editormaxinfo@gmail.com
SHAH ALAM – Bermula sebagai penganjur Kursus Pra-Perkahwinan berskala kecil lebih dua dekad lalu, Kursus Kahwin Kak Ana kini melangkah lebih jauh dalam mencorakkan industri perkahwinan tempatan melalui pelancaran Dunia Pengantin Expo, sebuah platform inovatif yang menyatukan bakal pengantin dengan vendor perkahwinan yang berkualiti, berintegriti dan dipercayai.
Ditubuhkan pada tahun 2003, organisasi ini pada mulanya memfokuskan kepada penyampaian kursus pra-perkahwinan secara intim dan eksklusif.
Namun, dengan kehadiran lebih 205 peserta setiap minggu termasuk selebriti, ahli politik dan kerabat diraja, pengasasnya mula menyedari wujud satu pola yang berulang apabila pasangan yang telah menghadiri kursus kembali semula untuk mendapatkan nasihat dan cadangan vendor perkahwinan yang boleh dipercayai.

“Pada ketika itu, kami sedar bahawa kursus kahwin hanyalah permulaan. Perjalanan sebenar pasangan ini baru sahaja bermula,” kata Pengasas Kursus Kahwin Kak Ana, Ruhana Mohamed.
Ruhana Mohamed yang mesra disapa Kak Ana berkata, dia adalah antara individu terawal yang memperkenalkan pendekatan pendidikan perkahwinan secara mesra dan membumi kepada masyarakat.
Keperluan itu akhirnya menjadi titik tolak kepada penubuhan Dunia Pengantin Expo sebuah inisiatif yang bukan sekadar menganjurkan pameran, tetapi berperanan sebagai jambatan antara pasangan dan penyedia perkhidmatan perkahwinan yang komited terhadap nilai profesionalisme serta etika.

Tidak seperti ekspo perkahwinan konvensional, Dunia Pengantin Expo dirangka oleh mereka yang telah sekian lama berada dalam industri pendidikan pra-perkahwinan dan benar-benar memahami keperluan kedua-dua pihak pasangan yang sedang merancang masa depan dan vendor yang memerlukan ruang untuk membuktikan keupayaan mereka.
“Kami percaya vendor yang bagus memang ada mereka hanya perlukan platform yang betul. Pasangan yang jujur pun ada mereka cuma perlukan bimbingan dan keyakinan,” katanya yang turut menekankan pameran ini dibina atas dasar kepercayaan dan ketelusan.
Dengan pendekatan unik bertemakan “Vendor untuk Vendor”, Dunia Pengantin Expo bukan sahaja membuka ruang pameran, tetapi turut berperanan sebagai platform pembinaan komuniti dan pemerkasaan perniagaan dalam sektor perkahwinan.

Ia menyasarkan untuk membentuk ekosistem industri yang lebih telus, tersusun dan mampan.
Sementara itu, Unit Komunikasi Korporat Kursus Kahwin Kak Ana, Izah NurSabrina Aznishah berkata, sambutan positif yang diterima sejak awal penglibatan mereka dalam industri menunjukkan bahawa ramai pasangan kini semakin bijak dan selektif dalam memilih vendor untuk hari bahagia mereka.

Oleh itu, Dunia Pengantin Expo hadir sebagai satu bentuk sokongan bukan sahaja dari segi pemilihan penyedia perkhidmatan, tetapi juga dalam aspek keyakinan dan ketenangan emosi pasangan.
Orang ramai yang sedang merancang perkahwinan dan ingin mendapatkan panduan serta perkhidmatan berkualiti dalam suasana yang mesra, profesional dan telus, diseru untuk mengambil peluang menyertai Dunia Pengantin Expo yang akan datang.

