28.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 30, 2026

Festival Muzik Air Langkawi 2026 gegar Pantai Chenang, sasar 100,000 pengunjung

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Pantai peranginan terkenal, Pantai Chenang bersiap sedia menyambut kehadiran kira-kira 100,000 pengunjung sempena penganjuran Festival Muzik Air Langkawi yang akan berlangsung selama tiga hari bermula 1 hingga 3 Mei ini.

Festival itu antara acara utama yang disenaraikan dalam kalendar Tahun Melawat Malaysia 2026, anjuran Tourism Malaysia di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) serta Persatuan Bolasepak Kedah (KFA).

Pengurus acara festival, Azlikamal Mat Yeas berkata, pihak penganjur telah membuat persiapan rapi bagi memastikan pengunjung menikmati pengalaman yang unik dan menghiburkan sepanjang festival berlangsung.

Menurutnya, festival ini bukan sahaja menampilkan hiburan berkonsepkan muzik dan pantai, malah turut menyediakan pelbagai aktiviti menarik yang mampu mencipta kenangan manis kepada setiap pengunjung.

Sepanjang tiga hari penganjuran, pengunjung bakal disajikan dengan pelbagai acara sukan dan rekreasi termasuk pertandingan bola sepak pantai serta aktiviti sukan air seperti pukul bantal, panjat tiang licin dan boling pantai menggunakan buah kelapa.

Selain itu, pertunjukan api pada waktu malam dijangka menjadi antara tarikan utama yang bakal memeriahkan suasana di pesisir pantai.

Tidak terhenti di situ, festival ini turut menawarkan pelbagai aktiviti santai dan mencabar seperti rakit darat, puncher pipe, basket ball throw, fast & furious serta tug of war yang terbuka kepada penyertaan orang awam.

Dalam masa sama, pengunjung juga berpeluang menikmati suasana santai bersama keluarga sambil menjamu selera di pelbagai gerai makanan dan restoran yang tersedia di sepanjang kawasan pantai, sekali gus menjadikan festival ini sesuai untuk semua lapisan masyarakat.

Penganjuran festival yang bertepatan dengan cuti panjang sempena Hari Pekerja itu dijangka menarik kehadiran pelancong tempatan dan luar negara, sekali gus merancakkan sektor pelancongan di pulau peranginan terbabit.

Azlikamal turut mengajak orang ramai dari seluruh negara agar tidak melepaskan peluang untuk hadir memeriahkan festival berkenaan.

Pelbagai hadiah menarik menanti pemenang pertandingan, selain pengalaman yang sukar dilupakan sepanjang acara berlangsung.

“Berkunjunglah ke Pantai Chenang, Langkawi pada hujung minggu ini. Kami mahu setiap pengunjung datang dengan harapan dan pulang dengan senyuman kepuasan,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Popular