editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Legenda nasyid tanah air, Rabbani, bakal kembali menghangatkan pentas menerusi konsert solo mega pertama mereka selepas hampir tiga dekad mewarnai industri muzik tempatan.
Konsert yang dinamakan Konsert Intifada Rabbani itu akan berlangsung pada 20 September 2025 bertempat di Idea Live Arena, Petaling Jaya, Selangor dan dijangka menjadi acara bersejarah buat peminat setia kumpulan berkenaan.
Penganjuran konsert ini diumumkan secara rasmi oleh Universe Gateway, syarikat penganjur acara terkenal yang sebelum ini telah menganjurkan pelbagai persembahan berskala besar, termasuk The Journey of Sound menampilkan Judika dan Datuk Seri Siti Nurhaliza pada Disember tahun lalu.

Konsert yang akan bermula pada jam 8.30 malam itu dijadual berlangsung selama dua jam, menampilkan anggota Rabbani yang terdiri daripada Azadan Abdul Aziz, Asri Ubaidullah, Zulkiflee Azman, Luqman Abd Aziz, Muhammad Rithauddeen, Mohamad Afandi Shahbudin dan Ahmad Shafie.
Mereka bakal menghiburkan peminat dengan dendangan lagu-lagu ikonik yang telah mengangkat nama Rabbani sebagai pelopor irama nasyid moden sejak akhir 90-an, termasuk Intifada, Pergi Tak Kembali, dan Satu Qiblat Yang Sama.
Sebagai menyuntik elemen istimewa ke dalam persembahan, konsert ini turut menampilkan beberapa artis undangan istimewa termasuk ahli kumpulan Brothers, serta penyanyi Yabang dan Aeydan, yang bakal bergabung suara dalam menyemarakkan lagi aura nasyid yang sarat dengan mesej ketuhanan dan kemanusiaan.

Tiket bagi menyaksikan Konsert Intifada Rabbani akan mula dijual secara rasmi bermula 31 Julai ini dan dijangka mendapat sambutan luar biasa daripada peminat.
Penganjur menasihatkan orang ramai agar mendapatkan tiket lebih awal bagi mengelakkan kekecewaan, memandangkan ini adalah konsert berskala mega pertama Rabbani sejak penubuhannya lebih 25 tahun lalu.
Rabbani yang ditubuhkan secara rasmi pada 1 Mac 1997, pernah mencetuskan fenomena besar dalam industri muzik nasyid Malaysia dengan pendekatan muzik yang menyatukan elemen Melayu Timur dan Timur Tengah.
Seiring dengan perubahan masa, kumpulan ini terus berevolusi dengan memperkenalkan konsep muzik berskala global tanpa mengorbankan mesej dakwah yang menjadi teras perjuangan mereka.
Kini, dengan suntikan world music dalam karya-karya baharu, Rabbani terus membuktikan kemampuannya bertahan dan relevan dalam arus muzik semasa.

Sebelum ini, Rabbani diketuai oleh vokalis tersohor mereka, Allahyarham Mohd Asri Ibrahim, yang telah meninggal dunia pada tahun 2009.
Namun semangat perjuangan kumpulan ini terus diteruskan oleh tujuh anggota yang masih teguh bersama sehingga hari ini.
Konsert ini bukan sekadar sebuah persembahan hiburan, tetapi simbol kesinambungan warisan seni nasyid tanah air dan penghargaan terhadap sokongan berterusan daripada peminat selama hampir tiga dekad.
Bagi yang ingin mendapatkan tiket ia boleh dibeli menerusi Ticket2U dan Fantopia.io.
KATEGORI TIKET:
Lower Level
CAT 1 – RM250
CAT 2 – RM230
CAT 3 – RM200
CAT 4 – RM150
Upper Level
CAT 5 – RM258
CAT 6 – RM238


https://shorturl.fm/8E5TY
https://shorturl.fm/66Upm