28.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 30, 2026

TCL lancar SQD-Mini LED 2026 di Malaysia, kuasai segmen TV premium & smart home

editormaxinfo@gmail.com

PUTRAJAYA – Syarikat teknologi global terkemuka, TCL terus memperkukuh kedudukannya di pasaran Malaysia dengan memperkenalkan teknologi proprietari terbaharu, SQD-Mini LED, sebagai sebahagian daripada strategi produk dan komersialnya bagi tahun 2026.

Pelancaran ini turut menampilkan portfolio lengkap produk rumah pintar, sekali gus menandakan komitmen berterusan syarikat dalam mengembangkan segmen pertengahan hingga premium di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Dengan pendapatan tahunan melebihi RM206 bilion, TCL kini berada dalam kelompok pengeluar televisyen terbesar dunia, dengan jumlah penghantaran global melebihi 30 juta unit pada tahun 2025.

Prestasi ini mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai peneraju dalam kategori Mini LED serta televisyen skrin besar bersaiz 98 inci, selain menguasai kira-kira 50 peratus pasaran Mini LED global.

Pengarah Urusan TCL Malaysia, Carolyn berkata, Malaysia antara pasaran strategik bagi pengembangan ekosistem Smart IoT syarikat itu.

Menurutnya, pengenalan teknologi SQD-Mini LED bukan sekadar pelancaran produk baharu, sebaliknya menjadi penanda aras terkini dalam teknologi paparan bagi segmen premium.

“Dalam usaha memperkukuh inovasi, TCL terus memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi paparan termaju serta kecerdasan buatan.

“Melalui anak syarikat, TCL CSOT, hampir RM170 bilion telah dilaburkan untuk membangunkan rantaian industri bertaraf dunia, termasuk menerajui teknologi paparan generasi baharu seperti OLED cetakan inkjet, Micro-LED dan Mini-LED,” katanya.

Caroly berkata, pertumbuhan pesat teknologi Mini LED sejak beberapa tahun kebelakangan ini telah mengatasi kadar perkembangan OLED, sekali gus menjadikannya pilihan utama bagi televisyen flagship di peringkat global.

Keadaan ini mencerminkan kekuatan teknologi dan penerimaan pasaran terhadap inovasi yang dibawa oleh TCL.

Bagi barisan produk 2026, TCL memperkenalkan tiga generasi televisyen Mini LED di Malaysia, termasuk model flagship X11L yang dilengkapi teknologi SQD-Mini LED dengan kecerahan puncak sehingga 10,000 nits dan lebih 20,000 zon peredupan tepat.

Selain itu, siri C8L dan C7L pula menyasarkan pasaran premium volum tinggi dengan kecerahan mencecah 6,000 nits.

Kesemua model ini turut diperkasa dengan sistem audio premium yang ditala oleh Bang & Olufsen bagi memberikan pengalaman tontonan yang lebih imersif.

Dalam segmen penyaman udara, TCL memperkenalkan Siri VoxIN yang dilengkapi teknologi penjimatan tenaga pintar T-AI, mampu mengurangkan penggunaan tenaga sehingga 37 peratus berbanding model konvensional.

Ciri kawalan suara luar talian dan fungsi pembersihan kendiri turut ditawarkan bagi meningkatkan kemudahan penggunaan serta mengurangkan kos penyelenggaraan.

Selain itu, portfolio peralatan rumah TCL turut menampilkan reka bentuk moden dengan penekanan terhadap estetika terbina dalam dan kapasiti tinggi.

Antaranya termasuk peti sejuk nipis dengan integrasi kabinet 1 sentimeter serta teknologi pensterilan T-Fresh, selain mesin basuh C682 yang dilengkapi dram bersaiz besar 540mm dan fungsi Auto Dose, menyasarkan keperluan kediaman bandar premium yang semakin berkembang di Malaysia.

Mengulas lanjut, Carolyn berkata produk TCL 2026 sejajar dengan strategi global syarikat yang menumpukan kepada penembusan segmen pertengahan hingga premium, di samping memanfaatkan kerjasama antarabangsa untuk memperkukuh jenama serta menawarkan nilai melalui kecekapan tenaga dan integrasi ekosistem pintar.

“Sebagai sebahagian daripada usaha memperluas pengaruh global, TCL sebelum ini telah menandatangani perjanjian untuk menjadi rakan global bagi Sukan Olimpik Musim Panas Los Angeles 2028 pada Februari 2025.

“Kerjasama ini dijangka membuka ruang kepada pengalaman tontonan generasi baharu yang lebih imersif melalui penggunaan teknologi paparan terkini,” katanya lagi.

Sepanjang lima tahun lalu, TCL mencatatkan pertumbuhan kewangan yang konsisten melalui dua entiti utamanya, iaitu TCL Industries dan TCL Technology.

Jumlah hasil syarikat meningkat daripada lebih RM96 bilion pada tahun 2020 kepada lebih RM206 bilion pada 2025, dengan kadar pertumbuhan tahunan purata sebanyak 16.5 peratus.

Dalam tempoh sama, hasil luar negara turut melonjak daripada RM42.59 bilion kepada RM98.62 bilion, mencatatkan pertumbuhan tahunan purata 18.3 peratus.

Perkembangan ini mencerminkan momentum kukuh TCL dalam memperluaskan kehadiran global serta memperkukuh kedudukannya sebagai pemain utama dalam industri teknologi pengguna, khususnya dalam segmen paparan premium dan ekosistem rumah pintar.

ARTIKEL BERKAITAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Popular