29.3 C
Kuala Lumpur
Wednesday, May 20, 2026

Lebih 800 hadir meriahkan Karnival Belia MADANI ‘Jom Aktif’ di Sepang

editormaxinfo@gmail.com

SEPANG – Suasana meriah dan penuh semangat jelas terpancar apabila lebih 800 pengunjung membanjiri Dewan Komuniti & Arena BBST, Sepang sempena penganjuran Karnival Belia MADANI ‘Jom Aktif’, yang berlangsung seawal jam 7 pagi.

Karnival ini adalah inisiatif Penggerak Belia Selangor Induk Sepang dengan kerjasama Kelab Kebajikan dan Sukan Majlis Sukan Negeri Selangor.

Ia terbuka kepada semua lapisan masyarakat dengan kemasukan percuma, sekaligus menjadi platform inklusif untuk memupuk semangat perpaduan dan gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat, khususnya golongan belia.

Penganjuran ini turut menyokong agenda Malaysia MADANI dengan menekankan aspek keterangkuman, kesihatan dan kesejahteraan.

Ia bertujuan untuk menggalakkan penglibatan aktif belia dalam aktiviti riadah, sukan serta kemasyarakatan, di samping menyediakan ruang yang selamat dan positif untuk mereka mengekspresikan potensi diri melalui pelbagai pertandingan dan aktiviti bermanfaat.

Antara aktiviti utama yang mencuri tumpuan termasuk pertandingan pushbike kanak-kanak yang disertai oleh 100 peserta cilik, pertandingan dart dengan penyertaan 128 regu, serta perlawanan futsal dan netball shoot-out masing-masing membabitkan 32 pasukan.

Tidak ketinggalan, pertandingan e-sukan Mobile Legends yang menghimpunkan 20 pasukan pemain muda yang berdaya saing. Selain itu, Jualan Ehsan Rahmah turut diadakan, menawarkan pelbagai barangan keperluan pada harga berpatutan untuk pengunjung.

Kemuncak acara lebih bermakna dengan kehadiran pelawak, Tauke Raja Lawak, yang menghiburkan hadirin dengan persembahan santai dan mencuit hati, sekaligus menambah keceriaan suasana karnival.

Menurut wakil penganjur, sambutan luar biasa daripada masyarakat membuktikan keberkesanan program seperti ini dalam memperkukuh hubungan komuniti serta merangsang penyertaan belia dalam kegiatan yang sihat dan membina.

“Kami amat menghargai sokongan semua pihak dan berharap karnival seperti ini akan diteruskan sebagai agenda tahunan belia di Sepang,” kata wakil Penggerak Belia Selangor Induk Sepang.

Turut hadir merasmikan acara, Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim.

Dengan pelbagai aktiviti merangkumi aspek sukan, hiburan, komuniti dan ekonomi, Karnival Belia MADANI ‘Jom Aktif’ bukan sahaja berjaya menghidupkan semangat belia, tetapi turut memperkukuh nilai kekitaan dan kesepaduan masyarakat, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang mengutamakan kesejahteraan dan perpaduan rakyat.

ARTIKEL BERKAITAN

1 COMMENT

Comments are closed.

Popular