28.5 C
Kuala Lumpur
Wednesday, June 17, 2026
Home Blog Page 70

Lebih 800 hadir meriahkan Karnival Belia MADANI ‘Jom Aktif’ di Sepang

editormaxinfo@gmail.com

SEPANG – Suasana meriah dan penuh semangat jelas terpancar apabila lebih 800 pengunjung membanjiri Dewan Komuniti & Arena BBST, Sepang sempena penganjuran Karnival Belia MADANI ‘Jom Aktif’, yang berlangsung seawal jam 7 pagi.

Karnival ini adalah inisiatif Penggerak Belia Selangor Induk Sepang dengan kerjasama Kelab Kebajikan dan Sukan Majlis Sukan Negeri Selangor.

Ia terbuka kepada semua lapisan masyarakat dengan kemasukan percuma, sekaligus menjadi platform inklusif untuk memupuk semangat perpaduan dan gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat, khususnya golongan belia.

Penganjuran ini turut menyokong agenda Malaysia MADANI dengan menekankan aspek keterangkuman, kesihatan dan kesejahteraan.

Ia bertujuan untuk menggalakkan penglibatan aktif belia dalam aktiviti riadah, sukan serta kemasyarakatan, di samping menyediakan ruang yang selamat dan positif untuk mereka mengekspresikan potensi diri melalui pelbagai pertandingan dan aktiviti bermanfaat.

Antara aktiviti utama yang mencuri tumpuan termasuk pertandingan pushbike kanak-kanak yang disertai oleh 100 peserta cilik, pertandingan dart dengan penyertaan 128 regu, serta perlawanan futsal dan netball shoot-out masing-masing membabitkan 32 pasukan.

Tidak ketinggalan, pertandingan e-sukan Mobile Legends yang menghimpunkan 20 pasukan pemain muda yang berdaya saing. Selain itu, Jualan Ehsan Rahmah turut diadakan, menawarkan pelbagai barangan keperluan pada harga berpatutan untuk pengunjung.

Kemuncak acara lebih bermakna dengan kehadiran pelawak, Tauke Raja Lawak, yang menghiburkan hadirin dengan persembahan santai dan mencuit hati, sekaligus menambah keceriaan suasana karnival.

Menurut wakil penganjur, sambutan luar biasa daripada masyarakat membuktikan keberkesanan program seperti ini dalam memperkukuh hubungan komuniti serta merangsang penyertaan belia dalam kegiatan yang sihat dan membina.

“Kami amat menghargai sokongan semua pihak dan berharap karnival seperti ini akan diteruskan sebagai agenda tahunan belia di Sepang,” kata wakil Penggerak Belia Selangor Induk Sepang.

Turut hadir merasmikan acara, Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim.

Dengan pelbagai aktiviti merangkumi aspek sukan, hiburan, komuniti dan ekonomi, Karnival Belia MADANI ‘Jom Aktif’ bukan sahaja berjaya menghidupkan semangat belia, tetapi turut memperkukuh nilai kekitaan dan kesepaduan masyarakat, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang mengutamakan kesejahteraan dan perpaduan rakyat.

Pelan Perlindungan Warisan Kebudayaan Tidak Ketara Malaysia 2026–2030 dirangka bagi memelihara identiti bangsa

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Dalam usaha memastikan kelangsungan dan pemeliharaan khazanah budaya negara, Jabatan Warisan Negara (JWN), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) kini giat merangka Pelan Perlindungan Warisan Kebudayaan Tidak Ketara (WTK) bagi tempoh lima tahun akan datang, iaitu dari tahun 2026 hingga 2030.

Dokumen strategik ini akan menjadi panduan utama kepada pelbagai pihak termasuk kementerian dan agensi kerajaan, sektor swasta, institusi pengajian tinggi serta komuniti penyelidik dan pelajar dalam melindungi dan memelihara warisan budaya yang tidak ketara di Malaysia.

Bagi memastikan pelan ini dirangka secara menyeluruh dan berimpak tinggi, JWN bekerjasama rapat dengan rakan strategik utama iaitu Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam penghasilan dokumen rasmi tersebut. Pelan ini bakal menggariskan strategi, panduan serta cadangan-cadangan perlindungan yang realistik dan inklusif untuk dilaksanakan sepanjang tempoh lima tahun yang ditetapkan.

Warisan Kebudayaan Tidak Ketara adalah cerminan jati diri dan identiti bangsa Malaysia.

Ia merangkumi pelbagai bentuk ekspresi budaya yang diwarisi turun-temurun seperti adat dan budaya, seni persembahan, bahasa dan persuratan, serta seni halus yang berkembang seiring peredaran zaman namun kekal berpaksikan nilai-nilai budaya masyarakat.

Setakat ini, Malaysia telah berjaya menyenaraikan lapan elemen WTK di bawah kategori Representative List of the Intangible Cultural Heritage of Humanity oleh UNESCO.

Antara yang tersenarai termasuklah Mak Yong (2008), Dondang Sayang (2018), Silat (2019), Upacara Ong Chun/Wangchuan/Wangkang (2020) – pencalonan bersama Republik Rakyat China, Pantun (2020) – pencalonan bersama Indonesia, Songket (2021), Kebaya (2024) – pencalonan bersama Brunei Darussalam, Indonesia, Singapura dan Thailand serta Budaya Sarapan di Malaysia (2024).

Selain itu, satu elemen budaya, iaitu Mek Mulung, telah berjaya disenaraikan di bawah kategori List of Intangible Cultural Heritage in Need of Urgent Safeguarding pada tahun 2023, menunjukkan betapa pentingnya langkah proaktif dalam usaha perlindungan dan pemuliharaan budaya yang semakin terpinggir.

Di peringkat nasional pula, sebanyak 517 butiran WTK telah diiktiraf sebagai Warisan Kebangsaan.

Justeru, usaha merangka Pelan Perlindungan WTK adalah langkah penting dan strategik dalam memastikan semua elemen warisan ini terus hidup, dihargai dan diwarisi oleh generasi masa hadapan.

Proses perangkaan pelan ini turut membabitkan sesi perbincangan terbuka dan bengkel konstruktif bersama pelbagai pemegang taruh termasuk penggubal dasar, penyelidik, pengamal budaya serta komuniti.

Pendekatan menyeluruh ini membolehkan terbinanya pelan tindakan yang bersifat inklusif, mampan dan berpandukan kepada realiti serta keperluan semasa.

MOTAC melalui JWN menegaskan, usaha melindungi warisan budaya bukan tanggungjawab kerajaan semata-mata, sebaliknya adalah amanah kolektif seluruh rakyat Malaysia.

Komuniti perlu diperkasa dan digalakkan untuk memainkan peranan yang lebih aktif dalam memastikan setiap generasi memahami, menghargai dan melestarikan budaya yang menjadi asas kepada pembentukan jati diri negara.

Dengan terbentuknya Pelan Perlindungan WTK 2026–2030 kelak, Malaysia bukan sahaja dapat terus mempertahankan warisan budayanya, malah mampu memperkukuhkan kedudukan sebagai sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian budaya di mata dunia.

Karnival Mega 3 Dimensi FELDA 2025 dimeriahkan dengan e-sukan dan rekod kebangsaan

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Sambutan Hari Peneroka FELDA 2025 terus menyerlah dengan penganjuran Karnival Mega 3 Dimensi FELDA (MK3D) yang berlangsung meriah selama lima hari, bermula 30 Julai hingga 3 Ogos.

Bertempat di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), karnival anjuran FELDA dengan kerjasama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), serta Majlis Belia FELDA Malaysia (MBFM) ini menampilkan pelbagai acara menarik yang menggabungkan elemen sukan moden, tradisional dan cabaran fizikal.

Antara tumpuan utama MK3D kali ini ialah kejohanan sukan elektronik (e-sukan) yang berlangsung di Dewan 1, Mitec Kuala Lumpur.

Pertandingan e-Football membuka tirai acara pada hari ini, diiringi dengan sesi tontonan langsung separuh akhir e-Sports World Cup (EWC) dari Riyadh, Arab Saudi yang menampilkan pasukan kebanggaan negara, SRG Malaysia.

Pada hujung minggu pula, pentas utama akan dikuasai oleh kejohanan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) yang dijangka menarik lebih ramai peminat e-sukan tempatan.

Kedua-dua acara e-sukan ini menawarkan hadiah terkumpul sebanyak RM45,000, menjadikan penyertaan bukan sahaja berprestij tetapi juga kompetitif.

Kehadiran pemain-pemain profesional serta peminat e-sukan menambahkan lagi kemeriahan suasana, menjadikan Dewan Mitec antara lokasi paling sibuk sepanjang karnival berlangsung.

Dalam pada itu, kejohanan karom beregu yang diadakan di Dewan 11 turut mencuri perhatian apabila mencatatkan penyertaan lebih 1,500 peserta dari seluruh negara.

Kejohanan ini bukan sahaja menjadi yang terbesar di Malaysia, malah secara rasmi dicatatkan dalam Malaysia Book of Records sebagai pertandingan karom dengan penyertaan tertinggi pernah direkodkan.

Juara bagi kategori beregu bakal membawa pulang hadiah utama bernilai RM10,000, manakala jumlah keseluruhan hadiah melebihi RM40,000.

Sambutan luar biasa menyebabkan pendaftaran peserta telah ditutup seawal Julai lalu.

Tidak ketinggalan, cabaran fizikal turut mendapat sambutan hebat menerusi acara “Strongest Man”, yang bakal mencapai kemuncaknya pada Ahad ini.

Salah satu segmen paling dinantikan adalah cubaan mencipta rekod Malaysia untuk bilangan peserta paling ramai menarik sebuah bas sejauh 20 meter secara serentak satu inisiatif yang turut mendapat perhatian Malaysia Book of Records.

Di sebalik persaingan dan aksi mencabar, karnival ini turut menjadi platform keusahawanan menerusi reruai jualan produk tempatan oleh usahawan FELDA.

Ruang niaga yang dibuka sepanjang tempoh karnival menyajikan pelbagai produk desa, makanan tradisional dan hasil kreativiti generasi baharu FELDA.

Presiden Majlis Belia FELDA Malaysia, Ahmad Faizal Sulaiman berkata, sasaran pengunjung dijangka mencecah sehingga dua juta orang dalam tempoh lima hari, dengan kemuncak kehadiran pada hari Sabtu dan Ahad ini.

Menurutnya, penyertaan dalam semua acara adalah terbuka kepada umum dan bukan hanya warga FELDA.

“Penyertaan kejohanan karom menunjukkan kepelbagaian usia peserta daripada remaja hinggalah veteran.

“Begitu juga dengan e-sukan yang didominasi generasi muda, manakala cabaran fizikal ‘Strongest Man’ terbuka kepada sesiapa sahaja yang mahu menguji kekuatan fizikal mereka,” katanya.

Antara bintang yang mencuri perhatian di arena e-sukan kali ini ialah Ahmad Muhaimin Abd Razak, pemain e-Football berbakat yang baru-baru ini menjuarai kejohanan terbuka di Terengganu.

Dalam penyertaannya di MK3D, Muhaimin hadir bukan sekadar untuk bertanding, tetapi juga untuk mengekalkan momentum kemenangan yang diraihnya sejak kebelakangan ini.

Sementara itu, sebagai jurulatih Muhaimin, Muhamad Najmie Azizi telah membantu melahirkan ramai bakat baharu termasuk Flasiu dari Johor, juara Kejohanan MEL Kebangsaan pada usia 17 tahun dan seorang pemain wanita yang berjaya meraih tempat kedua peringkat ASEAN.

“Bila kejohanan besar, saya akan keluarkan permainan terbaik. Ada tekanan, tapi saya fokus dan main macam biasa.

“Sekarang saya juga melatih beberapa pemain muda termasuk dari luar negara. Saya percaya coaching bukan sekadar teknik, tapi juga soal mental dan strategi,” katanya.

Katanya, potensi dan kesungguhan adalah kriteria utama dalam memilih pemain untuk dilatih, tanpa mengira jantina.

Kehadirannya di MK3D bukan hanya sebagai peserta, tetapi juga sebagai inspirasi kepada generasi muda FELDA yang berminat untuk menyertai arena e-sukan secara serius.

Dengan pencapaian di peringkat kebangsaan dan serantau, beliau membuktikan bahawa anak tempatan mampu melangkah jauh di pentas antarabangsa.

Dengan pelbagai elemen menarik yang menggabungkan sukan moden, cabaran fizikal, rekod kebangsaan serta semangat komuniti, Karnival Mega 3 Dimensi FELDA 2025 bukan sekadar sebuah acara sambutan ia menjadi simbol kebangkitan potensi FELDA dalam dimensi baharu yang lebih inklusif, progresif dan penuh inspirasi.

My Chemical Romance catat sejarah baharu di Kuala Lumpur dengan jualan tiket dua malam yang luar biasa

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Fenomena My Chemical Romance terus mencetuskan gelombang luar biasa apabila kumpulan ikonik itu mencatat sejarah di Malaysia dengan kejayaan menjual habis tiket untuk dua malam konsert mereka di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Dalam tempoh hanya beberapa jam selepas dibuka, tiket bagi malam kedua turut habis dijual, menjadikan keseluruhan 120,000 tiket untuk kedua-dua malam terjual sepenuhnya.

Kejayaan ini bukan sahaja menandakan pencapaian luar biasa buat band berkenaan di rantau Asia Tenggara, malah mengukuhkan kedudukan Kuala Lumpur sebagai destinasi utama bagi acara muzik antarabangsa berskala besar.

Konsert yang bakal berlangsung pada 30 April dan 1 Mei 2026 itu menjadi sebahagian daripada Jelajah Asia Tenggara My Chemical Romance, menjadikan ibu negara Malaysia satu-satunya lokasi dalam jelajah itu yang dianugerahkan dua malam persembahan berturut-turut.

Lebih mengagumkan, ini adalah kali pertama dalam sejarah Stadium Nasional Bukit Jalil menjadi lokasi kepada konsert antarabangsa dua malam berturut-turut, sekaligus mencipta rekod tersendiri dalam landskap hiburan tempatan.

Penganjuran konsert ini juga diangkat sebagai acara muzik antarabangsa terbesar yang akan berlangsung di Malaysia bagi tahun 2026, bertepatan dengan penganjuran Tahun Melawat Malaysia 2026 yang dijangka menarik kedatangan pelancong dari seluruh dunia.

Selaku penganjur rasmi, Hello Universe menzahirkan penghargaan yang tidak terhingga kepada peminat, rakan kerjasama, serta pihak media atas sokongan padu yang telah menjadikan detik bersejarah ini suatu realiti.

“Sambutan luar biasa ini mencerminkan betapa kuatnya pengaruh My Chemical Romance di rantau ini, lebih dua dekad selepas kemunculan mereka dalam dunia muzik alternatif global,” kata wakil Hello Universe.

Peminat boleh terus mengikuti perkembangan rasmi, maklumat terkini serta pengumuman lanjut mengenai konsert ini menerusi saluran media sosial rasmi Hello Universe di @hellouniversemy (Instagram, TikTok, dan X).

Dengan momentum luar biasa ini, konsert My Chemical Romance di Kuala Lumpur dijangka menjadi antara acara muzik paling dinanti dan berimpak besar dalam sejarah hiburan tanah air.

SPAT MAKMAL 2025 teguhkan budaya keselamatan di institusi pendidikan tinggi

editormaxinfo@gmail.com

TANJONG MALIM – Usaha memperkukuh budaya keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) di institusi pendidikan tinggi menerima suntikan baharu menerusi penganjuran Seminar Perkongsian Amalan Terbaik Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di Makmal dan Bengkel (SPAT MAKMAL 2025), yang berlangsung di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Bertempat di Dewan Konvensyen, Bangunan E-Learning, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, seminar dua hari itu menghimpunkan penyelidik, penyelia makmal, pegawai sains serta pentadbir institusi bagi memperhalusi pendekatan terbaik dalam menjadikan makmal dan bengkel sebagai persekitaran kerja yang lebih selamat, sistematik dan mampan.

Ahli Lembaga Pengarah UPSI, Mohd Zaidi Aziz yang merasmikan seminar berkenaan berkata, keselamatan di makmal dan bengkel bukan hanya membabitkan elemen teknikal semata-mata, tetapi perlu dibudayakan secara menyeluruh melalui pendidikan, latihan dan pemodelan tingkah laku selamat dalam kalangan warga kerja.

Menurutnya, makmal dan bengkel adalah nadi penting kepada perkembangan ilmu pengetahuan dan teknologi, namun tidak dapat dinafikan bahawa ia turut berdepan pelbagai risiko.

“Keberadaan bahan kimia berbahaya, peralatan berputar, dan proses bersifat teknikal tinggi menjadikan kawalan keselamatan sesuatu yang tidak boleh dikompromi,” katanya.

Beliau turut memetik statistik tahunan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) yang menunjukkan insiden membabitkan pendedahan kepada bahan kimia, kebakaran serta kecederaan akibat pengendalian mesin masih berlaku, termasuk di institusi pendidikan dan penyelidikan.

Katanya, hal ini membuktikan perlunya penyeragaman amalan terbaik serta pengukuhan terhadap pematuhan aspek keselamatan di tempat kerja.

SPAT MAKMAL 2025 menyentuh pelbagai isu kritikal berkaitan pengurusan bahan kimia, pelupusan sisa makmal, reka bentuk makmal yang selamat dan efisien, serta pembentukan budaya kerja yang sihat dan produktif.

Melalui sesi-sesi yang dijalankan, peserta diberi ruang untuk bertukar pandangan serta menyumbang idea ke arah membentuk dasar dan modul latihan yang lebih berkesan serta relevan dengan keperluan semasa.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Prof. Dr. Norkhalid Salimin berkata, seminar ini berperanan sebagai platform strategik dalam membudayakan amalan keselamatan dan kesihatan yang menyeluruh.

Katanya, tema seminar kali ini “Kepentingan Keselamatan di Makmal dan Bengkel bagi Institusi Pendidikan, Industri serta Institusi Penyelidikan” dipilih bagi mengangkat kepentingan aspek keselamatan dalam persekitaran berisiko tinggi.

Prof. Dr. Norkhalid berkata, kecuaian kecil di makmal atau bengkel mampu mencetuskan kesan besar, bukan sahaja terhadap individu yang terbabit, malah memberi kesan langsung kepada reputasi dan operasi organisasi.

Oleh itu, beliau menegaskan keselamatan bukan lagi pilihan, sebaliknya satu keperluan mutlak yang harus diberi keutamaan oleh semua pihak.

Beliau turut menyeru kepada kerjasama yang lebih erat antara institusi pendidikan, sektor penyelidikan dan pihak industri bagi membentuk satu budaya keselamatan yang kukuh, mampan dan menyeluruh, sejajar dengan perkembangan teknologi dan keperluan semasa.

Turut hadir dalam seminar berkenaan ialah Pengarah Bahagian Pengurusan Risiko, Keselamatan dan Kesihatan (ROSH) UPSI, Prof. Dr. Haniza Hanim Mohd Zain; Dekan Fakulti Sains dan Matematik, Prof. Dr. Mohd Faizal Nizam Lee Abdullah; Pengarah Bahagian Pengurusan Risiko Universiti Utara Malaysia (UUM), Shahrul Nizam Ahmad; serta Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat UPSI, Prof. Dr. Mohd Izwan Shahril.

Penganjuran SPAT MAKMAL 2025 membuktikan komitmen UPSI dan institusi pengajian tinggi lain dalam memperkukuh budaya keselamatan sebagai sebahagian daripada ekosistem pendidikan yang berintegriti, lestari dan berpaksikan kesejahteraan komuniti akademik serta negara secara keseluruhan.

FELDA dan Gula Prai lancar Edisi Khas 500g, simbol kemajuan, kemudahan dan kemesraan komuniti

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Karnival Mega 3 Dimensi FELDA (MK3D) terus mencipta detik bermakna dalam sejarah pembangunan luar bandar apabila FELDA, bersama FGV Holdings Berhad dan MSM Malaysia Holdings Berhad, melancarkan produk terbaharu mereka Gula Felda Edisi Khas 500 gram.

Pelancaran ini bukan sahaja mencerminkan inovasi dalam sektor makanan asas, malah menjadi simbol penghargaan sempena ulang tahun ke-69 FELDA dan 60 tahun penubuhan MSM, sebagai pengeluar utama jenama terkenal, Gula Prai.

Disasarkan kepada gaya hidup moden yang menuntut kemudahan dan fleksibiliti, gula dalam pek bersaiz kecil ini dilihat sebagai langkah strategik memperkenalkan produk yang lebih praktikal kepada pengguna, terutamanya di kawasan bandar.

Dengan harga yang dijangka kekal di bawah RM2, produk ini dilihat mampu menarik perhatian pelbagai segmen pengguna, termasuk mereka yang sering bergerak atau tinggal bersendirian.

Pengerusi FELDA, Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek berkata, produk ini lahir daripada semangat untuk terus memberi nilai tambah kepada komuniti FELDA dan masyarakat umum.

“Sebagai sebahagian daripada keluarga besar FELDA dengan lebih 114,000 peneroka, kami berbangga memperkenalkan produk yang praktikal dan relevan untuk masyarakat kini,” katanya yang turut menekankan kerjasama dengan MSM melalui jenama Gula Prai turut menjamin kualiti terbaik dalam setiap pek yang dikeluarkan.

Dihasilkan dalam kategori gula super, Gula Felda Edisi Khas ini menawarkan kemanisan yang lebih tinggi berbanding gula biasa.

Ciri ini bukan sahaja memberi kelebihan dari segi rasa, malah membolehkan pengguna menggunakan dalam kuantiti yang lebih kecil sekali gus menjimatkan kos dan penggunaan.

Sementara itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSM Malaysia Holdings Berhad, Hasni Ahmad berkata, inisiatif ini memperkukuh lagi komitmen syarikat dalam memperluaskan capaian kepada produk berkualiti tinggi sambil menyokong pembangunan ekonomi luar bandar.

“Kami teruja menyertai inisiatif ini bersama FELDA dan FGV. Ia membuka ruang kepada produk Gula Prai untuk menembusi pasaran baharu sambil menyokong komuniti luar bandar,” katanya.

Antara lokasi pasaran sasaran bagi produk ini termasuklah kedai serbaneka seperti 7-Eleven, pasar mini, petromart serta premis hospitaliti berskala kecil, yang memerlukan produk ringkas dan mudah dikendalikan.

Pelancaran Gula Felda Edisi Khas ini turut mendapat sambutan hangat daripada pengunjung MK3D, yang hadir untuk melihat dan mencuba sendiri produk baharu itu.

Ramai menyambut baik pembungkusan yang lebih kecil dan mudah disimpan, dengan seorang pengunjung berkata, gula jenis ini sangat sesuai digunakan di rumah mahupun ketika melancong.

MK3D yang berlangsung selama lima hari di Mitec, Kuala Lumpur bukan sekadar platform mempamerkan produk keluaran usahawan desa, malah menjadi medium penting bagi memperkasakan inisiatif Satu Daerah Satu Industri (SDSI), selain merapatkan kerjasama antara agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Majlis perasmian utama karnival ini dijadualkan berlangsung pada Sabtu, 2 Ogos, dengan kehadiran kepimpinan tertinggi negara sebagai lambang sokongan terhadap agenda transformasi ekonomi luar bandar yang lebih kompetitif dan berdaya saing.

Secara keseluruhan, pelancaran Gula Felda Edisi Khas bukan sahaja memperkukuh jenama FELDA dalam sektor perladangan dan makanan asas, tetapi juga menzahirkan kesungguhan agensi ini bersama rakan strategiknya untuk terus memacu perubahan melalui produk yang mencerminkan semangat peneroka serta memenuhi keperluan pasaran masa kini.

“Kami bukan hanya menjual gula. Kami membawa manisnya perjuangan FELDA dan kini, kemanisan itu lebih dekat dengan anda melalui pek 500g yang praktikal dan moden ini,” kata Hasni.

FELDA pacu transformasi digital dan lestari, rasmi seminar JPPK & pelancaran E-Nota Hantaran

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) terus memperkukuh peranannya sebagai peneraju industri perladangan negara dengan merasmikan Seminar Jawatankuasa Peneroka Peringkat Kebangsaan (JPPK) FELDA 2025 serta melancarkan sistem E-Nota Hantaran bertemakan Sawitku Mendunia.

Kedua-dua inisiatif ini dilangsungkan dalam suasana penuh meriah di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur, sempena penganjuran Karnival Mega 3 Dimensi (MK3D) 2025.

Dengan tema “FELDA Mendunia, Warisan Dicipta, Era Baharu Dibina”, acara berkenaan mencerminkan aspirasi FELDA untuk terus maju ke hadapan menerusi pendekatan lestari, penggunaan teknologi digital dan pengurusan hasil sawit yang menepati piawaian global.

Pelancaran sistem E-Nota Hantaran khususnya menandakan satu anjakan baharu dalam pendigitalan urus niaga penghantaran hasil, sekali gus menggantikan penggunaan rekod fizikal yang telah diguna pakai selama ini.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Pengerusi FELDA, Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek, disaksikan oleh barisan kepimpinan utama FELDA termasuk Pengarah Besar, Dato’ Dr. Suzana Idayu Wati Osman; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Fakhrunniam Othman; dan Ahli Lembaga FELDA merangkap Ketua Peneroka FELDA Kebangsaan, Sulong Jamil Mohamed Shariff.

Turut hadir ialah wakil-wakil dari pelbagai agensi berkaitan industri perladangan.

Dalam majlis berkenaan, FELDA turut menyampaikan beberapa anugerah pengiktirafan kepada individu dan entiti yang menunjukkan kecemerlangan dalam pengurusan ladang serta penglibatan aktif dalam pembangunan sektor perladangan.

Antaranya termasuk Anugerah Pekerja Produktif, Anugerah Wilayah Produktif kepada FELDA Wilayah Trolak, Anugerah Ladang Getah Lestari kepada FELDA Teloi Kanan, Wilayah Alor Setar, dan Anugerah Ladang Sawit Lestari JPPK yang dimenangi oleh FELDA Tenggaroh 07, Wilayah Johor Bahru.

Selain itu, Kilang Sawit Chiku, Wilayah Gua Musang turut menerima Anugerah Pengurusan Kilang Lestari, manakala pasukan Fajar Task Force diberikan Penghargaan Khas atas kejayaan pelaksanaan pelan strategik FELDA.

Dalam ucapannya, Ahmad Shabery berkata, kejayaan sebenar FELDA harus bergerak seiring dengan pembangunan warganya, khususnya golongan peneroka yang juga tulang belakang organisasi itu.

“Apa yang terbaik untuk FELDA adalah yang terbaik untuk warganya,” katanya sekali gus menggariskan prinsip utama dalam segala perancangan dan dasar yang digerakkan oleh FELDA.

Majlis turut menyaksikan penghargaan FELDA terhadap kerjasama strategik yang terjalin dengan pelbagai agensi dan syarikat utama dalam industri sawit negara.

Antara yang diberi pengiktirafan termasuk Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOA), Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), FELCRA, RISDA, LGM, serta pemain swasta seperti Sime Darby Plantation, IOI Plantation, HAP SENG, dan United Plantation.

Penganjuran acara ini bukan sahaja menzahirkan komitmen FELDA dalam memperkasa sektor perladangan negara, malah menunjukkan kesediaan agensi itu untuk melangkah ke era baharu yang lebih lestari, mampan dan berpaksikan teknologi digital.

Ia sekali gus membuktikan bahawa FELDA bukan sekadar institusi bersejarah, tetapi juga pelopor masa depan yang lebih inklusif dan berdaya saing demi kelangsungan komuniti peneroka dan pembangunan negara secara menyeluruh.

Bekas Imam Masjid Negara dilantik Timbalan Pengerusi MPN Wilayah Persekutuan

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Bekas Imam Masjid Negara, Muhammad Fikri Abdul Aziz, kini menggalas tanggungjawab baharu sebagai Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Wilayah Persekutuan.

Ketua Penerangan KEADILAN Putrajaya, Mohd Hafiz Osman berkata, pelantikan ini sekali gus menandakan satu langkah signifikan dalam memperkukuh kepimpinan dan perancangan pembangunan di peringkat Wilayah Persekutuan.

Muhammad Fikri, yang juga Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Putrajaya, membawa bersamanya latar belakang yang luas dalam bidang keagamaan, pendidikan dan pembangunan masyarakat.

“Pengalaman beliau sebagai figura dihormati dalam institusi agama dan penglibatan aktif dalam kegiatan kemasyarakatan menjadikan beliau tokoh yang diyakini mampu menyumbang secara berkesan dalam memacu agenda pembangunan negeri.

“Pelantikan beliau dianggap sebagai satu pengiktirafan terhadap sumbangan dan rekod perkhidmatannya yang cemerlang dalam menyantuni pelbagai lapisan masyarakat, khususnya di kawasan Wilayah Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan.

Peranan baharu ini akan menyaksikan beliau terbabit secara langsung dalam penyelarasan dasar, pemantauan pelaksanaan program pembangunan, serta perancangan strategik yang menjurus kepada kesejahteraan rakyat.

Sebagai Timbalan Pengerusi MPN, beliau dijangka memainkan peranan penting dalam merangka inisiatif pembangunan berimpak tinggi yang bersifat inklusif dan mampan, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan keseimbangan antara pembangunan ekonomi, sosial dan nilai-nilai kemanusiaan.

“Gabungan kepakaran beliau dalam hal ehwal agama, kecekapan kepimpinan serta keprihatinan terhadap isu-isu rakyat diyakini mampu memperkukuh usaha MPN dalam memperkasa pembangunan Wilayah Persekutuan secara menyeluruh dan bersepadu,” kata Mohd Hafiz lagi.

Pelantikan ini juga memberi isyarat jelas terhadap komitmen KEADILAN dalam membawa pemimpin berwibawa ke barisan hadapan kepimpinan negeri demi manfaat masyarakat seluruhnya.

Madame Tussauds lancar 13 patung lilin Taylor Swift serentak di seluruh dunia

editormaxinfo@gmail.com

HONG KONG – Madame Tussauds mencipta sejarah baharu dalam dunia hiburan apabila melancarkan serentak 13 patung lilin artis ikonik, Taylor Swift, dalam sebuah pelancaran global yang digambarkan sebagai paling besar dan bercita-cita tinggi dalam sejarah 250 tahun jenama itu.

Dengan pelancaran yang berlangsung merentas 13 bandar di empat benua, Madame Tussauds bukan sahaja memberi penghormatan kepada kejayaan luar biasa penyanyi itu, tetapi juga membawa peminat seolah-olah berada di tengah-tengah pentas konsert jelajah terkenal, Taylor Swift | The Eras Tour.

Patung-patung ini direka khusus bagi meraikan setiap era muzik Taylor Swift, termasuk era budaya rakyat yang diwakili oleh patung terbaru di Madame Tussauds Hong Kong.

Koleksi luar biasa ini menandakan penghargaan Madame Tussauds terhadap kedudukan Taylor Swift sebagai salah seorang ikon budaya paling berpengaruh dalam abad ke-21.

Selepas kejayaan The Eras Tour yang mencatat sejarah dengan menjual habis 149 tarikh konsert di lima benua, Madame Tussauds mengabadikan legasi penyanyi itu melalui detik-detik ikonik yang sinonim dengan kariernya.

Menurut Pengarah Jenama Global Madame Tussauds, Laura Sheard, pelancaran kali ini bukan sekadar penghormatan terhadap kemasyhuran Taylor Swift, tetapi juga manifestasi pengaruh luas beliau dalam muzik, fesyen, aktivisme, filem dan ekonomi global.

“Taylor Swift ialah ikon generasi dan penjana budaya. Madame Tussauds mempunyai legasi ratusan tahun dalam menangkap detik kemasyhuran melalui patung lilin.

“Pelancaran 13 patung ini, yang juga nombor bertuah Taylor, membolehkan kami mendekati peminat dari seluruh dunia dan memberi mereka peluang meraikan artis kesayangan mereka dengan cara yang istimewa,” katanya.

Projek mega ini mengambil masa lebih 14 bulan untuk disiapkan dengan kerjasama lebih 40 pengukir dan artis profesional Madame Tussauds.

Setiap patung menampilkan gaya ikonik berbeza yang sinonim dengan The Eras Tour, dengan perhatian rapi terhadap perincian termasuk busana, aksesori dan mikrofon.

Di Hong Kong, patung Taylor Swift tampil dalam busana rekaan khas Alberta Ferretti gaun hijau berlapis dengan lengan belah dan perincian daun yang mempesona.

Penampilan ini dilengkapi dengan but bertali hijau dan mikrofon buatan khas daripada syarikat Rebel Stage Gear UK, iaitu pembekal mikrofon sebenar untuk konsert Taylor Swift.

Jurugaya Patung Kanan Madame Tussauds, Danielle Cullen, turut menyatakan penghargaan terhadap kerjasama dengan jenama-jenama fesyen terkemuka seperti Roberto Cavalli, Vivienne Westwood, Versace, Christian Louboutin dan Etro yang menjadikan projek ini antara yang paling ikonik pernah diusahakan oleh Madame Tussauds.

“Projek ini bukan sekadar penghormatan visual terhadap Taylor Swift, tetapi juga peluang buat peminat di seluruh dunia untuk merasai kembali detik magis daripada konsert bersejarah yang hanya berlaku sekali dalam satu generasi,” katanya.

Pelancaran kali ini juga mengatasi pelancaran tujuh patung Harry Styles pada tahun 2023 dan lapan patung Lady Gaga pada 2011.

Antara lokasi tersenarai yang menerima patung lilin Taylor Swift termasuk Amsterdam, Berlin, Blackpool, Budapest, Hollywood, Hong Kong, Las Vegas, London, Nashville, New York, Orlando dan Sydney, selain satu patung khas yang akan menjelajah dan memulakan penempatannya di Shanghai.

Patung Taylor Swift di Madame Tussauds Hong Kong mula dipamerkan secara rasmi kepada umum sejak 24 Julai 2025.

Peminat disarankan mengikuti saluran rasmi media sosial Madame Tussauds bagi mendapatkan perkembangan terkini berkenaan pelancaran ini.

Dengan sambutan luar biasa terhadap The Eras Tour dan fenomena global yang dibawanya, koleksi patung lilin ini dijangka menjadi antara tarikan paling popular di setiap lokasi yang terbabit. -Agensi