26.4 C
Kuala Lumpur
Friday, June 19, 2026
Home Blog Page 69

Pesta Kopi kembali gegar ibu kota, edisi ke-8 Festival Kopi perintis Malaysia berlangsung di Semua House Kuala Lumpur

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Pencinta kopi dari seluruh negara bakal berhimpun di tengah-tengah ibu kota apabila Pesta Kopi, festival kopi perintis di Malaysia, kembali untuk edisi kelapan yang dinanti-nantikan.

Berlangsung dari 8 hingga 10 Ogos di Semua House, festival ini sekali lagi mengangkat budaya kopi tempatan ke pentas utama, menjadikannya acara tahunan yang tidak boleh dilepaskan oleh penggemar kopi, barista profesional mahupun pelawat kasual.

Ini adalah kali ketiga Pesta Kopi dianjurkan di Kuala Lumpur, dan Semua House sebuah hab kreatif dan perniagaan yang telah diperbaharui dipilih sebagai lokasi rasmi.

Terletak di tengah bandaraya, lokasi ini kini menjadi tumpuan jenama-jenama tempatan dan platform bagi pelbagai pengalaman berbudaya.

Lebih 50 jenama kopi dari Malaysia, Indonesia dan pelbagai negara lain berkumpul di bawah satu bumbung, termasuk nama-nama besar seperti Whatever Works dan 103 Coffee, serta lima jenama terkemuka dari Indonesia yang diterbangkan khas ke Kuala Lumpur.

Pengunjung berpeluang menikmati pelbagai jenis kopi dari biji kopi single origin hingga campuran edisi terhad, menjadikan festival ini destinasi utama untuk menyelami keunikan dunia kopi yang semakin berkembang di rantau ini.

Pelbagai Sorotan Menarik Menanti Pengunjung

Festival kali ini bukan sekadar tentang kopi ia juga menawarkan pelbagai aktiviti dan pengalaman yang menyatukan rasa, kreativiti dan komuniti.

Antara tarikan utama termasuk pilihan biji kopi istimewa dari negara-negara seperti Malaysia, Vietnam, Indonesia dan negara-negara Afrika, jualan peralatan kopi yang merangkumi set permulaan hinggalah ke mesin profesional, serta sajian pastri dan pencuci mulut ala kafe yang melengkapi pengalaman rasa yang sempurna.

Barisan aktiviti interaktif juga dijangka menjadi tumpuan sepanjang tiga hari festival berlangsung. Antaranya termasuk:

-Pertandingan Seni Latte & Sweetlab, iaitu pertandingan barista kreatif yang dianjurkan oleh Lesweet, mempertemukan barista-barista terbaik dari seluruh negara dalam pertarungan seni dan kemahiran.

-Kelas interaktif seperti Bengkel Seni Latte dan Bengkel Kenali Roaster Anda, yang dikendalikan oleh pakar industri sesuai untuk pemula dan pembancuh kopi di rumah yang ingin meningkatkan kemahiran mereka.

-Pertandingan Cup Doodling oleh Coffex, terbuka kepada semua, dengan hadiah wang tunai RM1,000 serta bekalan kopi dan peralatan eksklusif selama tiga bulan.

Festival ini turut menganjurkan acara khas seperti “Rise ‘N Grind”, satu larian pagi Ahad yang dianjurkan bersama Projek 59 dan Box KL, lengkap dengan hidangan ringan, sesi DJ dan cabutan bertuah yang menceriakan suasana hujung minggu.

Tidak ketinggalan, cabaran “Tropical Thunder Coconut Mix” oleh Karta, memberi peluang kepada mixologist baharu dan berpengalaman untuk mencipta minuman kopi berinfusi kelapa yang paling kreatif.

Bagi mereka yang gemarkan cabaran unik, peraduan makan snek “Snack Like a Rockstar” oleh Tos Tos Tortilla Chips menawarkan hadiah wang tunai sehingga RM500 kepada peserta yang mempunyai “kunyahan paling kuat” satu aktiviti yang dijangka mencetuskan suasana ceria dan gamat.

Suasana Dihangatkan dengan Alunan Muzik dan Penampilan DJ Terkenal

Menambahkan lagi kemeriahan, pengunjung juga akan dihiburkan dengan set muzik daripada kolektif DJ tempatan Beats and Brew, yang akan menghidupkan suasana sepanjang hujung minggu dengan irama santai dan bertenaga.

Sorotan khas pada hari Sabtu, dari jam 11 pagi hingga 1 tengah hari, adalah segmen “Hitz FM Chill Takeover”, yang menampilkan DJ-DJ Hitz secara langsung dalam suasana santai sambil pengunjung menikmati secawan kopi.

Masuk adalah percuma, dan Pesta Kopi 2025 menjanjikan pengalaman yang menyeluruh bukan sahaja sebagai tempat untuk mencuba pelbagai jenis kopi, tetapi juga sebagai ruang untuk membina jaringan dalam komuniti kopi, meneroka kreativiti dan menyelami budaya yang semakin subur di Malaysia.

