30.8 C
Kuala Lumpur
Monday, June 15, 2026
Home Blog Page 74

Pakar global sorot inovasi filem suria adaptif di MRANTI

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Masa depan teknologi tenaga boleh diperbaharui semakin menyerlah apabila barisan pakar antarabangsa berhimpun di MRANTI untuk berkongsi inovasi terkini dalam teknologi filem suria adaptif.

Persidangan Solar Film yang dianjurkan oleh Malaysia Drone & Co-Creation Initiative (MDCoCI) dan dihoskan oleh MRANTI, membuka tirai kepada pelbagai penemuan saintifik serta aplikasi masa depan yang berpotensi mengubah landskap tenaga global.

Tumpuan utama persidangan ini ialah pembentangan eksklusif oleh Microlink Device Inc. dari Amerika Syarikat, yang mempamerkan teknologi filem suria fleksibel ciptaan mereka.

Inovasi ini membuka peluang besar kepada aplikasi dalam infrastruktur pendidikan, penyelesaian tenaga pintar dan integrasi teknologi media rentas sempadan.

Antara tokoh yang mencuri perhatian termasuk Dr. Noren Pan, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Microlink Device Inc. dan Dr. Anastasia Soeriyadi, Saintis Utama syarikat berkenaan.

Mereka berkongsi pandangan mendalam mengenai sains bahan dan kejuruteraan yang melatari teknologi filem suria fleksibel mereka.

Teknologi ini berupaya menangkap tenaga suria dalam bentuk lebih ringan, mudah dipasang dan efisien untuk pelbagai kegunaan termasuk di kawasan terpencil.

Ketua Strategi Inovasi MRANTI, Farhan pula menekankan komitmen Malaysia dalam mendepani cabaran iklim menerusi teknologi mampan.

Menurutnya, MRANTI sebagai pemacu inovasi nasional sentiasa terbuka kepada kolaborasi teknologi yang berimpak tinggi dan mampu membawa perubahan strategik kepada masyarakat serta ekonomi negara.

Sementara itu, Elanggovan Thanggavilo, Pengasas dan Penasihat Khas MDCoCI, mengetengahkan pendekatan bersepadu yang menggabungkan teknologi filem suria dengan ekosistem dron berkuasa kecerdasan buatan di Malaysia.

Katanya, sinergi antara tenaga hijau dan teknologi dron bukan sahaja memperluas liputan tenaga bersih, malah meningkatkan akses pendidikan dan kesedaran alam sekitar secara menyeluruh.

Persidangan turut menerima suntikan semangat diplomatik dengan kehadiran tetamu kehormat, Duta Besar Argentina ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Marta L. Gabrieloni.

Kehadiran beliau menyerlahkan elemen kerjasama global dan kepentingan diplomasi teknologi dalam memperkukuh pembangunan mampan merentas negara.

Peserta menganggap persidangan ini sebagai peluang unik untuk menyaksikan sendiri gabungan sains, strategi dan misi sosial dalam satu platform.

“Melihat pakar sains terkemuka dan perancang strategik berkumpul bagi membincangkan inovasi suria yang menyentuh isu tenaga, pendidikan dan kemampanan adalah sangat menginspirasikan,” kata salah seorang peserta.

Turut menambah nilai kepada sesi persidangan ialah Naib Presiden MUVA, Zil, yang mengaitkan teknologi filem suria dengan laluan keusahawanan tempatan dan pembangunan sektor vokasional.

Pendekatan ini dilihat sejajar dengan agenda pembangunan belia dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) negara.

Momen penting turut dirakam apabila Elanggovan Thanggavilo bergambar bersama delegasi Microlink simbol kepada jejak yang semakin berkembang luas buat Malaysia dalam arena diplomasi teknologi mampan.

Sesi persidangan ini turut diperkukuh dengan penglibatan pemikir industri dan penyelidik tempatan termasuk pasukan Makmal Dron UTM yang diketuai oleh Dr. Aziz.

Mereka mengetengahkan potensi aplikasi teknologi filem suria dalam sektor industri dan menekankan keperluan menjambatani inovasi dengan pelaksanaan dunia sebenar.

Dengan tema kerjasama rentas disiplin dan pemikiran hadapan, Persidangan Solar Film 2025 bukan sekadar menjadi pentas pertukaran ilmu, malah simbol aspirasi bersama menuju masa depan tenaga yang lebih lestari dan inklusif.

Pengajaran adaptif kunci kejayaan pendidik hadapi cabaran Era Industri 5.0

editormaxinfo@gmail.com

TANJONG MALIM – Dalam menghadapi perubahan pesat landskap pendidikan global, amalan pengajaran yang adaptif dan reflektif dilihat sebagai pemangkin utama dalam membentuk pendidik masa depan yang bersedia mendepani cabaran Era Industri 5.0.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Who berkata, keperluan pendidikan hari ini tidak lagi terbatas kepada penguasaan kandungan akademik semata-mata, sebaliknya menuntut kebolehan guru untuk mengintegrasikan teknologi pintar, pemikiran reka bentuk serta empati kemanusiaan dalam setiap pendekatan pengajaran mereka.

“Kita tidak lagi bercakap tentang pengajaran konvensional semata-mata. Hari ini, kita bercakap tentang pengajaran yang dikuasakan oleh kecerdasan buatan, teknologi pintar dan pendekatan yang memanusiakan pendidikan,” katanya ketika merasmikan 1st International Teaching Practice Symposium (ITPS) 2025 di Dewan Konvensyen, Bangunan E-Learning, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), di sini.

Simposium yang bertemakan “Memperkasakan Pendidik Masa Depan dalam Era Industri 5.0” itu menghimpunkan lebih 30 pembentangan kertas kerja oleh ahli akademik, penggubal dasar, pengamal pendidikan serta wakil industri dari pelbagai negara, khususnya dari rantau ASEAN.

Penganjuran ini membuktikan bahawa UPSI terus kekal di barisan hadapan dalam menerajui inovasi pendidikan bertaraf antarabangsa.

Wong turut menekankan keperluan guru masa kini untuk sentiasa fleksibel dalam pendekatan pedagogi, mahir dalam penggunaan teknologi digital, dan pada masa sama prihatin terhadap kesejahteraan emosi serta sosial pelajar.

Beliau menyifatkan guru sebagai agen perubahan yang perlu menggalas tanggungjawab memupuk budaya pembelajaran sepanjang hayat.

“Amalan pengajaran yang berkesan perlu berasaskan bukti, dipacu data dan sentiasa terbuka kepada penambahbaikan.

“Guru pelatih perlu dididik untuk menilai keberkesanan amalan mereka serta membina jaringan profesional yang kukuh,” katanya lagi.

Sementara itu, Pengarah Pusat Latihan Mengajar dan Industri (PULAMI) UPSI, Prof Madya Dr Ashardi Abas, dalam ucapannya berkata, latihan mengajar kini tidak lagi boleh dianggap sekadar memenuhi keperluan kurikulum, sebaliknya menjadi asas utama kepada pembentukan guru yang bersedia berhadapan dengan realiti kompleks dunia pendidikan masa kini.

Beliau berkata, guru praperkhidmatan hari ini perlu bersedia mengendalikan bilik darjah yang dihuni oleh pelajar pelbagai budaya dan latar bahasa, di samping berdepan dengan cabaran teknologi seperti kecerdasan buatan dan realiti maya, serta isu kesihatan mental dalam kalangan pelajar yang menuntut intervensi secara empatik dan serta-merta.

Tambahnya, cabaran untuk menyeimbangkan antara keperluan penyeragaman sistem pendidikan dengan keperluan pemperibadian pendekatan pengajaran merupakan dilema semasa yang turut dihadapi oleh negara-negara ASEAN dan seluruh dunia.

Dalam usaha mendepani cabaran itu, Dr Ashardi menyarankan agar hala tuju latihan guru di Malaysia lebih tertumpu kepada pengukuhan hubungan antara latihan universiti dan amalan di sekolah.

Ini termasuklah pengintegrasian kemahiran digital, pedagogi kritikal dan prinsip pendidikan inklusif dalam setiap fasa praktikum.

“Di peringkat serantau, kita perlu membayangkan pertukaran praktikum rentas sempadan dan pada skala global pula, guru perlu dilatih untuk memimpin bilik darjah yang mencerminkan kompleksiti dunia,” katanya.

Simposium ITPS 2025 menjadi platform penting untuk meneliti semula pendekatan pendidikan guru, di samping menyatukan suara dan idea dari pelbagai pihak dalam usaha memperkukuh ekosistem pendidikan seiring tuntutan era baharu.

Tok Fizz tamatkan perjalanan di Morning Morning Suria

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Suasana pagi di Suria FM hari ini sedikit berbeza apabila penyampai popular, Dato’ Fizz Fairuz, secara rasmi menamatkan tugasnya sebagai hos segmen Morning Morning Suria.

Hari ini menandakan hari terakhir Fizz bersiaran secara langsung di corong radio, sekali gus mengakhiri kerjasama selama satu tahun setengah bersama stesen radio berkenaan.

Sepanjang tempoh itu, Fizz Fairuz atau lebih mesra dikenali sebagai Tok Fizz telah menjadi wajah dan suara yang menceriakan pagi pendengar Suria FM.

Kehadirannya bukan sahaja menyuntik elemen hiburan, malah memperlihatkan komitmen tinggi serta profesionalisme yang menjadi nilai tambah kepada pasukan penyampai Suria FM.

Suria FM dalam satu kenyataan berkata, Tok Fizz dianggap sebagai seorang penyampai yang berbakat besar dan mampu menjalin hubungan yang mesra serta erat dengan pendengar setia stesen itu.

Gaya penyampaiannya yang bersahaja namun berkesan menjadikan Fizz cepat diterima dan disayangi ramai.

“Suria FM amat menghargai segala sumbangan dan dedikasi yang telah diberikan oleh Tok Fizz sepanjang perkhidmatannya.

“Kami mengucapkan jutaan terima kasih atas kerjasama dan kenangan manis yang telah terukir bersama beliau,” kata kenyataan itu.

Tok Fizz sebelum ini dikenali menerusi kerjayanya dalam bidang lakonan dan telah membawa personaliti uniknya ke dunia penyiaran radio.

Walaupun tempoh perkhidmatannya di Suria FM berakhir, pihak stesen menyatakan keyakinan beliau akan terus cemerlang dalam bidang yang diceburi selepas ini.

“Kami di Suria FM mendoakan kejayaan berterusan buat Tok Fizz dalam setiap langkah yang diambil selepas ini.

“Selamat maju jaya dan terima kasih atas segala kenangan indah bersama kami,” kata kenyataan itu lagi.

Dengan perpisahan ini, Morning Morning Suria bakal membuka lembaran baharu, namun kenangan bersama Tok Fizz pastinya kekal dalam ingatan para pendengar dan seluruh warga kerja Suria FM.

Hael Husaini gegarkan Zepp Kuala Lumpur dalam konsert solo pertama “Hael Husaini & Repertoire” 8 Ogos ini

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Bintang tanah air dan ikon fesyen antarabangsa, Hael Husaini, bakal mencipta sejarah tersendiri apabila bakal mengadakan konsert solo pertamanya yang amat dinanti-nantikan di Zepp Kuala Lumpur pada 8 Ogos 2025, ini.

Konsert yang diberi judul “Hael Husaini & Repertoire” ini dijangka menjadi antara persembahan paling ikonik dalam arena muzik Malaysia, menggabungkan elemen seni, emosi, dan fesyen dalam satu malam penuh magis.

Sebagai artis naungan Rocketfuel Entertainment, Hael tidak asing lagi sebagai figura unggul dalam industri hiburan tempatan.

Hael dikenali bukan sahaja kerana vokal luar biasa dan gaya persembahan yang artistik, malah turut mencetuskan fenomena dalam dunia penciptaan lagu dan peragaan fesyen.

Melalui konsert ini, Hael menyasarkan untuk membawa penonton menyusuri perjalanan seninya secara lebih mendalam bukan sekadar mendengar, tetapi turut merasai denyut nadi setiap karya yang dipersembahkan.

Kemunculan Hael di pentas muzik bukanlah satu kebetulan. Namanya mula mekar selepas mencipta kejutan dengan kemenangan berganda dalam Anugerah Juara Lagu (AJL) menerusi lagu-lagu ikonik seperti “Jampi” dan “Haram” (duet bersama Dayang Nurfaizah).

Sejak itu, Hael terus memahat namanya dalam sejarah muzik tempatan sebagai pencipta lagu yang prolifik dan berpengaruh.

Salah satu pencapaian membanggakan ialah apabila lagu ciptaannya, “Anta Permana” nyanyian Dato’ Sri Siti Nurhaliza, dipilih untuk dimuatkan dalam senarai main rasmi diraja The King’s Music Room di platform Apple Music oleh DYMM Raja Charles III.

Menyifatkan detik itu sebagai satu penghargaan luar biasa, Hael berkata, apabila diberitahu lagu yang dia cipta berada dalam playlist rasmi King Charles, dia terdiam.

“Ia bukan sekadar satu pencapaian peribadi, tetapi satu pengiktirafan buat muzik Malaysia,” katanya.

Tahun 2024 menyaksikan satu lagi pencapaian membanggakan apabila lagu “Diam”, yang menjadi runut bunyi sebuah drama tempatan, diumumkan sebagai Best Theme Song di Asian Academy Creative Awards (AACA) yang berlangsung di Singapura.

Kemenangan ini sekali gus mengukuhkan reputasi Hael sebagai pencipta lagu yang tidak hanya mendapat pengiktirafan dalam negara, malah turut dihormati di peringkat serantau.

Selain pencapaian dalam muzik, Hael turut menyerlah dalam dunia fesyen.

Tahun ini, Hael mencuri tumpuan di pentas Milan dan Paris Fashion Week 2025 apabila memperagakan koleksi jenama-jenama mewah antarabangsa seperti Dolce & Gabbana, Zegna, Amiri, Emporio Armani dan Kenzo.

Gaya sofistikated serta kehadiran karismatik beliau meletakkan Hael sebagai wajah Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Saya bukan sekadar ingin dikenali sebagai penyanyi atau komposer, tetapi sebagai penggiat seni yang mewakili Malaysia dengan penuh gaya di mana-mana pentas saya berdiri,” katanya.

Pengumuman rasmi mengenai konsert ini telah dibuat semasa siaran langsung program Big Stage Alpha pada 1 Jun lalu, di mana Hael turut bertindak sebagai juri tetap.

Sebelum itu, Hael memberi petunjuk awal kepada peminat menerusi acara eksklusif Antonim Night pada 31 Mei di PJPAC.

Teka-teki mengenai artis jemputan yang bakal berganding bersama Hael di pentas akhirnya terjawab apabila Hael mengesahkan penyertaan penyanyi tersohor Dayang Nurfaizah dan bintang baharu berbakat besar, Nadeera.

Kedua-dua figura ini dijangka mempersembahkan kolaborasi istimewa yang pasti menggamit emosi peminat.

“Saya dan Dayang telah melalui pelbagai fasa dalam kerjaya kami. Dia bukan sahaja seorang penyanyi yang saya kagumi, tetapi juga seorang sahabat sejati.

“Manakala Nadeera pula adalah wajah masa depan muzik Malaysia. Saya sangat teruja untuk berkongsi pentas bersama mereka berdua,” kata Hael penuh bermakna.

Tidak terhenti di situ, menerusi hantaran di laman sosial, Hael turut mengusik peminat dengan kenyataan misteri “Siapa cakap 2 je?”.

Spekulasi itu akhirnya terjawab apabila Hael mengumumkan dua lagi penyanyi yang bakal turut menyinari konsert istimewa ini ialah Wany Hasrita dan Nabila Razali.

“Hael Husaini & Repertoire” bukan sekadar sebuah konsert biasa. Ia dijangka menampilkan susunan muzik baharu yang lebih segar, persembahan visual sinematik, serta segmen fesyen eksklusif yang mencerminkan evolusi artistik Hael sepanjang kariernya.

“Saya ingin peminat yang hadir bukan hanya mendengar lagu, tetapi untuk merasai perjalanan saya, menyelami emosi saya, dan menyaksikan sisi kreatif saya yang sebenar dari muzik, visual, hingga ke fesyen.

“Saya mahu mereka keluar dari Zepp dengan perasaan terinspirasi, puas dan bangga menjadi sebahagian daripada malam itu nanti,” tambahnya lagi dengan penuh semangat.

Konsert ini turut mendapat sokongan padu daripada rakan media rasmi ERA, Sinar dan Gegar, serta rakan digital rasmi Gempak.

Tiket boleh mula didapati oleh peminat menerusi platform ticket2u.com.my.

Berikut adalah kategori tiket yang ditawarkan:

-VIP Box (Seated) – RM588

-Platinum (Standing) – RM258

-Gold (Standing) – RM168

-Silver (Standing) – RM148

-Bronze (Standing) – RM120

Peminat yang membeli tiket kategori tertentu juga bakal menikmati pelbagai keistimewaan eksklusif.

Pemegang tiket VIP Box, sebagai contoh, akan menerima pas meet & greet, ruang peribadi untuk 10 orang, poster konsert bertandatangan, merchandise rasmi serta hidangan dan minuman ringan.

Maklumat lanjut dan perkembangan terkini mengenai “Konsert Hael Husaini & Repertoire” boleh didapati melalui saluran media sosial rasmi Hael Husaini dan Rocketfuel Entertainment.

MSH Empire jelas isu pemilikan, penjenamaan semula dan tindakan guaman berkaitan produk Minyak Herba Nilam

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Syarikat MSH Empire tampil memberikan penjelasan rasmi berhubung isu yang tular di media sosial membabitkan pemilikan dan penjenamaan semula produk Minyak Herba Nilam serta konflik berkaitan kerjasama terdahulu dengan pasangan selebriti media sosial, Azlan Komeng dan Norhaslinda Abdullah atau lebih dikenali sebagai Nilam.

Dalam satu sidang media yang diadakan, MSH Empire yang diwakili oleh Norsufia Johari berkata, kerjasama dengan pasangan berkenaan bermula pada 23 Disember 2024 apabila Norsufia yang dikenali sebagai Cik Pia, memperkenalkan produk Minyak 1001 Khasiat Dayak Kalimantan kepada Azlan dan Nilam.

“Tujuan utama ketika itu adalah untuk membantu pasangan berkenaan menjana pendapatan menerusi penjualan produk secara dalam talian, khususnya di platform TikTok Shop.

“Sehari selepas pertemuan itu, persetujuan dicapai untuk menjual produk berkenaan menggunakan nama dan penjenamaan “Nilam HQ” serta beg kuning yang kemudiannya menjadi simbol pengenalan.

“Malah, cadangan untuk menamakan produk sebagai “Minyak Herba Nilam” datang daripada Nilam sendiri dan pihak MSH Empire bersetuju atas syarat bahawa hanya penjenamaan ditukar manakala resipi produk kekal milik penuh syarikat,” katanya.

Bagaimanapun, pada Februari 2025, kerjasama terbabit mula menemui titik noktah apabila Nilam memaklumkan akaun TikTok miliknya telah disekat dan dalam masa yang sama menyatakan hasrat untuk tidak lagi terbabit dalam penjualan produk bersama MSH Empire kerana ingin membina jenama sendiri.

“Isu ini turut disusuli dengan penutupan laman web dan permohonan maaf oleh Nilam kepada pihak syarikat pada 12 Mac 2025.

“Sejak itu, hanya Azlan yang meneruskan komunikasi dengan pihak syarikat sehingga isu ini menjadi perhatian umum,” katanya.

Menurut Cik Pia, sepanjang tempoh kerjasama, segala komisen dan hasil jualan telah disalurkan secara terus ke akaun bank atas nama Norhaslinda Abdullah.

“Malah, bantuan juga diberikan oleh pihak syarikat dalam beberapa urusan peribadi, termasuk pembelian kenderaan.

“Namun, kemelut peribadi antara Azlan dan Nilam yang kemudiannya tular di media sosial telah memberikan kesan negatif kepada reputasi produk, termasuk gesaan untuk memboikot Minyak Herba Nilam,” katanya.

Katanya lagi, pada 1 Mei 2025, Nilam sendiri memuat naik video mengumumkan penutupan operasi Nilam HQ serta memperkenalkan jenama baharunya, Nilam Empire, sekali gus menjarakkan dirinya daripada produk asal keluaran MSH Empire.

“Sebagai langkah susulan, MSH Empire mengambil keputusan untuk menjenamakan semula produk berkenaan kepada Minyak Herba S-HERB bermula 5 Jun 2025, manakala beg kuning yang sinonim dengan penjenamaan terdahulu kini dikenali sebagai SP-HERB.

“Penjenamaan baharu ini turut diumumkan secara rasmi kepada media pada 14 Jun 2025 dalam usaha mengekalkan kejelasan dan profesionalisme syarikat.

“Pihak syarikat juga menegaskan produk serta resipi asal adalah milik sepenuhnya MSH Empire. Penjenamaan “Nilam HQ” juga didaftarkan atas nama syarikat dan bukan milik individu tertentu.

“Semua kandungan promosi sebelum ini dihasilkan semasa kerjasama berjalan dan pihak syarikat tidak mempunyai kawalan terhadap bahan-bahan yang masih digunakan oleh ejen atau “affiliates” lama,” katanya.

Sebagai langkah memulihkan kepercayaan pengguna, MSH Empire telah meminta Cik Pia memuat naik penjelasan rasmi melalui akaun TikTok miliknya.

“Pihak syarikat turut memaklumkan notis yang dikeluarkan oleh Nilam pada 25 Mei 2025, yang mendesak semua bahan promosi diturunkan, adalah tidak berasas memandangkan hak milik jenama dan produk secara sah adalah milik MSH Empire,” katanya.

Dalam pada itu, syarikat turut mengesahkan tindakan undang-undang telah dimulakan melalui pelantikan peguam Datuk Adnan Seman dari Tetuan Adnan Sharida & Associates.

“Surat tuntutan telah dikeluarkan kepada pasangan terbabit pada 15 Julai 2025 berhubung dakwaan fitnah dan tindakan saman akan difailkan sekiranya mereka gagal memenuhi semua tuntutan yang telah dinyatakan.

“MSH Empire sentiasa memberi komitmen dalam memastikan kualiti Minyak Herba S-HERB terus dikekalkan, di samping mengambil segala langkah perlu untuk melindungi hak jenama dan kepercayaan pelanggan,” katanya.

Konsert “29th Symphony of Ungu” bukti kumpulan Ungu terus relevan dan dekat di hati peminat

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Setelah hampir tiga dekad mewarnai industri muzik Nusantara, kumpulan rock terkenal dari Indonesia, Ungu, sekali lagi membuktikan bahawa aura dan karya mereka masih kekal segar serta relevan dalam kalangan peminat muzik hari ini.

Kejayaan ini terbukti menerusi konsert ulang tahun mereka yang ke-29, “29th Symphony of Ungu” yang berlangsung dengan penuh gemilang di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), baru-baru ini.

Lebih 2,500 peminat membanjiri lokasi konsert sebagai tanda sokongan padu terhadap band kesayangan mereka itu.

Konsert dua jam itu bukan sekadar persembahan biasa, malah memperlihatkan sisi lebih matang dan berani kumpulan Ungu yang tampil dengan pendekatan muzik berbeza.

Lagu-lagu hits mereka diberi nafas baru menerusi susunan muzik orkestra yang dipimpin oleh maestro muzik J.P. Denny, menjadikan persembahan pada malam itu bukan hanya menghiburkan, malah cukup menyentuh emosi.

Ungu mempersembahkan lebih 16 lagu yang telah menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup ramai peminat sejak era awal kemunculan mereka.

Antara lagu-lagu yang bergema di dewan malam itu termasuk Tercipta Untukku, Berjanjilah, Kekasih Gelapku, Andai Ku Tahu, Hampa Hatiku, dan Seperti Mati Lampu.

Setiap lagu disampaikan dengan penuh penghayatan, menyuntik semula nostalgia dan kenangan buat penonton.

Salah satu detik paling menyentuh hati sepanjang malam itu adalah apabila Ungu mendedikasikan lagu Bila Tiba buat arwah Gatot Kies Afierianto, pemain keyboard kumpulan itu yang telah meninggal dunia pada Jun lalu.

Persembahan mereka bukan sahaja menjadi penghormatan buat rakan seperjuangan, tetapi turut menambahkan dimensi emosi yang mendalam kepada keseluruhan konsert.

Turut memeriahkan konsert ialah kemunculan penyanyi muda berbakat dari Sabah, Gretchene Quirina, yang mempersembahkan tiga buah lagu dengan vokal mantap dan memukau.

Hadirin juga disajikan dengan momen istimewa menerusi duet romantis antara Pasha dan Aida Jebat yang menyampaikan lagu Tercipta Untukku serta Bismillah Cinta, yang mendapat sorakan gemuruh daripada peminat.

Pasha, selaku vokalis utama, memperlihatkan kematangan serta karisma pentas yang luar biasa.

Beliau tidak hanya menyerlah melalui nyanyian, tetapi turut berjaya menghidupkan suasana malam itu dengan interaksi mesra dan jenaka spontan yang menghiburkan.

Hubungan erat yang terjalin antara Pasha, ahli kumpulan dan penonton jelas terpancar melalui usikan serta gelak tawa yang tercetus sepanjang persembahan.

Malam konsert itu bukan sahaja menjadi bukti kemampuan Ungu untuk terus berdiri teguh dalam industri muzik yang sentiasa berubah, tetapi juga mengukuhkan kedudukan mereka sebagai antara kumpulan muzik paling disayangi di rantau ini, khususnya di Malaysia.

Dengan konsert yang begitu berjaya dari segi muzik dan emosi, peminat di Malaysia pastinya berharap Ungu akan kembali lagi untuk persembahan yang seterusnya.

Dalam usia band yang menghampiri tiga dekad, Ungu masih membuktikan bahawa karya yang ikhlas dan berkualiti akan sentiasa mendapat tempat di hati pendengar.

Kekal aktif dan bertenaga di usia 53 tahun, Mirnawan Nawawi dilantik duta rasmi Gel Amani

editormaxinfo@gmail.com

SHAH ALAM – Syarikat kesihatan tempatan, Amanilife, mengambil langkah strategik baharu apabila mengumumkan pelantikan legenda hoki negara, Dato’ Mirnawan Datuk Nawawi, sebagai Duta Rasmi bagi produk ubat sapuan Gel Amani.

Gel Amani, yang telah berada di pasaran sejak tahun 2014, dikenali sebagai antara produk tempatan pilihan ramai dalam membantu melegakan sakit otot dan sendi.

Ia digunakan secara meluas bagi masalah seperti sakit tengkuk, bahu, pinggang dan lutut.

Mempunyai piawaian kualiti antarabangsa serta berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Gel Amani juga telah disahkan Halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), menjadikannya pilihan utama bukan sahaja dalam kalangan warga emas dan individu aktif, malah juga atlet profesional.

Pemilihan Mirnawan sebagai wajah rasmi Gel Amani bukan sahaja dilihat bertepatan dengan nilai dan matlamat jenama berkenaan, tetapi turut memberi simbolik yang besar kepada kesungguhan Amanilife dalam mempromosikan gaya hidup sihat.

Dikenali sebagai ‘The Boss’ dalam arena hoki tanah air, Mirnawan adalah bekas Kapten Pasukan Hoki Kebangsaan yang pernah mengetuai skuad negara ke beberapa temasya sukan bertaraf dunia termasuk Sukan Olimpik Barcelona 1992, Atlanta 1996 dan Sydney 2000.

Mirnawan berkata, beliau sudah menggunakan Gel Amani sejak satu dekad lalu bagi membantu melegakan sakit otot dan sendi serta mengekalkan kecergasan walaupun selepas bersara daripada sukan kompetitif.

Kini, pada usia 53 tahun, beliau masih aktif bersukan dan memilih sukan pickle ball sebagai kaedah alternatif untuk mengekalkan stamina dan mengurangkan risiko penyakit jantung.

“Sebagai bekas pemain hoki, saya sudah terbiasa dengan aktiviti fizikal. Namun apabila usia meningkat, saya perlukan sukan yang lebih sesuai dengan keupayaan tubuh.

“Pickle ball menjadi pilihan saya, dan Gel Amani pula membantu saya untuk kekal cergas dan mengurangkan risiko kecederaan,” katanya.

Selain itu, menjaga pemakanan juga adalah salah satu cara yang beliau amalkan.

“Kita ada pilihan sama ada aktif bersukan dan boleh makan banyak atau tiada masa bersukan dan malas perlu menjaga pemakanan. Ini adalah pengorbanan dan pilihan yang harus dilakukan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Amanilife, Leo Adi Putra berkata, beliau yakin dengan kerjasama bersama Mirnawan dalam memacu jenama Gel Amani ke pasaran yang lebih luas, termasuk antarabangsa.

“Kami percaya Mirnawan ialah individu paling sesuai untuk mewakili Gel Amani.

“Selain latar belakangnya sebagai atlet ternama, faktor usianya yang masih kekal aktif dan sihat memberi inspirasi kepada ramai,” katanya.

Menurutnya, Gel Amani kini telah menembusi pasaran Singapura sejak tahun 2021 dan mendapat permintaan tinggi untuk memasuki Indonesia, Brunei serta negara-negara di Timur Tengah.

Dalam usaha untuk menjadikan produk ini lebih mudah diakses oleh pengguna, Gel Amani kini ditawarkan pada harga mampu milik iaitu RM27 untuk botol 30ml dan RM37 bagi 60ml.

Harga ini ditetapkan dengan tujuan agar lebih ramai pengguna berpeluang menikmati manfaat produk berasaskan formulasi tempatan yang berkualiti ini.

Amanilife terus komited untuk memperluas jangkauan produk Gel Amani sambil mengekalkan nilai utama syarikat iaitu kesihatan, keberkesanan dan jaminan halal.

Untuk maklumat lanjut mengenai produk atau urusan pembelian, orang ramai boleh mengunjungi laman rasmi www.amanilife.my atau menghubungi talian WhatsApp 019-9996686.

MARA perkukuh pembangunan TVET belia menerusi kerjasama strategik dengan syarikat automotif Jepun

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Majlis Amanah Rakyat (MARA) terus memperkukuh komitmennya dalam membangunkan potensi belia menerusi pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET), melalui kerjasama strategik bersama syarikat automotif terkenal dari Jepun, Aichi Daihatsu (AD).

Kerjasama jangka panjang yang terjalin sejak tahun 2019 kini mencapai satu lagi tahap penting dengan pembukaan rasmi Pusat Latihan Aichi Daihatsu di Bandar Bukit Beruntung, Selangor.

Pusat latihan ini bukan sahaja menandakan kejayaan bersama antara MARA dan Aichi Daihatsu, malah menjadi simbol kepada usaha berterusan dalam memperkukuh program TVET bertaraf antarabangsa untuk pelajar Malaysia.

Dalam satu kenyataan, MARA berkata, kolaborasi ini telah membuka banyak ruang dan peluang kepada pelajar, termasuklah program latihan industri yang membolehkan mereka menimba pengalaman secara langsung di fasiliti Aichi Daihatsu di Jepun.

Setakat ini, seramai 12 pelajar MARA telah mengikuti latihan industri di negara matahari terbit itu, dengan empat daripadanya masih menjalani latihan secara aktif.

Majlis perasmian pusat latihan itu juga menjadi pentas kepada peluasan kerjasama sedia ada melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) yang berlangsung pada 1 Ogos 2024.

Melalui MoU itu, kedua-dua pihak bersetuju untuk melaksanakan Program Specified Skilled Worker (SSW), satu inisiatif baharu yang menyediakan laluan perantisan dan pensijilan kepada pelajar MARA bagi membolehkan mereka bekerja secara sah dan profesional di Jepun.

Seramai 14 pelajar MARA telah dipilih untuk menyertai program SSW ini selepas melalui proses saringan dan temu duga yang diadakan pada April lalu.

Mereka kini menjalani latihan awal di Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Masjid Tanah serta di Nagoya Automobile Holdings (M) Sdn. Bhd. sebagai persediaan awal sebelum dihantar ke Jepun.

Selain itu, kursus intensif Bahasa Jepun turut ditawarkan kepada pelajar terpilih bagi memantapkan penguasaan bahasa sebagai langkah penting dalam penyesuaian budaya dan komunikasi di tempat kerja nanti.

Pengarah Bahagian Kemahiran dan Teknikal MARA, Nuriman Yusop, yang mewakili Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan MARA dalam majlis itu, menyifatkan kerjasama ini sebagai peluang luar biasa kepada pelajar TVET untuk menimba pengalaman antarabangsa, sekali gus meningkatkan daya saing mereka dalam pasaran kerja global.

“Kami amat menghargai komitmen yang ditunjukkan oleh Aichi Daihatsu dan OISCA Jepun dalam membentuk masa depan pelajar-pelajar TVET Malaysia.

“MARA akan terus memperkukuh hubungan dengan industri global bagi memastikan ekosistem TVET negara terus berkembang ke arah yang lebih cemerlang dan lestari,” katanya.

Langkah ini mencerminkan usaha berterusan MARA dalam menjadikan TVET sebagai laluan pendidikan yang bukan sahaja relevan, tetapi juga mampu menjamin masa depan cerah kepada belia Malaysia di peringkat antarabangsa.

Dengan sokongan daripada rakan industri seperti Aichi Daihatsu, MARA yakin program sebegini akan memberi impak positif yang berpanjangan kepada pembangunan modal insan negara.

Filem ‘Munajjim: Sekutu Iblis’ papar kesan hitam amalan syirik dalam masyarakat moden

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Genre seram terus menjadi antara pilihan utama penggemar filem tempatan dan kali ini, karya terbaharu berjudul Munajjim: Sekutu Iblis bakal mencabar minda serta menggetarkan jiwa penonton dengan jalan cerita yang sarat dengan elemen mistik, kepercayaan karut serta amalan ilmu hitam yang masih wujud dalam kalangan masyarakat hari ini.

Diterbitkan oleh Yusrych Global Sdn. Bhd., filem ini bukan sekadar menghidangkan keseraman semata-mata, tetapi turut membawa mesej mendalam mengenai kesan syirik dan pengkhianatan akidah yang berpunca daripada kebergantungan kepada amalan khurafat.

Penerbit filem, Yusry Makmor berkata, naskhah ini diinspirasikan daripada kisah benar yang menggambarkan realiti segelintir masyarakat moden yang masih mencari jalan singkat melalui bomoh dan ilmu hitam untuk menyelesaikan masalah kehidupan.

“Ini bukan sekadar filem seram biasa. Ia membawa penonton melihat sisi gelap kehidupan apabila manusia sanggup bersekutu dengan iblis demi kepentingan diri sendiri.

“Kami mahu menyampaikan mesej jelas bahawa amalan seperti ini bukan sahaja sesat, malah membawa kemusnahan kepada individu dan keluarga,” katanya.

Munajjim: Sekutu Iblis mengisahkan tentang sebuah keluarga yang terlalu taksub dengan khidmat bomoh, sehingga terjerumus dalam dunia syirik dan pengaruh makhluk halus.

Cerita bertambah dramatik apabila si anak menggunakan sihir untuk membalas dendam terhadap bekas kekasih isterinya yang telah mengganggu rumah tangga mereka.

Namun, ilmu hitam yang diamalkan itu akhirnya berpaling arah, lalu mengancam nyawa seluruh ahli keluarga.

Filem ini mengetengahkan unsur seram yang tidak klise, apabila ‘pendamping’ yang muncul bukan hanya sekadar hantu biasa, tetapi jelmaan jin dan entiti ghaib yang bersekutu dengan manusia untuk menyesatkan akidah mereka.

Sementara itu, sutradara Faizul A. Rashid berkata, pendekatan filem ini jauh berbeza daripada kebanyakan filem seram tempatan yang sering bergantung pada watak-watak stereotaip seperti pontianak atau pocong.

“Filem ini menawarkan keseraman yang lebih mendalam, dibina dengan jalan cerita yang kuat, visual sinematik dan mesej yang membawa kesedaran.

“Kami mahu penonton bukan hanya takut, tetapi juga berfikir tentang bahaya amalan khurafat yang masih berlaku dalam masyarakat kita hari ini,” katanya.

Menambah kekuatan penceritaan, Munajjim: Sekutu Iblis turut dibintangi barisan pelakon hebat tanah air seperti Farid Kamil, Uqasha Senrose, Che Puan Juliana Evans, Mustaqim Bahadon, Sherry Merlis serta pelakon muda Daniel Aqil.

Penggambaran dijalankan sekitar Januari 2025 di beberapa lokasi terpilih di Selangor, dengan idea asal ditulis bersama oleh Yusry Makmor, Zafran Aziz dan Rozita Mat Isa.

Filem ini turut mendapat kerjasama daripada TGV Pictures dan akan diedarkan secara meluas oleh D’Ayu Pictures, dengan sokongan promosi daripada Empire Solutions.

Ia dijadualkan menemui penonton di seluruh pawagam Malaysia bermula 31 Julai 2025.

Munajjim: Sekutu Iblis menjanjikan bukan sekadar hiburan, tetapi juga satu pengalaman sinematik yang memberi kesedaran tentang bahaya kebergantungan kepada amalan syirik.

Filem ini mengajak penonton untuk menilai kembali sejauh mana kepercayaan boleh mempengaruhi tindakan, dan bagaimana kesilapan memilih jalan yang salah boleh membawa padah yang tidak terduga.