editormaxinfo@gmail.com
TANJONG MALIM – Usaha memperkukuh budaya keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) di institusi pendidikan tinggi menerima suntikan baharu menerusi penganjuran Seminar Perkongsian Amalan Terbaik Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di Makmal dan Bengkel (SPAT MAKMAL 2025), yang berlangsung di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Bertempat di Dewan Konvensyen, Bangunan E-Learning, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, seminar dua hari itu menghimpunkan penyelidik, penyelia makmal, pegawai sains serta pentadbir institusi bagi memperhalusi pendekatan terbaik dalam menjadikan makmal dan bengkel sebagai persekitaran kerja yang lebih selamat, sistematik dan mampan.
Ahli Lembaga Pengarah UPSI, Mohd Zaidi Aziz yang merasmikan seminar berkenaan berkata, keselamatan di makmal dan bengkel bukan hanya membabitkan elemen teknikal semata-mata, tetapi perlu dibudayakan secara menyeluruh melalui pendidikan, latihan dan pemodelan tingkah laku selamat dalam kalangan warga kerja.

Menurutnya, makmal dan bengkel adalah nadi penting kepada perkembangan ilmu pengetahuan dan teknologi, namun tidak dapat dinafikan bahawa ia turut berdepan pelbagai risiko.
“Keberadaan bahan kimia berbahaya, peralatan berputar, dan proses bersifat teknikal tinggi menjadikan kawalan keselamatan sesuatu yang tidak boleh dikompromi,” katanya.
Beliau turut memetik statistik tahunan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) yang menunjukkan insiden membabitkan pendedahan kepada bahan kimia, kebakaran serta kecederaan akibat pengendalian mesin masih berlaku, termasuk di institusi pendidikan dan penyelidikan.
Katanya, hal ini membuktikan perlunya penyeragaman amalan terbaik serta pengukuhan terhadap pematuhan aspek keselamatan di tempat kerja.
SPAT MAKMAL 2025 menyentuh pelbagai isu kritikal berkaitan pengurusan bahan kimia, pelupusan sisa makmal, reka bentuk makmal yang selamat dan efisien, serta pembentukan budaya kerja yang sihat dan produktif.
Melalui sesi-sesi yang dijalankan, peserta diberi ruang untuk bertukar pandangan serta menyumbang idea ke arah membentuk dasar dan modul latihan yang lebih berkesan serta relevan dengan keperluan semasa.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Prof. Dr. Norkhalid Salimin berkata, seminar ini berperanan sebagai platform strategik dalam membudayakan amalan keselamatan dan kesihatan yang menyeluruh.

Katanya, tema seminar kali ini “Kepentingan Keselamatan di Makmal dan Bengkel bagi Institusi Pendidikan, Industri serta Institusi Penyelidikan” dipilih bagi mengangkat kepentingan aspek keselamatan dalam persekitaran berisiko tinggi.
Prof. Dr. Norkhalid berkata, kecuaian kecil di makmal atau bengkel mampu mencetuskan kesan besar, bukan sahaja terhadap individu yang terbabit, malah memberi kesan langsung kepada reputasi dan operasi organisasi.
Oleh itu, beliau menegaskan keselamatan bukan lagi pilihan, sebaliknya satu keperluan mutlak yang harus diberi keutamaan oleh semua pihak.

Beliau turut menyeru kepada kerjasama yang lebih erat antara institusi pendidikan, sektor penyelidikan dan pihak industri bagi membentuk satu budaya keselamatan yang kukuh, mampan dan menyeluruh, sejajar dengan perkembangan teknologi dan keperluan semasa.
Turut hadir dalam seminar berkenaan ialah Pengarah Bahagian Pengurusan Risiko, Keselamatan dan Kesihatan (ROSH) UPSI, Prof. Dr. Haniza Hanim Mohd Zain; Dekan Fakulti Sains dan Matematik, Prof. Dr. Mohd Faizal Nizam Lee Abdullah; Pengarah Bahagian Pengurusan Risiko Universiti Utara Malaysia (UUM), Shahrul Nizam Ahmad; serta Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat UPSI, Prof. Dr. Mohd Izwan Shahril.
Penganjuran SPAT MAKMAL 2025 membuktikan komitmen UPSI dan institusi pengajian tinggi lain dalam memperkukuh budaya keselamatan sebagai sebahagian daripada ekosistem pendidikan yang berintegriti, lestari dan berpaksikan kesejahteraan komuniti akademik serta negara secara keseluruhan.


https://shorturl.fm/I3QAO
https://shorturl.fm/vTlKv