Sebarang maklumat lanjut dan perkembangan terkini mengenai Pesta Kopi, ikuti laman Instagram rasmi mereka di @pestakopi dan @semuahousekl.

Khadijah Ibrahim seru selebriti muda ceburi dunia perniagaan ketika populariti memuncak

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Ikon seni suara negara, Dato’ Khadijah Ibrahim menyeru selebriti muda Malaysia tidak hanya bergantung sepenuhnya kepada kerjaya dalam industri hiburan, sebaliknya memanfaatkan waktu populariti mereka untuk mula meneroka bidang keusahawanan sebagai persediaan jangka panjang.

Menurut penyanyi yang telah mencipta nama sejak era kegemilangan muzik tanah air pada 1980-an itu, dunia hiburan adalah satu industri yang bersifat tidak kekal dan boleh berubah dalam sekelip mata.

Justeru, adalah penting bagi anak seni masa kini mengambil langkah awal membina jenama dan perniagaan sendiri sewaktu nama mereka masih meniti di bibir peminat.

“Saya sendiri telah melihat ramai rakan-rakan artis yang kecundang selepas tidak lagi aktif di pentas hiburan.

“Bila nama tidak lagi disebut, tawaran kerja semakin berkurang, dan akhirnya mereka hilang punca pendapatan.

“Saya tidak mahu perkara ini berlaku kepada generasi muda hari ini,” katanya dalam satu temubual baru-baru ini.

Sebagai Pengerusi Persatuan Karyawan Malaysia, Khadijah menekankan pemilikan ilmu asas perniagaan adalah kunci kejayaan jangka panjang dan tidak sepatutnya selebriti hanya menjadi wajah kepada sesebuah produk tanpa memahami aspek-aspek penting seperti pemasaran, pengurusan dan pengeluaran.

“Belajar tentang selok-belok bisnes. Jangan hanya jadi duta atau ‘nama’ untuk produk.

“Turun padang, ambil tahu tentang pemasaran, pengurusan, pengeluaran. Kalau kita sendiri tak faham, orang lain mudah ambil kesempatan,” tegasnya.

Pengalaman peribadi Khadijah sendiri dalam dunia perniagaan menjadi bukti kepada keberkesanan pendekatan berkenaan.

Dia kini adalah pengasas kepada jenama makanan miliknya, Sos Cili Ibu, yang semakin dikenali bukan sahaja dalam negara, malah mula mendapat tempat dalam kalangan pengguna luar negara.

“Saya mulakan dengan produk yang saya suka dan saya faham iaitu makanan.

“Saya tahu rakyat Malaysia sukakan makanan pedas, jadi saya hasilkan sos cili yang asli, buatan tempatan, dan kini dikenali sebagai Sos Cili Ibu,” katanya sambil berkongsi kisah bagaimana minat terhadap makanan menjadi permulaan kepada kejayaan usahawanannya.

Baru-baru ini, Khadijah turut menyertai Malaysia Fest 2025 yang berlangsung di Singapore Expo, Singapura dari 31 Julai hingga 3 Ogos, di mana produk Sos Cili Ibu diperkenalkan secara langsung kepada pasaran antarabangsa.

Kehadiran Khadijah di pameran itu bukan sahaja menarik perhatian peminat dari Singapura, malah turut disambut mesra oleh pelancong asing yang teruja mencuba produk tempatan Malaysia.

“Saya terharu dengan sokongan peminat dan pengunjung di Singapore Expo.

“Ramai yang datang bukan sekadar nak beli sos, tapi juga nak bergambar dan berkongsi memori zaman kegemilangan muzik saya. Ia satu pengalaman yang cukup manis,” katanya yang turut berpeluang berkongsi pentas pameran bersama artis-artis terkenal seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Ifa Raziah, Zaiton Sameon, Jasmin Hamid dan ramai lagi.

Melalui penglibatan aktif dalam acara seperti Malaysia Fest, Khadijah menyatakan hasrat untuk memperluas lagi pasaran Sos Cili Ibu ke luar negara, sekaligus membuka lebih banyak peluang perniagaan dan pekerjaan bagi rakyat tempatan.

Dia berharap usahanya ini mampu menjadi inspirasi kepada golongan selebriti muda untuk lebih berani meneroka dunia keusahawanan.

“Saya percaya ramai selebriti muda hari ini ada potensi besar dalam bisnes. Jangan takut untuk bermula. Rezeki itu luas jika kita berani mencuba,” katanya.

Diiktiraf SIRIM, ASTRA Bateriku perkukuh kepercayaan pengguna melalui pelancaran makmal kualiti sendiri

editormaxinfo@gmail.com

SHAH ALAM – Bateriku (M) Sdn. Bhd. hari ini mencatat satu lagi pencapaian penting apabila secara rasmi melancarkan bateri automotif ASTRA yang kini diiktiraf dengan pensijilan SIRIM bagi kesemua 28 SKU produknya.

Ia sekaligus mengukuhkan kedudukannya sebagai pemain utama dalam industri bantuan tepi jalan dan penyelesaian tenaga automotif di Malaysia.

Majlis pelancaran itu turut menyaksikan pengenalan Makmal Kualiti Bateriku, sebuah fasiliti dalaman yang ditubuhkan untuk menjalankan ujian menyeluruh terhadap prestasi, ketahanan dan keselamatan setiap unit bateri ASTRA yang dipasarkan.

Majlis berkenaan disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Industri), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI); Datuk Hanafi Sakri dan dihadiri oleh barisan pengurusan tertinggi SIRIM Berhad, penggiat industri automotif serta rakan-rakan strategik Bateriku.

ASTRA, jenama bateri tempatan yang dilancarkan tiga tahun lalu, kini telah mencatatkan jualan melebihi satu juta unit di seluruh negara.

Pencapaian ini dipacu oleh kekuatan ekosistem Bateriku yang merangkumi 225 pitstop fizikal di seluruh Malaysia serta lebih daripada 1,500 juruteknik bergerak (gig technician) yang dilatih melalui Akademi Bateriku.

Pensijilan SIRIM yang diperoleh adalah berdasarkan piawaian antarabangsa IEC 60095, menjadikan ASTRA satu-satunya jenama bateri automotif di Malaysia yang memperolehnya untuk ketiga-tiga kategori produk utama iaitu Bateri MF, Bateri EFB dan Bateri AGM.

Lebih membanggakan, setiap pembelian bateri ASTRA disertakan dengan Perlindungan Takaful Kemalangan Diri (GPA) sehingga RM7,000 secara percuma, suatu inisiatif pertama dalam industri bateri tempatan.

Selain itu, pengguna turut menikmati kemudahan waranti nasional, yang membolehkan mereka menerima bantuan di mana sahaja mereka berada.

Sebagai contoh, jika pelanggan menukar bateri di Shah Alam dan menghadapi kerosakan di Bota Kiri, Perak, pasukan Bateriku akan segera hadir ke lokasi untuk memberikan bantuan menerusi rangkaian yang telah dibina.

Makmal Kualiti Bateriku yang ditubuhkan di bawah Makmal Hijau Sdn. Bhd. bakal menjadi pusat kawalan mutu utama syarikat, memastikan setiap produk yang dipasarkan memenuhi piawaian yang ditetapkan dan sekaligus mengekalkan kepercayaan pengguna terhadap jenama ASTRA.

Dalam ucapan perasmiannya, Hanafi Sakri berkata, pihaknya menzahirkan penghargaan kepada Bateriku atas pelaburan strategik dalam memperkukuhkan kawalan mutu produk serta usaha untuk memastikan kepatuhan terhadap standard SIRIM.

Menurut beliau, inisiatif ini membuktikan kemampuan syarikat tempatan untuk bersaing bukan sahaja dari aspek harga, tetapi juga dari sudut kualiti dan ketelusan operasi.

Beliau turut memuji ekosistem Bateriku yang dinamik dan lestari, yang bukan sahaja membabitkan penyediaan khidmat teknikal tetapi turut merangkumi pembangunan keupayaan teknologi dalaman, latihan juruteknik gig (BHero), jaringan usahawan (BPreneur), dan rangkaian rakan bengkel serta trak tunda (BBuddy).

Malah, inisiatif Briged Hijau yang ditubuhkan oleh syarikat turut memainkan peranan penting dalam pengumpulan dan pelupusan bateri lusuh serta sisa elektronik secara mampan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bateriku, Azarol Faizi Zakaria Ansari berkata, ASTRA bukan sekadar produk, tetapi satu komitmen terhadap kualiti dan sokongan selepas jualan yang konsisten.

“ASTRA adalah satu-satunya jenama bateri yang diperakui SIRIM IEC 60095 dan menawarkan perlindungan takaful kemalangan diri secara percuma serta bantuan waranti seluruh negara.

“Ia adalah janji kami untuk memberikan ketenangan fikiran kepada pengguna di jalan raya,” katanya.

Katanya, ASTRA telah menjadi pilihan utama dalam kalangan mekanik kerana sistem waranti yang mudah dan menyeluruh.

“Mekanik tidak lagi perlu berdepan tuntutan pelanggan kerana pengguna boleh mengunjungi mana-mana pitstop Bateriku di seluruh negara atau menghubungi talian bantuan 24 jam untuk sebarang isu berkaitan bateri dan semuanya akan diuruskan oleh Bateriku,” katanya.

Majlis pelancaran hari ini menjadi bukti jelas bagaimana syarikat tempatan seperti Bateriku mampu membina jenama yang dipercayai, mampan dan berskala nasional melalui pelaburan strategik dalam inovasi, latihan dan jaminan kualiti.

Untuk pemilik bengkel yang berminat mendapatkan stok bateri ASTRA, mereka boleh menghubungi talian 013 844 2816 atau emel ke b2wteam@bateriku.com bagi maklumat lanjut dan kerjasama.

Dengan pengiktirafan rasmi daripada SIRIM dan pelancaran makmal kualiti dalaman, Bateriku kini terus maju sebagai peneraju inovasi dalam penyelesaian tenaga automotif yang mesra pengguna dan mesra alam, selari dengan aspirasi negara ke arah masa depan yang lebih hijau dan berdaya saing.

GISSCO raikan 50 tahun legasi cemerlang sebagai pemegang lesen PETRONAS 001 pertama di Malaysia

editormaxinfo@gmail.com

PETALING JAYA – Genap lima dekad sejak penubuhannya, syarikat Bumiputera unggul GISSCO Sdn. Bhd. bersedia meraikan pencapaian luar biasanya dalam industri minyak dan gas negara menerusi Majlis Gala Jubli Emas ke-50 dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2025, yang bakal berlangsung pada 15 September ini.

Majlis berprestij itu dijangka menghimpunkan lebih 400 tetamu termasuk pemegang taruh, rakan industri dan warga kerja dalam satu perhimpunan penuh penghargaan dan nostalgia, menandakan ulang tahun emas sebuah syarikat yang menjadi perintis kepada banyak pencapaian penting dalam sektor tenaga negara.

GISSCO mencatat sejarah sebagai syarikat Bumiputera pertama yang dianugerahkan Lesen PETRONAS 001, suatu pengiktirafan berprestij yang bukan sahaja menandakan permulaan perjalanan korporat yang signifikan, malah membuka jalan kepada penglibatan lebih meluas syarikat tempatan dalam industri minyak dan gas Malaysia.

Bermula pada tahun 1975 dengan perkhidmatan katering luar pesisir yang sederhana, GISSCO kini muncul sebagai antara penyedia utama tenaga kerja mahir, perkhidmatan teknikal, pengurusan acara dan pembekal peralatan perlindungan diri (PPE) yang terkemuka di negara ini.

Perjalanan ini turut diserikan dengan pelancaran logo baharu syarikat, sebagai simbol transformasi korporat yang berterusan seiring perubahan zaman dan keperluan industri.

Pengarah GISSCO, Umaira Mohammad Rashid berkata, pencapaian sebagai pemegang Lesen PETRONAS 001 tidak sekadar memberi keistimewaan tetapi satu legasi yang dibina atas kepercayaan, komitmen dan kerjasama strategik yang berpanjangan.

“Kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua rakan strategik, khususnya PETRONAS, atas kepercayaan berterusan terhadap GISSCO selama ini,” katanya pada majlis sidang media pengumuman majlis itu, baru-baru ini.

Hadir sama pada sidang media itu ialah Pengarah Urusan GISSCO; Mohammad Khoirul Kamal Mohammad Rashid dan Pengarah Operasi GISSCO; Shahrul Azni Shahruddin.

Umaira turut menyentuh mengenai sejarah penubuhan syarikat yang diasaskan oleh arwah bapanya, Allahyarham Mohammad Rashid Mohd Fahmi, seorang tokoh usahawan yang gigih membangunkan syarikat dari bawah dengan penuh dedikasi dan keazaman, meskipun berdepan cabaran besar dalam industri yang sangat kompetitif.

“Untuk terus kekal relevan dalam dunia digital dan landskap industri yang sangat mencabar bukanlah tugas mudah.

“Namun GISSCO mampu bertahan dan berkembang kerana asas kami ialah kerja berpasukan yang kukuh dari staf lapangan hingga kepimpinan pengurusan. Ini adalah kejayaan bersama,” katanya.

Mengimbas ke hadapan, Umaira berkata, pihaknya mempunyai harapan agar pencapaian GISSCO akan menjadi inspirasi kepada generasi usahawan Bumiputera yang akan datang untuk menerajui sektor strategik negara dengan semangat jati diri, profesionalisme dan integriti.

Kemuncak acara yang dinanti-nantikan ialah Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2025, yang akan mengiktiraf sumbangan dan kesetiaan warga kerja dari cawangan GISSCO di Miri, Kemaman, Labuan dan ibu pejabat di Kuala Lumpur.

Anugerah ini akan diberikan kepada individu yang telah memainkan peranan penting dalam memperkukuh kejayaan syarikat dari awal penubuhannya hingga ke hari ini.

Majlis Gala turut dimeriahkan dengan persembahan istimewa daripada barisan artis tersohor tanah air seperti Dato’ Khatijah Ibrahim, Dato’ Hattan, Dayang Nurfaizah, Mimi Fly dan Atilia yang dijangka menghidupkan suasana malam dengan persembahan bertemakan penghargaan dan kenangan sepanjang 50 tahun perjalanan syarikat.

Majlis peringkat nasional ini juga dijangka akan dirasmikan oleh seorang tetamu kehormat berprofil tinggi yang mewakili kepimpinan negara dalam sektor ekonomi dan korporat.

“Anugerah akan diberikan kepada warga kerja yang berkhidmat lebih 10 tahun dengan GISSCO.

“Ini adalah sebahagian daripada usaha kami menghargai warga kerja yang kekal setia bersama GISSCO,” katanya.

Gala Jubli Emas GISSCO adalah lambang kepada pencapaian luar biasa sebuah syarikat 100 peratus milik Bumiputera yang terus teguh berdiri dalam industri minyak dan gas, memperkasakan bakat tempatan, memacu inovasi, serta memperluaskan impak sosial melalui tanggungjawab korporat yang berterusan.

Dengan semangat yang sama sejak penubuhannya, GISSCO kini bersedia melangkah ke fasa baharu yang lebih dinamik, berteraskan kecemerlangan, integriti dan kebanggaan nasional menjadikan legasi 50 tahun bukan sebagai penamat, tetapi permulaan kepada masa depan yang lebih gemilang.

PEKEMA Charity Golf 2025 kembali dengan hadiah lebih RM500,000 dan sokongan padu komuniti korporat

editormaxinfo@gmail.com

CYBERJAYA – Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) sekali lagi tampil dengan penganjuran edisi ke-11 kejohanan golf tahunan berprestij, PEKEMA Charity Golf President’s Cup 2025, yang dijadual berlangsung pada 23 dan 24 Ogos ini di Palm Garden Golf Club, Putrajaya.

Acara dua hari itu dijangka menghimpunkan hampir 500 pemain golf amatur dari seluruh negara, menjadikannya antara kejohanan golf amatur terbesar di Malaysia.

Penganjuran ini turut disertai oleh ahli-ahli PEKEMA, rakan niaga tempatan dan antarabangsa, pembekal, usahawan serta pelanggan setia PEKEMA.

Tahun ini, kejohanan tampil dengan tawaran hadiah keseluruhan bernilai lebih RM500,000, menjadikan ia antara yang paling lumayan dalam kalendar golf amatur negara.

Antara tarikan utama ialah hadiah kereta elektrik Dongfeng Box, kenderaan rasmi PEKEMA, yang ditawarkan bagi kategori hole-in-one di beberapa lubang terpilih.

Turut ditawarkan ialah hadiah tunai sehingga RM28,888, serta pelbagai hadiah cabutan bertuah termasuk hadiah utama bernilai RM20,000.

Selain hadiah utama dan kategori kompetitif seperti President’s Cup Champion, pemenang keseluruhan, serta pelbagai kategori Medal dan Novelty, setiap peserta juga bakal menerima beg cenderahati eksklusif bernilai RM500 sebagai penghargaan atas penyertaan mereka.

Namun, lebih daripada sekadar acara sukan, PEKEMA Charity Golf terus mengekalkan matlamat utamanya sebagai platform tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan sebahagian hasil kutipan akan disalurkan kepada rumah-rumah kebajikan dan organisasi amal terpilih.

Presiden PEKEMA, Datuk Mohamed Nazari Noordin, berkata kejohanan ini adalah peluang terbaik untuk memperkukuh jaringan industri serta menyumbang kepada pembangunan komuniti.

“PEKEMA Charity Golf bukan sekadar acara sukan ia adalah platform penting untuk merapatkan hubungan usahawan, pemimpin industri dan agensi kerajaan, sekaligus memacu pertumbuhan ekonomi yang lebih inklusif,” katanya.

Menurutnya, penganjur amat mengalu-alukan penyertaan lebih banyak syarikat sebagai penaja, bukan sahaja untuk meningkatkan keterlihatan jenama masing-masing, tetapi juga sebagai manifestasi komitmen mereka terhadap usaha CSR dan kebajikan masyarakat.

Setakat ini, sokongan penaja amat memberangsangkan dengan penglibatan pelbagai jenama terkemuka dari dalam dan luar negara.

Antara syarikat yang telah mengesahkan penyertaan sebagai penaja termasuk TOA Trading Co. Ltd, Cuscapi Solutions Sdn Bhd, Heiwa Auto Co. Ltd, Trendy Information Co. Ltd, Maybank, Allianz General Insurance Company, Bank Simpanan Nasional (BSN), Northport, Dagang Net Technologies, Farm Fresh dan banyak lagi.

Sokongan yang diberikan mencerminkan keprihatinan sektor korporat terhadap inisiatif kebajikan yang dijalankan melalui platform sukan.

Sementara itu, Timbalan Presiden PEKEMA, Dato’ Wan Sazrudeen Wan Zaid berkata, acara ini membawa nilai lebih besar dari sekadar kejohanan sukan semata-mata.

“Acara ini melambangkan semangat keusahawanan, kemajuan teknologi automotif dan keprihatinan sosial.

“Kami percaya kemajuan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat mampu bergerak seiring,” katanya.

Penyertaan masih dibuka kepada pemain golf amatur dan pasukan korporat, dengan yuran sebanyak RM5,000 bagi setiap flight, merangkumi yuran padang, buggy, khidmat caddy, t-shirt rasmi, beg hadiah premium, makan tengah hari dan makan malam.

Majlis penyampaian hadiah serta Makan Malam Gala akan diadakan pada malam 24 Ogos 2025 di Putrajaya Marriott Hotel, di mana pemenang akan diraikan dalam suasana penuh gemilang.

Setakat 5 Ogos 2025, hampir 110 flight telah ditempah, menandakan sambutan luar biasa daripada peminat golf dan komuniti industri.

Hanya beberapa slot penyertaan masih tersedia dan peserta disarankan untuk mendaftar segera bagi mengelakkan kekecewaan.

Untuk maklumat lanjut dan penyertaan, orang ramai boleh menghubungi Mohd Hafiz di talian 012-389 3500 atau Rosnah di talian 012-479 1739.

Acara ini bukan sahaja menjanjikan pertandingan golf yang kompetitif dan penuh gaya, malah mengangkat nilai-nilai kebajikan dan solidariti masyarakat sebagai tunjang utama kejayaan berterusan PEKEMA Charity Golf.

“Tiga Abdul La!”, tiga pelawak popular cabar diri dalam program realiti ikhtiar hidup

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Tiga pelawak tanah air bersedia meninggalkan zon selesa mereka demi menyahut cabaran aktiviti ikhtiar hidup dalam sebuah program realiti terbaharu terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) berjudul “Tiga Abdul La!”.

Program ini yang menampilkan pendekatan segar dan mencuit hati, bersiaran setiap Ahad, jam 9 malam menerusi saluran Okey dan platform penstriman RTMKlik.

Menampilkan trio pelawak terkenal iaitu Atu daripada kumpulan Zero, Joe Aziz dan Dewa dari kumpulan Arteh,Tiga Abdul La! membawa penonton mengikuti pelbagai cabaran ikhtiar hidup di lokasi-lokasi unik merentas pelbagai pelosok negara, termasuk keindahan alam semula jadi Sabah dan Sarawak.

Dengan 13 episod kesemuanya, setiap minggu turut menyaksikan kehadiran artis jemputan berbeza yang sama-sama menyertai cabaran, antaranya Saiful (Zero), Mek Yun, Amy Dangin, John Bear, Dayana Roza, Amerul Affendi, Apiz Paschya, Kween Keela, Ebi Kornelis, Kimberly Chuah, Shamsul Danish dan Michelle Lungan.

Program ini bukan sahaja menghiburkan, malah turut membawa mesej mendalam bersempena sambutan Hari Kebangsaan dengan mengetengahkan elemen kebudayaan dan kelangsungan hidup yang sinonim dengan pelbagai komuniti di Malaysia.

Aktiviti yang dilaksanakan di setiap episod menuntut kerjasama, kreativiti serta keberanian para peserta dalam menyelesaikan tugasan yang diberikan.

Antara cabaran yang dilalui termasuklah membina peralatan menangkap ikan seperti pancing dan bubu menggunakan bahan-bahan asas, diikuti dengan tugasan memasak hasil tangkapan mereka mengikut menu khas.

Bagi menambah kesukaran, pembelian bahan masakan turut dihadkan dari segi kos bagi menguji tahap kreativiti masing-masing dalam menyediakan hidangan.

Antara momen menarik dalam episod awal termasuklah penyertaan pempengaruh popular berketurunan Cina dari Kelantan, Mek Yun.

Dalam episod kedua, beliau bersama trio pelawak ditugaskan memancing ikan sasaran di kawasan parit sawah sambil mencari umpan secara semula jadi.

Dengan pengalaman hampir sifar dalam aktiviti sedemikian, cabaran ini pastinya menjadi pengalaman luar biasa buat mereka.

Seterusnya, penyanyi kumpulan Budak Nakal Hujung Simpang, John Bear, menyertai misi memburu ikan Baung menggunakan joran buatan tangan dan umpan ikan tapa yang berbau busuk.

Kejayaan mereka bergantung kepada ketahanan mental dan fizikal dalam menyempurnakan tugasan ini.

Cabaran turut menjadi semakin mencabar apabila pelakon Dayana Roza menyertai sesi memancing di laut terbuka.

Namun keadaan laut yang sedikit bergelora menyebabkan seorang ahli pasukan mengalami mabuk laut, menambah kesukaran misi mereka.

Dalam episod lain, pelakon serba boleh Amerul Affendi menyertai pasukan hos untuk misi menangkap udang, menggunakan pancing buatan sendiri dan bot yang dikongsi bersama pasukan lawan.

Ini diikuti dengan kemunculan pelakon muda Kimberly Chuah dalam episod yang membawa mereka ke Sungai Rompin, Pahang untuk cabaran memancing dan memasak di tengah hutan.

Program Tiga Abdul La! telah memulakan siaran sejak 3 Ogos lalu dengan episod pengenalan yang memberi gambaran keseluruhan tentang dinamika dan semangat kerjasama antara hos dan selebriti jemputan.

Didorong oleh semangat humor dan pengembaraan, program ini menjanjikan hiburan yang sarat dengan nilai murni dan elemen pendidikan tentang kehidupan luar bandar dan survival.

Penonton dijemput untuk terus mengikuti siri ini setiap minggu di saluran Okey dan RTMKlik, bagi menyaksikan bagaimana gelagat tiga pelawak ini menghadapi pelbagai cabaran hidup sebenar jauh dari pentas lawak, tetapi tetap dengan gaya bersahaja yang mencuit hati.

Sheila Majid raikan 40 tahun dalam industri muzik dengan single baharu “Moving On”

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Ketika 40 tahun yang lalu, industri muzik tanah air menyaksikan kemunculan seorang penyanyi bertubuh kecil tetapi berjiwa besar, yang suaranya segera mencorakkan landskap muzik tempatan.

Hari ini, Datuk Sheila Majid masih teguh berdiri di pentas seni, membuktikan bahawa bakat dan keaslian mampu mengatasi masa.

Sempena sambutan empat dekad penglibatan beliau dalam dunia muzik, Ratu Jazz negara itu melancarkan single terbaharunya berjudul Moving On dalam sebuah majlis pelancaran eksklusif yang berlangsung meriah di Pavilion Damansara Heights.

Acara itu turut dihadiri peminat setia, wakil media dan rakan-rakan industri, yang tidak mahu melepaskan peluang untuk menyaksikan detik bersejarah ini.

Moving On bukan sekadar lagu baharu ia adalah refleksi perjalanan panjang Sheila sebagai seorang artis yang telah melalui pelbagai fasa dalam hidup dan kerjaya.

Dengan mesej yang menyentuh tentang penyembuhan, kekuatan dalaman dan kebebasan emosi, lagu ini diadun dengan irama nu-disco segar, diinspirasikan daripada era disko 1980-an, sekaligus menggabungkan elemen nostalgia dan moden dengan begitu harmoni.

“Sheila tidak pernah mengejar trend. Beliau mengejar rasa dan jiwa.

“Lagu ini tercetus dari pemerhatian terhadap perubahan dunia dan diri saya sendiri. Dunia berubah, saya juga berubah, tetapi saya tetap kenal siapa saya,” katanya.

Inspirasi untuk kembali berkarya datang selepas beliau menyedari bahawa lagu-lagu lamanya, khususnya Sinaran, kembali mendapat perhatian generasi muda pasca pandemik.

Fenomena ini menggerakkan Sheila untuk menghasilkan karya baharu yang mampu menyatukan dua dunia muzik yang pernah membesarkan beliau dan dunia anak muda hari ini yang semakin terdedah dengan pelbagai cabaran identiti dan tekanan digital.

Lagu Moving On membawa mesej yang mendalam, khusus buat generasi muda yang sering mencari jati diri di tengah hiruk-pikuk dunia maya.

Ia menyeru pendengar agar meninggalkan kekecewaan dan terus melangkah ke hadapan dengan semangat dan keyakinan baharu.

Bagi merealisasikan visi muzik ini, Sheila berganding bahu bersama penerbit terkenal dari Korea Selatan, Hyuk Shin, yang dikenali dengan hasil kerja bertaraf antarabangsa.

Gabungan ini menghasilkan sebuah karya yang bukan sahaja menggamit kenangan peminat setia, malah mampu menarik minat pendengar baharu yang menghargai muzik berjiwa.

Menurut Kim Lim daripada Universal Music Malaysia, Sheila bukan sekadar legenda. Dia masih mencipta dan mengilhamkan karya yang indah.

Moving On membuktikan bahawa seni yang tulen akan sentiasa punya tempat di hati pendengar,” katanya.

Majlis pelancaran turut disemarakkan dengan beberapa aktiviti menarik yang disusun khas buat peminat dan para tetamu.

Antara yang mencuri tumpuan ialah persembahan istimewa daripada barisan artis muda berbakat seperti Tabby, NAKI dan Gaston Pong, serta pertandingan ‘Best Dressed’ yang memberi peluang kepada tetamu bertuah memenangi tiket ke konsert Sheila Majid akan datang.

Lebih istimewa, sebuah acara lanjutan dijadualkan berlangsung pada awal September ini di ruang legar Pavilion Damansara Heights, menampilkan pameran memorabilia eksklusif yang memperlihatkan perjalanan seni Sheila sejak tahun 1985.

Pameran ini dijangka menjadi tumpuan bukan sahaja peminat muzik tanah air, tetapi juga generasi baharu yang ingin mengenali ikon ini lebih dekat.

Dengan pelancaran Moving On, Sheila Majid sekali lagi membuktikan bahawa seni muziknya kekal relevan dan mampu melangkaui zaman.

Dalam usia yang sudah mencecah empat dekad dalam industri, beliau tidak hanya ‘masih ada’, tetapi terus memberi inspirasi.

Torii Teppanyaki kini dibuka di Pavilion Bukit Jalil, sajian Jepun menggamit selera di destinasi gaya hidup terunggul

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Menyemarakkan lagi suasana kulinari di ibu kota, jenama makanan Jepun yang semakin mendapat tempat di hati pencinta makanan tempatan, Torii Teppanyaki, kini membuka cawangan terbaharunya di Pavilion Bukit Jalil.

Terletak di Aras 1, Zon Merah Jambu pusat beli-belah ikonik itu, restoran ini menjanjikan pengalaman makan yang bukan sahaja menyelerakan, malah memikat deria dengan persembahan masakan teppanyaki yang penuh aksi.

Dengan konsep terbuka yang menampilkan nyalaan api grill dan percikan sos yang dramatik, setiap hidangan yang disediakan di Torii Teppanyaki merupakan satu persembahan tersendiri.

Sama ada pelanggan adalah penggemar makanan Jepun tegar atau sekadar ingin mencuba sesuatu yang baharu, restoran ini tampil sebagai destinasi wajib dikunjungi bukan sahaja untuk menikmati keenakan masakan, malah sebagai lokasi sempurna untuk merakam detik istimewa bersama keluarga dan rakan-rakan.

Menawarkan pelbagai pilihan hidangan ikonik, daripada teppanyaki ayam, makanan laut segar, sehinggalah sayur-sayuran yang dimasak sempurna, setiap sajian di Torii Teppanyaki dipersembahkan dengan cita rasa umami yang menggoda dan dihidangkan panas-panas dari dapur terbuka.

Keunikan rasa dan kualiti bahan mentah yang digunakan menjadikan setiap suapan satu pengalaman yang mengujakan.

Bagi melengkapi sajian, pelanggan juga boleh menikmati pilihan minuman yang diinspirasikan daripada elemen budaya Jepun, termasuk pelbagai jenis moktel dan minuman fusion berasaskan buah-buahan segar yang menyegarkan, sesuai dinikmati pada bila-bila masa.

Suasana restoran turut menampilkan gabungan elemen moden dan tradisional Jepun, dengan sentuhan dekorasi dalaman yang tenang dan selesa.

Perincian reka bentuknya direka agar sesuai untuk pelanggan merakam gambar kenangan sambil menikmati hidangan, menjadikan setiap kunjungan bukan sekadar makan, tetapi satu pengalaman yang ingin diulang.

Sempena pembukaan rasmi cawangan ke-10 ini, Torii Teppanyaki turut menawarkan promosi eksklusif untuk masa yang terhad, sebagai tanda penghargaan kepada pelanggan baharu dan setia.

Ia adalah peluang terbaik untuk orang ramai merasai sendiri kelazatan dan keistimewaan sajian Jepun dalam suasana yang memikat.

Torii Teppanyaki di Pavilion Bukit Jalil kini bersedia menerima kehadiran pengunjung dari seluruh Lembah Klang.

Bagi mereka yang menghargai gabungan rasa autentik, suasana menarik dan pengalaman makan yang luar biasa inilah destinasinya.

Isu pengosongan tokong cetus rasa tidak puas hati persatuan, mohon campur tangan Hannah Yeoh

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Sekumpulan penduduk dari Persatuan Luo Fu Shan Fo Fa Tin Yin Tan Kepong, memohon perhatian dan campur tangan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh berkaitan isu pengosongan tokong yang terletak di Taman Bukit Sri Bintang, di sini.

Pengerusi Persatuan, Yong Min Nyee berkata, sejak tahun lalu seorang individu yang mengaku sebagai Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) di situ mula mengacau dan memberi amaran kepadanya untuk mengosongkan tokong berkenaan.

“Saya mula menjaga dan merawat tempat ini sejak tahun 2022 dan menjadikannya kawasan bukan sekadar untuk ibadah tetapi tempat beriadah penduduk dan komuniti.

“Kami tidak pernah membuat sebarangan gangguan atau berbuat bising yang menyebabkan penduduk sekitar tidak selesa,” katanya ketika ditemui.

Yong berkata, sikap MPP itu seolah-olah mencabar mereka dengan memberi alasan tidak boleh membina tokong di situ sedangkan majoriti penduduk sekitar adalah beragama Buddha.

“Kami bukan mahu melawan, kami hanya mahu beribadah dengan tenang. Tempat ini bukan untuk saya seorang, tetapi untuk penduduk sekitar juga,” katanya.

Katanya, mereka tidak pernah menerima surat daripada pihak berkuasa sebaliknya menerima surat merah sebagai tanda pengusiran daripada MPP berkenaan.

“Saya tidak faham bagaimana seorang MPP boleh mengeluarkan surat arahan pengusiran yang sepatutnya dilakukan oleh pihak berkuasa.

“Oleh itu, saya meminta pertimbangan dan kerjasama dari AP Hannah untuk turun dan membantu menyelesaikan masalah kami.

“Kami sudah pergi ke pejabat Hannah tetapi belum ada maklum balas yang kami terima sehingga kini,” katanya.

Yong berkata, dia dan penduduk tidak menolak sekiranya tokong perlu dipindahkan atas sebab pembangunan, namun mereka berharap satu penyelesaian yang adil dapat dicapai termasuklah pemberian lokasi alternatif sebelum sebarang pengosongan dilakukan.

“Kalau MPP itu mahu kami keluar, sekurang-kurangnya cari dulu tempat lain sebagai ganti, bantu kami pindah. Ini tidak, terus suruh keluar. Tak adil begitu,” katanya dengan nada kesal.