26.4 C
Kuala Lumpur
Friday, May 1, 2026

WEF ASEAN 2025 catat kejayaan gemilang, kukuhkan peranan wanita di pentas serantau dan global

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Penganjuran Forum Ekonomi Wanita ASEAN (WEF ASEAN) 2025 yang berlangsung selama tiga hari disifatkan sebagai satu kejayaan luar biasa oleh Pengerusi Penganjur forum, Datin Dr Hartini Osman.

Forum yang menghimpunkan ratusan peserta dari dalam dan luar negara itu tidak hanya mencerminkan kejayaan dari segi organisasi, malah menjadi lambang sokongan padu terhadap misi memperkasa wanita di peringkat serantau dan antarabangsa.

Menurut Hartini, segala perancangan dan pelaksanaan forum berjalan dengan lancar, penuh semangat dan tersusun.

Kehadiran peserta yang konsisten dan bersemangat sepanjang program, termasuk semasa sesi plenari, bengkel, meja bulat dan diskusi interaktif lain, menunjukkan komitmen tinggi terhadap usaha membina masa depan yang lebih inklusif buat wanita.

“Alhamdulillah, dalam tempoh tiga hari ini, segala-galanya berjalan lancar.

“Peserta sangat bersemangat dan penceramah yang hadir pula tampil dengan profesionalisme tinggi. Ini bukti jelas bahawa usaha memperkasa wanita semakin diterima di peringkat serantau dan global,” katanya pada sidang media selepas penutup acara.

Lebih membanggakan, forum edisi ke-148 itu berjaya menarik delegasi dari lebih 30 negara, termasuk Costa Rica, Gabon, Cameroon, Australia, United Kingdom, Brunei, Singapura, Indonesia, Vietnam, Kemboja dan banyak lagi.

Kehadiran beberapa bekas menteri luar negara yang hadir atas inisiatif sendiri turut mengangkat prestij forum ini sebagai sebuah platform antarabangsa yang dihormati.

Bertemakan kesaksamaan, kemanusiaan dan kelestarian, forum kali ini turut mendapat sokongan padu daripada pelbagai agensi termasuk Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Universiti Putra Malaysia (UPM) serta beberapa penaja korporat tempatan dan antarabangsa.

Pada hari pertama, forum mencatatkan kehadiran seramai 614 peserta, manakala hari-hari berikutnya merekodkan sekitar 400 peserta setiap hari.

Hartini menyatakan rasa syukur kerana hampir semua peserta kekal mengikuti sesi sepanjang tiga hari forum berlangsung, satu keadaan yang jarang berlaku dalam penganjuran program seumpamanya.

“Saya percaya ini bukan sekadar forum, tetapi satu gerakan besar yang membawa misi kemanusiaan dan memperjuangkan suara wanita yang sering kali tidak diberi ruang.

“Kita mahu sebarkan kasih sayang dan kedamaian melalui perjuangan memperkasakan wanita,” katanya.

Antara isu utama yang dibincangkan sepanjang forum termasuk kelestarian, keterangkuman sosial, pendidikan, kepimpinan, inovasi, digitalisasi serta peranan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam memperkukuh kedudukan wanita dalam masyarakat moden.

Semua sesi perbincangan dirangka dengan matlamat membentuk naratif baharu tentang wanita masa hadapan, wanita yang berdaya saing, celik teknologi dan berperanan besar dalam pembangunan global.

Salah satu elemen unik forum ini ialah penglibatan penceramah yang hadir tanpa mengenakan sebarang bayaran, malah menanggung sendiri kos perjalanan dan penginapan sebagai tanda sokongan terhadap aspirasi memperkasakan wanita di rantau ASEAN.

Forum itu turut diserikan dengan kehadiran isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang menyampaikan ucaptama menyentuh soal kebahagiaan, kasih sayang dan pentingnya institusi kekeluargaan dalam membentuk masyarakat harmoni.

Manakala majlis penutup pula disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kesihatan dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.

Hartini turut merakamkan penghargaan kepada pengasas WEF global, Dr Harbeen Arora Rai, atas kepercayaan yang diberikan kepada Malaysia untuk menjadi tuan rumah buat pertama kali.

“Ini adalah titik permulaan gelombang baharu. Selepas Malaysia, kami akan ke beberapa negara lain. Semangat yang dicetuskan di sini akan dibawa ke seluruh dunia,” katanya.

WEF ASEAN 2025 berakhir dengan semangat baharu, membawa harapan bahawa wanita ASEAN kini lebih bersedia, lebih didengari dan lebih berdaya untuk memimpin perubahan dunia masa hadapan.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular