editormaxinfo@gmail.com
SHAH ALAM – Bateriku (M) Sdn. Bhd. hari ini mencatat satu lagi pencapaian penting apabila secara rasmi melancarkan bateri automotif ASTRA yang kini diiktiraf dengan pensijilan SIRIM bagi kesemua 28 SKU produknya.
Ia sekaligus mengukuhkan kedudukannya sebagai pemain utama dalam industri bantuan tepi jalan dan penyelesaian tenaga automotif di Malaysia.
Majlis pelancaran itu turut menyaksikan pengenalan Makmal Kualiti Bateriku, sebuah fasiliti dalaman yang ditubuhkan untuk menjalankan ujian menyeluruh terhadap prestasi, ketahanan dan keselamatan setiap unit bateri ASTRA yang dipasarkan.
Majlis berkenaan disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Industri), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI); Datuk Hanafi Sakri dan dihadiri oleh barisan pengurusan tertinggi SIRIM Berhad, penggiat industri automotif serta rakan-rakan strategik Bateriku.
ASTRA, jenama bateri tempatan yang dilancarkan tiga tahun lalu, kini telah mencatatkan jualan melebihi satu juta unit di seluruh negara.

Pencapaian ini dipacu oleh kekuatan ekosistem Bateriku yang merangkumi 225 pitstop fizikal di seluruh Malaysia serta lebih daripada 1,500 juruteknik bergerak (gig technician) yang dilatih melalui Akademi Bateriku.
Pensijilan SIRIM yang diperoleh adalah berdasarkan piawaian antarabangsa IEC 60095, menjadikan ASTRA satu-satunya jenama bateri automotif di Malaysia yang memperolehnya untuk ketiga-tiga kategori produk utama iaitu Bateri MF, Bateri EFB dan Bateri AGM.
Lebih membanggakan, setiap pembelian bateri ASTRA disertakan dengan Perlindungan Takaful Kemalangan Diri (GPA) sehingga RM7,000 secara percuma, suatu inisiatif pertama dalam industri bateri tempatan.
Selain itu, pengguna turut menikmati kemudahan waranti nasional, yang membolehkan mereka menerima bantuan di mana sahaja mereka berada.

Sebagai contoh, jika pelanggan menukar bateri di Shah Alam dan menghadapi kerosakan di Bota Kiri, Perak, pasukan Bateriku akan segera hadir ke lokasi untuk memberikan bantuan menerusi rangkaian yang telah dibina.
Makmal Kualiti Bateriku yang ditubuhkan di bawah Makmal Hijau Sdn. Bhd. bakal menjadi pusat kawalan mutu utama syarikat, memastikan setiap produk yang dipasarkan memenuhi piawaian yang ditetapkan dan sekaligus mengekalkan kepercayaan pengguna terhadap jenama ASTRA.
Dalam ucapan perasmiannya, Hanafi Sakri berkata, pihaknya menzahirkan penghargaan kepada Bateriku atas pelaburan strategik dalam memperkukuhkan kawalan mutu produk serta usaha untuk memastikan kepatuhan terhadap standard SIRIM.
Menurut beliau, inisiatif ini membuktikan kemampuan syarikat tempatan untuk bersaing bukan sahaja dari aspek harga, tetapi juga dari sudut kualiti dan ketelusan operasi.

Beliau turut memuji ekosistem Bateriku yang dinamik dan lestari, yang bukan sahaja membabitkan penyediaan khidmat teknikal tetapi turut merangkumi pembangunan keupayaan teknologi dalaman, latihan juruteknik gig (BHero), jaringan usahawan (BPreneur), dan rangkaian rakan bengkel serta trak tunda (BBuddy).
Malah, inisiatif Briged Hijau yang ditubuhkan oleh syarikat turut memainkan peranan penting dalam pengumpulan dan pelupusan bateri lusuh serta sisa elektronik secara mampan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bateriku, Azarol Faizi Zakaria Ansari berkata, ASTRA bukan sekadar produk, tetapi satu komitmen terhadap kualiti dan sokongan selepas jualan yang konsisten.

“ASTRA adalah satu-satunya jenama bateri yang diperakui SIRIM IEC 60095 dan menawarkan perlindungan takaful kemalangan diri secara percuma serta bantuan waranti seluruh negara.
“Ia adalah janji kami untuk memberikan ketenangan fikiran kepada pengguna di jalan raya,” katanya.
Katanya, ASTRA telah menjadi pilihan utama dalam kalangan mekanik kerana sistem waranti yang mudah dan menyeluruh.
“Mekanik tidak lagi perlu berdepan tuntutan pelanggan kerana pengguna boleh mengunjungi mana-mana pitstop Bateriku di seluruh negara atau menghubungi talian bantuan 24 jam untuk sebarang isu berkaitan bateri dan semuanya akan diuruskan oleh Bateriku,” katanya.

Majlis pelancaran hari ini menjadi bukti jelas bagaimana syarikat tempatan seperti Bateriku mampu membina jenama yang dipercayai, mampan dan berskala nasional melalui pelaburan strategik dalam inovasi, latihan dan jaminan kualiti.
Untuk pemilik bengkel yang berminat mendapatkan stok bateri ASTRA, mereka boleh menghubungi talian 013 844 2816 atau emel ke b2wteam@bateriku.com bagi maklumat lanjut dan kerjasama.
Dengan pengiktirafan rasmi daripada SIRIM dan pelancaran makmal kualiti dalaman, Bateriku kini terus maju sebagai peneraju inovasi dalam penyelesaian tenaga automotif yang mesra pengguna dan mesra alam, selari dengan aspirasi negara ke arah masa depan yang lebih hijau dan berdaya saing.

