25.3 C
Kuala Lumpur
Tuesday, May 26, 2026

XPDC bakal gegarkan Zepp Kuala Lumpur dalam konsert METALKESTRA 8 November ini

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Kugiran legenda heavy metal tanah air, XPDC, bakal kembali menghangatkan pentas dengan sebuah konsert berskala besar yang dinanti-nantikan peminat, apabila mereka mengumumkan penganjuran XPDC METALKESTRA, yang dijadualkan berlangsung pada 8 November 2025 di Zepp Kuala Lumpur.

Konsert yang dijangka mencipta satu lagi detik bersejarah ini diterajui oleh Republic Mokhmah Records sebagai penganjur rasmi, dan menampilkan barisan anggota XPDC yang cukup dikenali iaitu Izo, Eddie, Arif, Lola dan Mamu yang terus mempertahankan status mereka sebagai ‘samurai’ sebenar dalam dunia muzik rock tempatan.

Dengan lebih empat dekad pengalaman dalam industri muzik, XPDC telah melakar pelbagai pencapaian penting dan membina legasi melalui karya-karya malar segar sejak penubuhannya pada era 1980-an.

Kini, melalui XPDC Metalkestra, mereka kembali menawarkan persembahan yang bukan sahaja sarat dengan semangat rock, malah memberi sentuhan baharu menerusi gabungan elemen orkestra.

Menurut wakil Republic Mokhmah Records, Musa, pemilihan konsep “Metalkestra” adalah hasil kata sepakat bersama kumpulan XPDC dalam usaha mempersembahkan sesuatu yang segar kepada peminat tanpa mengorbankan identiti asal mereka.

“Seperti mana peminat teruja, kami selaku penganjur juga mempunyai keghairahan yang sama untuk melihat XPDC beraksi di atas pentas bersama karya-karya hebat yang telah dilahirkan sejak album pertama sehingga kini,” katanya.

Tambahnya, konsert ini bukan sekadar mengimbau nostalgia Konsert Raksasa XPDC pada 1998, tetapi menjadi pembuktian nyata bahawa muzik rock, khususnya yang sering digelar sebagai ‘rock kapak’, masih hidup dan terus relevan dalam kalangan pelbagai generasi.

XPDC turut melihat konsert ini sebagai satu bentuk apresiasi kepada peminat yang kekal setia menyokong perjalanan mereka dalam pelbagai fasa turun naik selama lebih 40 tahun.

Gabungan rentak heavy metal dengan susunan orkestra dijangka menambah dimensi baharu terhadap lagu-lagu popular mereka, sekaligus memberikan pengalaman muzik yang lebih mendalam dan eksklusif kepada penonton.

“XPDC Metalkestra adalah tanda bahawa XPDC tidak akan berhenti di sini.

“Ia bukan sahaja sebuah konsert, tetapi satu pengiktirafan terhadap semangat peminat yang tidak pernah pudar,” kata Izo mewakili kumpulan itu.

Antara lagu-lagu yang dijangka bergema di Zepp Kuala Lumpur termasuk karya-karya hits seperti Apa Nak Di Kata, Nafisa, Kita Peng Yu, Hidup Bersama, Hijau Bumi Tuhan dan CT Cinta Kenangan Silam, yang sebahagiannya pernah menerima sentuhan magis daripada pengasas kumpulan ini, Allahyarham J.S. Kevin.

Tiket konsert telah mula dijual sejak 30 Julai lalu menerusi laman sesawang www.ilassotickets.com/konsertxpdcmetalkestra, dengan harga bermula dari RM198 untuk kategori Samurai, sehinggalah ke RM5,008 bagi Royal Box (untuk 10 orang) yang turut disertakan sesi Meet & Greet serta goodie bag eksklusif.

Menambah keterujaan, penganjur turut menawarkan hadiah istimewa kepada dua peminat yang hadir dengan kostum samurai terbaik, di samping peluang memenangi gitar Jackson Izo Signature menerusi cabutan bertuah yang disediakan pada malam konsert.

Dengan segala keistimewaan yang ditawarkan dan semangat yang dibawakan oleh ‘samurai’ XPDC, konsert ini diyakini akan menjadi satu peristiwa ikonik dalam landskap muzik rock tempatan.

Oleh itu, bagi peminat sejati yang tidak mahu ketinggalan, tarikh 8 November 2025 pastinya harus ditandakan sebagai malam untuk kembali ke medan bersama XPDC dalam satu persembahan yang menjanjikan gegaran, kenangan dan sejarah.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular