27.5 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 30, 2026

Didi & Friends cipta rekod kebangsaan, pupuk minat membaca sejak awal usia

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Watak animasi kanak-kanak yang mencuri hati jutaan peminat, Didi & Friends, sekali lagi mencatat kejayaan membanggakan apabila secara rasmi diiktiraf dalam The Malaysia Book of Records menerusi kategori “Penyertaan Kanak-Kanak Teramai dalam Acara Penceritaan”.

Acara itu menyaksikan penyertaan luar biasa seramai 2,172 orang kanak-kanak dalam satu sesi penceritaan serentak yang berlangsung di MAEPS, Serdang.

Acara bersejarah itu dianjurkan bersama oleh Didi & Friends dan Al-Kauthar Eduqids sempena Karnival Sukan Al-Kauthar Eduqids with Friends 2025, sebuah inisiatif pendidikan yang menggabungkan elemen pembelajaran, keseronokan dan nilai kekeluargaan.

Lebih daripada sekadar pencapaian rekod, majlis itu menjadi simbol kepada semangat memperkasa generasi muda melalui cerita dan imaginasi.

Sesi penceritaan yang memecah rekod itu mengetengahkan kisah klasik Arnab & Kura-Kura, yang pada mulanya disampaikan oleh seorang guru sebelum dihidupkan dengan gaya tersendiri oleh Abang Pa’an, pengacara ceria yang sinonim dengan Didi & Friends.

Dengan gaya penyampaian penuh warna-warni dan interaktif, cerita ini berjaya memikat perhatian ribuan si cilik yang hadir.

Walaupun angka rasmi yang direkodkan untuk The Malaysia Book of Records ialah 2,172 peserta, aktiviti penceritaan diteruskan sepanjang hari, menjadikan jumlah keseluruhan penyertaan kanak-kanak melebihi 6,000 orang.

Secara keseluruhan, karnival ini berjaya menarik kehadiran lebih 20,000 pengunjung, terdiri daripada ibu bapa, guru dan ahli keluarga yang hadir bagi menyokong acara komuniti ini.

Lebih menarik, acara ini turut menjadi pentas pelancaran rasmi bagi kempen Didi & Friends Story Time, satu inisiatif baharu yang bertujuan menanam minat membaca dalam kalangan kanak-kanak sejak usia muda.

Melalui kempen ini, Didi & Friends akan terus mendekati peminat kecil mereka dengan pendekatan interaktif dan kandungan bercerita yang menyeronokkan.

Sebagai kesinambungan, kemunculan istimewa Didi & Friends turut menyerikan Sambutan Minggu Perpaduan 2025 Peringkat Kebangsaan yang berlangsung serentak di Perkarangan Stadium Negeri Pulau Pinang, di mana ribuan pengunjung mengambil peluang bertemu watak-watak kegemaran mereka secara langsung.

Penolong Kanan Naib Presiden, Studio GenNext Astro, Edison Cheam, berkata pihaknya komited untuk terus menyemai nilai positif dalam kalangan generasi muda melalui kandungan yang berkualiti.

“Di Astro, kami amat komited untuk memupuk semangat cintakan pembelajaran dan pembacaan dalam kalangan kanak-kanak.

“Menerusi platform kami serta kerjasama dengan IP kandungan seperti Didi & Friends, kami berhasrat untuk menyebarkan nilai-nilai positif dan menginspirasi tabiat murni yang akan memberi manfaat kepada generasi akan datang,” katanya.

Kejayaan ini bukan sekadar satu rekod kebangsaan, malah menjadi bukti bahawa kuasa penceritaan mampu menyatukan komuniti, mengembangkan imaginasi dan menyemai nilai-nilai murni sejak awal usia.

Ia juga memperlihatkan peranan penting kandungan tempatan dalam membentuk ekosistem pembelajaran yang menyeronokkan dan bermakna.

Untuk mereka yang terlepas menyaksikan sesi bercerita secara langsung, Didi & Friends Story Time kini disiarkan setiap hari Jumaat jam 11 pagi di Astro Ceria (saluran 611) dan turut boleh ditonton secara On Demand melalui Astro GO dan sooka.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular