editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Dunia pencipta kandungan digital serantau bakal menyaksikan kemunculan semula salah satu acara paling berprestij, All Star Influencer Award (Asia) 2025 (ASIA2025) kembali untuk edisi ketiganya.
Menariknya, tahun ini menyaksikan penglibatan seramai 80 influencer dari 20 negara Asia dan Timur Tengah, menjadikan acara ini antara yang terbesar seumpamanya di rantau ini.
Berbeza daripada edisi terdahulu, ASIA2025 bukan sahaja menampilkan majlis penganugerahan, tetapi juga satu siri jelajah merentasi lapan negeri di seluruh Malaysia, di mana peserta akan menyertai pelbagai aktiviti penciptaan kandungan kreatif yang menampilkan keunikan budaya, makanan, seni dan alam semula jadi tempatan.
Siri jelajah ini bertujuan untuk memberi peluang kepada peserta menghasilkan kandungan asli yang memperkenalkan pelbagai wajah Malaysia kepada dunia.
Penganjur ASIA2025, Dato’ Abd. Rahman Soltan berkata, setiap dua negeri akan menerima kehadiran 20 pencipta kandungan dalam tempoh tertentu.
Sepanjang lawatan mereka, peserta akan terbabit dalam aktiviti eksplorasi termasuk mencuba makanan tradisional, meneroka seni budaya setempat, menikmati keindahan alam semula jadi dan menyertai cabaran digital.
Jelajah bermula dengan negeri Johor dan Pahang dari 20 hingga 25 Julai, diikuti Melaka dan Selangor pada 17 hingga 20 Ogos.
Seterusnya, peserta akan ke Pulau Pinang dan Langkawi antara 14 hingga 20 September sebelum menamatkan siri eksplorasi di Sabah dari 14 hingga 17 Oktober.
ASIA2025 turut menjadi antara inisiatif sokongan kepada Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026, dengan matlamat memperkenalkan Malaysia sebagai destinasi pilihan utama pelancongan digital dan kreatif kepada masyarakat antarabangsa.
“Ini adalah antara platform digital terbaik untuk terus memperkenalkan Malaysia. Gabungan pengaruh digital dan keunikan budaya tempatan dijangka meningkatkan lagi kesedaran global terhadap tarikan pelancongan negara,” katanya.

Kesemua peserta akan kembali berkumpul untuk Majlis Gala Anugerah yang dijadual berlangsung pada 19 Oktober 2025, dengan lokasi rasmi majlis bakal diumumkan dalam masa terdekat.
Anugerah utama akan menyaksikan pemenang menerima wang tunai bernilai USD15,000 serta pakej percutian eksklusif ke Dubai.
Tempat kedua pula akan membawa pulang USD5,000, manakala tempat ketiga akan menerima hadiah tunai USD1,000, kedua-duanya turut menerima percutian ke destinasi yang sama.
Bagi menghargai usaha dan kreativiti peserta, 10 pencipta kandungan terbaik keseluruhan juga akan dipilih untuk menyertai satu perjalanan istimewa yang ditaja sepenuhnya ke Dubai sebagai penghargaan atas pengaruh dan impak kandungan mereka sepanjang program.
Sebanyak 13 kategori anugerah akan dipertandingkan dalam edisi tahun ini termasuk Best Gourmet Award, Best Storyteller, Best Comedy Maestro, Best Transition, Best Culture Curator dan banyak lagi menampilkan variasi bidang kandungan yang diraikan dalam dunia digital masa kini.
Program berskala besar ini turut menerima sokongan dan kerjasama pelbagai agensi serta penaja termasuk Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Tourism Malaysia, Tune Talk, Sally Beauty by Sally, Argania, Yute by thelikeyuti, AN by Harissa Adlynn dan Atlanta Resources.
“Melalui ASIA2025, kami mahu menjadikan Malaysia sebagai hab pencipta kandungan digital serantau.
“Ini bukan sekadar pertandingan, ia adalah pertemuan budaya, kreativiti dan teknologi yang memberi impak langsung kepada imej negara,” katanya lagi.
Tahun lalu, All Star Influencer Award 2024 berjaya mencipta fenomena apabila tanda pagar rasmi program itu, #AllStarInfluencerAward2024, meraih lebih daripada 500 juta capaian digital di TikTok dan tular merentasi pelbagai platform media sosial dalam tempoh hanya setahun.
Kejayaan tahun lalu turut menyaksikan Saal Haerid, pencipta kandungan dari Indonesia, diangkat sebagai pemenang utama.
Saal membawa pulang hadiah wang tunai USD10,000, trofi eksklusif serta pakej percutian mewah ke Dubai.
Saal turut merangkul anugerah Ciptaan Kandungan Terbaik yang melayakkannya menerima tambahan USD1,000. Manakala Abyan Calief, juga dari Indonesia, membawa pulang tempat kedua dan pencipta kandungan Malaysia, Imranul Effendi, memenangi tempat ketiga dengan hadiah bernilai USD3,000 dan percutian ke Dubai.
Dengan penyertaan antarabangsa yang semakin meningkat, hadiah lumayan dan impak digital yang terbukti, All Star Influencer Award (Asia) 2025 dijangka menjadi salah satu acara paling dinanti-nantikan dalam dunia kandungan digital Asia dan Timur Tengah.


https://shorturl.fm/m9zz7