editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Ikon seni suara negara, Dato’ Khadijah Ibrahim menyeru selebriti muda Malaysia tidak hanya bergantung sepenuhnya kepada kerjaya dalam industri hiburan, sebaliknya memanfaatkan waktu populariti mereka untuk mula meneroka bidang keusahawanan sebagai persediaan jangka panjang.
Menurut penyanyi yang telah mencipta nama sejak era kegemilangan muzik tanah air pada 1980-an itu, dunia hiburan adalah satu industri yang bersifat tidak kekal dan boleh berubah dalam sekelip mata.
Justeru, adalah penting bagi anak seni masa kini mengambil langkah awal membina jenama dan perniagaan sendiri sewaktu nama mereka masih meniti di bibir peminat.

“Saya sendiri telah melihat ramai rakan-rakan artis yang kecundang selepas tidak lagi aktif di pentas hiburan.
“Bila nama tidak lagi disebut, tawaran kerja semakin berkurang, dan akhirnya mereka hilang punca pendapatan.
“Saya tidak mahu perkara ini berlaku kepada generasi muda hari ini,” katanya dalam satu temubual baru-baru ini.
Sebagai Pengerusi Persatuan Karyawan Malaysia, Khadijah menekankan pemilikan ilmu asas perniagaan adalah kunci kejayaan jangka panjang dan tidak sepatutnya selebriti hanya menjadi wajah kepada sesebuah produk tanpa memahami aspek-aspek penting seperti pemasaran, pengurusan dan pengeluaran.
“Belajar tentang selok-belok bisnes. Jangan hanya jadi duta atau ‘nama’ untuk produk.
“Turun padang, ambil tahu tentang pemasaran, pengurusan, pengeluaran. Kalau kita sendiri tak faham, orang lain mudah ambil kesempatan,” tegasnya.

Pengalaman peribadi Khadijah sendiri dalam dunia perniagaan menjadi bukti kepada keberkesanan pendekatan berkenaan.
Dia kini adalah pengasas kepada jenama makanan miliknya, Sos Cili Ibu, yang semakin dikenali bukan sahaja dalam negara, malah mula mendapat tempat dalam kalangan pengguna luar negara.
“Saya mulakan dengan produk yang saya suka dan saya faham iaitu makanan.
“Saya tahu rakyat Malaysia sukakan makanan pedas, jadi saya hasilkan sos cili yang asli, buatan tempatan, dan kini dikenali sebagai Sos Cili Ibu,” katanya sambil berkongsi kisah bagaimana minat terhadap makanan menjadi permulaan kepada kejayaan usahawanannya.
Baru-baru ini, Khadijah turut menyertai Malaysia Fest 2025 yang berlangsung di Singapore Expo, Singapura dari 31 Julai hingga 3 Ogos, di mana produk Sos Cili Ibu diperkenalkan secara langsung kepada pasaran antarabangsa.
Kehadiran Khadijah di pameran itu bukan sahaja menarik perhatian peminat dari Singapura, malah turut disambut mesra oleh pelancong asing yang teruja mencuba produk tempatan Malaysia.

“Saya terharu dengan sokongan peminat dan pengunjung di Singapore Expo.
“Ramai yang datang bukan sekadar nak beli sos, tapi juga nak bergambar dan berkongsi memori zaman kegemilangan muzik saya. Ia satu pengalaman yang cukup manis,” katanya yang turut berpeluang berkongsi pentas pameran bersama artis-artis terkenal seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Ifa Raziah, Zaiton Sameon, Jasmin Hamid dan ramai lagi.
Melalui penglibatan aktif dalam acara seperti Malaysia Fest, Khadijah menyatakan hasrat untuk memperluas lagi pasaran Sos Cili Ibu ke luar negara, sekaligus membuka lebih banyak peluang perniagaan dan pekerjaan bagi rakyat tempatan.
Dia berharap usahanya ini mampu menjadi inspirasi kepada golongan selebriti muda untuk lebih berani meneroka dunia keusahawanan.
“Saya percaya ramai selebriti muda hari ini ada potensi besar dalam bisnes. Jangan takut untuk bermula. Rezeki itu luas jika kita berani mencuba,” katanya.


https://shorturl.fm/2ku9f
Nice post. I learn something totally new and challenging on websites
I just like the helpful information you provide in your articles
https://shorturl.fm/iOmjr