27.5 C
Kuala Lumpur
Friday, May 1, 2026

Kursus TVET jangka pendek bantu perkasa komuniti, kukuhkan kebersamaan setempat

editormaxinfo@gmail.com

CHERAS – Seramai 40 peserta berjaya menyelesaikan Kursus Kemahiran (TVET) Jangka Pendek anjuran Kelab Perintis Muda Kreatif, yang diadakan baru-baru ini.

Usaha ini bagi memperkasa masyarakat melalui pembangunan kemahiran dan diharap terus diperkukuh menerusi kejayaan pelaksanaan program ini.

Kursus ini turut mendapat kerjasama daripada Pusat Giat MARA Cheras, Bandar Tun Razak dan Setiawangsa.

Program yang dirangka khusus untuk komuniti setempat ini menawarkan pelbagai kursus jangka pendek yang praktikal dan bersifat inklusif, antaranya masakan barat, jahitan baju kurung dan asas gunting rambut.

Inisiatif ini bukan sahaja membuka ruang kepada peserta untuk mempelajari kemahiran baharu, malah turut merapatkan jurang sosial melalui penyertaan pelbagai lapisan masyarakat dalam suasana pembelajaran yang kondusif dan mesra komuniti.

Kejayaan penganjuran program ini sekali gus mencerminkan komitmen kerajaan dalam melaksanakan inisiatif pembangunan rakyat yang bersifat inklusif dan menyeluruh.

Selain penyertaan agensi utama seperti MARA, program ini turut mendapat sokongan pelbagai entiti lain seperti Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan Selangor Agro Development Corporation (SADC) yang aktif menyediakan platform pembangunan kemahiran terutamanya kepada golongan belia dan komuniti.

Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin iaitu Mohamad Mahathir Mohamed Younos berkata, pelaksanaan program seperti Kursus Perintis ini adalah kesinambungan kepada usaha berterusan kerajaan dalam memastikan tiada kelompok masyarakat yang terpinggir daripada menerima manfaat pembangunan.

“Inisiatif-inisiatif seperti ini sebenarnya telah lama bermula dan kini semakin diperluas bagi memastikan tiada golongan yang tercicir.

“Kita mahu semua tanpa mengira latar belakang merasai manfaat program-program yang dianjurkan oleh kerajaan,” katanya selepas penyerahan sijil tamat kursus kepada peserta yang terbabit.

Beliau berharap peserta dapat memanfaatkan ilmu yang diperoleh bukan sahaja untuk menjana pendapatan, tetapi juga sebagai sumbangan kepada masyarakat sama ada dalam bentuk perniagaan kecil, perkongsian ilmu atau khidmat komuniti.

Sementara itu, Penasihat Kelab Perintis Muda Kreatif merangkap Penasihat Giat MARA Cheras, Mohd Ismail Mohd Nor berkata, sambutan yang diterima amat menggalakkan dan menunjukkan peningkatan minat masyarakat terhadap latihan kemahiran.

“Ramai peserta berjumpa saya selepas kursus tamat dan menyuarakan hasrat untuk menyertai lebih banyak kursus bagi meningkatkan kemahiran mereka.

“Ini membuktikan bahawa minat dan permintaan terhadap program seperti ini amat tinggi,” katanya.

Mengambil kira maklum balas yang positif, penganjur merancang untuk memohon peruntukan tambahan pada tahun hadapan bagi memperluaskan lagi penawaran kursus.

Antara kursus baharu yang sedang dipertimbangkan termasuklah kecantikan wajah, urutan terapi dan teknologi komputer bidang yang dikenal pasti mempunyai permintaan tinggi dalam pasaran semasa dan berpotensi besar untuk menjana pendapatan kepada peserta.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular