29.3 C
Kuala Lumpur
Wednesday, May 20, 2026

FELDA dan Gula Prai lancar Edisi Khas 500g, simbol kemajuan, kemudahan dan kemesraan komuniti

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Karnival Mega 3 Dimensi FELDA (MK3D) terus mencipta detik bermakna dalam sejarah pembangunan luar bandar apabila FELDA, bersama FGV Holdings Berhad dan MSM Malaysia Holdings Berhad, melancarkan produk terbaharu mereka Gula Felda Edisi Khas 500 gram.

Pelancaran ini bukan sahaja mencerminkan inovasi dalam sektor makanan asas, malah menjadi simbol penghargaan sempena ulang tahun ke-69 FELDA dan 60 tahun penubuhan MSM, sebagai pengeluar utama jenama terkenal, Gula Prai.

Disasarkan kepada gaya hidup moden yang menuntut kemudahan dan fleksibiliti, gula dalam pek bersaiz kecil ini dilihat sebagai langkah strategik memperkenalkan produk yang lebih praktikal kepada pengguna, terutamanya di kawasan bandar.

Dengan harga yang dijangka kekal di bawah RM2, produk ini dilihat mampu menarik perhatian pelbagai segmen pengguna, termasuk mereka yang sering bergerak atau tinggal bersendirian.

Pengerusi FELDA, Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek berkata, produk ini lahir daripada semangat untuk terus memberi nilai tambah kepada komuniti FELDA dan masyarakat umum.

“Sebagai sebahagian daripada keluarga besar FELDA dengan lebih 114,000 peneroka, kami berbangga memperkenalkan produk yang praktikal dan relevan untuk masyarakat kini,” katanya yang turut menekankan kerjasama dengan MSM melalui jenama Gula Prai turut menjamin kualiti terbaik dalam setiap pek yang dikeluarkan.

Dihasilkan dalam kategori gula super, Gula Felda Edisi Khas ini menawarkan kemanisan yang lebih tinggi berbanding gula biasa.

Ciri ini bukan sahaja memberi kelebihan dari segi rasa, malah membolehkan pengguna menggunakan dalam kuantiti yang lebih kecil sekali gus menjimatkan kos dan penggunaan.

Sementara itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSM Malaysia Holdings Berhad, Hasni Ahmad berkata, inisiatif ini memperkukuh lagi komitmen syarikat dalam memperluaskan capaian kepada produk berkualiti tinggi sambil menyokong pembangunan ekonomi luar bandar.

“Kami teruja menyertai inisiatif ini bersama FELDA dan FGV. Ia membuka ruang kepada produk Gula Prai untuk menembusi pasaran baharu sambil menyokong komuniti luar bandar,” katanya.

Antara lokasi pasaran sasaran bagi produk ini termasuklah kedai serbaneka seperti 7-Eleven, pasar mini, petromart serta premis hospitaliti berskala kecil, yang memerlukan produk ringkas dan mudah dikendalikan.

Pelancaran Gula Felda Edisi Khas ini turut mendapat sambutan hangat daripada pengunjung MK3D, yang hadir untuk melihat dan mencuba sendiri produk baharu itu.

Ramai menyambut baik pembungkusan yang lebih kecil dan mudah disimpan, dengan seorang pengunjung berkata, gula jenis ini sangat sesuai digunakan di rumah mahupun ketika melancong.

MK3D yang berlangsung selama lima hari di Mitec, Kuala Lumpur bukan sekadar platform mempamerkan produk keluaran usahawan desa, malah menjadi medium penting bagi memperkasakan inisiatif Satu Daerah Satu Industri (SDSI), selain merapatkan kerjasama antara agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Majlis perasmian utama karnival ini dijadualkan berlangsung pada Sabtu, 2 Ogos, dengan kehadiran kepimpinan tertinggi negara sebagai lambang sokongan terhadap agenda transformasi ekonomi luar bandar yang lebih kompetitif dan berdaya saing.

Secara keseluruhan, pelancaran Gula Felda Edisi Khas bukan sahaja memperkukuh jenama FELDA dalam sektor perladangan dan makanan asas, tetapi juga menzahirkan kesungguhan agensi ini bersama rakan strategiknya untuk terus memacu perubahan melalui produk yang mencerminkan semangat peneroka serta memenuhi keperluan pasaran masa kini.

“Kami bukan hanya menjual gula. Kami membawa manisnya perjuangan FELDA dan kini, kemanisan itu lebih dekat dengan anda melalui pek 500g yang praktikal dan moden ini,” kata Hasni.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular