27.9 C
Kuala Lumpur
Sunday, April 19, 2026

MARA perkukuh pembangunan TVET belia menerusi kerjasama strategik dengan syarikat automotif Jepun

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Majlis Amanah Rakyat (MARA) terus memperkukuh komitmennya dalam membangunkan potensi belia menerusi pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET), melalui kerjasama strategik bersama syarikat automotif terkenal dari Jepun, Aichi Daihatsu (AD).

Kerjasama jangka panjang yang terjalin sejak tahun 2019 kini mencapai satu lagi tahap penting dengan pembukaan rasmi Pusat Latihan Aichi Daihatsu di Bandar Bukit Beruntung, Selangor.

Pusat latihan ini bukan sahaja menandakan kejayaan bersama antara MARA dan Aichi Daihatsu, malah menjadi simbol kepada usaha berterusan dalam memperkukuh program TVET bertaraf antarabangsa untuk pelajar Malaysia.

Dalam satu kenyataan, MARA berkata, kolaborasi ini telah membuka banyak ruang dan peluang kepada pelajar, termasuklah program latihan industri yang membolehkan mereka menimba pengalaman secara langsung di fasiliti Aichi Daihatsu di Jepun.

Setakat ini, seramai 12 pelajar MARA telah mengikuti latihan industri di negara matahari terbit itu, dengan empat daripadanya masih menjalani latihan secara aktif.

Majlis perasmian pusat latihan itu juga menjadi pentas kepada peluasan kerjasama sedia ada melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) yang berlangsung pada 1 Ogos 2024.

Melalui MoU itu, kedua-dua pihak bersetuju untuk melaksanakan Program Specified Skilled Worker (SSW), satu inisiatif baharu yang menyediakan laluan perantisan dan pensijilan kepada pelajar MARA bagi membolehkan mereka bekerja secara sah dan profesional di Jepun.

Seramai 14 pelajar MARA telah dipilih untuk menyertai program SSW ini selepas melalui proses saringan dan temu duga yang diadakan pada April lalu.

Mereka kini menjalani latihan awal di Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Masjid Tanah serta di Nagoya Automobile Holdings (M) Sdn. Bhd. sebagai persediaan awal sebelum dihantar ke Jepun.

Selain itu, kursus intensif Bahasa Jepun turut ditawarkan kepada pelajar terpilih bagi memantapkan penguasaan bahasa sebagai langkah penting dalam penyesuaian budaya dan komunikasi di tempat kerja nanti.

Pengarah Bahagian Kemahiran dan Teknikal MARA, Nuriman Yusop, yang mewakili Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan MARA dalam majlis itu, menyifatkan kerjasama ini sebagai peluang luar biasa kepada pelajar TVET untuk menimba pengalaman antarabangsa, sekali gus meningkatkan daya saing mereka dalam pasaran kerja global.

“Kami amat menghargai komitmen yang ditunjukkan oleh Aichi Daihatsu dan OISCA Jepun dalam membentuk masa depan pelajar-pelajar TVET Malaysia.

“MARA akan terus memperkukuh hubungan dengan industri global bagi memastikan ekosistem TVET negara terus berkembang ke arah yang lebih cemerlang dan lestari,” katanya.

Langkah ini mencerminkan usaha berterusan MARA dalam menjadikan TVET sebagai laluan pendidikan yang bukan sahaja relevan, tetapi juga mampu menjamin masa depan cerah kepada belia Malaysia di peringkat antarabangsa.

Dengan sokongan daripada rakan industri seperti Aichi Daihatsu, MARA yakin program sebegini akan memberi impak positif yang berpanjangan kepada pembangunan modal insan negara.

ARTIKEL BERKAITAN

1 COMMENT

Comments are closed.

Popular