28.6 C
Kuala Lumpur
Wednesday, May 27, 2026
Home Blog Page 77

Pulau Pinang lulus tanah untuk pembinaan galeri Tun Abdullah Ahmad Badawi

editormaxinfo@gmail.com

BATU KAWAN – Sebagai usaha memperingati jasa dan legasi bekas Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah meluluskan peruntukan sebidang tanah di kawasan Vision Park, Bertam, Kepala Batas bagi membina galeri buat Allahyarham Tun Abdullah.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, pemilikan tanah berkenaan telah dimuktamadkan dan akan diserahkan kepada Arkib Negara Malaysia untuk merealisasikan pembinaan galeri yang dicadangkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Katanya, pemilihan lokasi di Vision Park amat bertepatan kerana Allahyarham Tun Abdullah pernah menjadi Ahli Parlimen Kepala Batas selama lapan penggal berturut-turut sejak tahun 1978 hingga 2013.

Pengumuman itu dibuat dalam satu majlis rasmi sempena penamaan semula Lebuhraya Bandar Cassia kepada Jalan Tun Abdullah Ahmad Badawi yang berlangsung di Bandar Cassia.

Majlis itu turut dihadiri oleh anak Allahyarham, Tan Sri Kamaluddin Abdullah, Datuk Seri Reezal Merican, barisan kepimpinan kerajaan negeri serta beberapa pemimpin UMNO Pulau Pinang.

Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi, yang dikenali sebagai tokoh politik berprofil sederhana dan membawa pendekatan Islam Hadhari ketika mentadbir negara, telah menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada 14 April lalu.

Pemergian beliau meninggalkan kesan mendalam dalam landskap politik tanah air, terutamanya kepada masyarakat Kepala Batas yang telah menjadi sebahagian besar daripada kehidupan politiknya.

Dalam ucapan perasmiannya, Chow berkata, penamaan semula jalan sepanjang 5.45 kilometer dari Jalan Batu Kawan hingga Lingkaran Cassia Selatan adalah sebagai penghormatan kepada sumbangan Allahyarham terhadap pembangunan negeri.

Keputusan untuk menamakan jalan terbabit telah dipersetujui kerajaan negeri pada 16 April lalu dan ia kini menjadi sebahagian daripada usaha memperkukuh warisan negeri Pulau Pinang.

Menurut beliau, Bandar Cassia yang kini muncul sebagai destinasi pelaburan strategik dan hab ekonomi baharu adalah antara cetusan idea Allahyarham sendiri yang pernah membayangkan kawasan terbabit sebagai bandar moden di Batu Kawan.

Justeru, penamaan semula jalan ini dilihat sangat bersesuaian sebagai penghargaan terhadap visi dan usaha beliau.

Chow turut mencadangkan agar fasa baharu jalan dari Batu Kawan ke Nibong Tebal yang menghubungkan Taman Perindustrian Batu Kawan 2 (BKIP 2) turut dinamakan Jalan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Sementara itu, Reezal Merican berkata, pihaknya berharap cadangan pembinaan Galeri Tun Abdullah Ahmad Badawi di atas tanah seluas kira-kira 0.8 hektar itu dapat direalisasikan dalam masa terdekat.

Galeri terbabit dijangka menjadi ruang istimewa untuk menempatkan koleksi peribadi Allahyarham termasuk gambar, dokumen penting dan bahan arkib berkaitan kerjaya politik serta sumbangan beliau kepada negara.

Turut berkongsi rasa terharu ialah Tan Sri Kamaluddin, yang mewakili keluarga Allahyarham.

Beliau menyatakan penghargaan yang mendalam terhadap usaha kerajaan negeri dalam menamakan semula jalan di Bandar Cassia sempena nama bapanya serta cadangan pembinaan galeri yang akan mengabadikan sumbangan besar Tun Abdullah kepada negara dan rakyat.

“Saya tersentuh hati dengan penghormatan ini. Saya juga gembira dengan cadangan pembangunan Galeri Tun Abdullah dan kami berterima kasih kepada kerajaan negeri serta rakan-rakan Allahyarham yang berusaha menjadikan perkara ini satu kenyataan,” katanya.

Dengan kelulusan tanah dan sokongan padu kerajaan negeri serta Arkib Negara Malaysia, pembinaan Galeri Tun Abdullah Ahmad Badawi dijangka bukan sahaja menjadi simbol penghargaan terhadap jasa tokoh besar ini, tetapi juga sebagai pusat rujukan warisan kepimpinan negara untuk generasi akan datang.

Ratu Pop Indonesia, Rossa, takluki dua stadium di dua negara menerusi konsert “Here I Am”

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Ratu Pop Indonesia, Datuk Seri Rossa sekali lagi membuktikan keunggulannya dalam dunia seni apabila berjaya menawan dua stadium di dua negara menerusi konsert berskala besar bertajuk “Here I Am”.

Selepas kejayaan luar biasa dengan kehadiran lebih 12,000 penonton di Indonesia Arena, Jakarta, Rossa meneruskan gemilangnya di Malaysia dengan kehadiran lebih 10,000 peminat di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 14 Jun 2025 yang lalu.

Kejayaan ini bukan sahaja mencerminkan pengaruh luar biasa Rossa dalam industri muzik Nusantara, malah memperkukuh kedudukannya sebagai antara penyanyi solo paling berpengaruh di rantau ini.

Di Jakarta, beliau mencatat sejarah sebagai penyanyi solo Indonesia pertama yang menjayakan konsert berskala stadium tertutup nasional di Indonesia Arena, menampilkan produksi pentas berstandard antarabangsa dengan persembahan yang penuh emosi dan bertenaga.

Kuala Lumpur menjadi destinasi seterusnya bagi siri konsert berprestij ini dan sambutan hangat peminat membuktikan populariti Rossa di Malaysia masih utuh.

Tiket konsert dijual pada harga bermula RM288 hingga RM5,000 dan acara megah itu turut dihadiri tokoh-tokoh ternama termasuk selebriti terkenal dari Malaysia dan Indonesia serta beberapa kenamaan.

Dalam ucapan pembukaannya, Rossa melahirkan rasa syukur kerana dapat kembali ke Axiata Arena selepas 15 tahun. “Alhamdulillah akhirnya saya dapat kembali lagi ke Axiata Arena setelah 15 tahun.

“Saya sangat bersyukur, apatah lagi saya selalu menganggap Malaysia sebagai negara kedua. Kerana apa? Kerana kalian selalu menerima saya sebagai salah satu keluarga,” katanya penuh emosi di hadapan lautan peminat.

Antara tetamu istimewa yang hadir pada malam itu termasuklah Datuk Seri Siti Nurhaliza, Nora Danish, Dayang Nurfaizah, Bella Astillah, Melly Goeslaw, Ivan Gunawan dan Ruben Onsu.

Siti Nurhaliza, yang hadir mengenakan busana serba hitam dan ditemani suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa, mencuri perhatian apabila secara spontan berduet bersama Rossa membawakan lagu Percayalah, yang pernah dipopularkan oleh Siti sendiri.

“Siti, sepertinya kamu sudah siap untuk naik ke atas pentas,” kata Rossa berseloroh, disambut sorakan gemuruh daripada penonton.

Sepanjang lebih tiga jam persembahan, Rossa membawakan lebih 30 buah lagu hit sepanjang kariernya.

Konsert turut dimeriahkan dengan kehadiran artis jemputan seperti Ariel, Ernie Zakri, MK K-Clique, Dipha Barus, Hael Husaini, dan Eka Gustiwana.

Dua kumpulan vokal yang terdiri daripada anak didik Rossa sendiri turut tampil The Ladies dari Indonesian Idol (Rimar, Syarla, Jemimah dan Awdella), serta finalis One in A Million asal Malaysia (Kai Deva, Mary Grace dan Zazleen).

Rossa turut mempersembahkan lagu terbaharunya Serasa X Juwita bersama Dipha Barus serta lagu Sinaran bersama MK K-Clique, yang akan dimuatkan dalam album mini terbaharu beliau bertajuk Asmara Dansa.

Persembahan beliau tidak hanya sarat dengan emosi dan nostalgia, malah turut menyuntik elemen segar dan kontemporari.

Penampilan Rossa pada malam itu turut mendapat perhatian kerana gaya fesyennya yang memukau.

Beliau menggayakan dua gaun eksklusif satu gaun putih rekaan Adeline Ester untuk segmen pembukaan, dan satu lagi gaun panjang berhias kristal Swarovski hasil rekaan pereka Malaysia, Khoon Hooi.

Sepanjang siri konsert ini, Rossa tampil dengan sebelas busana eksklusif hasil rekaan pereka terkemuka Indonesia dan Malaysia, menambahkan lagi elemen glamor dan keanggunan ke atas pentas.

Konsert Here I Am adalah hasil kerjasama antara Inspire Production, Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) dan Sah Entertainment.

Dari aspek produksi, lebih 180 tenaga profesional dari Jakarta diterbangkan khas untuk menjayakan konsert ini, termasuk penari, pemuzik dan kru teknikal.

Malaysia turut menyumbang tenaga kreatif, termasuk barisan pemuzik orkestra dan penari tempatan yang menyemarakkan lagi suasana persembahan.

Rossa berkata, Here I Am bukan sekadar konsert, tetapi adalah refleksi perjalanan seninya selama lebih tiga dekad.

“Judul konsert Here I Am dipilih mewakili saya secara peribadi sebagai Rossa dan juga sebagai seorang pekerja seni.

“Ia adalah ajakan kepada setiap insan untuk menerima diri sendiri tanpa rasa rendah diri, serta menghargai dan mencintai diri seadanya.

“Sebagai penyanyi, konsert ini menjadi penanda aras perjalanan saya, meliputi lagu-lagu hit, album, anugerah dan persembahan sepanjang karier saya,” katanya.

Dengan pencapaian luar biasa ini, Rossa terus membuktikan bahawa cintanya terhadap muzik dan peminat tidak pernah pudar.

Here I Am bukan sahaja meraikan warisan seni yang telah dibina selama ini, tetapi juga memperkukuh tempatnya sebagai ikon muzik serantau yang terus relevan, dihormati dan dikagumi.

Drama romantik ‘Mitos Cinta Akira’ tampil dalam kisah cinta pertama, pengkhianatan dan peluang kedua

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Viu Malaysia, penyedia perkhidmatan penstriman video OTT terkemuka di bawah PCCW, terus mengukuhkan kedudukannya dalam landskap hiburan tempatan menerusi pelancaran drama bersiri Melayu terbaharu berjudul Mitos Cinta Akira (judul Inggeris: Once Upon Our Love).

Menampilkan gandingan pertama pelakon muda berbakat Arabella Ellen, Muaz Zabir dan Areef Amran, drama ini dijangka mencuri perhatian penonton apabila mula bersiaran mulai 26 Jun 2025.

Drama 15 episod ini mengangkat kisah cinta remaja yang penuh emosi, merungkai tema cinta pertama, pengkhianatan dan peluang kedua.

Di bawah arahan pengarah terkenal, Nizam Zakaria dan diterbitkan oleh Global Film Station, Mitos Cinta Akira membawa penonton menyelami dilema dan pengorbanan dalam hubungan cinta yang diuji oleh masa, jarak dan kepercayaan.

Kisahnya bermula dengan dua remaja sekolah menengah, Akira dan Haris, yang jatuh cinta walaupun mempunyai perwatakan yang jauh berbeza.

Namun, hubungan mereka tidak semudah yang disangka. Tekanan keluarga, beban pelajaran dan cabaran jarak jauh mula menjarakkan mereka.

Ketika cinta mereka berada di puncak ujian, satu pengkhianatan berlaku menjadi titik noktah kepada hubungan terbabit.

Akira terpaksa menelan kekecewaan, manakala Haris menghilang tanpa sebarang khabar.

Beberapa tahun kemudian, takdir mempertemukan mereka semula. Namun segalanya sudah berubah.

Akira bukan lagi gadis yang sama dan Haris pula bukan lagi satu-satunya lelaki dalam hidupnya.

Dalam tempoh kehilangan itu, sahabat karib Haris, Ikhwan, muncul sebagai penyokong utama dalam hidup Akira, membantu mengubati luka lama dan membina semula keyakinan dirinya.

Kini, Akira berhadapan dengan pilihan paling sukar dalam hidupnya antara cinta pertama yang pernah menghancurkannya atau cinta lelaki yang telah membinanya semula.

Drama ini akan ditayangkan pada setiap hari Khamis dan Jumaat di platform Viu, dan turut menampilkan pelakon-pelakon terkenal tanah air seperti Haneesya Hanee, Kazar Saisi, Lisdawati, Mia Nasir, Syamsul Ghau Ghau, Mas Anizan, Rosnah Johari dan Rahim Omar, yang menjanjikan mutu lakonan yang mengesankan dan jalan cerita yang mengundang emosi.

Bagi meraikan pelancaran drama berkenaan, Viu Malaysia turut menganjurkan acara eksklusif Meet & Greet bersama barisan pelakon utama, hasil kerjasama dengan jenama aiskrim popular AiCHA yang memiliki lebih 300 cawangan di seluruh negara.

Acara ini berlangsung di ruang luar Fahrenheit 88, Bukit Bintang, pada 19 Jun lalu dari jam 6 petang hingga 7 malam.

Peminat berpeluang bertemu secara langsung dengan pelakon kegemaran mereka, mengambil gambar dan berinteraksi secara peribadi dalam suasana santai dan mesra.

Sebagai tambahan istimewa, AiCHA akan menawarkan akses percuma kepada langganan Viu Premium Lite selama tujuh hari dengan setiap pembelian aiskrim di semua cawangan AiCHA bermula 7 Julai 2025, untuk tempoh terhad.

Inisiatif ini memberi peluang kepada lebih ramai penonton untuk menikmati Mitos Cinta Akira dan pelbagai lagi kandungan eksklusif di platform Viu.

Dengan gabungan pelakon muda berbakat, jalan cerita yang menyentuh hati serta inisiatif promosi yang kreatif, Mitos Cinta Akira diyakini bakal menjadi antara drama paling dinantikan tahun ini di Malaysia.

Kursus TVET jangka pendek bantu perkasa komuniti, kukuhkan kebersamaan setempat

editormaxinfo@gmail.com

CHERAS – Seramai 40 peserta berjaya menyelesaikan Kursus Kemahiran (TVET) Jangka Pendek anjuran Kelab Perintis Muda Kreatif, yang diadakan baru-baru ini.

Usaha ini bagi memperkasa masyarakat melalui pembangunan kemahiran dan diharap terus diperkukuh menerusi kejayaan pelaksanaan program ini.

Kursus ini turut mendapat kerjasama daripada Pusat Giat MARA Cheras, Bandar Tun Razak dan Setiawangsa.

Program yang dirangka khusus untuk komuniti setempat ini menawarkan pelbagai kursus jangka pendek yang praktikal dan bersifat inklusif, antaranya masakan barat, jahitan baju kurung dan asas gunting rambut.

Inisiatif ini bukan sahaja membuka ruang kepada peserta untuk mempelajari kemahiran baharu, malah turut merapatkan jurang sosial melalui penyertaan pelbagai lapisan masyarakat dalam suasana pembelajaran yang kondusif dan mesra komuniti.

Kejayaan penganjuran program ini sekali gus mencerminkan komitmen kerajaan dalam melaksanakan inisiatif pembangunan rakyat yang bersifat inklusif dan menyeluruh.

Selain penyertaan agensi utama seperti MARA, program ini turut mendapat sokongan pelbagai entiti lain seperti Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan Selangor Agro Development Corporation (SADC) yang aktif menyediakan platform pembangunan kemahiran terutamanya kepada golongan belia dan komuniti.

Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin iaitu Mohamad Mahathir Mohamed Younos berkata, pelaksanaan program seperti Kursus Perintis ini adalah kesinambungan kepada usaha berterusan kerajaan dalam memastikan tiada kelompok masyarakat yang terpinggir daripada menerima manfaat pembangunan.

“Inisiatif-inisiatif seperti ini sebenarnya telah lama bermula dan kini semakin diperluas bagi memastikan tiada golongan yang tercicir.

“Kita mahu semua tanpa mengira latar belakang merasai manfaat program-program yang dianjurkan oleh kerajaan,” katanya selepas penyerahan sijil tamat kursus kepada peserta yang terbabit.

Beliau berharap peserta dapat memanfaatkan ilmu yang diperoleh bukan sahaja untuk menjana pendapatan, tetapi juga sebagai sumbangan kepada masyarakat sama ada dalam bentuk perniagaan kecil, perkongsian ilmu atau khidmat komuniti.

Sementara itu, Penasihat Kelab Perintis Muda Kreatif merangkap Penasihat Giat MARA Cheras, Mohd Ismail Mohd Nor berkata, sambutan yang diterima amat menggalakkan dan menunjukkan peningkatan minat masyarakat terhadap latihan kemahiran.

“Ramai peserta berjumpa saya selepas kursus tamat dan menyuarakan hasrat untuk menyertai lebih banyak kursus bagi meningkatkan kemahiran mereka.

“Ini membuktikan bahawa minat dan permintaan terhadap program seperti ini amat tinggi,” katanya.

Mengambil kira maklum balas yang positif, penganjur merancang untuk memohon peruntukan tambahan pada tahun hadapan bagi memperluaskan lagi penawaran kursus.

Antara kursus baharu yang sedang dipertimbangkan termasuklah kecantikan wajah, urutan terapi dan teknologi komputer bidang yang dikenal pasti mempunyai permintaan tinggi dalam pasaran semasa dan berpotensi besar untuk menjana pendapatan kepada peserta.

WEF ASEAN 2025 catat kejayaan gemilang, kukuhkan peranan wanita di pentas serantau dan global

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Penganjuran Forum Ekonomi Wanita ASEAN (WEF ASEAN) 2025 yang berlangsung selama tiga hari disifatkan sebagai satu kejayaan luar biasa oleh Pengerusi Penganjur forum, Datin Dr Hartini Osman.

Forum yang menghimpunkan ratusan peserta dari dalam dan luar negara itu tidak hanya mencerminkan kejayaan dari segi organisasi, malah menjadi lambang sokongan padu terhadap misi memperkasa wanita di peringkat serantau dan antarabangsa.

Menurut Hartini, segala perancangan dan pelaksanaan forum berjalan dengan lancar, penuh semangat dan tersusun.

Kehadiran peserta yang konsisten dan bersemangat sepanjang program, termasuk semasa sesi plenari, bengkel, meja bulat dan diskusi interaktif lain, menunjukkan komitmen tinggi terhadap usaha membina masa depan yang lebih inklusif buat wanita.

“Alhamdulillah, dalam tempoh tiga hari ini, segala-galanya berjalan lancar.

“Peserta sangat bersemangat dan penceramah yang hadir pula tampil dengan profesionalisme tinggi. Ini bukti jelas bahawa usaha memperkasa wanita semakin diterima di peringkat serantau dan global,” katanya pada sidang media selepas penutup acara.

Lebih membanggakan, forum edisi ke-148 itu berjaya menarik delegasi dari lebih 30 negara, termasuk Costa Rica, Gabon, Cameroon, Australia, United Kingdom, Brunei, Singapura, Indonesia, Vietnam, Kemboja dan banyak lagi.

Kehadiran beberapa bekas menteri luar negara yang hadir atas inisiatif sendiri turut mengangkat prestij forum ini sebagai sebuah platform antarabangsa yang dihormati.

Bertemakan kesaksamaan, kemanusiaan dan kelestarian, forum kali ini turut mendapat sokongan padu daripada pelbagai agensi termasuk Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Universiti Putra Malaysia (UPM) serta beberapa penaja korporat tempatan dan antarabangsa.

Pada hari pertama, forum mencatatkan kehadiran seramai 614 peserta, manakala hari-hari berikutnya merekodkan sekitar 400 peserta setiap hari.

Hartini menyatakan rasa syukur kerana hampir semua peserta kekal mengikuti sesi sepanjang tiga hari forum berlangsung, satu keadaan yang jarang berlaku dalam penganjuran program seumpamanya.

“Saya percaya ini bukan sekadar forum, tetapi satu gerakan besar yang membawa misi kemanusiaan dan memperjuangkan suara wanita yang sering kali tidak diberi ruang.

“Kita mahu sebarkan kasih sayang dan kedamaian melalui perjuangan memperkasakan wanita,” katanya.

Antara isu utama yang dibincangkan sepanjang forum termasuk kelestarian, keterangkuman sosial, pendidikan, kepimpinan, inovasi, digitalisasi serta peranan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam memperkukuh kedudukan wanita dalam masyarakat moden.

Semua sesi perbincangan dirangka dengan matlamat membentuk naratif baharu tentang wanita masa hadapan, wanita yang berdaya saing, celik teknologi dan berperanan besar dalam pembangunan global.

Salah satu elemen unik forum ini ialah penglibatan penceramah yang hadir tanpa mengenakan sebarang bayaran, malah menanggung sendiri kos perjalanan dan penginapan sebagai tanda sokongan terhadap aspirasi memperkasakan wanita di rantau ASEAN.

Forum itu turut diserikan dengan kehadiran isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang menyampaikan ucaptama menyentuh soal kebahagiaan, kasih sayang dan pentingnya institusi kekeluargaan dalam membentuk masyarakat harmoni.

Manakala majlis penutup pula disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kesihatan dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.

Hartini turut merakamkan penghargaan kepada pengasas WEF global, Dr Harbeen Arora Rai, atas kepercayaan yang diberikan kepada Malaysia untuk menjadi tuan rumah buat pertama kali.

“Ini adalah titik permulaan gelombang baharu. Selepas Malaysia, kami akan ke beberapa negara lain. Semangat yang dicetuskan di sini akan dibawa ke seluruh dunia,” katanya.

WEF ASEAN 2025 berakhir dengan semangat baharu, membawa harapan bahawa wanita ASEAN kini lebih bersedia, lebih didengari dan lebih berdaya untuk memimpin perubahan dunia masa hadapan.

Fazura, Ade Govinda bersatu dalam lagu motivasi ‘Luar Biasa’

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Dua figura seni dari Malaysia dan Indonesia berganding bahu dalam satu karya muzik yang menyentuh emosi dan menyemarakkan semangat.

Fazura, selebriti dan usahawan terkenal Malaysia, bersama pemuzik dan komposer prolifik dari Indonesia, Ade Govinda, mempersembahkan single terbaharu berjudul Luar Biasa sebuah lagu yang membawa mesej ketabahan, harapan dan kebangkitan.

Single ini sudahpun dilancarkan secara rasmi di semua platform penstriman digital dan disertai dengan tayangan video muzik eksklusif di saluran YouTube Fazura.

Luar Biasa dicipta sepenuhnya oleh Ade Govinda dan ditulis bersama oleh Fazura serta Veron Savanoah.

Lagu ini menyampaikan naratif perjuangan hidup bagaimana kejatuhan adalah lumrah, tetapi keberanian untuk bangkit menjadikan seseorang itu benar-benar luar biasa.

Melodi yang segar dan susunan muzik yang menyentuh jiwa menjadikan karya ini bukan sahaja mudah dihayati, malah berpotensi menjadi lagu motivasi harian bagi pendengar dari pelbagai latar belakang.

Fazura meluahkan rasa syukur kerana dapat terbabit dalam projek bermakna ini.

“Saya sangat tersentuh dengan lirik ‘Jatuh itu biasa, bangun itu luar biasa’. Ia menggambarkan realiti kehidupan kita semua melalui detik sukar, tetapi yang paling penting ialah semangat untuk bangkit demi diri sendiri dan orang tersayang.

“Dengan niat yang baik dan keyakinan kepada Allah, kita mampu hadapi segalanya dengan tenang,” katanya.

Bagi Ade Govinda pula, kolaborasi ini adalah hasil karya yang lahir dari hati.

“Saya cipta lagu ini untuk semua insan yang pernah jatuh, agar mereka tahu bahawa bangkit itu lebih luar biasa daripada jatuh.

“Proses kreatifnya begitu lancar seolah-olah lagu ini ingin lahir sendiri. Dari susunan muzik hingga kepada lirik, semuanya mengalir begitu mudah kerana mesej yang ingin disampaikan sangat jelas,” katanya.

Pengalaman merakam lagu dan video muzik turut digambarkan sebagai sangat positif oleh kedua-dua artis.

Fazura memuji semangat kerjasama dan dedikasi pasukan produksi dari Indonesia, manakala Ade pula menyifatkan Fazura sebagai seorang artis profesional yang memberi komitmen tinggi sepanjang proses rakaman.

“Rakaman vokal dan penggambaran video muzik berjalan lancar dalam masa yang singkat kerana Faz sangat fokus dan bersemangat,” katanya.

Karya ini turut diperkukuh dengan sentuhan teknikal daripada dua nama besar dalam industri muzik serantau dan proses adunan dilakukan oleh Jones Roma manakala proses mastering diuruskan oleh Stephan Santoso.

Hasil akhirnya menghasilkan bunyi moden yang kaya dengan emosi, sesuai untuk semua peringkat umur.

Dengan pelancaran serentak lagu dan muzik video Luar Biasa, Fazura dan Ade Govinda bukan sahaja menyatukan dua dunia muzik, tetapi juga dua semangat besar yang ingin menyampaikan harapan kepada mereka yang sedang melalui cabaran dalam hidup.

Lagu ini diharapkan mampu menjadi sumber kekuatan dan inspirasi buat sesiapa sahaja yang mendengarnya.

Ahmad Zahid yakin PDRM terus dipercayai di bawah kepimpinan baharu Mohd Khalid

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan keyakinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus kekal sebagai sebuah institusi yang diyakini rakyat dan disegani di peringkat nasional serta antarabangsa, susulan pelantikan Datuk Seri Mohd Khalid Ismail sebagai Ketua Polis Negara yang baharu.

Dalam satu kenyataan rasmi yang dikongsikan menerusi laman Facebook beliau, Ahmad Zahid turut merakamkan ucapan tahniah kepada Mohd Khalid atas pelantikannya sebagai Ketua Polis Negara ke-15, menggantikan Tan Sri Razarudin Husain.

Menurut Ahmad Zahid, pelantikan Mohd Khalid adalah langkah yang tepat, memandangkan rekod kepimpinan beliau yang cemerlang serta pengalaman luas dalam pelbagai jawatan strategik dalam PDRM sejak beberapa tahun lalu.

Beliau pernah mengetuai Cawangan Khas Pahang sejak 2018, sebelum dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah E2, Cawangan Khas Bukit Aman pada September 2021.

Terbaharu, beliau juga berkhidmat sebagai Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, sebuah jawatan yang memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan dalam negara berada dalam keadaan terkawal dan terkawal rapi.

“Saya percaya, dengan pengalaman yang dimiliki dan pendekatan kepimpinan yang menyeluruh serta progresif, Datuk Seri Mohd Khalid akan terus memacu PDRM ke tahap yang lebih tinggi dalam usaha memelihara keselamatan negara dan ketenteraman awam,” kata Ahmad Zahid dalam kenyataan itu.

Beliau juga menyatakan keyakinannya di bawah teraju baharu ini, PDRM akan kekal sebagai benteng utama negara yang berintegriti, dihormati dan menjadi sandaran utama rakyat dalam menegakkan undang-undang serta menjaga keamanan.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut menzahirkan penghargaan terhadap Tan Sri Razarudin Husain atas segala jasa dan khidmat bakti beliau sepanjang tempoh menjawat jawatan sebagai Ketua Polis Negara.

Menurutnya, sumbangan Razarudin terhadap pasukan dan negara akan terus dikenang, khususnya dalam mendepani pelbagai cabaran keselamatan pada era yang penuh dinamika ini.

Pelantikan Mohd Khalid sebagai Ketua Polis Negara turut disambut baik oleh pelbagai pihak yang melihat beliau sebagai sosok berpengalaman dan mempunyai rekod kepimpinan yang bersih dan berdedikasi, khususnya dalam bidang risikan keselamatan dan pengurusan strategik.

Pelantikan rasmi ini menandakan permulaan baharu buat PDRM dalam usaha berterusan untuk memperkukuh kepercayaan rakyat terhadap institusi keselamatan negara serta memastikan undang-undang ditegakkan secara adil dan berkesan di seluruh pelosok tanah air.

Gerakan “Payung Besar” tuntut konsensus Melayu Bumiputera demi selamatkan masa depan negara

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Sekretariat Gabungan IKHLAS Malaysia hari ini menggesa seluruh kepimpinan politik Melayu dan Bumiputera agar bersatu dalam satu konsensus nasional demi menyelamatkan masa depan negara.

Melalui satu petisyen rasmi, sekretariat itu berkata, perpaduan dan penyatuan suara dalam kalangan kaum Melayu dan Bumiputera adalah satu agenda utama yang tidak boleh lagi ditangguhkan.

Petisyen itu adalah satu desakan terbuka kepada semua Ahli Parlimen Melayu dan Bumiputera tanpa mengira fahaman politik, supaya segera bertindak mencari penyelesaian tuntas terhadap kemelut kepimpinan negara yang dikatakan semakin meruncing.

Sokongan penuh turut diberikan kepada gerakan “Payung Besar” atau “Sekretariat Orang Melayu” yang diterajui oleh negarawan ulung, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Antara tuntutan utama yang dikemukakan dalam gerakan ini ialah penegasan terhadap keadilan sejagat dan penolakan terhadap sebarang bentuk penyalahgunaan kuasa oleh pihak yang mempunyai pengaruh mutlak dalam pemerintahan.

Sekretariat menzahirkan kebimbangan terhadap tindakan-tindakan yang didakwa telah mencabuli prinsip keadilan dan integriti, termasuk sekatan terhadap kebebasan bersuara, ancaman terhadap hak kewarganegaraan orang Melayu, serta pencerobohan terhadap tanah-tanah adat.

Mereka turut menuntut agar tidak ada sebarang usaha merampas atau menggadai hak-hak milik Bumiputera kepada pihak lain yang boleh menggugat keseimbangan sosial dan ekonomi negara.

Penekanan turut diberikan kepada keperluan memperkasakan kuasa autonomi ekonomi Bumiputera serta memperluas peluang-peluang keusahawanan di kawasan bandar yang kini didakwa dimonopoli oleh bangsa lain.

“Orang Melayu dan Bumiputera tidak seharusnya terus terpinggir di tanah air sendiri.

“Jika kita tidak bersatu dan mengambil langkah proaktif, kita akan kehilangan kuasa mutlak terhadap bentuk perjuangan yang selama ini dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan,” kata wakil sekretariat, Datuk Mohd Ridzuan pada sidang media berkenaan isu itu.

Sekretariat turut menuntut agar sistem pendidikan negara lebih memberi tumpuan kepada pembangunan modal insan Bumiputera secara menyeluruh.

Ini termasuk cadangan penganjuran lebih banyak sesi meja bulat dan simposium antara agensi-agensi berkaitan bagi memastikan pendidikan Bumiputera tidak digugat oleh tuntutan segelintir pihak yang mahukan pengagihan kuota secara tidak seimbang.

Dalam usaha menuju negara maju yang selamat dan sejahtera, gerakan ini juga menyeru agar penyertaan Bumiputera dalam bidang teknologi, kemahiran dan pendigitalan dipertingkatkan.

Tambahan lagi, mereka mencadangkan agar penempatan orang Melayu di bandar-bandar utama dipertingkatkan kepada paras 65 hingga 70 peratus sebagai langkah strategik untuk mengimbangi kuasa ekonomi dan politik yang kini dikatakan didominasi oleh bangsa lain.

Sekretariat itu turut mendakwa wujudnya penyalahgunaan kuasa institusi tertentu seperti mahkamah dan jentera kerajaan demi kepentingan politik yang sempit.

Antara dakwaan serius termasuk pemberian kekebalan undang-undang secara tidak wajar kepada individu tertentu serta penyitaan harta secara tidak sah terhadap mereka yang dilabel sebagai musuh politik.

“Perkara ini adalah pencabulan serius terhadap sistem keadilan dan prinsip demokrasi.

“Kami menyokong sepenuhnya usaha Tun Dr. Mahathir melalui gerakan ‘Payung Besar’ yang dilihat sebagai satu inisiatif penting dalam memulihkan maruah bangsa dan negara,” katanya lagi.

Sekretariat Gabungan IKHLAS Malaysia menyeru seluruh rakyat Malaysia, terutamanya kaum Melayu dan Bumiputera, untuk menilai semula kedudukan mereka dalam landskap sosio-politik negara dan bersatu dalam memperjuangkan nasib generasi akan datang.

Orang ramai yang prihatin dengan masa depan negara digalakkan untuk menyokong petisyen ini dan bersama-sama membawa perubahan ke arah pemerintahan yang lebih adil, telus dan berintegriti.

Persatuan Pekerja Gig desak MOT libat semua pihak berkepentingan dalam industri e-Hailing dan p-Hailing

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) digesa agar mengambil pendekatan lebih terbuka dan inklusif dalam menangani isu-isu yang membelenggu industri gig, khususnya dalam sektor e-hailing dan p-hailing.

Gesaan itu dikemukakan oleh enam persatuan yang mewakili penghantar dan pemandu dari seluruh negara yang menyuarakan kebimbangan terhadap pendekatan semasa yang dianggap terlalu sempit dan tidak menyeluruh.

Dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan, keenam-enam persatuan berkenaan berkata, sebarang proses libat urus oleh pihak kementerian tidak seharusnya hanya membabitkan satu pihak semata-mata.

Sebaliknya, ia perlu merangkumi penyertaan pertubuhan-pertubuhan yang benar-benar aktif dan mempunyai rekod mewakili kepentingan serta suara akar umbi pekerja gig.

Persatuan-persatuan terbabit terdiri daripada Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia, Persatuan Perpaduan Rakan Penghantar Malaysia, Persatuan Penghantar dan Penghantar E-Hailing Sabah, Persatuan Rakan Penghantar Melaka, Persatuan Kebajikan Perkhidmatan Penghantar Bermotosikal Perak dan Persatuan Rakan Penghantar Kedah.

Mereka berkata, NGO serta pertubuhan yang aktif dalam lapangan memainkan peranan penting sebagai jambatan antara pembuat dasar dan realiti sebenar yang dihadapi oleh pekerja.

Isu-isu seperti ketidaktentuan pendapatan, ketiadaan perlindungan sosial serta ketidakseimbangan kuasa antara syarikat penyedia platform dan para pekerja merupakan antara permasalahan utama yang wajar diberi perhatian.

“Tanpa keterlibatan organisasi yang memahami realiti di lapangan, dasar yang dirangka berisiko tinggi untuk gagal mencapai matlamat dan tidak berpijak di bumi nyata,” kata mereka dalam kenyataan itu.

Kumpulan persatuan itu turut menekankan bahawa dasar yang bersifat adil dan berkesan hanya boleh diwujudkan sekiranya proses penggubalannya berasaskan data serta pengalaman sebenar pekerja di peringkat akar umbi.

Mereka berpandangan hanya melalui pendekatan menyeluruh dan penyertaan pelbagai pihak berkepentingan, ekosistem industri gig di negara ini dapat dibangunkan secara mampan dan holistik.

Dalam kenyataan yang sama, mereka turut melahirkan kebimbangan terhadap keputusan MOT yang didakwa hanya membabitkan satu pihak dalam sesi libat urus berkaitan isu industri gig.

Menurut mereka, tindakan itu menimbulkan tanda tanya terhadap tahap ketelusan dan keseimbangan dalam proses membuat keputusan di peringkat kementerian.

“Libat urus yang bersifat sepihak bukan sahaja tidak mencerminkan gambaran sebenar landskap industri, malah ia berpotensi besar menyingkirkan pandangan, cabaran dan realiti yang dihadapi oleh majoriti pekerja gig yang menjadi tulang belakang perkhidmatan harian ini,” katanya.

Kenyataan itu sekali gus mencerminkan harapan agar Kementerian Pengangkutan dapat membuka ruang kepada lebih banyak pihak untuk terbabit dalam sesi libat urus akan datang, bagi memastikan suara golongan pekerja tidak diketepikan dan pembangunan dasar yang lebih adil dapat direalisasikan demi kepentingan bersama.