26.4 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 30, 2026

Peniaga Puchong Permai terima injunksi mahkamah, lega tindakan perobohan gerai dihentikan sementara

editormaxinfo@gmail.com

PUCHONG – Lebih tiga dekad menjalankan perniagaan di kawasan Puchong Permai, sekumpulan peniaga menarik nafas lega apabila Mahkamah membenarkan permohonan injunksi bagi menghentikan sementara tindakan perobohan gerai mereka oleh pihak berkuasa tempatan.

Perintah injunksi itu berkuat kuasa serta-merta dan kekal sehingga pendengaran penuh kes di mahkamah berlangsung.

Ia bertujuan memberi ruang kepada pihak peniaga untuk mempertahankan hak mereka serta merancang langkah seterusnya bagi memastikan kelangsungan hidup dan mata pencarian yang telah mereka bina sejak sekian lama.

Menurut peguam yang mewakili kumpulan peniaga itu, walaupun tidak dapat mengulas lanjut situasi memandangkan kes kini sedang berjalan di mahkamah, pihaknya mengesahkan keputusan injunksi telahpun diperoleh.

“Kami berjaya mendapatkan injunksi bagi menghentikan tindakan perobohan gerai sementara menunggu keputusan pendengaran dari kedua-dua pihak.

“Ini penting untuk melindungi hak dan kepentingan anak guam saya yang telah lama berniaga di kawasan ini,” katanya dalam satu sidang media yang diadakan di tapak gerai, baru-baru ini.

Katanya, mereka akan terus menggunakan saluran undang-undang bagi memastikan hak dan kebajikan anak guam mereka dipertahankan sepenuhnya.

Sementara itu, salah seorang peniaga, Yusof berkata, peniaga telah berusaha untuk mendapatkan perhatian pihak berkuasa dengan menghantar surat rayuan kepada pelbagai pihak termasuk Menteri Besar Selangor, Pejabat Tanah Daerah, pejabat Parlimen Puchong serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N29.

Namun, hingga kini tiada sebarang maklum balas rasmi diterima.

Yusof turut meluahkan kekecewaannya terhadap hasil beberapa pertemuan yang telah mereka adakan bersama ADUN kawasan, Abbas Azmi.

“Dalam pertemuan pertama, YB menyatakan komitmen untuk menyediakan lokasi baharu sekiranya berlaku perobohan.

“Pertemuan kedua pula menyaksikan kami membawa wakil teknikal untuk berbincang mengenai susun atur penempatan semula. Namun, dalam pertemuan ketiga, YB maklumkan tiada peruntukan bajet,” jelasnya.

Katanya, ke semua peniaga tidak menolak pembangunan, tetapi berharap agar kebajikan mereka turut diberi perhatian.

“Kami bukan penceroboh. Pada awalnya, kami beroperasi dengan kebenaran TOL dan selepas tahun 2008, pihak majlis perbandaran membenarkan kami beroperasi sebagai penyewa.

“Namun selepas tempoh penyewaan ditamatkan empat tahun kemudian, tiada sebarang hala tuju atau penyelesaian jelas diberikan,” katanya lagi.

Situasi menjadi semakin tegang apabila peniaga mendakwa menerima saman dan notis pengosongan hanya beberapa hari selepas Pilihan Raya Negeri yang lalu.

Menurut mereka, kadar saman juga meningkat secara drastik selepas kawasan terbabit diisytiharkan sebagai bandar raya.

“Dulu, sewaktu status kawasan ini masih perbandaran, jumlah saman hanya sekitar RM200. Tapi selepas jadi bandar raya, ia meningkat kepada RM1,000.

“Kemudian keluar pula notis pengosongan atas alasan kami melanggar Akta Tanah dan Galian. Dendanya sampai RM500,000,” kata wakil peniaga, Mohd Said Midon.

Mengambil iktibar daripada usaha penempatan semula peniaga serta projek pertanian bandar yang berjaya dijalankan di kawasan Gombak, peniaga Puchong Permai turut mencadangkan agar pendekatan serupa dipertimbangkan termasuk penggunaan tanah rizab di bawah talian pencawang TNB sebagai lokasi alternatif.

“Kami hanya minta satu peluang untuk berbincang dan mencari penyelesaian. Jika tindakan perlu diambil, biarlah adil dan tanpa pilih kasih.

“Kami rakyat Malaysia dan kami hanya mahu mencari rezeki secara sah,” kata salah seorang peniaga lagi.

Penangguhan tindakan perobohan ini disifatkan sebagai peluang penting buat peniaga untuk membentangkan cadangan yang munasabah kepada kerajaan negeri, di samping mencari penyelesaian yang tidak menjejaskan kelangsungan ekonomi rakyat marhaen.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular