26.4 C
Kuala Lumpur
Friday, May 1, 2026

Drama romantik ‘Mitos Cinta Akira’ tampil dalam kisah cinta pertama, pengkhianatan dan peluang kedua

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Viu Malaysia, penyedia perkhidmatan penstriman video OTT terkemuka di bawah PCCW, terus mengukuhkan kedudukannya dalam landskap hiburan tempatan menerusi pelancaran drama bersiri Melayu terbaharu berjudul Mitos Cinta Akira (judul Inggeris: Once Upon Our Love).

Menampilkan gandingan pertama pelakon muda berbakat Arabella Ellen, Muaz Zabir dan Areef Amran, drama ini dijangka mencuri perhatian penonton apabila mula bersiaran mulai 26 Jun 2025.

Drama 15 episod ini mengangkat kisah cinta remaja yang penuh emosi, merungkai tema cinta pertama, pengkhianatan dan peluang kedua.

Di bawah arahan pengarah terkenal, Nizam Zakaria dan diterbitkan oleh Global Film Station, Mitos Cinta Akira membawa penonton menyelami dilema dan pengorbanan dalam hubungan cinta yang diuji oleh masa, jarak dan kepercayaan.

Kisahnya bermula dengan dua remaja sekolah menengah, Akira dan Haris, yang jatuh cinta walaupun mempunyai perwatakan yang jauh berbeza.

Namun, hubungan mereka tidak semudah yang disangka. Tekanan keluarga, beban pelajaran dan cabaran jarak jauh mula menjarakkan mereka.

Ketika cinta mereka berada di puncak ujian, satu pengkhianatan berlaku menjadi titik noktah kepada hubungan terbabit.

Akira terpaksa menelan kekecewaan, manakala Haris menghilang tanpa sebarang khabar.

Beberapa tahun kemudian, takdir mempertemukan mereka semula. Namun segalanya sudah berubah.

Akira bukan lagi gadis yang sama dan Haris pula bukan lagi satu-satunya lelaki dalam hidupnya.

Dalam tempoh kehilangan itu, sahabat karib Haris, Ikhwan, muncul sebagai penyokong utama dalam hidup Akira, membantu mengubati luka lama dan membina semula keyakinan dirinya.

Kini, Akira berhadapan dengan pilihan paling sukar dalam hidupnya antara cinta pertama yang pernah menghancurkannya atau cinta lelaki yang telah membinanya semula.

Drama ini akan ditayangkan pada setiap hari Khamis dan Jumaat di platform Viu, dan turut menampilkan pelakon-pelakon terkenal tanah air seperti Haneesya Hanee, Kazar Saisi, Lisdawati, Mia Nasir, Syamsul Ghau Ghau, Mas Anizan, Rosnah Johari dan Rahim Omar, yang menjanjikan mutu lakonan yang mengesankan dan jalan cerita yang mengundang emosi.

Bagi meraikan pelancaran drama berkenaan, Viu Malaysia turut menganjurkan acara eksklusif Meet & Greet bersama barisan pelakon utama, hasil kerjasama dengan jenama aiskrim popular AiCHA yang memiliki lebih 300 cawangan di seluruh negara.

Acara ini berlangsung di ruang luar Fahrenheit 88, Bukit Bintang, pada 19 Jun lalu dari jam 6 petang hingga 7 malam.

Peminat berpeluang bertemu secara langsung dengan pelakon kegemaran mereka, mengambil gambar dan berinteraksi secara peribadi dalam suasana santai dan mesra.

Sebagai tambahan istimewa, AiCHA akan menawarkan akses percuma kepada langganan Viu Premium Lite selama tujuh hari dengan setiap pembelian aiskrim di semua cawangan AiCHA bermula 7 Julai 2025, untuk tempoh terhad.

Inisiatif ini memberi peluang kepada lebih ramai penonton untuk menikmati Mitos Cinta Akira dan pelbagai lagi kandungan eksklusif di platform Viu.

Dengan gabungan pelakon muda berbakat, jalan cerita yang menyentuh hati serta inisiatif promosi yang kreatif, Mitos Cinta Akira diyakini bakal menjadi antara drama paling dinantikan tahun ini di Malaysia.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular