editormaxinfo@gmail.com
KOTA KINABALU – Pengumuman khas yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai bukti jelas keprihatinan Kerajaan MADANI terhadap denyut nadi rakyat.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, langkah-langkah yang diumumkan bukan sahaja meringankan beban rakyat, malah mencerminkan komitmen kerajaan dalam menyeimbangkan keperluan fiskal negara dengan kebajikan rakyat jelata.
Beliau berkata, pengumuman yang turut merangkumi cuti tambahan sempena sambutan Hari Malaysia 2025 itu adalah hasil pertimbangan teliti kerajaan, berlandaskan prinsip keadilan sosial serta kelestarian ekonomi.
Katanya lagi, pendekatan menyeluruh yang digagaskan oleh Perdana Menteri bakal memberi kesan langsung terhadap kesejahteraan rakyat, selain mengukuhkan asas ekonomi negara.
“Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri atas pengumuman langkah-langkah Kerajaan MADANI yang memberikan kelegaan kepada rakyat serta memacu kestabilan ekonomi negara.
“Pendekatan yang diumumkan ini akan merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi, memberikan kelegaan kepada rakyat, di samping mengukuhkan daya tahan fiskal negara dalam menghadapi ketidaktentuan global,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Antara perkara utama yang diumumkan Perdana Menteri menerusi pengumuman khas bertajuk Penghargaan Untuk Rakyat Malaysia termasuklah bantuan tunai one-off berjumlah RM100 kepada setiap rakyat dewasa, jaminan penurunan harga petrol kepada RM1.99 seliter menjelang akhir September, tambahan RM300 juta untuk memperluaskan Program Jualan Rahmah MADANI serta jaminan tiada kenaikan kadar tol sepanjang tahun ini.
Fahmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) berkata, pihaknya menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk terus menyemarakkan semangat patriotisme dan cinta akan tanah air sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia yang bakal menjelang.
“Inilah masanya untuk kita bersatu hati dan jiwa, menghargai nikmat kemerdekaan dan bersama-sama menyumbang kepada kemakmuran negara,” katanya.
Dalam masa yang sama, beliau turut menegaskan Kerajaan MADANI akan terus memperkukuh agenda pembangunan negara menerusi pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) serta Belanjawan Malaysia MADANI yang kini sedang dirangka dengan teliti bagi memastikan manfaatnya dapat dirasai secara menyeluruh oleh rakyat dari pelbagai lapisan.
Jelasnya, usaha kerajaan hari ini bukan sahaja tertumpu kepada pertumbuhan ekonomi semata-mata, tetapi juga kepada pembinaan sebuah negara bangsa yang adil, makmur dan inklusif sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI.


https://shorturl.fm/93kS6
https://shorturl.fm/vBbkx