28.5 C
Kuala Lumpur
Saturday, March 7, 2026

GISSCO raikan 50 tahun legasi cemerlang sebagai pemegang lesen PETRONAS 001 pertama di Malaysia

editormaxinfo@gmail.com

PETALING JAYA – Genap lima dekad sejak penubuhannya, syarikat Bumiputera unggul GISSCO Sdn. Bhd. bersedia meraikan pencapaian luar biasanya dalam industri minyak dan gas negara menerusi Majlis Gala Jubli Emas ke-50 dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2025, yang bakal berlangsung pada 15 September ini.

Majlis berprestij itu dijangka menghimpunkan lebih 400 tetamu termasuk pemegang taruh, rakan industri dan warga kerja dalam satu perhimpunan penuh penghargaan dan nostalgia, menandakan ulang tahun emas sebuah syarikat yang menjadi perintis kepada banyak pencapaian penting dalam sektor tenaga negara.

GISSCO mencatat sejarah sebagai syarikat Bumiputera pertama yang dianugerahkan Lesen PETRONAS 001, suatu pengiktirafan berprestij yang bukan sahaja menandakan permulaan perjalanan korporat yang signifikan, malah membuka jalan kepada penglibatan lebih meluas syarikat tempatan dalam industri minyak dan gas Malaysia.

Bermula pada tahun 1975 dengan perkhidmatan katering luar pesisir yang sederhana, GISSCO kini muncul sebagai antara penyedia utama tenaga kerja mahir, perkhidmatan teknikal, pengurusan acara dan pembekal peralatan perlindungan diri (PPE) yang terkemuka di negara ini.

Perjalanan ini turut diserikan dengan pelancaran logo baharu syarikat, sebagai simbol transformasi korporat yang berterusan seiring perubahan zaman dan keperluan industri.

Pengarah GISSCO, Umaira Mohammad Rashid berkata, pencapaian sebagai pemegang Lesen PETRONAS 001 tidak sekadar memberi keistimewaan tetapi satu legasi yang dibina atas kepercayaan, komitmen dan kerjasama strategik yang berpanjangan.

“Kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua rakan strategik, khususnya PETRONAS, atas kepercayaan berterusan terhadap GISSCO selama ini,” katanya pada majlis sidang media pengumuman majlis itu, baru-baru ini.

Hadir sama pada sidang media itu ialah Pengarah Urusan GISSCO; Mohammad Khoirul Kamal Mohammad Rashid dan Pengarah Operasi GISSCO; Shahrul Azni Shahruddin.

Umaira turut menyentuh mengenai sejarah penubuhan syarikat yang diasaskan oleh arwah bapanya, Allahyarham Mohammad Rashid Mohd Fahmi, seorang tokoh usahawan yang gigih membangunkan syarikat dari bawah dengan penuh dedikasi dan keazaman, meskipun berdepan cabaran besar dalam industri yang sangat kompetitif.

“Untuk terus kekal relevan dalam dunia digital dan landskap industri yang sangat mencabar bukanlah tugas mudah.

“Namun GISSCO mampu bertahan dan berkembang kerana asas kami ialah kerja berpasukan yang kukuh dari staf lapangan hingga kepimpinan pengurusan. Ini adalah kejayaan bersama,” katanya.

Mengimbas ke hadapan, Umaira berkata, pihaknya mempunyai harapan agar pencapaian GISSCO akan menjadi inspirasi kepada generasi usahawan Bumiputera yang akan datang untuk menerajui sektor strategik negara dengan semangat jati diri, profesionalisme dan integriti.

Kemuncak acara yang dinanti-nantikan ialah Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2025, yang akan mengiktiraf sumbangan dan kesetiaan warga kerja dari cawangan GISSCO di Miri, Kemaman, Labuan dan ibu pejabat di Kuala Lumpur.

Anugerah ini akan diberikan kepada individu yang telah memainkan peranan penting dalam memperkukuh kejayaan syarikat dari awal penubuhannya hingga ke hari ini.

Majlis Gala turut dimeriahkan dengan persembahan istimewa daripada barisan artis tersohor tanah air seperti Dato’ Khatijah Ibrahim, Dato’ Hattan, Dayang Nurfaizah, Mimi Fly dan Atilia yang dijangka menghidupkan suasana malam dengan persembahan bertemakan penghargaan dan kenangan sepanjang 50 tahun perjalanan syarikat.

Majlis peringkat nasional ini juga dijangka akan dirasmikan oleh seorang tetamu kehormat berprofil tinggi yang mewakili kepimpinan negara dalam sektor ekonomi dan korporat.

“Anugerah akan diberikan kepada warga kerja yang berkhidmat lebih 10 tahun dengan GISSCO.

“Ini adalah sebahagian daripada usaha kami menghargai warga kerja yang kekal setia bersama GISSCO,” katanya.

Gala Jubli Emas GISSCO adalah lambang kepada pencapaian luar biasa sebuah syarikat 100 peratus milik Bumiputera yang terus teguh berdiri dalam industri minyak dan gas, memperkasakan bakat tempatan, memacu inovasi, serta memperluaskan impak sosial melalui tanggungjawab korporat yang berterusan.

Dengan semangat yang sama sejak penubuhannya, GISSCO kini bersedia melangkah ke fasa baharu yang lebih dinamik, berteraskan kecemerlangan, integriti dan kebanggaan nasional menjadikan legasi 50 tahun bukan sebagai penamat, tetapi permulaan kepada masa depan yang lebih gemilang.

ARTIKEL BERKAITAN

1 COMMENT

Comments are closed.

Popular