32.8 C
Kuala Lumpur
Friday, April 10, 2026

KUPBB jalin kerjasama strategik, bakal lancar platform e-hailing pertama di Borneo

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Usaha memperkasa ekosistem pengangkutan digital di wilayah Borneo menyaksikan satu langkah signifikan apabila Koperasi Usahawan Pengangkutan Borneo Berhad (KUPBB) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Gerbang Bestari Sdn. Bhd. bagi melancarkan sebuah platform e-hailing pertama yang berasaskan koperasi tempatan, dikenali sebagai “Borneo VeGo E-Transport.”

Majlis menandatangani perjanjian kerjasama itu berlangsung dalam suasana penuh simbolik di Pejabat Korporat GrakChat, di sini.

Ia turut disaksikan oleh wakil-wakil industri pengangkutan digital, pemimpin koperasi, sekali gus menandakan permulaan kepada era baharu dalam sektor mobiliti serantau.

Ahli Jawatankuasa Koperasi Usahawan Pengangkutan Borneo Berhad

Platform “Borneo VeGo E-Transport” digarap khusus untuk memenuhi keperluan masyarakat di Sabah, Sarawak dan Labuan, dengan menawarkan sistem pengangkutan moden yang inklusif dan mesra komuniti.

Usaha ini dijangka memberi impak besar kepada pembangunan ekonomi setempat, khususnya dalam memperkukuh keupayaan koperasi pengangkutan tempatan serta menyediakan peluang baharu kepada usahawan Borneo.

KUPBB diwakili oleh Presidennya, Tamrin Eraba, bersama Setiausaha Koperasi, Asad Hanapi, manakala Gerbang Bestari Sdn. Bhd. pula diwakili oleh Pengasas dan Pengarahnya, Maliki Mohamed.

Kedua-dua pihak menyatakan keyakinan kerjasama ini bakal mengubah landskap e-mobiliti di rantau Borneo, bukan sahaja dari sudut teknologi, malah dari segi pemilikan dan penglibatan rakyat secara langsung.

“Kerjasama ini adalah satu detik penting dalam usaha kami untuk memartabatkan koperasi dan memperkenalkan penyelesaian pengangkutan digital yang dibangunkan oleh anak Borneo, untuk anak Borneo,” kata Tamrin Eraba.

Tamrin berkata, pihaknya yakin Borneo VeGo bukan sahaja mampu menjadi alternatif kepada aplikasi e-hailing sedia ada, malah boleh menjadi pemangkin kepada pembangunan mampan di kawasan luar bandar.

Dalam pada itu, Maliki Mohamed menyifatkan kolaborasi ini sebagai gabungan strategik antara teknologi dan kekuatan akar umbi.

“Kami melihat potensi besar dalam pendekatan koperasi. Apabila teknologi kami digabungkan dengan jaringan dan kefahaman tempatan yang dimiliki oleh KUPBB, maka terhasil satu sistem mobiliti yang benar-benar memanfaatkan rakyat,” katanya.

“Borneo VeGo E-Transport” bukan semata-mata platform e-hailing seperti yang biasa ditawarkan di bandar-bandar besar.

Ia dirancang sebagai sebuah ekosistem pengangkutan komprehensif yang turut merangkumi perkhidmatan kenderaan sewa persendirian, teksi, penghantaran barang dan dalam masa terdekat perkhidmatan berasaskan tenaga elektrik dan teknologi data analitik.

Inisiatif ini juga dilihat sejajar dengan matlamat Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) yang menekankan pemerkasaan teknologi digital untuk manfaat masyarakat dan ekonomi tempatan.

Pada masa yang sama, ia menyokong aspirasi otonomi wilayah dalam membangunkan sistem pengangkutan yang bersifat lestari dan berasaskan kendiri.

MoU ini turut membuka jalan kepada pelaksanaan fasa pembangunan seterusnya, termasuk proses pengambilan dan latihan pemandu, pelantikan agensi wilayah, penyediaan sokongan sewaan kenderaan, pelancaran aplikasi mudah alih rasmi, serta pelaksanaan strategi pemasaran berfokus wilayah yang akan dijalankan dalam beberapa bulan akan datang.

Dengan pelancaran rasmi yang dijangka berlangsung dalam tempoh terdekat, Borneo VeGo E-Transport bukan sahaja bakal mencipta sejarah sebagai sistem e-hailing pertama milik koperasi tempatan di Borneo, malah menjadi simbol keupayaan masyarakat luar bandar untuk mengadaptasi teknologi secara menyeluruh, sekali gus menyaingi dominasi platform antarabangsa dalam sektor e-mobiliti.

ARTIKEL BERKAITAN

1 COMMENT

Comments are closed.

Popular