editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – KEADILAN Ampang mengecam keras tindakan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, susulan hantaran media sosial beliau yang dianggap menghina institusi Perdana Menteri serta mencemarkan imej negara di mata dunia.
Ketua Cabang Ampang, Altimet berkata, tindakan Ahmad Fadhli itu disifatkan sebagai tidak beretika dan biadab apabila beliau memuat naik satu lukisan karikatur yang menyamakan dua negara sebagai kambing dan biri-biri, serta menggambarkan peranan Malaysia sebagai pendamai antarabangsa dengan imej seekor monyet.
Hantaran berbaur sinis itu dimuat naik di laman Facebook beliau namun kemudiannya dipadam setelah menerima reaksi negatif daripada pelbagai pihak.
“Gambaran berkenaan secara langsung dilihat merendahkan martabat Perdana Menteri Malaysia yang sedang memainkan peranan penting sebagai pendamai dalam isu-isu konflik serantau.
“Ia turut membawa mesej bahawa “seekor monyet tidak layak menjadi pendamai antara kambing dan biri-biri”, satu sindiran yang jelas ditujukan kepada kepimpinan negara.
“KEADILAN Ampang menyifatkan tindakan itu sebagai cubaan untuk memperlekeh dan mempermainkan institusi tertinggi kerajaan, serta berpotensi menghasut rakyat agar mempersendakan peranan Perdana Menteri di peringkat antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan.
Altimet berkata, tindakan sedemikian tidak wajar dilakukan oleh seorang wakil rakyat yang sepatutnya menunjukkan teladan baik serta menjunjung maruah negara.
“KEADILAN Ampang menzahirkan kebimbangan kesan kenyataan terbabit terhadap persepsi masyarakat antarabangsa kepada Malaysia, khususnya dalam konteks hubungan diplomatik dan peranan negara dalam rundingan keamanan.
Sehubungan dengan insiden itu, satu laporan polis telah dibuat oleh KEADILAN Ampang bagi mempertahankan maruah institusi Perdana Menteri dan memastikan tindakan undang-undang dapat diambil terhadap individu yang didakwa mencemarkan kedudukan kerajaan secara terbuka.
“Budaya politik di negara ini mesti berlandaskan kematangan, kesopanan dan penghormatan terhadap Perlembagaan Persekutuan.
“Tindakan yang berunsurkan penghinaan dan cercaan terhadap pemimpin negara tidak seharusnya dijadikan norma dalam wacana politik Malaysia yang sepatutnya lebih beradab dan bertanggungjawab,” katanya.

