editormaxinfo@gmail.com
CYBERJAYA – Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) sekali lagi tampil dengan penganjuran edisi ke-11 kejohanan golf tahunan berprestij, PEKEMA Charity Golf President’s Cup 2025, yang dijadual berlangsung pada 23 dan 24 Ogos ini di Palm Garden Golf Club, Putrajaya.
Acara dua hari itu dijangka menghimpunkan hampir 500 pemain golf amatur dari seluruh negara, menjadikannya antara kejohanan golf amatur terbesar di Malaysia.
Penganjuran ini turut disertai oleh ahli-ahli PEKEMA, rakan niaga tempatan dan antarabangsa, pembekal, usahawan serta pelanggan setia PEKEMA.
Tahun ini, kejohanan tampil dengan tawaran hadiah keseluruhan bernilai lebih RM500,000, menjadikan ia antara yang paling lumayan dalam kalendar golf amatur negara.
Antara tarikan utama ialah hadiah kereta elektrik Dongfeng Box, kenderaan rasmi PEKEMA, yang ditawarkan bagi kategori hole-in-one di beberapa lubang terpilih.
Turut ditawarkan ialah hadiah tunai sehingga RM28,888, serta pelbagai hadiah cabutan bertuah termasuk hadiah utama bernilai RM20,000.
Selain hadiah utama dan kategori kompetitif seperti President’s Cup Champion, pemenang keseluruhan, serta pelbagai kategori Medal dan Novelty, setiap peserta juga bakal menerima beg cenderahati eksklusif bernilai RM500 sebagai penghargaan atas penyertaan mereka.

Namun, lebih daripada sekadar acara sukan, PEKEMA Charity Golf terus mengekalkan matlamat utamanya sebagai platform tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan sebahagian hasil kutipan akan disalurkan kepada rumah-rumah kebajikan dan organisasi amal terpilih.
Presiden PEKEMA, Datuk Mohamed Nazari Noordin, berkata kejohanan ini adalah peluang terbaik untuk memperkukuh jaringan industri serta menyumbang kepada pembangunan komuniti.
“PEKEMA Charity Golf bukan sekadar acara sukan ia adalah platform penting untuk merapatkan hubungan usahawan, pemimpin industri dan agensi kerajaan, sekaligus memacu pertumbuhan ekonomi yang lebih inklusif,” katanya.
Menurutnya, penganjur amat mengalu-alukan penyertaan lebih banyak syarikat sebagai penaja, bukan sahaja untuk meningkatkan keterlihatan jenama masing-masing, tetapi juga sebagai manifestasi komitmen mereka terhadap usaha CSR dan kebajikan masyarakat.
Setakat ini, sokongan penaja amat memberangsangkan dengan penglibatan pelbagai jenama terkemuka dari dalam dan luar negara.
Antara syarikat yang telah mengesahkan penyertaan sebagai penaja termasuk TOA Trading Co. Ltd, Cuscapi Solutions Sdn Bhd, Heiwa Auto Co. Ltd, Trendy Information Co. Ltd, Maybank, Allianz General Insurance Company, Bank Simpanan Nasional (BSN), Northport, Dagang Net Technologies, Farm Fresh dan banyak lagi.
Sokongan yang diberikan mencerminkan keprihatinan sektor korporat terhadap inisiatif kebajikan yang dijalankan melalui platform sukan.
Sementara itu, Timbalan Presiden PEKEMA, Dato’ Wan Sazrudeen Wan Zaid berkata, acara ini membawa nilai lebih besar dari sekadar kejohanan sukan semata-mata.
“Acara ini melambangkan semangat keusahawanan, kemajuan teknologi automotif dan keprihatinan sosial.
“Kami percaya kemajuan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat mampu bergerak seiring,” katanya.
Penyertaan masih dibuka kepada pemain golf amatur dan pasukan korporat, dengan yuran sebanyak RM5,000 bagi setiap flight, merangkumi yuran padang, buggy, khidmat caddy, t-shirt rasmi, beg hadiah premium, makan tengah hari dan makan malam.

Majlis penyampaian hadiah serta Makan Malam Gala akan diadakan pada malam 24 Ogos 2025 di Putrajaya Marriott Hotel, di mana pemenang akan diraikan dalam suasana penuh gemilang.
Setakat 5 Ogos 2025, hampir 110 flight telah ditempah, menandakan sambutan luar biasa daripada peminat golf dan komuniti industri.
Hanya beberapa slot penyertaan masih tersedia dan peserta disarankan untuk mendaftar segera bagi mengelakkan kekecewaan.
Untuk maklumat lanjut dan penyertaan, orang ramai boleh menghubungi Mohd Hafiz di talian 012-389 3500 atau Rosnah di talian 012-479 1739.
Acara ini bukan sahaja menjanjikan pertandingan golf yang kompetitif dan penuh gaya, malah mengangkat nilai-nilai kebajikan dan solidariti masyarakat sebagai tunjang utama kejayaan berterusan PEKEMA Charity Golf.

