28.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 30, 2026

Joy cipta magis di Zepp Kuala Lumpur, Konsert ‘JOY SPLASH’ sentuh emosi 1,500 ReVeluvs

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Aura memikat Joy nyata tidak pernah pudar apabila konsert solo sulungnya, 2026 Joy Asia Tour (JOY SPLASH) berjaya mencipta malam penuh magis dan emosi di Zepp Kuala Lumpur pada 25 April lalu.

Lebih daripada sekadar persembahan pentas, konsert itu menjadi ruang eksklusif buat Joy mendekati peminatnya, ReVeluvs, dalam suasana yang cukup intim selepas sekian lama menanti kehadirannya di Malaysia.

Dengan kehadiran lebih 1,500 peminat, setiap detik yang dipersembahkan seolah-olah menghidupkan hubungan erat antara artis dan penyokong setianya.

Membuka tirai dengan lagu Hello, Joy terus menguasai pentas dengan vokal lembut namun bertenaga, diikuti persembahan lagu-lagu seperti Je T’aime dan La Vie En Bleu yang memukau penonton.

Tidak terhenti di situ, beliau turut menyuntik elemen dramatik menerusi deretan lagu runut bunyi drama Korea seperti Introduce Me a Good Person, My Lips Like Warm Coffee, Yeowooya dan Shiny Boy, sekali gus membawa penonton mengimbau momen emosional daripada karya-karya berkenaan.

Sorakan gemuruh jelas kedengaran setiap kali Joy berinteraksi dengan peminat.

Dalam nada penuh keikhlasan, Joy meluahkan rasa rindu yang terpendam, sekali gus menyentuh hati mereka yang hadir.

Momen itu memperlihatkan sisi peribadi Joy yang hangat dan dekat dengan peminatnya.

Kehebatan Joy tidak hanya terletak pada vokalnya, malah persembahan tarian menerusi lagu-lagu popular Red Velvet seperti Red Flavor, Feel My Rhythm dan Peek-a-Boo berjaya menghangatkan suasana, mengubat kerinduan peminat terhadap aksi pentas kumpulan itu.

Antara detik paling bermakna pada malam itu adalah apabila seorang peminat berkongsi kisah peribadi melalui sepucuk surat yang menyentuh perasaan.

Pengakuan bahawa karya Joy menjadi sumber kekuatan dalam menghadapi masalah kebimbangan memberi impak mendalam kepada penyanyi itu, sekali gus mencetuskan reaksi emosi dalam kalangan penonton.

Konsert turut diperkaya dengan elemen interaktif apabila Joy mempersembahkan lagu Ice Cream Cake secara acapella bersama peminat, menjadikan pengalaman itu lebih peribadi dan tidak dapat dilupakan.

Joy kemudian meneruskan persembahan dengan lagu seperti Love Splash, Day by Day, Happy Birthday to You dan Scent of Green, mengekalkan momentum sepanjang malam.

Selain itu, Joy turut menghiburkan peminat dengan aktiviti santai seperti permainan teka lukisan, memperlihatkan usaha beliau untuk berkomunikasi secara dua hala dan mendekati peminat bukan sekadar sebagai artis, tetapi sebagai individu yang menghargai sokongan mereka.

Menutup tirai konsert, Joy meluahkan rasa syukur atas sokongan yang diberikan serta kegembiraannya dapat berkongsi detik istimewa bersama peminat di Malaysia.

Persembahan encore dengan lagu-lagu popular Red Velvet seperti Zimzalabim, You Better Know dan Hello menjadi penutup sempurna yang meninggalkan kenangan manis buat semua yang hadir.

Dalam pada itu, peminat yang ditemui menyatakan kepuasan mereka terhadap persembahan yang disifatkan penuh emosi dan berkualiti tinggi.

Ramai turut menyuarakan harapan agar Red Velvet kembali ke Malaysia sebagai sebuah kumpulan lengkap, selepas kejayaan siri jelajah solo setiap anggotanya sebelum ini.

Konsert “JOY SPLASH” bukan sahaja membuktikan kemampuan Joy sebagai artis solo, malah mengukuhkan lagi pengaruhnya sebagai antara figura K-pop yang terus relevan dan dekat di hati peminat antarabangsa.

ARTIKEL BERKAITAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Popular