editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Dalam usaha memastikan kelangsungan dan pemeliharaan khazanah budaya negara, Jabatan Warisan Negara (JWN), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) kini giat merangka Pelan Perlindungan Warisan Kebudayaan Tidak Ketara (WTK) bagi tempoh lima tahun akan datang, iaitu dari tahun 2026 hingga 2030.
Dokumen strategik ini akan menjadi panduan utama kepada pelbagai pihak termasuk kementerian dan agensi kerajaan, sektor swasta, institusi pengajian tinggi serta komuniti penyelidik dan pelajar dalam melindungi dan memelihara warisan budaya yang tidak ketara di Malaysia.
Bagi memastikan pelan ini dirangka secara menyeluruh dan berimpak tinggi, JWN bekerjasama rapat dengan rakan strategik utama iaitu Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam penghasilan dokumen rasmi tersebut. Pelan ini bakal menggariskan strategi, panduan serta cadangan-cadangan perlindungan yang realistik dan inklusif untuk dilaksanakan sepanjang tempoh lima tahun yang ditetapkan.
Warisan Kebudayaan Tidak Ketara adalah cerminan jati diri dan identiti bangsa Malaysia.

Ia merangkumi pelbagai bentuk ekspresi budaya yang diwarisi turun-temurun seperti adat dan budaya, seni persembahan, bahasa dan persuratan, serta seni halus yang berkembang seiring peredaran zaman namun kekal berpaksikan nilai-nilai budaya masyarakat.
Setakat ini, Malaysia telah berjaya menyenaraikan lapan elemen WTK di bawah kategori Representative List of the Intangible Cultural Heritage of Humanity oleh UNESCO.
Antara yang tersenarai termasuklah Mak Yong (2008), Dondang Sayang (2018), Silat (2019), Upacara Ong Chun/Wangchuan/Wangkang (2020) – pencalonan bersama Republik Rakyat China, Pantun (2020) – pencalonan bersama Indonesia, Songket (2021), Kebaya (2024) – pencalonan bersama Brunei Darussalam, Indonesia, Singapura dan Thailand serta Budaya Sarapan di Malaysia (2024).

Selain itu, satu elemen budaya, iaitu Mek Mulung, telah berjaya disenaraikan di bawah kategori List of Intangible Cultural Heritage in Need of Urgent Safeguarding pada tahun 2023, menunjukkan betapa pentingnya langkah proaktif dalam usaha perlindungan dan pemuliharaan budaya yang semakin terpinggir.
Di peringkat nasional pula, sebanyak 517 butiran WTK telah diiktiraf sebagai Warisan Kebangsaan.
Justeru, usaha merangka Pelan Perlindungan WTK adalah langkah penting dan strategik dalam memastikan semua elemen warisan ini terus hidup, dihargai dan diwarisi oleh generasi masa hadapan.
Proses perangkaan pelan ini turut membabitkan sesi perbincangan terbuka dan bengkel konstruktif bersama pelbagai pemegang taruh termasuk penggubal dasar, penyelidik, pengamal budaya serta komuniti.

Pendekatan menyeluruh ini membolehkan terbinanya pelan tindakan yang bersifat inklusif, mampan dan berpandukan kepada realiti serta keperluan semasa.
MOTAC melalui JWN menegaskan, usaha melindungi warisan budaya bukan tanggungjawab kerajaan semata-mata, sebaliknya adalah amanah kolektif seluruh rakyat Malaysia.
Komuniti perlu diperkasa dan digalakkan untuk memainkan peranan yang lebih aktif dalam memastikan setiap generasi memahami, menghargai dan melestarikan budaya yang menjadi asas kepada pembentukan jati diri negara.
Dengan terbentuknya Pelan Perlindungan WTK 2026–2030 kelak, Malaysia bukan sahaja dapat terus mempertahankan warisan budayanya, malah mampu memperkukuhkan kedudukan sebagai sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian budaya di mata dunia.


https://shorturl.fm/2pBPa
https://shorturl.fm/FYV9P