editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Fenomena My Chemical Romance terus mencetuskan gelombang luar biasa apabila kumpulan ikonik itu mencatat sejarah di Malaysia dengan kejayaan menjual habis tiket untuk dua malam konsert mereka di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Dalam tempoh hanya beberapa jam selepas dibuka, tiket bagi malam kedua turut habis dijual, menjadikan keseluruhan 120,000 tiket untuk kedua-dua malam terjual sepenuhnya.
Kejayaan ini bukan sahaja menandakan pencapaian luar biasa buat band berkenaan di rantau Asia Tenggara, malah mengukuhkan kedudukan Kuala Lumpur sebagai destinasi utama bagi acara muzik antarabangsa berskala besar.
Konsert yang bakal berlangsung pada 30 April dan 1 Mei 2026 itu menjadi sebahagian daripada Jelajah Asia Tenggara My Chemical Romance, menjadikan ibu negara Malaysia satu-satunya lokasi dalam jelajah itu yang dianugerahkan dua malam persembahan berturut-turut.
Lebih mengagumkan, ini adalah kali pertama dalam sejarah Stadium Nasional Bukit Jalil menjadi lokasi kepada konsert antarabangsa dua malam berturut-turut, sekaligus mencipta rekod tersendiri dalam landskap hiburan tempatan.

Penganjuran konsert ini juga diangkat sebagai acara muzik antarabangsa terbesar yang akan berlangsung di Malaysia bagi tahun 2026, bertepatan dengan penganjuran Tahun Melawat Malaysia 2026 yang dijangka menarik kedatangan pelancong dari seluruh dunia.
Selaku penganjur rasmi, Hello Universe menzahirkan penghargaan yang tidak terhingga kepada peminat, rakan kerjasama, serta pihak media atas sokongan padu yang telah menjadikan detik bersejarah ini suatu realiti.
“Sambutan luar biasa ini mencerminkan betapa kuatnya pengaruh My Chemical Romance di rantau ini, lebih dua dekad selepas kemunculan mereka dalam dunia muzik alternatif global,” kata wakil Hello Universe.

Peminat boleh terus mengikuti perkembangan rasmi, maklumat terkini serta pengumuman lanjut mengenai konsert ini menerusi saluran media sosial rasmi Hello Universe di @hellouniversemy (Instagram, TikTok, dan X).
Dengan momentum luar biasa ini, konsert My Chemical Romance di Kuala Lumpur dijangka menjadi antara acara muzik paling dinanti dan berimpak besar dalam sejarah hiburan tanah air.



https://shorturl.fm/n1FNF
https://shorturl.fm/2GgMW