28.6 C
Kuala Lumpur
Wednesday, May 27, 2026
Home Blog Page 76

“This Is Noryn Aziz” sebuah malam eksklusif meraikan perjalanan muzik ikonik

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Penyanyi yang sinonim dengan genre jazz dan R&B di Malaysia, Noryn Aziz, bakal menghidupkan pentas Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu persembahan istimewa bertajuk “This Is Noryn Aziz”.

Dijadual berlangsung pada malam Jumaat, acara eksklusif ini menjanjikan satu pengalaman muzik yang bukan sahaja merdu di telinga, malah menyentuh jiwa membawa penonton menyelami sisi peribadi dan perjalanan seni seorang artis yang telah menempuh pelbagai fasa kehidupan serta evolusi muzik sepanjang kerjayanya.

Tidak hanya sekadar sebuah konsert, persembahan ini dilihat sebagai satu bentuk penghormatan terhadap kesenian dan identiti Noryn Aziz sebagai seorang penyanyi, wanita dan anak seni tanah air.

Hanya 500 penonton bertuah akan dapat menyaksikan persembahan eksklusif ini secara langsung menjadikan acara ini sebagai satu peristiwa istimewa buat peminat tegar muzik tanah air.

Noryn sendiri menyifatkan konsert ini sebagai cerminan dirinya.

“‘This Is Noryn Aziz’ bukan sekadar persembahan muzik. Ia adalah kisah perjalanan hidup saya yang diterjemahkan melalui muzik, satu kisah yang merangkumi emosi, budaya dan cinta mendalam terhadap seni,” katanya.

Persembahan ini bakal dibawakan dalam dua babak utama, dengan pendekatan sinematik yang memikat.

Babak pertama menyorot sisi jazz dan soul genre yang membentuk asas muzik Noryn sejak awal kerjayanya.

Penonton bakal dihidangkan dengan karya-karya terbaharu seperti “Kaki Kiriku”, sebuah lagu yang menggabungkan nuansa Parisian dan Melayu secara kreatif, serta “Syurga Sempurna” dan “Hoore Hoore”, yang diberi nafas baharu menerusi sentuhan jazz moden.

Babak kedua pula menyajikan suasana perayaan yang lebih kontemporari dengan elemen R&B yang lebih bertenaga dan emosional.

Di sinilah penonton akan dibawa merentasi zaman menerusi lagu-lagu nostalgia seperti “Fantasi O Realiti” dan “Alam Maya”, dalam sebuah persembahan penuh ekspresi dan penghargaan terhadap seni yang membentuk identiti Noryn Aziz.

Bagi penyanyi ini, This Is Noryn Aziz juga adalah sebuah manifestasi terhadap hasratnya untuk membawa genre jazz lebih dekat dengan masyarakat dan tidak lagi dilihat sebagai sesuatu yang asing atau eksklusif.

Saya mahu jazz itu berbunyi seperti kita: dengan bahasa kita, ritma kita, dan jiwa kita,” katanya.

Noryn turut menzahirkan komitmennya terhadap pembinaan landskap muzik Malaysia yang lebih inklusif dan berakar kepada budaya tempatan.

Selain menonjolkan kepelbagaian vokalnya, Noryn turut melihat persembahan ini sebagai ruang untuk membuka laluan kepada bakat baharu khususnya pemuzik jazz dan artis wanita tempatan agar terus berani mengekspresikan diri dalam genre yang dianggap “niche”.

“Malaysia mempunyai suara jazz yang sophisticated tapi bersahaja, antarabangsa tapi tetap berakar budaya. Elegan, moden dan tetap Malaysia,” katanya lagi.

Persembahan yang bakal berlangsung pada 19 September 2025, jam 8 malam ini hanya menawarkan 500 tempat duduk, menjadikannya sebuah malam yang eksklusif dan intim.

 Tiket boleh didapati melalui platform rasmi TicketHotline dan peminat dinasihatkan untuk mendapatkan tiket lebih awal bagi mengelakkan kekecewaan.

Dr Nooh Gadot, Dr Tawfig Fawzan dinobat Tokoh Maal Hijrah 1447H Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Bekas Mufti Johor yang juga Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI), Datuk Dr Nooh Gadot hari ini diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan sempena Sambutan Maal Hijrah 1447 Hijrah bersamaan 2025 Masihi.

Pengiktirafan berprestij itu disampaikan dalam satu majlis penuh istiadat yang berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), dengan penyampaian anugerah disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Turut menerima penghormatan dalam majlis itu ialah Menteri Haji dan Umrah Kerajaan Arab Saudi, Dr Tawfig Fawzan Muhammed Al-Rabiah, yang diumumkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Antarabangsa.

Kehadiran Yang di-Pertuan Agong menyerikan lagi majlis sambutan yang turut dihadiri oleh Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim; Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Pengiktirafan ini bukan sahaja mencerminkan sumbangan besar kedua-dua tokoh dalam memperkukuh kefahaman dan pengamalan Islam, malah memberi inspirasi kepada seluruh umat Islam untuk terus menjunjung nilai-nilai keilmuan, kepimpinan dan integriti dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara.

Datuk Dr Nooh Gadot dikenali sebagai seorang tokoh ilmuwan yang dihormati dalam bidang keagamaan dan perundangan Islam.

Sepanjang karier beliau, beliau memainkan peranan penting dalam penggubalan dasar-dasar agama serta pembentukan pandangan hukum syarak yang membimbing umat Islam di Malaysia.

Beliau juga aktif menyampaikan ilmu menerusi pelbagai medium dan sentiasa menjadi rujukan dalam isu-isu syariah di peringkat kebangsaan.

Sementara itu, Dr Tawfig Fawzan Muhammed Al-Rabiah diberi penghargaan atas jasanya yang luar biasa dalam memodenkan dan menambah baik sistem pengurusan haji dan umrah yang memberi kesan positif kepada jemaah dari seluruh dunia termasuk Malaysia.

Pendekatan beliau yang inovatif dan berpaksikan nilai perkhidmatan berteraskan Islam telah memperkukuhkan hubungan erat antara kerajaan Arab Saudi dan negara-negara umat Islam di seluruh dunia.

Sambutan Maal Hijrah kali ini membawa tema memperkukuh perpaduan dan pemerkasaan ummah dan anugerah ini dilihat sebagai simbol penghargaan negara kepada individu yang telah memberikan sumbangan besar kepada perkembangan syiar Islam, sama ada di peringkat nasional mahupun antarabangsa.

Kursus kahwin jadi ruang pendedahan, Dunia Pengantin Expo tampil bantu pasangan elak ‘diperangkap’

editormaxinfo@gmail.com

SHAH ALAM – Bermula sebagai penganjur Kursus Pra-Perkahwinan berskala kecil lebih dua dekad lalu, Kursus Kahwin Kak Ana kini melangkah lebih jauh dalam mencorakkan industri perkahwinan tempatan melalui pelancaran Dunia Pengantin Expo, sebuah platform inovatif yang menyatukan bakal pengantin dengan vendor perkahwinan yang berkualiti, berintegriti dan dipercayai.

Ditubuhkan pada tahun 2003, organisasi ini pada mulanya memfokuskan kepada penyampaian kursus pra-perkahwinan secara intim dan eksklusif.

Namun, dengan kehadiran lebih 205 peserta setiap minggu termasuk selebriti, ahli politik dan kerabat diraja, pengasasnya mula menyedari wujud satu pola yang berulang apabila pasangan yang telah menghadiri kursus kembali semula untuk mendapatkan nasihat dan cadangan vendor perkahwinan yang boleh dipercayai.

“Pada ketika itu, kami sedar bahawa kursus kahwin hanyalah permulaan. Perjalanan sebenar pasangan ini baru sahaja bermula,” kata Pengasas Kursus Kahwin Kak Ana, Ruhana Mohamed.

Ruhana Mohamed yang mesra disapa Kak Ana berkata, dia adalah antara individu terawal yang memperkenalkan pendekatan pendidikan perkahwinan secara mesra dan membumi kepada masyarakat.

Keperluan itu akhirnya menjadi titik tolak kepada penubuhan Dunia Pengantin Expo sebuah inisiatif yang bukan sekadar menganjurkan pameran, tetapi berperanan sebagai jambatan antara pasangan dan penyedia perkhidmatan perkahwinan yang komited terhadap nilai profesionalisme serta etika.

Tidak seperti ekspo perkahwinan konvensional, Dunia Pengantin Expo dirangka oleh mereka yang telah sekian lama berada dalam industri pendidikan pra-perkahwinan dan benar-benar memahami keperluan kedua-dua pihak pasangan yang sedang merancang masa depan dan vendor yang memerlukan ruang untuk membuktikan keupayaan mereka.

“Kami percaya vendor yang bagus memang ada mereka hanya perlukan platform yang betul. Pasangan yang jujur pun ada mereka cuma perlukan bimbingan dan keyakinan,” katanya yang turut menekankan pameran ini dibina atas dasar kepercayaan dan ketelusan.

Dengan pendekatan unik bertemakan “Vendor untuk Vendor”, Dunia Pengantin Expo bukan sahaja membuka ruang pameran, tetapi turut berperanan sebagai platform pembinaan komuniti dan pemerkasaan perniagaan dalam sektor perkahwinan.

Ia menyasarkan untuk membentuk ekosistem industri yang lebih telus, tersusun dan mampan.

Sementara itu, Unit Komunikasi Korporat Kursus Kahwin Kak Ana, Izah NurSabrina Aznishah berkata, sambutan positif yang diterima sejak awal penglibatan mereka dalam industri menunjukkan bahawa ramai pasangan kini semakin bijak dan selektif dalam memilih vendor untuk hari bahagia mereka.

Oleh itu, Dunia Pengantin Expo hadir sebagai satu bentuk sokongan bukan sahaja dari segi pemilihan penyedia perkhidmatan, tetapi juga dalam aspek keyakinan dan ketenangan emosi pasangan.

Orang ramai yang sedang merancang perkahwinan dan ingin mendapatkan panduan serta perkhidmatan berkualiti dalam suasana yang mesra, profesional dan telus, diseru untuk mengambil peluang menyertai Dunia Pengantin Expo yang akan datang.

AGC fail rayuan terhadap keputusan pembebasan Syed Saddiq

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) telah mengambil langkah perundangan dengan memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman daripada empat pertuduhan berkaitan penyelewengan dana tujuh tahun lalu.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan AGC, pemfailan rayuan itu dilakukan pada Khamis dan ia sebahagian daripada proses kehakiman yang membenarkan semakan terhadap keputusan yang dibuat oleh mahkamah yang lebih rendah.

AGC menjelaskan, tindakan itu tidak membawa sebarang prejudis terhadap mana-mana pihak, sebaliknya selaras dengan prinsip keadilan dan keperluan untuk memastikan keputusan yang dibuat dapat disemak secara menyeluruh di peringkat tertinggi.

“Jabatan ini telah memfailkan notis rayuan pada hari ini bagi merayu terhadap keputusan pelepasan dan pembebasan terbabit,” kata kenyataan itu.

Tambah AGC lagi, rayuan terbabit bertujuan memberi ruang kepada Mahkamah Persekutuan untuk meneliti semula isu-isu perundangan yang timbul daripada keputusan Mahkamah Rayuan.

“Pemfailan rayuan ini bertujuan memastikan isu-isu perundangan yang timbul daripada keputusan Mahkamah Rayuan dapat diteliti dan diputuskan secara muktamad oleh Mahkamah Persekutuan, selaras dengan prinsip keadilan dan tadbir urus undang-undang yang telus,” menurut kenyataan itu lagi.

Keputusan Mahkamah Rayuan yang menjadi subjek rayuan terbabit dibuat pada Rabu lalu apabila panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim bersama-sama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin sebulat suara membenarkan rayuan Syed Saddiq dan mengetepikan sabitan serta hukuman yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini.

Syed Saddiq, 33, sebelum ini disabitkan atas empat pertuduhan berkaitan penyelewengan dana milik Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) ketika beliau masih memegang jawatan sebagai Ketua Armada.

Pertuduhan itu membabitkan satu kes subahat pecah amanah membabitkan dana sebanyak RM1 juta, satu pertuduhan salah guna harta berjumlah RM120,000 dan dua pertuduhan pengubahan wang haram masing-masing bernilai RM50,000.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini menjatuhkan hukuman penjara selama tujuh tahun, dua sebatan dan denda berjumlah RM10 juta terhadap beliau.

Namun, keputusan itu kini telah diketepikan oleh Mahkamah Rayuan, sekaligus membebaskan beliau daripada semua pertuduhan berkenaan.

Dengan notis rayuan yang telah difailkan, kes ini dijangka akan dibawa ke Mahkamah Persekutuan untuk pertimbangan akhir, di mana keputusan muktamad akan dibuat berhubung sabitan dan hukuman yang pernah dikenakan terhadap bekas Menteri Belia dan Sukan itu.

Filem adaptasi Korea “Tak Ingin Usai Di Sini” temui penonton Malaysia 3 Julai 2025

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Sebuah karya sinematik penuh emosi yang telah mengundang reaksi tular dan air mata dalam kalangan penonton di Indonesia bakal menemui penonton Malaysia tidak lama lagi.

Filem romantik “Tak Ingin Usai Di Sini”, adaptasi daripada filem Korea Selatan yang terkenal, More Than Blue (2009), akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 3 Julai 2025.

Filem ini diterbitkan oleh Paragon Pictures dengan kerjasama Ideosource Entertainment dan Horizon Film Entertainment selaku pengedar rasmi di Malaysia.

Ia ditulis dan diarahkan oleh Robert Ronny, pengarah yang sebelum ini dikenali menerusi karya The Most Beautiful Girl In The World.

Menampilkan barisan pelakon ternama Indonesia, filem ini dibintangi oleh Bryan Domani (172 Days), Vanesha Prescilla (Milea: Suara dari Dilan), Davina Karamoy (Ipar Adalah Maut) serta beberapa nama besar lain dalam industri seni lakon tanah seberang.

Gabungan kekuatan lakonan, naratif menyentuh hati dan pengarahan yang teliti menjadikan filem ini antara karya yang paling dinanti-nantikan di rantau ini.

Sejak tayangan perdananya di Indonesia pada 5 Jun lalu, filem ini telah mencatat lebih 200,000 penonton dalam tempoh hanya tiga hari, membuktikan kekuatannya sebagai karya yang mampu menyentuh hati khalayak secara mendalam.

Sambutan luar biasa itu turut mendorong tayangannya diperluaskan ke Singapura dan Brunei.

Lebih menarik, Tak Ingin Usai Di Sini menjadi tular di media sosial, khususnya di platform TikTok, apabila ribuan pengguna berkongsi reaksi mereka yang penuh emosi, termasuk ulasan positif serta detik-detik mengalirkan air mata selepas menonton filem ini.

Filem ini mengisahkan perjalanan cinta dua sahabat sejak zaman persekolahan, K (lakonan Bryan Domani) dan Cream (dilakonkan oleh Vanesha Prescilla).

Hubungan mereka yang akrab bertukar menjadi satu dilema emosi apabila K, yang dalam diam menyimpan rasa cinta terhadap Cream, memilih untuk menjauhkan diri dan berusaha mencari pasangan yang sesuai untuk Cream.

Niatnya bukan untuk melepaskan, tetapi demi memastikan sahabatnya itu tidak kesunyian apabila dia tiada lagi dalam hidupnya.

Konflik batin dan pengorbanan cinta menjadi nadi utama naratif filem ini.

Ia mengangkat persoalan bagaimana jika cinta sebenar tidak pernah sempat diungkap dan hati masih belum bersedia untuk mengucapkan selamat tinggal?.

Dalam keheningan perasaan yang tidak pernah terluah, K dan Cream berharap cinta mereka tak ingin usai di sini.

Dengan jalan cerita yang menyentuh jiwa serta mesej yang meresap ke dasar emosi, filem ini dijangka turut meraih sambutan hangat daripada penonton Malaysia.

Tayangan rasmi akan bermula pada 3 Julai 2025 di pawagam seluruh negara.

Shopee himpun 2,000 Affiliate dalam acara terbesar sempena kempen 7.7

editormaxinfo@gmail.com

PETALING JAYA – Menjelang kempen Shopee 7.7 Jualan Tengah Tahun, platform e-dagang terkemuka Shopee telah menganjurkan acara pencipta kandungan affiliate terbesar setakat ini, menghimpunkan lebih 2,000 affiliate dan lebih 80 jenama dalam satu perhimpunan berskala besar menerusi edisi terbaharu Shopee House.

Acara ini bukan sahaja menjadi landasan strategik untuk persiapan kempen jualan mega, tetapi juga memperkukuh jaringan kolaborasi antara affiliate, jenama dan ekosistem Shopee secara menyeluruh.

Bertempat di sebuah lokasi strategik pada Sabtu lalu, edisi kali ini memperlihatkan lonjakan signifikan dari segi penyertaan berbanding edisi sebelum ini pada Februari, mencerminkan komitmen kukuh Shopee dalam memperkasa komuniti pencipta kandungan tempatan.

Shopee House berfungsi sebagai platform fizikal utama yang membolehkan affiliate dan jenama berinteraksi secara langsung, berkongsi ilmu dan mencipta kandungan secara spontan sekaligus memperkayakan pengalaman pengguna menjelang musim jualan pertengahan tahun.

Acara berkenaan disokong oleh penaja utama termasuk jenama antarabangsa terkenal seperti Kiehl’s, La Roche-Posay, Kérastase dan Maybelline, serta jenama tempatan yang semakin mendapat tempat di hati pengguna seperti Naelofar, The Pastels Shop, ALARD, Bateri Hub Official dan ZUS Coffee.

Sepanjang acara, affiliate diberi peluang untuk berinteraksi dengan jenama melalui demonstrasi langsung, pameran produk dan sesi penciptaan kandungan serta-merta, termasuk tutorial kecantikan, sesi nyahkotak dan sesi soal jawab interaktif.

Sebagai tambahan kepada aktiviti kreatif, Shopee turut menampilkan siri sesi panel dan masterclass berimpak tinggi yang memperkasa pencipta dengan pengetahuan dan strategi terkini dalam bidang kandungan digital.

Dalam panel bertajuk “Content with Purpose”, pencipta kandungan popular seperti Brozaki, JoyahSiKepoh dan FHStore berkongsi pengalaman bagaimana keaslian, kejujuran dan konsistensi dalam kandungan mereka telah membina kepercayaan pengguna dan mendorong pembelian.

“Bukan soal menjadi viral, tetapi tentang menyampaikan kandungan yang tulus dan berintegriti,” kata Brozaki.

Baginya, pengaruh sebenar terletak pada kepercayaan yang terbina hasil daripada pengalaman produk yang dikongsi secara jujur di Shopee Live dan Shopee Video.

Sementara itu, JoyahSiKepoh berkata, kandungan yang berkesan tidak semestinya sempurna, asalkan mesejnya jujur dan memberi nilai kepada penonton.

Beliau turut memuji kemudahan yang ditawarkan oleh Shopee seperti pautan penjejakan, baucar serta label ‘Shopee Lagi Murah’ yang membantu pengguna membuat keputusan bijak sambil menjana pendapatan kepada affiliate.

FHStore pula menekankan peranan konsistensi dalam membina momentum.

Dengan ciri-ciri intuitif Shopee yang memudahkan proses memuat naik dan penandaan produk, beliau dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada penyampaian mesej dengan berkesan.

Dalam sesi Masterclass Shopee Live, penstrim langsung cemerlang, Mekallynashop, berkongsi panduan melaksanakan kempen secara berkesan dengan menggunakan fungsi interaktif seperti komen dipin, baucar masa nyata dan penandaan produk.

Katanya, kejayaan bukan bergantung pada saiz pasukan, tetapi pada penggunaan strategi yang tepat serta ciri-ciri platform yang dimanfaatkan sepenuhnya.

Sesi Masterclass YouTube pula menampilkan pencipta kandungan teknologi, TheKampungNerd, yang berkongsi pendekatan lestari menghasilkan kandungan jangka panjang menerusi video tutorial, sesi soal jawab dan ulasan pembeli.

Menurutnya, kekuatan sebenar kandungan bukan pada produksi yang hebat, tetapi pada pemahaman terhadap kehendak penonton dan kejelasan dalam penyampaian maklumat.

Ketua Pemasaran Shopee Malaysia, Tan Ming Kit berkata, penganjuran Shopee House ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan syarikat dalam menyokong ekosistem kandungan digital yang berimpak.

“Kami terus berusaha memperkasa pencipta kandungan melalui inisiatif seperti Content Creator Club, Livestream Ads Incentives, serta kerjasama strategik dengan YouTube yang membolehkan video dan Shorts diubah menjadi kandungan boleh beli secara langsung,” katanya.

Kini, Program Affiliate Shopee telah merangkumi lebih 500,000 pencipta kandungan dari pelbagai latar belakang di seluruh negara termasuk suri rumah, pelajar, pakar kandungan niche dan penstrim sepenuh masa.

Mereka memainkan peranan penting dalam membantu pengguna membuat pilihan pembelian bijak melalui ulasan, demonstrasi dan cadangan berperibadi.

Shopee House adalah sebahagian daripada strategi jangka panjang Shopee untuk membangunkan ekonomi digital yang inklusif dan berasaskan komuniti pencipta kandungan.

Dengan menggabungkan manusia, teknologi dan wawasan, platform ini berjaya menukar kandungan kepada jualan dan membina hubungan yang menghasilkan nilai nyata.

Menjelang Shopee 7.7 Jualan Tengah Tahun yang bermula 25 Jun 2025, rakyat Malaysia boleh menantikan tawaran eksklusif, demo masa nyata dan ulasan dipercayai oleh affiliate menerusi Shopee Live dan Shopee Video.

Sama ada anda mencari produk tempatan terbaik, nilai berbaloi atau cadangan jujur, komuniti affiliate Shopee bersedia membantu anda berbelanja Lagi Murah dan Lagi Cepat.

OK Group lantik Fattah Amin sebagai duta minuman tenaga, kukuhkan penjenamaan tempatan ke peringkat global

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Jenama tempatan yang telah kukuh dalam industri herba dan produk kesihatan sejak 1975, Orang Kampung Group (OK Group), kini melangkah setapak lagi apabila mengumumkan pelantikan selebriti terkenal tanah air, Fattah Amin, sebagai Duta Produk Minuman Tenaga Orang Kampung.

Pelantikan ini disifatkan sebagai langkah strategik dalam meremajakan jenama yang sinonim dengan produk berasaskan herba tempatan, sekali gus memperluas jangkauan pasaran kepada golongan pengguna moden yang semakin mengutamakan gaya hidup aktif, kecergasan dan pemakanan sihat.

Pengarah Urusan OK Group, Datuk Habibul Ajmi Datuk Manggar berkata, pemilihan Fattah bukan sahaja berdasarkan popularitinya, tetapi kerana imej bersih, berdisiplin dan aktif yang selari dengan nilai jenama Orang Kampung.

“Fattah mencerminkan ciri-ciri positif yang kami perjuangkan. Kami percaya pelantikannya bukan sahaja mampu mengukuhkan kedudukan jenama dalam pasaran domestik, malah dapat menarik minat pengguna wanita yang secara tradisi dikenali sebagai kuasa pembeli utama,” katanya.

Pelantikan ini juga dilancarkan seiring dengan pengenalan produk edisi terhad terbaharu, KF Limited Edition, yang tampil dengan pembungkusan eksklusif dan hanya boleh didapati di lokasi terpilih seperti stesen minyak PETRONAS Mesra, rangkaian pasar raya Mydin serta platform e-dagang utama.

Sementara itu, Fattah Amin berkata, kolaborasi ini membawa makna peribadi yang mendalam.

Dia menyatakan rasa bangga dan teruja apabila diberi peluang untuk menjadi sebahagian daripada keluarga besar jenama yang telah menjadi pilihan keluarganya sejak kecil.

“Produk Orang Kampung memang dekat dengan saya. Ibu bapa saya pengguna setia sejak dulu.

“Sebagai pelakon, saya perlukan tenaga sepanjang hari dan saya yakin dengan kandungan semula jadi dalam produk ini,” kata Fattah yang kini turut aktif sebagai usahawan dan ikon gaya hidup sihat.

OK Group yang berpengkalan di Melaka memulakan operasinya sebagai pengeluar produk tradisional berasaskan herba seperti Tongkat Ali dan Kacip Fatimah.

Seiring peredaran masa, syarikat ini menjalani proses transformasi menyeluruh dan kini dikenali melalui rangkaian produk minuman tenaga berasaskan formulasi herba warisan, yang dikembangkan dengan sentuhan pembungkusan moden dan kontemporari.

Minuman tenaga Orang Kampung diformulasikan mengikut piawaian pengilangan MESTI, disahkan HALAL oleh JAKIM dan mematuhi standard ketat yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Setakat ini, tiga varian utama ditawarkan, masing-masing memenuhi keperluan pengguna yang berbeza.

Varian KF, khusus untuk wanita, mengandungi Kacip Fatimah dan diformulasikan untuk mengekalkan tenaga serta kesegaran tubuh secara semula jadi.

Varian Longjack pula dirumus untuk lelaki dan wanita, menggabungkan Tongkat Ali dan Guarana bagi membantu meningkatkan stamina serta fokus.

Manakala Longjack X, varian paling terkini, dicipta untuk individu dengan gaya hidup aktif dan memerlukan prestasi tenaga yang lebih intensif.

Kejayaan domestik yang konsisten turut membuka peluang kepada jenama ini untuk menembusi pasaran antarabangsa.

Ketika ini, minuman tenaga Orang Kampung telah mula dipasarkan di Singapura dan Brunei dua negara yang menunjukkan permintaan memberangsangkan terhadap produk berasaskan herba semula jadi.

Melihat kepada potensi besar pasaran global, OK Group kini giat merancang kemasukan ke pasaran Eropah, dengan tumpuan awal kepada komuniti Asia Tenggara di rantau terbabit.

Perbincangan bersama rakan dagang luar negara sedang giat dijalankan termasuk penyediaan rangkaian pengedaran eksklusif.

Dengan pelantikan Fattah Amin sebagai wajah baharu jenama dan pelan pengembangan global yang tersusun, OK Group terus membuktikan bahawa produk tempatan juga mampu bersaing di pentas antarabangsa mengangkat warisan herba Malaysia ke persada dunia.

Persatuan Kewartawanan Multimedia Malaysia kecam laporan polis terhadap wartawan Malaysiakini

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Persatuan Kewartawanan Multimedia Malaysia (PKMM) mengecam keras tindakan seorang individu yang didakwa mewakili seorang hakim kanan kerana membuat laporan polis terhadap seorang wartawan portal berita Malaysiakini.

Tindakan itu dikatakan berpunca daripada usaha wartawan berkenaan untuk mendapatkan ulasan daripada hakim terbabit berhubung dakwaan tertentu dalam sebuah mesyuarat tertutup.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden PKMM, Nik Suryani Megat Deraman, laporan polis itu difahamkan telah dibuat pada 12 Jun lalu selepas wartawan terbabit menghubungi hakim berkenaan sebagai sebahagian daripada proses kewartawanan bagi mendapatkan pengesahan fakta.

Katanya, tindakan wartawan itu adalah sebahagian daripada amalan biasa dalam profesion kewartawanan yang beretika dan sah di sisi undang-undang.

“Kami ingin menegaskan bahawa usaha wartawan untuk mendapatkan pengesahan atau komen daripada pihak yang terbabit adalah sejajar dengan prinsip kewartawanan beretika.

“Ini bukan sahaja amalan profesional, malah satu tanggungjawab asas demi memastikan laporan yang disiarkan bersandarkan kepada fakta, sahih dan adil,” kata Nik Suryani dalam satu kenyataan.

PKMM turut menekankan tindakan menghubungi mana-mana sumber, termasuk pihak berkepentingan seperti hakim atau pegawai kerajaan, adalah selaras dengan piawaian profesional dan kod etika kewartawanan yang diterima pakai di peringkat nasional dan antarabangsa.

Oleh itu, sebarang usaha wartawan untuk mengemukakan soalan atau mendapatkan komen tidak wajar dianggap sebagai satu kesalahan jenayah.

Persatuan itu turut menyeru semua pihak, termasuk institusi kehakiman dan agensi penguatkuasaan, supaya memahami dan menghormati peranan penting media dalam memastikan ketelusan dan akauntabiliti dalam masyarakat.

Mereka mengingatkan bahawa hak wartawan untuk bertanya soalan mesti dipertahankan dan dilindungi selaras dengan prinsip kebebasan media yang menjadi tunjang kepada sistem demokrasi yang sihat.

“Kami memperjuangkan kebebasan, akauntabiliti dan profesionalisme media dan kami berdiri teguh bersama Malaysiakini serta seluruh warga wartawan yang menjalankan tugas mereka dengan penuh etika, tanggungjawab dan keberanian,” kata Nik Suryani.

Insiden ini mencetuskan kebimbangan dalam kalangan komuniti kewartawanan terhadap trend yang semakin membimbangkan, di mana usaha wartawan untuk menjalankan tugas mereka dijadikan sasaran laporan atau tindakan undang-undang yang tidak wajar.

PKMM berharap agar insiden seumpama ini tidak berulang dan pihak berkuasa diminta bertindak secara adil serta seimbang dalam menilai sebarang aduan terhadap wartawan.

Dalam iklim demokrasi yang matang, kebebasan media bukan sahaja perlu dihormati tetapi juga dilindungi demi menjamin hak masyarakat untuk mendapat maklumat yang tepat dan bertanggungjawab.

Kempen ‘Harga Hangat’ kembali dengan penjimatan hebat di Lotus’s Malaysia

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Lotus’s Malaysia sekali lagi mengukuhkan komitmennya dalam membantu meringankan beban rakyat apabila kempen jualan istimewa ‘Harga Hangat’ kembali dengan tawaran luar biasa yang berlangsung di seluruh negara.

Kempen yang begitu dinanti-nantikan ini dilancarkan bermula 19 Jun hingga 30 Julai 2025, membawakan pelbagai penjimatan bagi barangan keperluan harian di kesemua 70 cawangan Lotus’s di seluruh Malaysia.

Lotuss Stores (Malaysia) Sdn Bhd dalam satu kenyataan berkata, kempen ‘Harga Hangat’ kali ini diadakan atas permintaan ramai, khusus bagi menangani impak kos sara hidup yang terus meningkat.

Sepanjang tempoh enam minggu berkenaan, lebih 360 barangan terpilih akan ditawarkan pada harga istimewa, dengan potongan harga sehingga 30 peratus meliputi barangan dapur, makanan sejuk beku, produk keperluan rumah dan juga barangan bukan makanan.

“Lotus’s Malaysia telah melaburkan lebih RM4 juta bagi menjayakan kempen ini.

“Kami komited untuk menawarkan harga benar-benar rendah dan nilai terbaik kepada pelanggan kami setiap hari,” kata pengurusan dalam kenyataan itu.

Antara yang menjadi tumpuan dalam kempen tahun ini adalah penawaran sehingga 90 jenis unit penyimpanan stok (SKU) jenama Lotus’s Malaysia sendiri, merangkumi pelbagai barangan penting dan berkualiti pada harga berpatutan.

Antara produk yang termasuk dalam promosi ini ialah barangan penjagaan bayi Cute+Care, minuman 3 dalam 1, makanan sejuk beku seperti burger, piza dan produk bakeri, serta makanan dalam tin, susu UHT, pasta, snek dan biskut kesemuanya eksklusif hanya di Lotus’s Malaysia.

Pelanggan hanya perlu mencari tag merah khas bertanda ‘Harga Hangat’ yang mudah dikenali di rak-rak stor fizikal ataupun dalam platform dalam talian Lotus’s Shop Online bagi mendapatkan tawaran istimewa ini.

Menariknya, usaha Lotus’s Malaysia untuk menawarkan penjimatan kepada pelanggan tidak terhad kepada tempoh kempen ini sahaja.

Sepanjang tahun 2025, pengguna boleh terus menikmati pelbagai promosi menarik termasuk diskaun eksklusif sehingga 50 peratus untuk ahli program kesetiaan My Lotus’s.

Malah, Hari My Lotus’s yang diraikan pada hari Rabu minggu kedua setiap bulan turut menjanjikan pelbagai ganjaran dan tawaran tambahan buat pelanggan setia.

Dengan pendekatan berterusan seperti ini, Lotus’s Malaysia terus memposisikan diri sebagai peneraju dalam menawarkan harga mampu milik kepada pengguna, sejajar dengan misinya untuk memberikan nilai yang lebih baik kepada rakyat Malaysia terutama ketika mereka paling memerlukannya.