33.5 C
Kuala Lumpur
Wednesday, June 10, 2026
Home Blog Page 75

MYTV perkenal perkhidmatan penstriman premium MYTV Mana-Mana bermula RM6.90 sebulan

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – MYTV Broadcasting Sdn. Bhd. melakar satu lagi pencapaian penting dalam landskap hiburan digital negara dengan pelancaran rasmi MYTV Mana-Mana Premium, sebuah perkhidmatan penstriman berkualiti tinggi yang ditawarkan pada harga mampu milik serendah RM6.90 sebulan.

Langkah ini menandakan evolusi baharu dalam penyampaian kandungan televisyen kepada rakyat Malaysia, menawarkan gabungan menarik siaran langsung TV premium, video atas permintaan (VOD) serta kandungan eksklusif terbitan MYTV Originals, yang direka khusus untuk memenuhi citarasa pelbagai lapisan masyarakat.

Dengan tawaran kandungan merangkumi filem pecah panggung, drama tempatan dan antarabangsa yang mendebarkan, rancangan sukan yang mengujakan, siri animasi dan kartun kanak-kanak, drama Korea dan Indonesia yang sedang menjadi bualan, hinggalah ke dokumentari yang membuka minda, MYTV Mana-Mana Premium menjanjikan sesuatu untuk semua.

Menambah kekuatan penawaran kandungannya, MYTV turut mengumumkan inisiatif MYTV Originals, yang bakal memperkenalkan produksi eksklusif hasil kerjasama bersama pencipta kandungan tempatan.

Usaha ini bertujuan mengetengahkan kisah dan bakat autentik Malaysia ke peringkat yang lebih luas, sekaligus menyokong pembangunan industri kandungan tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MYTV Broadcasting Sdn. Bhd., Mohamad Helmi Harith berkata, pelancaran ini adalah satu pencapaian besar bagi MYTV Mana-Mana.

“Ia tidak akan menjadi kenyataan tanpa kerjasama erat bersama rakan-rakan strategik kami.

“Sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada rakan kongsi perniagaan dan kandungan amat kami hargai.

“Kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas kepercayaan yang telah diberikan,” katanya pada majlis pelancaran MYTV Mana-Mana, baru-baru ini.

Pelancaran pakej Premium ini bukan sekadar memperkenalkan kandungan, tetapi turut meraikan nilai kreativiti, keterhubungan dan ketercapaian untuk semua.

Dalam pada itu, versi percuma MYTV Mana-Mana yang telah mencatat lebih 800,000 muat turun setakat ini akan terus kekal tersedia untuk dinikmati oleh semua rakyat Malaysia.

Versi ini menawarkan akses kepada siaran TV langsung tempatan dan antarabangsa serta kandungan VOD, membolehkan pengguna menonton pada bila-bila masa dan di mana juga.

Sementara itu, Pemangku Ketua Pegawai Operasi MYTV Broadcasting Sdn. Bhd., Syaffandi Shahrom berkata, pengalaman hiburan premium tidak semestinya datang dengan harga yang tinggi.

“MYTV Mana-Mana Premium direka untuk seisi keluarga, pelajar mahupun individu sama ada mereka menonton melalui telefon pintar, tablet atau skrin besar menerusi Google TV.

“Dengan kadar langganan yang rendah ini, kami benar-benar berharap agar semua lapisan masyarakat, dari bandar ke luar bandar, dapat menikmati sepenuhnya penawaran MYTV Mana-Mana Premium,” katanya.

Dalam pada itu, MYTV turut mengumumkan kerjasama strategik dengan beberapa jenama utama seperti PRISM+, FoodPanda dan MPH Bookstores.

Kolaborasi ini membuka lembaran baharu ke arah pembentukan ekosistem digital yang menggabungkan kandungan, perdagangan dan komuniti.

Maklumat lanjut mengenai kerjasama ini akan dikongsi melalui saluran rasmi MYTV Mana-Mana dalam masa terdekat.

Ketika permintaan terhadap platform penstriman terus meningkat di Malaysia, MYTV Mana-Mana tampil sebagai pelopor yang menghubungkan generasi dan membawa hiburan berkualiti tinggi ke setiap rumah di seluruh negara.

Putri Qisya jadi anak angkat MARA, impian ke MRSM bakal tercapai

editormaxinfo@gmail.com

ALOR SETAR – Majlis Amanah Rakyat (MARA) tampil menyantuni nasib Putri Qisya Nur Izzat Mohamad Azim, 12, satu-satunya mangsa yang terselamat dalam tragedi meragut enam nyawa ahli keluarganya di Sungai Korok, Jitra, Sabtu lalu.

Dalam satu keputusan penuh keprihatinan, MARA mengambil Putri Qisya sebagai anak angkat bagi memastikan masa depannya dalam bidang pendidikan terus terjamin.

Hasrat murni ini dizahirkan oleh Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, yang berkongsi rasa terharu terhadap ketabahan luar biasa yang ditunjukkan oleh Putri Qisya dalam menghadapi ujian besar itu.

Menurut beliau, MARA terpanggil untuk merealisasikan impian arwah ibunya yang mahu melihat anak sulung mereka menjejakkan kaki ke Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).

“Hampir menitis air mata, namun saya tahan sebak di dada tatkala nenek kepada adik Putri Qisya menyampaikan impian arwah ibunya dan juga hasrat Qisya sendiri untuk masuk ke MRSM,” katanya dalam satu kenyataan.

Asyraf Wajdi turut memaklumkan beliau bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, telah menziarahi keluarga Putri Qisya di Kampung Bohor Karang.

Tersentuh dengan kisahnya, Ahmad Zahid secara langsung mengarahkan agar MARA mengambil anak yatim piatu itu sebagai anak angkat serta memastikan beliau diberi peluang pendidikan terbaik.

“Insya-Allah, MARA akan bantu sebaik mungkin. Kami akan pastikan laluan pendidikan terbaik buat adik Qisya.

“Dia tidak keseorangan ramai yang sedia membantu termasuk pihak kami, bagi memastikan masa depannya terus terbela,” kata Asyraf.

Tambah beliau, kekentalan semangat dan kesungguhan Qisya untuk menimba ilmu walaupun baru sahaja kehilangan kedua ibu bapa dan empat adik-beradiknya adalah satu kekuatan luar biasa yang wajar disokong sepenuhnya.

“Sejurus saya tiba, dia menyambut dengan senyuman, walaupun wajahnya masih sugul.

“Sepanjang perbualan, langsung tidak kelihatan air mata, tetapi saya dapat rasakan kehilangan besar yang ditanggung. Kecekalan dan ketabahan Qisya benar-benar meruntun jiwa saya,” katanya.

Lebih mengagumkan, Asyraf Wajdi berkata, Qisya turut meluahkan rasa enggan terlalu bergantung pada bantuan zakat sebagaimana yang pernah diterima keluarganya sebelum ini.

Semangat berdikari itu menggambarkan kematangan luar biasa seorang anak kecil yang ditimpa musibah.

“Insya-Allah, MARA akan memantau perkembangan Qisya sebagai anak angkat kami dan memastikan beliau menerima pendidikan terbaik sehingga ke peringkat tertinggi.

“Semoga Allah SWT pelihara hatinya yang tabah dan menerangi jalan hidupnya dengan cahaya ilmu dan kasih sayang,” katanya lagi.

Putri Qisya kini tinggal bersama datuk dan neneknya selepas kehilangan kedua ibu bapa dan empat adik-beradik tersayang.

Dalam kejadian menyayat hati pada Sabtu lalu, kenderaan yang dinaiki keluarganya dipercayai terbabas sebelum terjunam ke dalam terusan di Sungai Korok, mengorbankan enam nyawa termasuk ibu bapanya, Mohamad Azim Izat Ishak, 32, dan Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, serta adik-adiknya: Putra Rayyan, 9; Hawa Adriana, 8; Annayla Humaira, 7; dan bayi lelaki, Tuah Haydar, enam bulan.

Kesemua jenazah dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bohor Karang pada malam Isnin, manakala Putri Qisya kini menjadi simbol ketabahan dan harapan baharu bagi masa depan yang lebih cerah.

INTI Subang jadi perintis gerakan pelajar The Changemakers demi impak sosial negara

editormaxinfo@gmail.com

SUBANG JAYA -INTI International College Subang (IICS) melancarkan The Changemakers dan Seminar Keusahawanan Sosial.

Ini adalah satu Inisiatif yang disifatkan sebagai platform penting dalam memupuk semangat keusahawanan sosial yang diterajui pelajar serta memperkasakan impak komuniti secara berterusan.

The Changemakers @ IICS adalah sebahagian daripada Program Keusahawanan Sosial Komuniti Universiti (UCSE) di bawah seliaan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), yang bertujuan untuk memperkenalkan pengalaman dunia sebenar dalam bidang keusahawanan sosial ke dalam kehidupan mahasiswa.

Di peringkat kolej ini, The Changemakers memberi ruang kepada pelajar untuk mengenal pasti dan menyelesaikan isu komuniti melalui pendekatan praktikal, lestari dan berasaskan nilai murni.

Majlis pelancaran yang dianjurkan dengan kerjasama Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) itu menghimpunkan individu serta organisasi berteraskan nilai yang komited dalam membina Malaysia yang lebih inklusif dan mampan menerusi keusahawanan sosial.

Dalam ucapan perasmiannya, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan menekankan kepentingan yang semakin meningkat terhadap peranan perusahaan sosial (SE) dalam menangani cabaran sosial dan alam sekitar yang kompleks.

Menurut beliau, perusahaan sosial bukan sekadar entiti perniagaan biasa, sebaliknya ia memainkan peranan kritikal dalam memacu perubahan sama ada melalui pemerkasaan komuniti terpinggir, mewujudkan peluang pekerjaan yang inklusif, menangani isu alam sekitar atau mengamalkan model perniagaan beretika sambil menjana pendapatan bagi memastikan kelestariannya.

“Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), katanya, telah meletakkan perusahaan sosial sebagai agenda nasional dengan usaha berterusan memperkukuh ekosistem SE melalui pembangunan dasar, latihan, sistem akreditasi, insentif pengecualian cukai, sambutan Hari SE, serta penganjuran forum dan seminar selain menyediakan bantuan kewangan,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pemantauan), KUSKOP; Noor Afifah Abdul Razak,  Ketua Eksekutif IICS, Dr Jane Lim dan Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN; Viviantie Sarjuni.

Beliau turut mengumumkan sebanyak 468 perusahaan sosial telah diakreditasi di bawah KUSKOP, dengan capaian manfaat kepada lebih 56,000 individu di seluruh negara setakat ini.

Salah satu sorotan utama majlis pelancaran ini ialah pengenalan Kotak Cantik, perusahaan sosial pertama yang dikendalikan oleh pelajar IICS di bawah inisiatif ini.

Projek ini memberi fokus kepada komuniti berpendapatan rendah di kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR), khususnya dalam aspek kebersihan dan kesihatan.

Melalui pengagihan kit kebersihan kepada keluarga B40, inisiatif ini bukan sahaja meningkatkan kesedaran tentang kepentingan penjagaan diri, malah memberi pelajar pengalaman langsung dalam merancang dan melaksanakan program berimpak sosial.

Sementara itu, Dr Jane Lim berkata, hari ini adalah detik yang cukup membanggakan bukan sahaja kerana pelancaran The Changemakers, tetapi juga kerana mereka memperkenalkan perusahaan sosial pertama yang diterajui pelajar.

“The Changemakers bukan sekadar projek, tetapi platform inovasi sosial yang diwujudkan oleh pelajar, disokong oleh tenaga pengajar dan diperkukuh oleh komuniti.

“Kami berharap ia berkembang menjadi satu gerakan yang lebih besar dan menjadi inspirasi kepada usahawan muda untuk membina perniagaan yang berteraskan tujuan murni,” katanya.

Majlis turut diserikan dengan seminar khas anjuran INSKEN yang memberi pendedahan kepada peserta tentang cara memulakan serta membangunkan perusahaan sosial secara mampan.

HONOR Magic V5 paling nipis, tanpa kompromi bakal dilancarkan di Malaysia 15 Julai ini

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – HONOR secara rasmi mengumumkan pelancaran telefon pintar lipat flagship paling inovatif iaitu HONOR Magic V5 di Malaysia pada 15 Julai 2025.

HONOR Magic V5 mula menjadi bualan hangat orang ramai sejak pendedahan awalnya minggu lalu. Tidak hairanlah ia menjadi sebutan hangat kerana HONOR Magic V5 berjaya menetapkan penanda aras baharu sebagai telefon lipat paling nipis di dunia, hanya setebal 8.8mm.

Tanpa menjejaskan kuasa, kamera atau ketahanan, peranti ini mengatasi kejayaan model terdahulu, HONOR Magic V3.

Ketebalan HONOR Magic V5 boleh diumpamakan seperti syiling 50 sen atau hanya setebal tiga kad bank, menjadikan ia amat mudah disimpan dan selesa untuk dipegang.

Berbeza dengan telefon lipat lain yang terasa besar dan janggal dalam kocek atau beg, HONOR Magic V5 terasa ringan dan cukup kompak untuk dibawa dalam beg kecil atau digenggam sepanjang hari dengan selesa.

Tiada Kompromi pada Bateri: Kuasa dan Prestasi Tahan Lama

HONOR Magic V5 menawarkan kapasiti bateri yang lebih besar dan lebih baik berbanding pesaing mereka.

Walaupun bersaiz kompak, HONOR Magic V5 hadir dengan bateri berteknologi tinggi HONOR berkapasiti 5820mAh yang tertinggi dalam industri.

Bateri canggih ini sangat nipis dan ketebalannya boleh dibandingkan dengan kenipisan kad perniagaan. Ia mampu membekalkan tenaga mencukupi untuk penggunaan seharian yang intensif.

Tambahan pula, dengan sokongan pengecasan pantas berwayar 66W HONOR SuperCharge, pengguna boleh mengecas penuh peranti hanya dalam 40 minit.

HONOR Magic V5 turut menyokong pengecasan tanpa wayar 50W untuk lebih fleksibiliti. Dikuasakan oleh cip mekanisme jimat tenaga HONOR E2, peranti ini memberikan jangka hayat bateri lebih lama.

Sama ada menonton video, bermain permainan bergerak bergrafik tinggi atau melakukan pelbagi tugasan serentak, HONOR menjamin prestasi tanpa halangan untuk kegunaan sepanjang hari.

Tiada Kompromi pada Kamera: Kamera Lebih Berkuasa dan Ciri-ciri AI Imaging Baharu

Untuk pengimejan, HONOR Magic V5 dilengkapi kamera yang jauh lebih berkuasa berbanding generasi sebelumnya, termasuk pesaing.

Peranti ini dilengkapi kamera telephoto periskop 64MP dengan keupayaan zum digital sehingga 100X, menjadikannya tele-lensa yang terbaik dalam pasaran telefon lipat.

Telefon boleh lipat ini juga didatangkan dengan peralatan AI Imaging yang baharu seperti AI Super Zoom and AI Enhanced Portrait.

HONOR Magic V5 membawakan keupayaan zum lebih hebat dengan AI Super Zoom, membolehkan zum sehingga 100x sambil mengekalkan kejelasan gambar yang mengagumkan, walaupun dari jarak jauh.

Sama ada menangkap keperincian di puncak Menara Berkembar KLCC atau mercu tanda lain yang jauh, zum yang dikuasakan AI ini menjadikan setiap gambar terhasil dengan butiran tajam dan jelas.

Bagi penggemar fotografi, ciri AI Enhanced Portrait pula membolehkan penghasilan potret dekat berkualiti studio dengan pelbagai jarak fokus, membolehkan AI pantas menganalisis dan mengoptimumkan latar belakang kabur secara automatik, sesuai untuk merakamkan gambar keluarga atau rakan-rakan secara mudah dan profesional.

Tambahan pula, HONOR Magic V5 didatangkan dengan peralatan AI Editing seperti AI Cutout, AI Eraser, AI Outpainting dan AI Upscale untuk memenuhi keperluan sentuhan akhir yang lebih profesional dan bergaya.

Tiada Kompromi pada Ketahanan: Nipis Tapi Kuat

HONOR Magic V5 membuktikan bahawa rekaan nipis juga kukuh. Peranti ini memiliki skrin dalaman terkuat dalam industri, yang dikukuhkan dengan teknologi bendalir bukan Newtonian bagi memberikan perlindungan penuh dan halangan lebih baik terhadap hentakan pada permukaan yang keras.

Inovasi ini memastikan ketahanan yang dipertingkatkan, melindungi peranti ini daripada kesan penggunaan seharian.

Malah, peranti ini juga dilengkapi sistem Pengesanan Objek Asing yang dikuasakan oleh AI yang akan memaklumkan pengguna apabila ia mengesan zarah sekecil 0.8mm, seperti pasir, masuk ke dalam skrin.

Bagi skrin luar, paparannya diperbuat daripada Perlindungan NanoCrystal Anti-Calar HONOR, menawarkan perlindungan kalis calar dan jatuhan yang lebih hebat.

Bahagian belakangnya pula menggunakan gentian karbon Aerospace Special Fiber, dengan ketahanan hentakan sehingga 40 kali lebih kuat.

Dengan adanya kedua-dua ciri ini, ini bermakna peranti boleh lipat ini dilindungi calar daripada kunci, syiling atau objek tajam dengan mudah.

Kebanyakan pengguna peranti lipat bimbang akan soal ketahanan engsel pada peranti mereka. Oleh yang demikian, HONOR Magic V5 telah membuat peningkatan yang ketara bagi memastikan engselnya boleh bertahan sungguhpun diguna setiap hari.

Engsel HONOR Super Steel Hinge yang hebat ini mampu menahan berat sehingga 35kg tanpa mudah membengkok. Ini ditunjukkan semasa demonstrasi acara prapelancaran media apabila pemberat tangan 35kg digantung pada peranti ini.

Bagi pengguna dari kalangan profesional atau pengguna tegar telefon pintar, mereka tidak perlu risau kerana HONOR Magic V5 dibina untuk mampu bertahan sehingga 500,000 kali lipatan, iaitu bersamaan 100 lipatan sehari selama 13 tahun.

Lebih hebat lagi, HONOR Magic V5 menampilkan penarafan IP58 dan IP59 yang memberikan perlindungan menyeluruh terhadap percikan air dan habuk terhadap pengunaan harian.

Ini mengelakkan isu seperti masalah‘garis hijau’ pada skrin, memastikan telefon lipat ini sentiasa dalam keadaan yang optimum.

Tonton Pelancaran Rasmi HONOR Magic V5 pada 15 Julai Ini

Malaysia bakal menyaksikan satu lagi revolusi dalam dunia peranti lipat dengan kehadiran HONOR Magic V5.

Tandakan kalendar anda dan bersedia untuk pelancaran penuh, di mana anda akan menerokai spesifikasi penuh, harga dan hadiah percuma eksklusif waktu terhad.

Penstriman langsung ini boleh ditonton melalui laman Facebook rasmi HONOR Malaysia pada 15 Julai 2025, jam 2 petang.

Persepsi terhadap TVET perlu diubah sejajar keperluan semasa – MQA

editormaxinfo@gmail.com

SEPANG – Persepsi lapuk masyarakat yang menganggap program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai pilihan kelas kedua perlu diubah agar selari dengan perkembangan semasa industri dan hala tuju pembangunan negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, program TVET kini telah berkembang jauh daripada tanggapan konvensional dan berada pada kedudukan yang setanding dengan program akademik arus perdana.

Malah, terdapat situasi di mana graduan TVET lebih menjadi pilihan majikan kerana kemahiran praktikal yang dimiliki mereka, berbanding graduan akademik semata-mata.

“Pandangan bahawa pelajar TVET sebagai golongan kelas kedua mungkin ada benarnya dua atau tiga dekad yang lalu.

“Namun, landskap pendidikan hari ini sudah berubah secara signifikan.

“Program-program TVET masa kini bukan sahaja berada pada tahap yang sama dengan program akademik, malah semakin mendapat pengiktirafan tinggi daripada pihak industri,” katanya.

Beliau berkata, majikan masa kini memberi penekanan terhadap calon yang tidak hanya menguasai teori, tetapi juga memiliki kemahiran teknikal yang tinggi dan mampu melaksanakan tugas mengikut kehendak sebenar industri.

Dalam usaha memperkukuhkan ekosistem TVET di negara ini, kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Tinggi serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, terus memberi perhatian serius terhadap pembangunan bidang berkenaan.

Inisiatif ini termasuklah penubuhan Majlis TVET Negara dan pelaksanaan Pelan Induk TVET Negara yang bertujuan memperkasa struktur serta kualiti program TVET secara menyeluruh.

Mohammad Shatar berkata, universiti teknikal di bawah Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) kini menawarkan pelbagai program TVET berkualiti tinggi, yang bukan sahaja diiktiraf setanding program akademik dalam negara, malah turut menepati piawaian antarabangsa.

Dalam pada itu, MQA kekal komited memastikan semua program pengajian sama ada bercirikan TVET atau akademik di institusi pengajian tinggi awam dan swasta memenuhi piawaian kualiti yang diiktiraf di peringkat dalam dan luar negara.

“Graduan TVET hari ini berada pada tahap setara dengan graduan akademik dari segi pengiktirafan dan kebolehpasaran kerja.

“Laluan pendidikan mereka jelas dan disokong sepenuhnya melalui Kerangka Kelayakan Malaysia (MQR).

“Mereka hanya perlu bijak dalam memilih bidang yang sesuai dengan minat dan hala tuju kerjaya masing-masing,” katanya.

Dengan perubahan landskap pendidikan dan keperluan industri yang semakin mencabar, beliau menyeru agar masyarakat membuka minda terhadap potensi besar bidang TVET, bukan sahaja sebagai laluan pendidikan alternatif, tetapi sebagai pilihan utama dalam membentuk masa depan negara yang berdaya saing dan berkemahiran tinggi.

Joao Figueiredo sah sertai JDT, perkukuh jentera serangan Harimau Selatan

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Kelab gergasi bola sepak tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDT), secara rasmi mengumumkan kehadiran pemain warisan Harimau Malaya, Joao Figueiredo, sebagai sebahagian daripada barisan utama pasukan untuk menghadapi cabaran musim ini dalam saingan domestik dan pentas Asia.

Pengumuman itu dibuat menerusi satu video yang dimuat naik di laman media sosial rasmi kelab itu, memaparkan Figueiredo memperagakan jersi bernombor 25 simbol penyertaannya bersama juara Liga Super Malaysia itu.

Menerusi kenyataan yang disertakan, JDT menyatakan keyakinan terhadap sumbangan besar yang bakal dibawa oleh pemain itu.

“Joao Figueiredo membawa semangat juang dan komitmen tinggi ke Johor Darul Ta’zim FC,” kata kenyataan rasmi kelab Harimau Selatan.

Penyertaan Figueiredo dijangka memberi suntikan besar kepada jentera serangan JDT, yang sedia terkenal dengan kekuatan skuadnya yang dihuni pemain-pemain bertaraf bintang dari dalam dan luar negara.

Dengan kehadirannya, JDT menambah dimensi baharu dalam usaha mempertahankan dominasi di peringkat domestik dan mencipta impak lebih besar di pentas Asia.

Pemain berusia 29 tahun itu sebelum ini beraksi di Turkiye bersama kelab Istanbul Basaksehir.

Berdasarkan data dari laman Transfermarkt, beliau masih mempunyai kontrak dengan kelab itu sehingga Jun 2026. Sepanjang kariernya di Turkiye sejak tahun 2023, Figueiredo membuktikan kemampuannya apabila berjaya menjaringkan 24 gol serta mencipta empat bantuan jaringan dalam 102 penampilan bersama pasukan utama.

Nama Figueiredo mula mendapat perhatian peminat tempatan selepas beliau tampil buat kali pertama bersama skuad kebangsaan Harimau Malaya dalam aksi Kelayakan Piala Asia, baru-baru ini.

Dalam perlawanan menentang Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil, beliau berjaya meledak satu gol, membantu skuad negara mencatat kemenangan bergaya 4-0.

Berasal dari latar keturunan Brazil-Malaysia, Figueiredo menyertai JDT sebagai pemain warisan ketiga dalam jendela perpindahan semasa, menyusuli dua lagi pemain warisan, Hector Hevel dan Jon Irazabal, yang turut dibawa masuk ke skuad kendalian Benjamin Mora.

Langkah strategik JDT dalam memperkuat skuad menerusi gabungan pemain tempatan, warisan dan import ini membuktikan kesungguhan mereka dalam memastikan prestasi cemerlang dapat diteruskan di semua peringkat saingan.

Kehadiran Joao Figueiredo bukan sahaja mencerminkan perancangan rapi kelab, malah meningkatkan lagi harapan penyokong terhadap musim yang lebih gemilang buat Harimau Selatan.

Elon Musk tubuh parti politik baharu, ‘Parti Amerika’ susulan perselisihan dengan Trump

editormaxinfo@gmail.com

WASHINGTON – Tokoh teknologi dan bilionair terkenal, Elon Musk menggemparkan arena politik Amerika Syarikat apabila mengumumkan penubuhan sebuah parti politik baharu yang dinamakan sebagai Parti Amerika.

Langkah dramatik itu diumumkan selepas hubungan beliau dengan Presiden Donald Trump dilaporkan retak berikutan perbezaan pendapat yang semakin ketara berhubung isu dasar fiskal negara.

Musk, yang sebelum ini dikenali sebagai penyokong kuat dan penderma individu terbesar dalam kempen pemilihan semula Trump pada 2024, berkata, keputusannya menubuhkan parti baharu adalah sebagai tindak balas terhadap kelulusan sebuah rang undang-undang yang menurutnya bakal membebankan ekonomi negara dengan hutang yang besar dan ketirisan perbelanjaan.

“Apabila negara dibebani pembaziran dan penyelewengan, kita sebenarnya hidup dalam sistem satu parti bukan demokrasi,” katanya menerusi platform media sosial miliknya, X.

“Hari ini, Parti Amerika ditubuhkan bagi mengembalikan semula kebebasan anda,” katanya lagi.

Ketegangan antara dua tokoh berpengaruh itu mula memuncak sejak beberapa bulan lalu, terutama selepas Trump menyokong rang undang-undang fiskal yang dikritik hebat oleh Musk.

Walaupun ketegangan itu sempat reda selepas Musk menarik balik beberapa kenyataan tajam terhadap Presiden, hubungan mereka kembali renggang selepas Trump menandatangani kelulusan rasmi rang undang-undang itu pada Jumaat lalu.

Setakat ini, tiada pengesahan rasmi sama ada Musk telah mengambil langkah undang-undang untuk mendaftarkan Parti Amerika secara sah dengan Suruhanjaya Pilihan Raya Persekutuan (FEC).

Semakan rekod terkini FEC juga tidak menunjukkan sebarang tanda pendaftaran rasmi parti baharu itu telah dilakukan.

Walau bagaimanapun, dalam kenyataan lanjut di media sosial, Musk berkata, Parti Amerika akan mula berfungsi sebagai kuasa politik aktif menjelang pilihan raya pertengahan penggal yang akan datang.

Pada peringkat awal, tumpuan utama parti itu adalah untuk meletakkan calon di beberapa kerusi terpilih dalam Dewan Perwakilan dan Senat.

Difahamkan, hala tuju Parti Amerika yang digagaskan oleh Musk akan lebih konservatif dari segi dasar fiskal, dengan penekanan khusus terhadap pengawalan perbelanjaan kerajaan.

Namun begitu, setakat ini tiada butiran lengkap mengenai struktur atau dasar rasmi yang bakal diangkat oleh parti baharu itu.

Walaupun Musk dan Trump berkongsi banyak pandangan serupa dalam isu-isu sosial dan budaya, jutawan teknologi itu menolak dasar fiskal Republikan yang menurutnya hanya akan menambah beban hutang negara.

Malah, beliau menyifatkan langkah itu sebagai bentuk baharu “perhambaan hutang” terhadap rakyat Amerika.

Sistem dua parti di Amerika Syarikat antara Demokrat dan Republikan telah lama dikritik kerana menyempitkan pilihan rakyat, namun percubaan untuk menubuhkan parti ketiga sering kali menemui kegagalan.

Salah satu contoh paling menonjol ialah Ross Perot yang bertanding sebagai calon Bebas pada tahun 1992 dan meraih hampir 20 peratus undi popular, tetapi tetap gagal memenangi sebarang negeri.

Penganalisis politik dan pakar kewangan kempen sebelum ini berkata, cabaran utama bagi penubuhan parti ketiga di Amerika ialah keperluan sumber kewangan yang besar serta halangan undang-undang yang kompleks faktor yang menyebabkan pengundi dan calon sering kali berasa ragu untuk terbabit.

Sementara itu, reaksi balas daripada Presiden Trump terhadap tindakan Musk tidak mengambil masa yang lama.

Trump dilaporkan memberi amaran bahawa kerajaan kini sedang menilai semula beberapa kontrak besar yang diberikan kepada syarikat-syarikat milik Musk.

Malah, beliau turut menyindir bahawa entiti kerajaan yang pernah dipimpin oleh Musk merujuk kepada Jabatan Kecekapan Kerajaan kini boleh “berpatah balik dan menelan Elon”.

Dengan perkembangan terbaharu ini, gelanggang politik Amerika Syarikat sekali lagi menjadi medan percaturan yang penuh kejutan kali ini membabitkan dua tokoh paling berpengaruh dalam bidang teknologi dan kepimpinan nasional.

Penutupan ibu pejabat PN kerana tamat tempoh sewa, urusan pentadbiran masih berjalan seperti biasa

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Penutupan ibu pejabat Perikatan Nasional (PN) di Solaris Dutamas, Kuala Lumpur baru-baru ini bukan berpunca daripada isu tunggakan sewa seperti yang didakwa sesetengah pihak, sebaliknya disebabkan tamatnya perjanjian penyewaan selama dua tahun yang berakhir pada April lalu.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam satu kenyataan berkata, keputusan untuk tidak melanjutkan sewaan premis itu telah dipersetujui secara bersama oleh kedua-dua pihak pemilik bangunan dan PN sebagai penyewa.

Menurutnya, perkara itu juga telah dimaklumkan dan menerima persetujuan daripada pimpinan tertinggi gabungan berkenaan.

“Pentadbiran dan urusan rasmi ibu pejabat masih berjalan seperti biasa.

“Ia dikendalikan oleh pegawai dan kakitangan PN di lokasi sementara, sementara menunggu premis baharu disiapkan sepenuhnya,” katanya.

Dalam kenyataan yang sama, Mohamed Azmin turut menyelar laporan-laporan media yang mendakwa kononnya ibu pejabat PN ditutup kerana gagal membayar sewa sejak Mac lalu.

Beliau menyifatkan dakwaan sedemikian sebagai tidak berasas dan tidak bertanggungjawab, selain berunsur fitnah yang boleh mengelirukan orang ramai serta menjejaskan reputasi gabungan politik berkenaan.

Premis yang terletak di kawasan elit Solaris Dutamas itu sebelum ini berperanan sebagai pusat operasi pentadbiran dan lokasi mesyuarat Majlis Tertinggi PN sejak gabungan itu ditubuhkan pada tahun 2020.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, beliau tidak mengetahui secara terperinci mengenai status penutupan premis berkenaan memandangkan urusan pengurusan dan pentadbiran pejabat adalah di bawah bidang tanggungjawab Setiausaha Agung PN.

Penjelasan rasmi yang diberikan ini sekali gus menepis spekulasi liar yang tersebar, serta mengesahkan bahawa Perikatan Nasional masih beroperasi seperti biasa tanpa sebarang gangguan terhadap struktur pentadbiran atau urusan harian parti.

Selepas 18 tahun, ‘Impak Maksima 2’ bakal gegar pawagam, tampil aksi, drift dan dendam lama kembali membara

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Selepas hampir dua dekad menyepi, naskhah aksi jalanan yang pernah menjadi kegilaan anak muda, Impak Maksima, kini kembali semula ke layar perak dengan kesinambungan yang lebih dramatik dan penuh ledakan emosi.

Impak Maksima 2, arahan Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri, akan mula ditayangkan pada 17 Julai 2025 dengan janji sebuah pengalaman sinematik yang bukan sahaja mempamerkan kehebatan dunia drift, malah menyentuh isu nilai, konflik dan impian dalam dunia permotoran yang kian tenggelam.

Filem yang diterbitkan oleh Screen Studio Sdn Bhd ini mengetengahkan cabaran sebenar dalam membangkitkan semula budaya sukan permotoran di Malaysia.

Dengan hampir 1,000 buah kereta pelbagai jenis terbabit dalam penggambaran, ia menjadikan Impak Maksima 2 sebagai antara produksi aksi automotif paling berskala besar dalam sejarah filem tempatan.

Dr Ahmad Idham berkata, filem ini masih mengekalkan DNA asal yang telah menjadikan Impak Maksima sebuah fenomena pada tahun 2007, namun dengan pendekatan naratif yang lebih segar dan sinematik.

“Kita mahu kembalikan semula semangat zaman kegemilangan motorsport tempatan. Dalam masa yang sama, kita perkenalkan pelapis baharu industri untuk memberi keseimbangan kepada cerita antara legasi dan masa depan,” katanya.

Dr Ahmad Idham berkata, pihaknya turut mempunyai perancangan yang lebih besar melalui pembinaan ‘universe’ Impak Maksima, dengan kemungkinan filem ketiga bakal berlatarkan kejohanan drift di Thailand.

Menurutnya, perkembangan semasa dalam industri automotif tempatan yang menunjukkan lonjakan minat terhadap acara seperti autoshow dan perlumbaan memberikan isyarat bahawa sudah tiba masanya sebuah filem tempatan memanfaatkan momentum itu.

Sementara itu, barisan pelakon Impak Maksima 2 menampilkan gabungan mantap antara wajah lama dan baharu.

Antara yang kembali menjayakan watak ikonik ialah Dato’ Sri Eizlan Yusof, Zul Huzaimy dan Dynas Mokhtar, manakala pelakon muda seperti Arfie Shah, Nelissa Nizam, Riena Amirah, Muhsin Nadzli, Fad Bocey dan Man Raja Lawak menyuntik nafas baharu dan dinamik ke dalam penceritaan.

Penggambaran filem ini telah dijalankan di beberapa lokasi utama di Semenanjung Malaysia termasuk di Lembah Klang, Melaka, Iskandar Puteri dan Johor Bahru, sekaligus menawarkan latar visual yang menarik dan mencerminkan sisi urban dan kontemporari dunia perlumbaan jalanan tempatan.

Filem ini turut menerima sokongan padu daripada pelbagai penaja korporat dan komuniti automotif termasuk Goodyear, Petronas Syntium, Ultra Racing, Works Engineering, WrapXpert dan HJC Helmet.

Bantuan daripada agensi kerajaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta majlis bandaraya tempatan juga memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran penggambaran.

Sepanjang proses produksi, Impak Maksima 2 telah mencuri perhatian ramai di platform media sosial apabila video-video di sebalik tabir dan gambar penggambaran menjadi tular.

Reaksi awal peminat menunjukkan minat yang tinggi terhadap sekuel ini, malah ramai yang menganggap ia sebagai filem aksi Malaysia yang paling dinanti-nantikan tahun ini.

Konflik, Impian dan Perlumbaan Nyata di Jalan Cerita

Impak Maksima 2 mengangkat kisah Rudy (Arfie Shah), seorang pemuda yang sering terjebak dalam perlumbaan haram dan pemberontakan terhadap ibu yang menolak minatnya dalam bidang automotif.

Selepas diperkenalkan kepada Abang Joe (Dato’ Sri Eizlan Yusof) oleh ASP Maria (Dynas Mokhtar), Rudy memulakan perjalanan pembentukan disiplin dan identiti dirinya di pusat permotoran APD Crew Circuit.

Rudy yang mulanya hanya bertugas sebagai pembantu am, mula menunjukkan potensi sebenar apabila dia mengenali dunia drift profesional di bawah bimbingan Johan dan bergaul rapat dengan Naim serta Puteri.

Namun hubungan rapatnya dengan Gia (Nelissa Nizam), kekasih kepada pelumba elit Rio (Muhsin Nadzli), mencetuskan ketegangan yang akhirnya membawa kepada satu cabaran perlumbaan.

Konflik menjadi lebih tegang apabila Ray (Zul Huzaimy), musuh lama Abang Joe, kembali dengan niat tersembunyi dan memerangkap Rudy ke dalam perjanjian berat sebelah.

Pertaruhan perlumbaan yang membabitkan maruah, hutang dan kelangsungan APD Crew Circuit menjadi medan penentuan yang bukan sahaja mencabar kemahiran, malah kesetiaan dan semangat sebenar dalam dunia permotoran.

Apakah Rudy berjaya membuktikan kemampuannya? Adakah Abang Joe mampu mempertahankan legasinya? Semuanya bakal terjawab dalam Impak Maksima 2 yang akan menemui penonton bermula 17 Julai ini.