonkan sebagai Tapak Warisan ASEAN (ASEAN Heritage Park, AHP).
Tiga lokasi yang terbabit dalam pencalonan itu ialah Taman Negara Bako dan Taman Negara Bukit Lambir di Sarawak serta Rizab Hidupan Liar Tengku Hassanal di Pahang.
Pencalonan itu diumumkan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menerusi satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan hari ini.
Pencalonan berkenaan dibuat semasa Mesyuarat Lembaga Pemimpin Pusat Biodiversiti ASEAN (ASEAN Centre for Biodiversity Governing Board, ACB GB) ke-27 yang berlangsung di Langkawi, semalam.
Mesyuarat berprestij itu dipengerusikan oleh Setiausaha Bahagian Dasar, Perancangan dan Hal Ehwal Antarabangsa Filipina, Jonas R. Leones selaku Pengerusi ACB GB, manakala Malaysia diwakili oleh Setiausaha Bahagian Pengurusan Biodiversiti dan Perhutanan NRES, S. Siva Kumar selaku Timbalan Pengerusi GB ACB.
Selain Malaysia, mesyuarat turut bersetuju mencalonkan tiga lagi tapak warisan baharu dari Vietnam, iaitu Taman Negara Xuan Thuy, Taman Negara Pu Mat serta Rizab Budaya dan Alam Semula Jadi Dong Nai.
Dalam mesyuarat yang sama, satu inisiatif konservasi baharu dikenali sebagai Enhancing Conservation and Restoration of Wetlands and Peatlands in ASEAN (EnCORE Wetlands) turut diperkenalkan secara rasmi.
Malaysia dipilih untuk mewakili negara anggota ASEAN melalui Taman Negara Maludam di Sarawak sebagai tapak perintis bagi inisiatif ini, bersama-sama Agusan Marsh Wildlife Sanctuary di Filipina.
Langkah berkenaan dilihat sebagai pengiktirafan terhadap peranan Malaysia dalam pengurusan tanah lembap dan kawasan berpaya gambut secara mampan, selaras dengan matlamat pemuliharaan serantau dan global.
Dalam usaha memperkukuhkan strategi biodiversiti rantau ini, mesyuarat ACB GB turut menyambut baik penggubalan Pelan Kepelbagaian Biologi ASEAN (ASEAN Biodiversity Plan – ABP) bagi tempoh 2024 hingga 2030.
Pelan ini dirangka bagi menyokong rangka kerja biodiversiti global di bawah Kunming-Montreal Global Biodiversity Framework (KM-GBF), sekali gus menunjukkan komitmen ASEAN terhadap pemuliharaan alam sekitar dalam kerangka yang lebih menyeluruh dan terarah.
Mesyuarat yang dihoskan oleh Malaysia melalui NRES itu turut memfokuskan kepada penyelarasan pelan tindakan bagi pembangunan Kenyataan Bersama ASEAN (ASEAN Joint Statement – AJS) mengenai biodiversiti.
Kenyataan terbabit dijangka akan dibentangkan oleh Pengerusi ASEAN 2026 dalam segmen peringkat tinggi semasa Sidang COP 17 Konvensyen Kepelbagaian Biologi (CBD) yang bakal berlangsung di Yerevan, Armenia.
Proses penyediaan AJS sedang dilaksanakan secara teliti menerusi siri perundingan bersama negara-negara anggota ASEAN dan dijangka dimuktamadkan pada pertengahan tahun 2026.
Pencalonan tiga kawasan perlindungan di Malaysia sebagai Tapak Warisan ASEAN bukan sahaja menandakan pengiktirafan antarabangsa terhadap usaha negara dalam memelihara biodiversiti, malah membuktikan peranan aktif Malaysia dalam mengangkat agenda kelestarian di peringkat serantau dan global.

